3

Yuda Di Padang Maya

Salam semua,

Alhamdulillah cuti hujung minggu yang lalu, wan telah berjaya menghabiskan bacaan novel Yuda Di Padang Maya ini. Ini merupakan karya kedua daripada seorang insinyur cum penulis bernickname Xarine, selepas Bintang-Bintang Ke Syurga.

Novel ini wan mula baca hari sabtu petang. Novel ini dipecahkan pada 2 'buku' iaitu iaitu Buku 1 : Alam Manusia dan Buku 2 : Alam Jin. Memulakan pembacaan dengan semangat yang masih lagi berkobar-kobar untuk menghabiskannya dengan 'sekali baca'. Maksudnya nak baca non-stop sampai habis in one shot! Maklumlah mood membacakan tengah baik?! Tapi itu sekadar impian, realitinya wan harus berhenti-sambung esok.

Kenapa?

Buat pengetahuan semua, novel ini kan terbahagi pada dua 'dunia', iaitu alam manusia (dunia nyata) dan satu lagi alam jin (dunia bunian/maya). Bila wan baca bahagian pertama, OKEY menarik.

Bercerita tentang Azmi seorang budak istimewa, yang hidup bagaikan dalam dunianya sendiri. Tapi tak siapa yang tahu bahawa dia ada 'kawan pendamping' yang sering menemaninya setiap masa. Makhluk yang tak siapapun nampak. Bapanya, seorang dukun yang terkenal dengan kebolehan mencari 'benda' yang hilang. Padahal infonya pastinya daripada 'sahabat' Azmi. Hinggalah dia dewasa dan berjaya menjejakkan kaki ke Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, dengan tekad untuk lari daripada 'bayangan' bapanya.

Memohon sebagai seorang 'cikgu' dengan harapan dia dapat hidup sebagai manusia yang normal. Tapi, satu insiden histeria di salah sebuah desasiswa (kampus), membuatkan harapannya tinggal harapan. Dia di'pertemukan' dengan 'Balqis' yang memohon bantuannya untuk membantu memulihkan ibunya yang sedang sakit. Sakit akibat perbuatan sihir. Dalam masa yang sama dia berkenalan dengan Riduan, Amsyar & Zamsari senior yang terpaksa menyewa di luar (kampus) dek ketiadaan bilik (kampus) yang kosong, yang pastinya prioriti harus diberikan pada pelajar junior (pelajar baru).

Satu demi satu insiden pelik berlaku, bermula dengan perkenalannya dengan 'Balqis' dan keluarganya, berlaku insiden di mana Riduan di'tegur' di rumah sewanya, perkenalan dengan Pak Karim dan pertemuan dengan Arissa yang buta. Semuanya membawa kepada tersingkapnya rahsia yang selama 17 tahun tersembunyi di sebalik 'sakit' Mastura.

Memasuki bahagian kedua, wan surrender. Harus berhenti, kerana satunya dah larut malam, jadi matapun dah tak boleh tahan mengantuk. Tapi yang paling utamanya kerana wan sudah memasuki fasa 'dunia jin'. Wei... seram laaa.... hahahaha.

Membaca di waktu malam yang sudah melewati waktu tidur, bertemankan pekat malam, dengan cerita yang 'sebegitu' tambah membuatkan bulu roma wan meremang! Apatah lagi insiden Zamsari 'melihat' makhluk hitam yang menekap di dinding tandas dengan kaki ke atas, kepala di bawah, menjelir-jelir lidah ke dalam mangkuk tandas..... uuuwwaaaaa tak sanggup!!!!

Sementelah pula malam tu Sirman tak ada di rumah kerana dia ada 'kelas fotografi' dengan geng-geng photonya, yang ada hanya kami berdua - wan dan Aysha, lagi la buat wan TAK MAHU sambung baca. Walaupun ada Aysha yang tidur di sebelah wan, tidak mampu mengusir pergi rasa takut yang sudah menghantui wan! Apalagi, tarik selimut (berselibung) tidurlah jawabnya....

Satu kelemahan wan yang paling ketara, mudah larut dengan pembacaan. Mudah membayangkan benda-benda yang tak seharusnya wan fikirpun. Inikan sekadar cerita? Rekaan dan fiksyen penulis semata-mata... tapi itulah, susah wan nak pisahkan daripada real life bila dah mula baca... Apatah lagi, bait kata yang tertulis dalam novel itu... 'setiap manusia tidak pernah berseorangan walau sesaat' lagi la buat wan terbayangkan benda yang bukan-bukan berada di sekeliling wan, lagi la bertambah seram... huhuhu

Pagi ahad, usai kerja-kerja rumah yang sepatutnya, wan mula sambung baca bahagian kedua 'Dunia maya/Jin'. Membaca bahagian kedua ini, entah di mana silapnya, mood wan jadi kucar-kacir. Wan tidak boleh fokus pada pembacaan. Ini yang tak suka nih!! Wan tak tahulah, sama ada ceritanya sudah tidak boleh mengikat mood wan, atau ada 'hantu' yang sudah makan mood wan?? huhuhu

Nak kata wan tak suka baca cerita fiksyen, tak juga (FYI bahagian dua sudah mula masuk fasa cerita fiksyen). Sebelum-sebelum ini wan layan juga cerita berbau fiksyen seperti cerita Transgenesis Bisikan Rimba karya Amir Husaini, juga cerita-cerita Ramlee Awang Murshid yang ada antaranya berbau fiksyen juga. Jadi sepatutnya wan tidak ada masalah dengan cerita ini juga. Apatah lagi cerita ini bukan sekadar cerita fiksyen 'kosong'. Fiksyen hasil idea Xarine ini ada ilmunya. Ilmu yang tidak terjangkau dek pemikiran wan. Maksudnya, tak terlintas nak fikir 'dunia jin' itu bagaimana rupa walaupun wan sangat percaya bahawa ada makhluk lain selain manusia yang menghuni alam ciptaan Allah ini.

Wan terfikir beberapa alasan yang mengganggu konsentrasi wan. Adakah kerana nama (watak-watak penjahat di dunia jin) pelik-pelik? Jadi wan susah nak lekatkan di benak? Atau kerana susah nak sebut, jadi wan hadapi masalah melancarkan pembacaan! huhuhuhu ada ke orang beri alasan lagu tu?? Susah nak sebut jadi mood membacapun berantakan? Orang lain wan tak tahulah, tapi itulah yang wan rasa. Hatta baca novel bukan fiksyen pun wan lebih suka hero/heroin nama yang simple-simple aje atau kalau nak panjangpun biarlah senang nak sebut, seperti nama Muhammad Khairi ke, Zarina ke? kan senang je tu nak sebut... hehehe

Tapikan, bila wan fikir-fikir balik... dah namanya pun penjahat! Takkan nak letak nama bagus-bagus ye dak? Bukankah nama juga mencerminkan keperibadian seseorang? Agaknya memang sesuailah dengan nama yang penulis berikan pada watak antagonis itu. Nama-nama seperti sughoir, oggur, alfus, solbus, botrus, garmodus dan macam-macam 'us' lagi seharusnya sepadan dah... tapi itulah...

Lagi satu, wan rasa kalau diletak terjemahan/glosari untuk perkataan-perkataan 'pelik' yang menjadi perbualan 'makhluk jin' tersebut pastinya lebih bagus. Yelah, nak juga tahu apa yang dicakapkan oleh mereka? Kalau benar bahasa yang dipertuturkan itu bahasa arab? nak juga tahu apa maksudnya dalam bahasa melayu. Maklumlah wan ni bukannya belajar bahasa arab masa sekolah dulu. Setakat ana-enti dan sedikit-sedikit tu tahu lah... itupun sebab Aysha yang dok sebut-sebut kat telinga wan... seperti ainun-mata, salasatun-selasa... *ngee*. Atau kalau benarlah tak ada maknapun, sekurang-kurangnya penulis rekalah apa-apa maksudpun janji ada. Jadi tidaklah wan perlu meneka-neka apalah yang dikatakan oleh para jin-jin itu.

Walau bagaimanapun, wan suka pada ilustrasi gambar peta kerajaan Arod, serta ilustrasi wajah makhluk keturunan Alfrit, Alfus, Sughoir & Oggur. Bukan apa, walau itu cuma sekadar imaginasi pelukis semata, sekurang-kurangnya ia membantu wan 'mengenal' rupa makhluk pelik itu. Kalau wan harus bayangkan sendiri mengikut tafsiran wan memang tak terbayanglah. Kalau wan, wan bayangkan aje rupa Zul Huzaimy untuk watak penjahat (Halim), sebab wan tak suka dia... bila dia jadi jahat memang jahat sungguh!! tak suka laaa. Takpun wan akan bayangkan rupa Aaron Aziz hero pujaan hatiku itu untuk watak Alexander al-Mansuri... hehehe memang sah tak kena langsung!! hahahaha Okey stop bab mengarut!

Lagi satu, wan sukalah lawak spontan yang ada dalam novel ini. Dalam kita dok serius tiba-tiba ada benda yang mencuit hati, yang membuatkan wan tergelak sorang-sorang.

Alhamdulillah, nasib baiklah wan dapat balik rentak pembacaan wan. Walaupun payahnya nak pujuk mood supaya dia stay. Akhirnya wan dapat habiskan juga Yuda Di Padang Maya ini.

Apa cerita bahagian kedua yang buat wan pening-pening lalat tu?

Oh! dalam bab kedua ni, ceritanya begini. Untuk memulihkan makcik Mastura, ibu 'Balqis', Arissa mencadangkan agar Azmi ke dunia jin. Tapi belum sempat Arissa 'menghantar' Azmi ke sana, Azmi telahpun diculik oleh puak 'jin' (jahat). Niat untuk membantu akhirnya Azmi yang harus dibantu. Demi menyelamatkan Azmi daripada terus dikuasai oleh 'roh' jahat, Zamsari, Riduan dan Amsyar dihantar ke sana untuk membawa Azmi dan makcik Mastura balik ke dunia manusia.

Rupanya misi membawa Azmi & makcik Mastura balik tidak semudah yang disangkakan. Mereka -Riduan, Amsyar & Zamsari- terperangkap dalam kancah peperangan puak jin baik dengan jin jahat yang cuba untuk menghapuskan penganut agama wahyu.

Berjayakan misi mereka, sekaligus kembali ke dunia realiti (manusia) sebagai manusia yang waras? atau selamanya mereka terperangkap dalam tubuh dan dunia jin? Dan siapa sebenarnya 'Balqis' yang Azmi jumpa dan siapa sebenarnya selama ini yang menjadi pendamping Azmi? Wah! banyaknya rahsia yang perlu diselongkar!!

Kamu bacalah... dan 'rasai' sendiri pengalaman Azmi, Riduan, Amsyar & Zamsari meneroka alam jin. Dan satu saja pesan wan, kalau rasa diri tu penakut macam wan, jangan baca di waktu malam... hehehe nanti kamu langsung tak boleh nak lelapkan mata!


3 comments:

Khairi Mohd said...

salam kakwe,

Thanks atas review. Memang apabila memasuki buku dua, ramai merungut bahawa pembacaan mereka menjadi perlahan malah ada yang berhenti terus, beberapa hari baru sambung balik. Wife sy masih merangkak2 kat situ, sekitar bab 40, 50. Kesian dia.

Maaf atas kelemahan tersebut, masih belajar.

Ada yang menyamakan naskah ni mcm RAM punye buku, walhal saya cuma baca sebiji saja buku RAM. hehe.

Terima kasih baca Yuda. :)

p/s: nama mereka mmg pelik2 kan. ada yg nama maliam, sengau plak tu hehehehehe. kakwe tanya wife sy kenapa sy duk gelak sorang depan laptop. pasal nak tulis cerita ni punya pasal hehehe.

Wan Amalyn said...

w'salam keri :-)

hehehe bacalah review mengarut kakwan nih!!

sebenarnya pada kakwan, bukanlah nak compare cerita Yuda ni dengan cerita fiksyen RAM, tapi cuma nak tunjukkan persamaan genre sahaja iaitu genre fiksyen yang lain-lainnya langsung tak serupa.

pada kakwan YUDA ni ada kekuatan dia, ada kelebihan dia cuma mungkin ada sedikit (sedikit sahaja) yang perlu diperbaiki... iaitu bab glosari seperti yg kakwan highlightkan tu... yang lain-lain pada kakwan dah ok dah! (tapi tak tahulah pembaca lain)

dan dari segi nama pula, memanglah kalau diberi pilihan nak nama watak yg senang disebut dan senang diingat, tapi bila kakwan fikir balik ok apa nama tu cuma pelik ajelah (dah namanya pun fiksyen jadi namapun kena ala2 fiksyen jugaklah kan??)

apa2pun tahniah! & kakwan tetap sukakan YUDA dan rekomen kawan2 suruh baca... cari 'ilmu' yg ada dlm tu... :-)

aNNdiNN said...

Ooo...saya ingat saya sorg je yg 'mood berantakan' masa bace YDPM ;P phew~ risau nak buat review

Back to Top