0

Keputusan Cabaran 50 Buku : Disember 2011

Salam semua,

Pertama sekali kakwan mohon ampun dan maaf atas kelewatan ini. Maaf. Maaf. Maaf...

Tahun baru ini, jadual kakwan benar-benar berantakan. Kesibukan kerja (pejabat) yang melampau, cuti liburan yang telah dirancang lebih 6 bulan yang lalu, benar-benar telah membuatkan jadual kakwan jadi huru-hara. Ampun dan maaf sekali lagi kakwan pohon.

Oklah. Inilah dia 10 ulasan terpilih untuk bulan Disember yang lalu.

1) Ain – Contengan Jalanan
2) Aimie – Angin Dingin Dari Utara
3) Ati – To Kill A Mocking Bird
4) A&N – Awek Chuck Taylor
5) Amal – Amalan 24 Jam Dalam Kehidupan Rasulullah S.A.W.
6) KK – Rindu Andalusia
7) MB – Rentong
8) Rinn – Menunggu Hujan
9) UA – Bening Merah Jingga
10) XX – Rooftop Rant


Tahniah pada kalian yang berjaya.

Dan inilah pula senarai pengulas yang telah berjaya membaca 50 Buah (dan lebih) berserta menyediakan ulasannya. Dan secara automatiknya telah memenuhi syarat untuk ulasannya dipilih antara 3 ulasan yang terbaik.

1) Aimie (Aimie)
2) Airina (A&N)
3) Anita Sang (AS)
4) Ain Sabrina (Ain)
5) Nur Amalina (Amal)
6) Melihat Buku (MB)
7) RinnTisan (Rinn)
8) Khaulah Khalid (KK)
9) Xana (XX)


Pemenang hadiah utama akan diumumkan kemudian. Kakwan benar-benar berharap agar semua geng Lomba Baca dapat bersabar ya?! :(

PS: Hadiah untuk 10 ulasan ini akan dipos (Insyallah) esok (sabtu). Rinn hadiah-hadiah Rinn masih dengan kakwan... bila nak jumpa dengan kakwan ni??

Salam sayang,

Kakwan
4

Wisata Jogja 2012

Salam semua,

Alhamdulillah percutian ke Jogja (Yokyakarta) Indonesia, bersama geng ulat buku kali ini selamat sudah. Percutian selama 4 hari bermula 14 Januari hingga 17 Januari memahat sejuta kenangan yang tidak mungkin dapat saya lupakan. Dibandingkan dengan kota Jakarta yang sibuk, Jogja aman tanpa macet! Dibandingkan dengan kota Bandung, Jogja tenteram tanpa pengamen (ada tapi tak seramai ketika saya ke Bandung 3 tahun lalu).

Jika ditanya apa istimewanya Jogja pada pandangan saya, apa yang dapat saya katakan untuk kunjungan kali pertama ini adalah Toko Bukunya. Ya, saya sangat teruja bila menjejakkan kaki di Toko Buku. Sebuah bangunan yang menempatkan kedai-kedai yang menjual pelbagai jenis buku. Ya, hanya menjual buku, buku dan buku. Dengan tawaran diskaun yang cukup lumayan!! Pendek kata ia adalah syurga buku buat ulat buku. Kalaulah di Malaysia ada, rasanya sayalah salah seorang pengunjung tetapnya. Bayangkan semua jenis buku daripada ilmiah hinggalah ke fiksyen semuanya ada, tinggal cari, bayar dan bawa balik. Syoknya!!!

Jika ditanya, apakah tempat-tempat menarik yang harus dikunjungi tatkala bercuti di Jogja, jawapan saya… entahlah!. Di sana ada Candi Borobudur yang terkenal. Candi Budha terbesar di abad ke-9 yang dibangun oleh Raja Samaratungga, salah satu raja kerajaan Mataram Kuno, keturunan Wangsa Syailendra yang selesai dibangunkan pada 26 Mei 824. (sumber: Wikipedia).
Kami pergi, tapi…. Mari saya cerita dari awal.

Untuk pengetahuan, penerbangan kami ke Jogjakarta jam 7.00 pagi tapi gate akan ditutup jam 6.40 pagi waktu Malaysia. Sebagai penerbangan antarabangsa, kami harus check-in 2 jam sebelum waktu berlepas iaitu paling lewat jam 4.40 pagi. Memikirkan sirman tak boleh ambil saya (masa balik, hantar boleh) jadi saya akan memandu ke BB Bangi, parking kereta di rumah kaksu dan tumpang kaksu yang akan dihantar oleh Abang Rosdi. Lebih kurang jam 12.00 malam kami bertolak ke LCCT. Secara ringkasnya malam itu kami berjaga hingga ke pagi.

Penerbangan ke Jogja mengambil masa 2 jam 30 minit. Lebih kurang jam 9.30 pagi (8.30 pagi waktu Indonesia) kami tiba di Bandara Adisucipto Yokyakarta. Proses imigrasi mengambil masa, proses mencari bagasi juga begitu. Ops! Kami satu penerbangan dengan Ahmad Fedtri Yahya pengacara MHI TV3 tu. Berbekalkan perasaan malu dan segan ini, saya menyapa, “You, Ahmad Fedtri ya?” Dan dia dengan malu-malu “Ya, saya” Waaaaaa seronoknya… Tapi memandangkan saya harus cepat menemukan bagasi kerana sudah tidak tahan untuk ke WC, terlupa untuk bergambar dengan beliau sebagai bukti!

Selesai urusan di airport kami di bawa ke rumah penginapan Jogokaryan Guest House, milik Mbak Atik kakak Bunga. Sementara menanti ketibaan Bunga yang akan menyertai kami, saya ambil peluang membersihkan diri agar lebih tampak segar. Konon-kononnya ingin makan bersama Bunga, tapi dek kelaparan kami menikmati makan pagi tanpa Bunga yang masih belum sampai dari Jakarta. Masakan khas Jogja disediakan oleh Mbak Atik…

Selepas solat jamak zuhur & asar, destinasi lawatan pertama kami adalah melawat Keraton Ngayogyakarta Hadiningrat atau Keraton Yogyakarta. Keraton yang mulai didirikan oleh Sultan Hamengku Buwono I ini menempatkan beberapa bangunan berasingan yang masih berfungsi sebagai tempat tinggal sultan dan rumah tangga istananya. Bahkan mereka masih menjalankan tradisi kesultanan hingga saat ini. Sebahagian kompleks keraton dijadikan museum yang menyimpan berbagai koleksi milik kesultanan, termasuk berbagai pemberian dari raja-raja Eropah, replika pusaka keraton, dan gamelan. Dari segi bangunannya, keraton ini merupakan salah satu contoh seni bina istana Jawa yang terbaik, memiliki balairung-balairung mewah dan lapangan serta paviliun yang luas. Tidak hairanlah pada tahun 1995 Keraton ini telah diisytiharkan sebagai salah satu tapak Warisan Dunia UNESCO. (sumber: Wikipedia)

Destinasi kedua kami adalah melawat Candi Borobudur. Sudah diputuskan awal-awal, kami hanya akan melihat dan bergambar hanya dari luar. Maksudnya kami tak akan masuk dan panjat Candi itu. Perjalanan menaiki van memakan masa satu jam (sehala). Rupa-rupanya dek tidak cukup tidur, saya terlelap sepanjang perjalanan ke sana. Hanya tersedar setelah dikejutkan bahawa kami sudah tiba. Dengan mamai “Mana Candi nya?” kerana saya tidak nampak sebarang objek di depan mata melainkan deretan rumah dan pokok-pokok di kiri kanan jalan. Saya ditunjukkan dengan satu objek kecil nun jauh di sana. Rupa-rupanya kami harus masuk jauh ke dalam, pastinya dengan bayaran (lupa dah berapa) barulah dapat melihat dan bergambar berlatar belakangkan Candi. Sudahnya kami berpatah balik ke ‘bandar’ dengan satu jam lagi perjalanan yang saya gunakan untuk tidur! Jadi jangan tanya saya fasal Candi Borobudur sebab saya tak masuk, hatta gambarnya pun tak ada!

Kami singgah di Rumah Batik "Tirto Noto" di Jl. Kadipaten Kidul No.65 (Kraton). Belek Batik. Tebar Batik. Pilih Batik. Pendek kata semuanya batik! Bukankah Jojga (Solo) adalah pusat batik? Jadi tak hairanlah kalau semua tempat ada batik. Bahkan cenderamata pun semuanya bermotifkan batik.
Benarlah novel adalah salah satu medium yang membawa kita ‘mengembara ke serata dunia’. Al-kisahnya saya adalah seorang pembaca yang sangat gemarkan hasil karya dari seberang dan salah seorang penulisnya adalah Maria A. Sardjono (selepas diperkenalkan oleh kaksu). Melalui karya-karya beliaulah saya mengenali Indonesia khasnya Jogja. Maria A. Sardjono banyak menulis cerita yang berlatarkan kota Jogja. Daripada perihal agama, seni budaya, adat resam hinggalah kepada makanan-makanan asli jawa. Inilah merupakan antara salah satu sebab yang membawa saya teruja untuk menjejaki dan merasai sendiri keunikkan budaya Jawa di Jogja. Ya, saya terpengaruh dengan kisah-kisah nukilan Maria A. Sardjono.

Dalam salah satu novelnya (lupa novel yang mana) ada tersebut tentang Mbok Berek. Apa itu Mbok Berek? Mbok Berek adalah ayam goreng yang dimasak rangup bersama rencah-rencah istimewa Jogja. Memang tak dinafikan saya sukakan rasanya. Tapi… ya ada tapi, di Jogja ayamnya digoreng berserta dengan kepala-kepalanya sekali! Dan yang lebih ‘istimewa’ bak kata Nawwir, generasi ke-4 baru ada pelanggan yang datang dan makan di sana (agaknya). Kenapa Nawwir kata begitu? Rupa-rupanya mereka hanya menyediakan khidmat penghantaran dari rumah ke rumah.

Tapi alang-alang kami dah sampai ke kedai (rumah?) kami minta untuk makan di sana. Di sinilah bermula kelakarnya… apa taknya, dahlah meja yang tidak beralas, nasi pula dihidangkan dengan periuk (rice cooker) nya sekali. Tapi Mbak (tuan punya) yang baik hati itu jamu kami dengan pelbagai makanan tambahan (side dishes), tempe goreng, sambal lada, perut (ayam) goreng rangup (yang rasanya tidak ada dalam menu – ops! Menupun tak ada sebenarnya). Tapi lapar punya fasal, saya makan dan bertambah pula tu! Tengah-tengah syok makan Mbak datang, “makan lah ya, Mbak mau mandi” hahahahaha memang seperti di rumah sungguh! Dahlah masa tu Mbak pakai baju kelawar.

Selesai makan petang/malam kami ke Malioboro. Ya syurga membeli-belah. Saya yang bawa rupiah tak berapa banyak ini hanya mampu pandang dan lihat sahajalah. Tipu! Ya, tipu kerana dalam budget yang tak seberapa itu saya beli juga sepasang kain (bermotifkan batik) untuk dibuat baju, 4 helai blous, sepasang baju untuk Aysha, 2 helai selimut, bersaiz Queen & Single (tampalan kain batik) sebab tertarik dengan selimut di rumah penginapan Mbak Atik.

Hari kedua, destinasi kami ialah ke Taman Sari – Istana Air Yang Penuh Keindahan dan Rahsia. Taman Sari ini dahulu kala merupakan kolam pemandian yang dibahagi menjadi tiga iaitu Umbul Kawitan (kolam untuk putra-putri Raja), Umbul Pamuncar (kolam untuk para gundik), dan Umbul Panguras (kolam untuk Raja). Dikatakan pada zaman dahulu Raja akan memerhatikan para gundik mandi di Umbul Pamuncar daripada menara tinjau. Bunga akan dibaling kepada para gundik dan sesiapa yang mendapat bunga tersebut akan menjadi tetamu yang akan mandi bersama Raja di Umbul Pamuncar. (sumber: En. Google)

Selesai di Taman Sari, kami singgah makan tengah hari dengan masakan Padang. Solat jamak di restoran.

Destinasi seterusnya adalah ke Toko Buku di Kompleks Plaza Taman Pintar. Syurga pada ulat buku. Selain pelbagai jenis buku dijual dalam satu bangunan, harganya juga relatif murah!

Sekali lagi kami ke Malioboro… percaya tak sampai 3 kali kami berulang ke Malioboro.

Untuk makan malam kami dibawa oleh Raden Roro putri keraton merasa Bakmi Jawa Mataraman. Saya makan Bakmi Godog, seperti mee sup dan saya juga tukang perhabiskan Bakmi goreng pesanan kakyah.

Balik ke bilik penginapan sempat lagi kami celebrate birthday dengan potong kek… Birthday siapa? Birthday semua komrad. Mula-mula kaknOOr yang lahir bulan Januari, kemudian Nacha – bulan Februari, diikuti dengan kakyah – April, saya bulan Jun, kaknOtie – Julai, kaksu – August, Bunga – Oktober dan Nawwir – November.

Hari ketiga, destinasi pertama kami adalah ke Pantai Parangtritis yang terletak 27 km selatan Kota Jogja. Kami menyusuri permukaan pasir yang mulus disapu ombak dengan Bendi – kereta kuda beroda 2. Oh ya, Bendi masih lagi menjadi salah satu daripada pengangkutan yang terdapat di kota Jogja.

Sekali lagi kami singgah beli batik di Rumah Batik Tirto Noto dan makanan khas Jogja seperti Bakpia dan lupa nama tapi seperti serunding daging. Kemudian kami ke Pasar Beringharjo yang menjual pelbagai jenis barangan kain-baju, batik.

Singgah ambil gambar di depan Universitas Gadjah Mada yang terkenal itu. Sebelum meneruskan perjalanan ke kaki Gunung Merapi. Melihat sisa-sisa letusan gunung berapi yang berlaku tahun 2006 yang meragut nyawa termasuk Mbah Maridjan, Jurukunci Merapi yang berkeras enggan meninggalkan gunung berapi berusia 400,000 tahun itu. Dikatakan gunung Merapi itu akan meledak kembali lagi dua tahun akan datang. Betul ke tidak tu saya tak boleh nak pastikan.

Kemudian kami singgah makan tengah hari di Moro Lejar. Makan secara bersila dalam suasana damai dengan kondisi perut yang kosong benar-benar enak dong! Saya 3 kali tambah nasi. Masa makan memang tak ingat dunia, dah sudah makan baru teringat yang selepas itu kami ada booking spa di Qorinah Day Spa & Salon di Kaliurang. Saya yang tidak pernah buat seumur hidup ini cuak juga. Dah la dengan perut yang penuh (kenyang). Risau takut termuntah balik apa yang dimakan. Nasib baik tak jadi apa-apa. Bahkan rasa lega selepas diurut. Mana taknya beberapa hari ini saya yang berjalan ke sana-sini memikul beg sandang, memang memenatkan. Buktinya balik bilik penginapan, tidur tak ingat dunia.

Selesai di Qorinah Spa, kami sekali lagi ke Malioboro. Selain mencari barang yang masih belum mencukupi, juga sebagai belanja terakhir untuk menghabiskan rupiah. Makan malam terakhir, kami makan di Pizza Hut. Disarankan pada semua yang berkunjung ke Indonesia, jangan lepaskan peluang menikmati keenakkan Pizza Hut buatan Indonesia. Rasanya sangat lain (bagi saya lebih sedap) daripada Pizza Hut di Malaysia. Memandangkan kami adalah pelanggan terakhir, saya harus bungkus pesanan saya kerana kesuntukkan masa.

Esok pagi-paginya harus bertolak ke Bandara (airport) jadi penat tak penat malam tu saya harus mengemas barang-barang yang dibeli.

Pendek kata berwisata ke Jogja melakarkan pelbagai kenangan yang akan dikenang sepanjang hidup saya. Selain menikmati keindahan kota Jogja yang aman, saya juga dapat mengenal sisi lain Jogja yang tidak saya tahu sebelum ini.

Kejawen



0

01-01-2012

Salam semua,

Selamat tahun baru 2012.

Ya, tirai 2011 berlabuh sudah. Bermakna Cabaran 50 Buah Buku Setahun dengan rasminya telah berakhir. Tahniah dan syabas kakwan ucapkan pada adinda-adinda semua yang telah berjaya mencapai misi membaca 50 buah buku untuk tahun 2011. Bahkan ada di antara geng-geng kita telah melebihi jumlah yang ditetapkan. Kakwan salute pada adinda-adinda semua.

Pada mereka yang tidak berjaya, jangan susah hati, boleh usahakan lagi di tahun ini. Atau kalian boleh jadikan ia azam untuk tahun baru 2012 pula. Mana tahu misi akan tercapai?

Di kesempatan ini kakwan menyusun 10 jari memohon ampun dan maaf andai ada salah dan silap kakwan sepanjang setahun kakwan mengendalikan acara Lomba Baca ini. Ya, pastinya ada. Kakwan berjanji, tapi tak tepati (untuk umumkan dan hantar buku di minggu pertama setiap bulan). Adakalanya kakwan lambat paparkan ulasan kalian di blog ulatbuku. Maafkan kakwan. Sesungguhnya ada kalanya masa seakan tidak ingin bersahabat dengan kakwan. Sering membuatkan kakwan lelah sendirian. Terutamanya di penghujung tahun. Kerja datang bagaikan tsunami, hingga langsung membuatkan kakwan lemas tanpa oksigen.

Syukur Alhamdulillah. Walaupun lambat, kakwan berjaya tunaikan janji. Kakwan amat bersyukur sangat-sangat kerana adinda-adinda geng Lomba Baca bersama kakwan ini sangat sporting! Sebenarnya semangat membaca adinda-adinda geng Lomba Baca inilah yang telah memacu semangat kakwan untuk terus bertahan dan bergabung tenaga dan semangat untuk memastikan misi membaca 50 buah buku sepanjang tahun 2011 terlaksana dengan jayanya.

TERIMA KASIH. TERIMA KASIH. TERIMA KASIH. Bahkan seribu kali kakwan ucapkan pun tidak akan mampu menggambarkan betapa kakwan sangat menghargai jasa dan sokongan adinda-adinda semua. Tanpa sokongan dan dorongan adinda semua pastinya acara Cabaran 50 Buah Buku : Jom Lomba Baca! ini tidak akan semeriah ini. TERIMA KASIH untuk kesekian kalinya.

Juga ucapan penghargaan yang tidak terhingga buat penaja utama JEMARI SENI yang berbaik hati menaja hadiah-hadiah untuk kita menangi setiap bulan juga hadiah utama yang bakal antara kita akan menangi nanti. Sesungguhnya tanpa sokongan dan penajaan daripada pihak Jemari Seni, pastinya acara kita ini tidak akan berseri. Ya tak?

Terima Kasih Jemari Seni!

Terima kasih yang tidak terhingga juga kakwan ingin ucapkan pada 'panel penilai' yang bersusah payah membantu kakwan memilih 10 ulasan setiap bulan. Sesungguhnya kerja keras mereka jugalah yang merealisasikan cabaran ini. TERIMA KASIH berjuta-juta lemon untuk 'kamu dan kamu' yang kakwan sayangi!

Akhir kata, bersempena dengan kedatangan tahun baru 2012 ini, sama-samalah kita tanamkan azam semoga kita istiqomah membaca walau apapun bahan bacaan kita, walau apa sahaja genre pilihan kita, asalkan ianya bermanfaat untuk kita dan agama kita.


Nota 1: Mungkin masa yang lebih diperlukan untuk kakwan umumkan siapakah mereka yang bakal menjadi pemenang utama, harap kalian semua akan bersabar ya.

Nota 2: Apakah acara yang boleh kita buat untuk tahun 2012 ini ya? Cadangan pleaseeee :-)




Salam sayang,
Back to Top