2

Agenda waktu cuti...

Salam semua,

Seronokkan cuti?! Tapi macam wan yang dah kehabisan cuti tahunan ni tak bolehlah nak rancang cuti-cuti Malaysia, duduklah diam-diam habiskan stok novel yang ada kat rumah tu. Sedihnya!!

Ok berbalik pada agenda biasa bila ada cuti. Apa lagi kalau bukan mengadap novel!. Kalau kamu masih ingat, dua minggu yang lepas atau lebih tepat lagi di awal bulan disember hari tu, kan Alaf 21 ada buat Pesta Bukukan? Jadi ada la tiga-empat buah buku yang telah wan beli. Percaya tak kalau wan katakan, wan dah habis baca buku-buku tersebut?. YA... betul!!, wan sendiri tak percaya bahawa wan boleh habiskan dalam masa yang agak singkat. Wah! kiranya ini pencapaian yang memberangsangkanlah ya... ahaks! Nanti wan nak bagi hadiah untuk diri wan lah. Hadiah kecemerlangan kerana produktif... hahaha

Ok bercerita tentang novel yang telah wan habiskan. Antaranya, buku Aisya Sofea. FYI buku ini wan beli sebelum Pesta Buku Alaf lagi, tapi boleh lah ya wan selitkan di sini.

Sebenarnya wan adalah antara penggemar tulisan Aisya Sofea. Alhamdulillah sehingga ke detik ini wan telahpun mempunyai kesemua novel tulisan AS daripada novel Jauh hinggalah yang terakhir ini Yang Sebenarnya. Sebagai penggemar AS sememangnya novel karya beliau amat-amat wan nantikan. Walau bagaimanapun, wan agak kecewa sedikit dengan karya beliau yang terbaru ini. Terlalu ketara kesilapan yang terpandang oleh mata bole wan ni. Sayangnyaaa... keghairahan wan untuk menikmati setiap bait ayat terbantut dengan kesilapan demi kesilapan yang wan baca. Selain beberapa fakta yang tak berapa betul, aduh... sayang sungguh!!

Wan tak pasti siapa yang harus dipersalahkan atau dipertanggungjawabkan. Andai ada interaksi antara penulis dan pihak editor, pastinya kesilapan sebegini boleh di atasi. Andai juga pihak penulis menyemak dengan lebih teliti sebelum diserahkan kepada pihak penerbit untuk diterbitkan, atau andai juga pihak editor melakukan kerja-kerja mereka mengedit karya penulis dengan lebih 'tajam' pastinya perkara remeh sebegini tidak akan berlaku. Itulah pentingnya interaksi antara penulis-editor sebelum sesuatu karya itu melalui fasa terakhir iaitu diterbitkan. Andai cuma satu-dua kesilapan masih boleh dimaafkan kerana untuk mencapai kesempurnaan 100% memanglah AMAT PAYAH walaupun tidak mustahilkan?

Okeylah, kita tutup buku Aisya Sofea kita buka buku baru...

9 Nyawa, karya terbaru Ramlee Awang Murshid yang telah selamat wan khatam. Ya buku ini wan dapatkan di Pesta Buku Alaf bersama tanda tangan penulisnya lagi. Alhamdulillah 9 Nyawa berjaya mengubat hati yang kecewa dengan buku Aisya Sofea. Alhamdulillah buku ini tidak banyak kesilapan yang wan jumpa atau sebab wan terlalu larut dalam pembacaan? tidak juga kerana wan harus baca bait demi bait ayatkan? Tahniah pada penulis & editornya.

9 Nyawa kisah simbolik tentang mitos si kucing yang mempunyai 9 Nyawa. Azizah usahawan berjaya begitu percaya bahawa anaknya mempunyai 9 nyawa selepas insiden Intan Suryani yang berkali-kali koma. Kisah tentang si buta yang dapat 'melihat' roh yang di ambang hidup dan mati. Si buta yang dapat mendengar keluh-kesah roh yang dalam perjalanan ke alam barzakh. Nak tahu kisah selanjutnya anda kenalah baca sendiri... hehehe

Wan memang penggemar karya-karya RAM. Mungkin bagi yang tidak menyukai genre thriller anda pasti tidak suka dengan karya RAM kerana RAM sememangnya sinonim dengan karya-karya yang melangkaui dunia realiti. RAM memang terkenal dengan karya-karya yang penuh dengan dunia mistik yang tidak terjangkau dek akal logik kita. Tapi pada wan itulah keistimewaan RAM.

Seterusnya ini buku yang selamat wan baca. Karya daripada penulis baru(?). Minta maaf wan memang agak 'memilih' bila nak membeli novel-novel daripada penulis yang tidak pernah wan baca sebelum ini. Kalau dulu wan main beli aje, lepas tu mula la kecewa kalau ianya tidak menepati piawaian yang telah wan gariskan.

Cinta Sejati karya Azra Aryriesa ini diterbitkan oleh Buku Prima, iaitu anak syarikat Alaf 21. Buku ini dicadangkan oleh adik wan daripada GK. Memikirkan harganya selepas ditolak diskaun sebanyak 30%, agak tidak terasa andai ianya mengecewakan. Itulah pertimbangan yang wan buat ketika mengambil keputusan membelinya.

Cinta Sejati kisah tentang 2 pasangan yang dipertemukan jodoh olehNya dengan cara yang tidak terjangkakan. Pasangan Zarif-Zara dijodohkan oleh kedua orang tua mereka sedangkan hubungan mereka tidak lebih daripada sahabat karib. Tapi disebabkan tidak ingin menghampakan harapan kedua ibubapa, mereka rela berkahwin tapi di malam pernikahan, mereka meletakkan syarat. Apakah syaratnya?

Pasangan Yashmaan-Mia, kisah mereka agak tragis. Yashmaan seorang lelaki yang ego dan gemar berfoya-foya. Dia sudah punyai teman wanita yang tidak kurang sosial dan lepas laku. Dalam diam Yashmaan diminati oleh Mia. Satu insiden yang berlaku telah merubah seluruh hidup Mia. Yashmaan yang tidak mahu bertanggungjawab terus meletakkan kesalahan 100% di bahu Mia sedangkan Mia melakukannya demi menyelamatkan nyawa Yashmaan. Namun Adam sahabat baik Yashmaan yang dalam diam menyukai si gadis polos itu sudi mengangkat maruah wanita itu daripada terus diperkotak katikkan oleh Yashmaan.

Benarlah, what goes around, comes around. Begitu juga Yashmaan, jika sebelum ini dia tarafkan penyelamat nyawanya sebagai pelacur, rupanya wanita yang dipuja sepenuh jiwa lebih teruk daripada pelacur! Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata merana seumur hidup. Tiada apa lagi yang dapat Yashmaan lakukan kerana Mia telahpun berkahwin dengan Adam sedangkan anak yang dikandung adalah anaknya... bagaimana dia dapat memperbaiki kesilapannya andai peluangnya telah tertutup?

Usai membaca... hey oklah buku ni. Walaupun ada juga satu-dua perkara andai diperhalusi oleh penulis pastinya karya ini akan lebih 'cantik'.

Seterusnya, buku ini dicadangkan oleh nacha. Wan sudah tahu kalau nacha yang rekomen pastinya terselit unsur-unsur romantika-de-amour hahaha. Makna Cinta karya Maria Alina ini diterbitkan oleh Alaf21. Ini adalah karya pertama oleh penulis yang berasal dari Kelantan ini yang wan baca.

Kisah berkisar tentang perjalanan hidup Zulaikha yang sentiasa dirundung malang. Ibunya meninggal ketika beliau masih kecil. Dibela dan dibesarkan oleh nenek yang sudah tua. Harus bergantung hidup dengan kudrat sendiri. Ada bapa, tapi bagaikan tidak diakui anaknya. Apatah lagi kelahirannya diragui. Tohmahan demi tohmahan, dilemparkan pada si ibu yang telah tiada, terpalit sama pada si anak.

Hanya satu cara untuk membersihkan nama ibu & membuktikan kesuciannyanya, dengan mengahwini salah seorang anak Haji Imran yang dihebohkan sebagai penyebab pada kelahiran Zulaikha. Siapakah yang akan dijodohkan dengan Zulaikha? Azril si abang yang senantiasa mengambil berat dan memberi dorongan atau Yusuf si adik yang sedari kecil memusuhi Zulaikha?... jeng jeng jeng... nak tahu kesudahan?? bacalah sendiri... hahaha Tapi yang pastinya ianya adalah satu naskhah yang 'manis' untuk dibaca.

Membaca karya Maria Alina ini, membawa ingatan wan kembali ke tanah kelahiran. Secara jujurnya wan sendiri baru pertama kali mendengar nama Rong Chenok, malunya mengaku diri anak kelantan sedangkan nama-nama kampung yang terdapat di Kelantan sendiri wan tidak tahu!

Seterusnya, ini buku yang telah usai wan baca, Memori karya Naz Areesya Ameen. Buku terbitan Buku Prima ini juga merupakan percubaan pertama wan membaca karya penulis 'baru' bagi wan.

Jangan terkeliru ya, penulis ini bukanlah penulis baru dalam dunia penulisan. Bahkan beliau telah berjaya menghasilkan beberapa buah novel baik dengan Buku Prima mahupun dengan Fajar Pakeer. Bagi sesiapa yang tidak tahu, dan wan sendiri baru tahu... Naz Areesya Ameen ini menggunakan nama pena Umaira Dzul Widad dengan Fajar Pakeer.

Apa yang menariknya, wan sukakan bahasa penulis ini. Ya, bahasa adalah antara faktor utama yang wan cari bila membaca novel. Wan gemarkan bahasa yang puitis nan kritis, bahasa indah dihalwa telinga, manis ketika diucap bibir... aduh! terbuai jiwa raga... hahahaha

Memori membawa kita menyusuri hidup Suhairah. Hidupnya penuh ranjau. Dikecewakan oleh Armaan, tapi berjaya dirawat oleh Zainuddin. Pelayaran rumahtangga mereka aman bahagia walaupun jika diukur mereka tidak sekufu. Dia wanita berkerjaya hebat, berpendidikan tinggi sedangkan Zainuddin hanyalah biasa-biasa yang bekerja sebagai mat despatch. Tapi cinta itu buta, pada Suhairah, Zain tetap istimewa dimata dan hatinya.

Hinggalah timbul fitnah yang ditiupkan ke telinga Zainuddin oleh ibunya yang sememangnya tidak sukakan Suhairah. Hidup mereka mula berantakan, apatah lagi Zain yang terpengaruh dengan tohmahan ibunya nekad mengahwini Husna sepupunya. Hidup harus diteruskan, walaupun payah.

Sukarnya nak bahagia! itulah yang wan rasa pada nasib Suhairah. Dengan olah Armaan yang masih menagih cinta Suhairah sedikit sebanyak telah mempengaruhi Zain (walaupun bukan Armaan penyebabnya) dan akhirnya terlerai kasih antara Suhairah dan Zain tatkala jatuh talak satu ke atas Suhairah. Peritnya hidup Suhairah sebagai janda. Haidar, ketua Suhairah yang menaruh hati padanya mula terbayangkan masa depan yang gemilang dengan Suhairah, tapi kasih Suhairah tetap pada Zain bekas suaminya. Ketika cinta datang menyapa, Ustaz Sohi pula hantar rombongan. Aduh, kecundang lagi Haidar...

Nak tahu kesudahannya, bacalah sendiri... hahahaha mesti tension kamukan... asyik-asyik wan suruh baca sendiri!! hehehe Tapi pada wan berbaloilah mengadapnya.

Dan sekarang wan sedang menguliti buku ini. Titian Nabi karya terjemahan daripada penulis seberang - Indonesia - Muhammad Masykur A. R. Said. Masih baru dibelek jadi wan masih belum dapat memberikan pendapat, baikkah atau sebaliknya. Tapi wan berani baca sebab diberikan 'lampu hijau' oleh orang yang bertanggungjawab menterjemahkan naskhah ini ke versi Bahasa Melayu. Harap-harap tidak mengecewakan wan... tunggu wan habis baca dulu ya!

Wah, panjangnya n3 wan kali ini! Macam balas dendam la pula... hahahaha. Oklah wan minta izin undur diri dulu, Insyallah n3 lain akan menyusul nanti jika wan rajin menulis... & tengoklah kalau ada kerajinan juga wan akan buat review, kalau tak ada kat rumah sembang buku tu, maknanya wan ni MALAS lah ya... alaaa bukannya ada orang bacapun kat sana! ada atau tidak sama sahaja lagipun kalau wan yang buat review pastinya semuanya best-best ajekan?? hehehe


2 comments:

myQza said...

banyak novel yg sudah selesai di baca.

entah kenapa.. sejak mual bekerja sudah tidak minat membaca novel.. :(

Wan Amalyn said...

tED...

alang-alang mood tengah baik... =) kalau tidak nak habiskan satupun berchenta nak habis...

kenapa mual?? ni mesti ada sesuatu yang tak suka kat office! hehehe carilah sesuatu yang 'istimewa' kat office tu supaya keinginan nak datang office membuak-buak!! hehehehe

laaaa ada kena mengena ke? mual bekerja dengan minat membaca?? hahahaha tak tahu lah pula kalau ianya bersangkut paut!

Back to Top