3

Catatan pengalaman di bulan Syawal 1430H

(Sekadar renungan buat diri sendiri )

Salam buat semua sahabat yang dicintai,

Syawal sudah masuk minggu ke-2. Minggu pertama, iaitu minggu hari raya, sebagaimana yang sahabat maklum, wan bercuti di kampung. Seminggu di kampung bermakna seminggu juga wan 'makan sakan', walaupun wan ni bukanlah dalam kategori orang yang makan banyak tapi wan jenis orang yang akan makan berulang. Agaknya sebab itulah berat badan susah nak naik... takpun kadar metabolism wan tinggi kot, sebab tu setiap kali makanan yang wan makan tak sempat nak jadi daging... terus aje diproses... hehehe pandai-pandai aje wan buat andaian!

Kadang-kala bila lihat wanita yang punyai potongan badan menarik, hati jadi cemburu, mulalah timbul keinginan untuk memiliki berat badan yang ideal. (FYI: berat wan dari dulu hingga sekarang (+/-10) tahun lepas tak pernah naik-naik... 40kg) Kadang-kala terfikir, agaknya penimbang kat rumah tu rosak kot!! Rasanya wan dah makan banyak!

Tak bersyukur ke wan ni? asalkan badan sihat tanpa penyakit... patutnya wan tak perlu risau apa-apapun! subhanallah… TIDAK… wan memang bersyukur yang amat sangat dengan anugerah kesihatan yang dikurniakan oleh-Nya. Syukur Alhamdulillah... dan wan memang tak risau apa-apapun... cuma itulah kita manusia ni tak pernah nak puashati dengan apa yang kita ada dan miliki. Kita sekadar melihat kekurangan (fizikal) kita tanpa menimbang kelebihan (kesihatan) kita yang lain!

[Ya Allah, ya tuhanku… ampunilah segala kekhilafanku… yang nyata mahupun yang tidak, yang sedar mahupun tidak]

Berbicara tentang ketidakpuasan hati, wan teringat pada 'cerita' yang telah wan kutip sempena syawal tahun ini.

Wan ni bukanlah datang daripada keluarga yang dilahirkan dalam 'dulang emas'. Dari zaman arwah tok-nenek (seingat wan), kami adalah keluarga yang biasa-biasa sahaja, tidaklah senang tapi taklah terlalu susah atau dalam kategori daif. Seingat wan, kami adik-beradik tak pernah lah mengalami masa-masa di mana langsung tiada makanan untuk di makan. Bahkan ada kalanya berlebih-lebih hinggakan menjadi rezeki ayam-ayam belaan mek.

Bila tiba hari raya, setiap daripada kami, walaupun hanya sepasang tetapi setiap tahun baju raya, kasut raya pasti berganti. Jadi bila raya kali ini, sekali lagi wan dan keluarga sempat beraya di rumah Pakcik wan di kampong nelayan Tumpat, wan jadi insaf. Sesungguhnya wan dan adik-adik tidak pernah ‘susah’. Walaupun pernah suatu ketika dahulu, ketika diri masih belum pandai menggunakan tisu untuk membuang hingus di hidung dan lengan baju menjadi mangsa, wan pernah tidak puas hati dengan hidup kami yang ‘susah’ itu. Padahal masih ramai lagi mereka di luar sana yang lebih susah daripada kami. Bahkan jika nak dibandingkan kami tidaklah sesusah mana!! Lagipun, apa susah… kalau tiada duit, Wan (baca wae) iaitu arwah ayah abah selain mendapat pencen dia juga ‘ceti’... hehehe bukan ‘along’ ya! jadi minta aje pada arwah wae pasti dapatlah kami makan.

Tapi bila diri sudah dewasa, zaman kanak-kanak (wan) yang hanya tahu bermain, bermain, bermain dan belajar itu jauh wan tinggalkan di belakang, wan rasa betapa beruntungnya kami ketika itu. Dan wan bersyukur sangat kerana abah seorang yang tegas terhadap pelajaran anak-anaknya. Walaupun tanpa mengeluarkan suara, hanya ‘bayangan’ abah sahaja sudah buat kami gerun. Dan ada satu nasihat abah yang membuatkan wan insaf...

Abah tiada harta dunia untuk diberikan pada anak-anak, tapi abah hanya boleh bekalkan pelajaran (menyekolahkan kami) jadi setinggi mana yang mampu kami capai (dalam bidang pelajaran), dan dengan taraf pelajaran itulah yang akan kami jadikan modal untuk mencari ‘harta’ buat diri kami sendiri. Jadi jika kami malas belajar jangan salahkan abah yang telah bertungkus lumus mencari rezeki demi menyekolahkan kami jika kami tidak mampu mencari harta sendiri di kemudian hari.

Satu cara yang amat ‘adil’ dalam pembahagian ‘harta dunia’ buat kami, iaitu dengan menyekolahkan kami, tugas kami cuma belajar dengan tekun dan lulus dengan cemerlang dengan usaha sendiri dan disempurnakan dengan duit abah...

Berbalik pada cerita Pakcik (melencong la pula... hehehe), dia juga punyai anak-anak yang ramai sebagaimana keluarga kami, bersusun anak tangga kalau tak silap orang tua dulu-dulu cakap -> merujuk kepada anak yang ramai. Tapi tidak tahu di mana silapnya nasib anak-anaknya tidak sebaik nasib kami adik-beradik yang berjaya menjejakkan kaki ke menara gading (walaupun hanya sekadar di universiti-universiti tempatan... Hey, jangan perlecehkan U tempatan... kerana telah lahir beratus-ratus bahkan ribuan graduan yang berjaya dan tersohor!)

Jadi boleh dikatakan sepupu-sepupu wan itu, hanya sekadar kerja kampung, atau kerja-kerja yang setaraf dengan taraf pendidikan mereka. Hubungan wan juga tidaklah serapat sebagaimana dengan sepupu-sepupu belah mek & abah yang lain yang tinggal berhampiran dengan kami. Lagi la bila usia sudah menginjak ‘dewasa’ wan seolah langsung tidak ambil tahu/peduli... teruknya wan nih. Jadi bila 2 tahun lepas Mek mengajak kami berkunjung ke Tumpat menziarahi abangnya, wan jadi insaf.

Raya pada mereka, hanyalah sekadar ‘hari raya’ tanpa sebarang kuih-muih berbalang-balang memenuhi meja makan (meja makanpun mereka tak ada) hanya sekadar hidangan air sirap (bukanlah wan pergi nak makan pun… jika tidak dijamu dengan sebarang makananpun wan tak akan terkilan... bahkan wan pula yang rasa terbeban kerana menyusahkan mereka). Jadi bila melihatkan keadaan mereka, wan rasa lebih baik wan keluarkan zakat pada kaum keluarga wan sendiri (yang bukan dalam tanggungan kita seperti, suami, isteri, anak, ayah, ibu, datuk & nenek) dulu sebelum wan bersedekah pada badan-badan yang belum tentu sampai pada mereka yang berhak. Huhuhu! ini kena tanya Ustazah Majidah ni betul ke tidak ‘fatwa’ wan nih! tak pun sesiapa yang arif lagi bijaksana diluar sana... perbetulkan wan kalau wan silap... huhuhu

Dan, raya kali ini sekali lagi wan dan keluarga berpeluang menziarahinya, rupanya ada musibah sedih yang mereka hadapi. Salah seorang sepupu wan baru sahaja kematian anaknya yang ke-7. Ketika wan beraya hari itu dia kiranya dalam pantang dah masuk hari ke-9. Tapi apa yang menyedihkan anaknya yang sudah cukup masa untuk dilahirkan telah meninggal dalam perut ibunya. Anak itulah yang ketika mek menziarahi sebelum puasa, Pakcik memberitahu mek bahawa bila anak itu lahir kelak akan diserahkan pada sesiapa yang mahukannya... kerana dia (pakcik) sudah tidak mampu menanggung seorang lagi cucu.

FYI: sepupu wan itu tinggal bersama Pakcik dan suaminya pula ‘berada di tempat yang tidak perlu diberitahu’ menyebabkan kesemua anak-anak sepupu itu ditanggung oleh Pakcik wan dan dengan usianya yang sudah senja, dengan tiada sumber rezeki yang tetap (sebelum ini dia bekerja sebagai nelayan) dia bagaikan hilang kudrat, walaupun sepupu wan itu melakukan sebarang kerja demi mendapatkan rezeki untuk meringankan beban ayahnya hatta sebagai pencuci pinggan mangkuk di kedai-kedai makan.

Ada kalanya wan terfikir, sesungguhnya Allah itu maha adil. Ada orang yang mewah wang ringgit tapi miskin anak. Tapi ada orang yang miskin wang ringgit tetapi ‘kaya’ dengan anak-anak. Walaupun benarlah setiap anak-anak ada rezeki yang telah ditetapkan oleh Allah padanya, tapi ada kalanya sikap dan sifat kita tidak nampak akan ‘jalan’ itu. Wan pernah tergerak hati untuk mengambil anak itu dan berkebetulan Along juga sedang mencari anak untuk dibela, jadi wan suarakan pada mek untuk mengambil anak itu pada pertengahan bulan puasa yang lalu.

Dan ketika wan balik untuk beraya sekali lagi wan tanyakan mek, dan mek kata... tunggulah hari raya nanti kita pergi dan tanya sendiri pada ibunya (sepupu). Yalah hati ibu kita tidak tahu, mungkin ketika kesusahan membelit diri, akal fikiran jadi tertutup dengan rasa kasih ada si anak. Tapi yalah nak buat macam mana, hanya lewat 2 hari daripada jangkaan masa yang diberikan oleh doktor, anak itu sudah tidak bernyawa di dalam perut si ibu. Tapi nak kata jangkaan doktor silap wan rasa tidak wajar juga kerana sepupu wan ni kerja terlalu ‘penat+lasak’ bahkan ketika diri tengah sarat dan menunggu hari, dia masih memaksa diri mengayuh basikal membonceng anak-anaknya, menghantar dan mengambil mereka dari sekolah. Aduhai wan tidak dapat bayangkan diri wan dalam keadaan itu!. Pengalaman wan yang lalu, ketika perut baru nampak ‘tummy’ sudah mengada-ngada pada sang suami untuk dihantar dan dijemput daripada pejabat... nasib baik waktu itu office wan hanya di 'seberang jalan' -> menunjukkan betapa dekatnya dengan rumah

Wan jadi terfikir dan wan insafi diri, setiap perancangan Allah adalah yang terbaik untuk setiap hamba-hambanya. DIA tidak akan menimpakan setiap musibah itu tanpa ada hikmah disebaliknya. Akal fikiran wan yang cetek ini cuma terfikir, agaknya bila kita kata ‘tak mahu’ jadi Allah tak akan berilah walaupun rezeki itu sudah di ‘depan mata’. Takpun ‘penjaga’ anak itu nanti bukanlah seorang ibu yang baik untuk jadi pelindung padanya. Lebih baik Allah ambil balik anak itu ketika diri masih suci bersih tanpa sebarang noda. Wallahu alam...

Jadi untuk mendapatkan rezeki yang telah Allah sediakan untuk wan, semestinya wan harus berusaha lebih gigih perbaiki diri supaya jadi lebih baik... agar Allah akan bermurah hati memberi rezeki anak pada wan pula... aminnn!!

Wah!! panjang lebarnya wan membebel di sini... bukanlah niat untuk mengadu kesusahan apatah lagi menunjukkan kesenangan diri... TIDAK... wan sekadar mengingatkan diri sendiri betapa kerdilnya kita di sisi Allah yang maha besar dan maha agung itu. Doa wan moga kita sentiasa diberikan hidayah dan rahmat oleh-Nya... aminnnnn


Salam sayang,

3 comments:

Nina Suria said...

salam 13syawal wan, sonoknya dpt balik kampung kan? awat cuma tempel 1 foto aje, nak tengok gak org balun hidangan raya satu meja :P

Wan Amalyn said...

Salam 14 syawal kakmOn :P

Gambar banyak2 (mcmla banyakpun!) wan tepek kat multiply

http://wanamalyn.multiply.com

senang2 gi la tengok kat sana ;-)

Ahada Aihara said...

kak wan,

kita manusia biasa...
kadang2 terlanjur menyalahkan takdir...
tapi Tuhan selalu sayang pada kita... alhamdullilah....
tp rasanya mmg btl, kita harus membantu insan yang terdekat dahulu sebelum mendahulukan orang lain....

selamat hari raya aidilfitri... maaf zahir batin....

Back to Top