0

Lucut kerakyatan hina raja – Mufti

Oleh ZULKIFLI JALIL dan SITI MARIAM MD. ZAIN
pengarang@utusan.com.my


PUTRAJAYA 12 Ogos – Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mengingatkan kumpulan ekstremis dan pelampau bahawa tanpa institusi raja yang menjaga golongan majoriti orang Melayu, negara ini tidak mungkin aman.

Tegasnya, kerana institusi rajalah, negara ini yang suatu ketika dikenali Tanah Melayu kemudian Malaya seterusnya Malaysia terus kekal stabil dan makmur didiami pelbagai kaum.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan ekstremis yang cuba mewujudkan unsur perpecahan dalam negara.

“Benda ini (menghormati institusi raja dan agama Islam) sudah ada dalam Perlembagaan Negara, kalau tidak suka, keluarlah dari negara ini. <-(suka statement ini..!)

“Selama 52 tahun negara kita aman makmur, tiba-tiba ada pihak cuba hancurkan semua ini, sengaja nak buat kacau.

“Dulu mereka diberi kerakyatan setelah setuju mahu patuhi syarat-syarat yang diberi, kalau tak suka lagi, keluarkan mereka dan kalau ada orang Melayu sendiri tak suka, keluarkan juga mereka dengan melucutkan kerakyatannya,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Beliau mengulas kemarahan orang Melayu terhadap kandungan satu blog baru-baru ini menghina Islam, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah serta Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.

Sebelum itu pelbagai pihak turut mengkritik tindakan Exco DAP negeri Selangor, Ronnie Liu yang campur tangan dan mempertikaikan tindakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) merampas minuman keras di Seksyen 8, Shah Alam dan tindakan Ketua Staf Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Jeff Ooi mengaitkan syariah Islam sebagai ekstremis.

Menurut Harussani, setiap orang Islam wajib mempertahankan agamanya daripada dihina oleh mana-mana pihak dan tidak seharusnya menyokong penghinaan itu dengan apa sahaja alasan.

“Jangan kerana politik, mereka sanggup menjual agama. Dalam Islam, kita diwajibkan untuk pertahankan agama daripada dihina, bukan melakukannya kerana kepentingan diri,” katanya.

Pada masa yang sama, kata beliau, Islam juga tidak membenarkan umatnya menghina agama lain kerana perbuatan saling menghina itu hanya akan menyebabkan berlaku suasana tidak tenteram.

***
Nota: Petikan Utusan Online tarikh 13 August 2009


Salam sayang,

0 comments:

Back to Top