2

7 wasiat jamin keamanan

Amanat Raja Melayu mampu kekal kedaulatan negara: Raja Dr Nazrin

KUALA LUMPUR: Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah mengingatkan rakyat khususnya orang Melayu mengenai tujuh wasiat Raja-Raja Melayu yang menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan jika mereka bersatu dan berpegang teguh kepadanya.

Baginda bertitah, wasiat disampaikan ketika Raja-Raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 ialah:

• Kami namakan dan kami panggil dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia);

• Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama kaum lain;

• Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan Rejimen Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman luar;

• Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu memerintah negara ini;

• Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan;

• Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu;

• Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum lain. (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

Baginda bertitah demikian pada majlis pelancaran buku Allahyarham Prof Syed Hussein Alatas berjudul Mitos Pribumi Malas, Keintelektualan Masyarakat Membangun dan Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi di sini, semalam. Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Johan Jaafar dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz.

Raja Nazrin bertitah, wasiat sembilan Raja Melayu dari empat negeri Melayu Bersekutu dan lima tidak Bersekutu itu, disampaikan sebelum merdeka kepada rakyat Melayu, yang juga rakyat asal dan subjek Raja-Raja Melayu.

"Wasiat ini dihasilkan atas kehendak Raja-Raja Melayu untuk mengekalkan kesinambungan sejarah, kedaulatan dan kuasa politik Melayu (yang terletak pada Raja-Raja Melayu) kepada kesinambungan kedaulatan negara kepada Raja-Raja Melayu serta mendapat penerimaan rakyat melalui wakil sah yang mempunyai locus standi, maka Perlembagaan Persekutuan mempunyai fasal tertentu," titah Raja Nazrin Shah.

Titahnya, fasal-fasal terbabit ialah Perkara 3 (1) (2) (3) dan (5); Perkara 11, Perkara 12; Perkara 38 (5); Perkara 152; Perkara 153 dan Perkara 181 (1), yang memerlukan izin Majlis Raja-Raja Melayu untuk sebarang pindaan.

"Sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-52 pada 31 Ogos ini, sewajarlah fakta-fakta utama dalam perjalanan menuju kemerdekaan itu dipastikan tidak terpendam dari sejarah," titahnya.

Raja Nazrin turut menyarankan supaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melaksanakan usaha menerbitkan semula tulisan yang dihasilkan di zaman pra dan pasca merdeka bagi memastikan generasi muda tidak buta sejarah serta asal-usul bangsa.

Baginda bertitah, selain berperanan memberi pemahaman terhadap generasi muda mengenai pembinaan negara bangsa, langkah menerbitkan hasil karya lama juga akan memastikan khazanah negara itu tidak lenyap ditelan zaman.

"Beta mendengar Allahyarham Ishak Haji Mohamad ada menghasilkan buku Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila, tetapi Beta sendiri sehingga sekarang tidak berpeluang mendapatkan naskhah buku itu.

"Bahan bacaan seperti itu amat penting bukan saja diterbitkan semula, tetapi dijadikan bahan ilmiah wajib di pusat pengajian supaya generasi muda tidak lupa sejarah," titah baginda.

Sumber : Berita Harian : Edisi 7 August 2009

* ^ *

Nota untuk diri sendiri:

Insyallah wan akan cuba sedaya upaya untuk menulis dengan menggunakan ayat dan perkataan yang betul dari segi nahu dan tatabahasanya. Jika ada sebarang kesilapan wan harap Puan Munsyi Dewan kita (kaksu) akan cuba memperbetulkannya ya... atau kawan-kawan boleh juga merujuk pada Puan Munsyi Dewan kita ini ya!

Wan juga akan sedaya upaya untuk mengelakkan daripada menggunakan sebarang ayat pendek (shortform) dalam setiap entry wan yang akan datang.

Sesungguhnya jika wan ingin memperjuangkan kesinambungan bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan, wan harus bermula dengan diri wan sendiri, barulah wan dapat mendidik anak wan untuk lebih mencintai bahasa ibundanya ini.

Jika terdapat sebarang kekhilafan, ianya datang daripada diri wan sendiri yang sangat lemah ini.


Salam sayang,

2 comments:

myQza said...

ye lah wan.. aku sokong. Kadang2 aku juga selalu tulis dalam ejaan dan perkataan yg takde dalam kamus dewan.

tgk! baru cakap dah buat! :)

Wan Amalyn said...

tED...
hahaha...
wan pun!!! cakap nak perbetulkan... tapi bila dah terbiasa jadi tertulis juga dalam 'shortform', tak pun guna ayat pertuturan sehari-hari... itu yang tertulis ayat yang sebegitu.. =)

Back to Top