Novel... Lagi???

Salam semua,


Semalam saya sempat merajinkan diri ke Shah Alam. Lebih tepatnya ke Karnival Karangkraf yang diadakan dari 28 Januari hingga semalam 30 Januari di perkarangan kompleks Karangkraf Seksyen 15 Shah Alam.

Bertemankan Aysha, saya ke sana dan berjanji akan bertemu dengan geng Ulatbuku : kaknOOr, nacha, kaknOtie, Iejay. Sesampai di sana, saya disapa oleh kak Uda & Rinn (gengkicap) yang juga baru sampai. Memandangkan semalam, seharian hujan turun tak henti-henti, terpaksalah bawa payung. Leceh. Memang leceh bila saya yang suka berlenggang saja bila berjalan ni terpaksa bawa payung. Si Aysha pula konon-konon nak bawa beg sandang untuk isi buku bacaan dia, tapi sampai sekerat jalan suruh saya pula bawa... haish budak ni laaa Nasib baik beg saya, beg sandang.

Sebenarnya di sana saya tak pusing-pusing di setiap boothpun. Tumpuan saya hanyalah booth grup buku yang menjual pelbagai jenis buku terbitan Alaf 21 dan Buku Prima. Dalam pada tak ada sangat buku yang nak dibeli (memikirkan stok yang belum baca masih berlambak) melayang juga duit saya RM108.40 untuk membayar harga buku. Haishhh.... Itupun lepas less 30% tu... agaknya kalau tak ada less mahu lebih lagi!!

Penulis yang ada ketika saya pergi tu ialah kak Meen Zulaikha ~ Rindu Di Awan Biru, Hani Fazuha ~ Harga Sebuah Cinta (thanks dear for the 'token'. Love you... muuaaahhh), Lynn Dayana ~ Juara Carta Cinta, Penulis baru (lupa nama) & kak Aisya Sofea ~ Masih Setia. Biasalah bila ada kaknOOr riuh laa kami... berborak tak toleh kiri kanan, bagaikan dunia ini 'ana yang punya!!' hahahaha. Seronok!

Selain buku-buku yang saya sebutkan kat atas tu, saya juga sempat beli buku Tiada Khatimah Cinta ~ Salina Ibrahim, Lara Di Jiwa Ajym ~ Ramlah Rashid selain buku kanak-kanak/majalah/komik untuk Aysha yang dia pilih sendiri.

Selesai di Shah Alam, kami ke Bangi pula.

Oh! rupa-rupanya JS sedang berpindah office. Singgah di Rumah Jemari Seni beli buku (lagi). Saya beli buku Diya Nordin & buku terbaharu Iman Xara. Kemudian kami ke pejabat baru JS di Seksyen 7 Bandar Baru Bangi. Kawasan baru dengan lot kedai baru. Teringat ketika pejabat saya di Sungai Chua, Kajang. Melalui jalan di kawasan itulah saya berulang-alik mencari makan (sebab kawasan pejabat saya dahulu sebelum berpindah ke Puchong, adalah kawasan perindustrian dan memang tak ada kedai makan. Kalau adapun restoran yang menjual makanan cina). Waktu itu apapun tak ada. Yang ada hanyalah jalanraya! Dan tempat makan saya adalah di tingkat 3 Kompleks PKNS Bangi. Cepat sungguh masa berlalu. Dengar khabarnya sikit masa lagi, di kawasan lapang berhadapan dengan pejabat JS akan dibangunkan Tesco? Wah! lagi meriahlah kawasan tu.

Apa-apapun saya sangat berbangga dengan pencapaian Jemari Seni. Daripada bawah mereka naik. Berbekalkan semangat jitu 2 iron lady (kakyah dan kaksu) yang saya kenal. Saya menyaksikan mereka 'merangkak' dan kini mereka sudah boleh 'berlari laju', dan saya akan tetap menjadi penyokong mereka sampai bila-bila. Insyallah.

" TAHNIAH & SEMOGA Jemari Seni AKAN TERUS MAJU DAN MAJU DAN MAJU "


Cabaran 50 : Buku No : 3 ~ Tok Janggut

Salam semua,
Buku ketiga untuk Cabaran 50 buah novel saya adalah buku ini, Tok Janggut : Pejuang atau Penderhaka?

Blurb

Buku ini adalah mengenai rentetan perjuangan Haji Mat Hassan dan pengikut-pengikutnya. Sehingga sekarang sejarah tentang Haji Mat Hassan lebih merupakan sejarah Tok Janggut yang derhaka dan penduduk Jeram yang merusuh. Sejarah tersebut adalah sejarah yang diberikan oleh Kolonial yang menerang dan memperjelaskannya. Justeru, sejarah itu adalah sejarah mereka tetapi bukan sejarah kita. Tidak hairanlah kalau semua cerita mengenai Haji Mat Hassan adalah cerita mengenai pemberontakan dan keganasan kerana sampai hari ini pun kebangkitan Islam menentang Barat ditafsirkan sebagai pelampau, pengganas dan penyeleweng. Perbincangan tentang Musuh Tok Janggut pada tahun 1915 sehingga sekarang masih dianggap kebangkitan segolongan orang kampung di Pasir Puteh yang tidak berpuas hati terhadap cukai yang dikenakan kepada mereka. Para pemimpin kebangkitan itu pula tidak lebih daripada mereka yang berkepentingan. Semuanya itu adalah tafsiran sebahagian daripada ceritanya.


Kata Saya:

Kandungan buku ini terbahagi kepada 2 bahagian penting. Bahagian pertama mengandungi 3 makalah tentang peristiwa bersejarah kebangkitan Haji Mat Hassan iaitu Tok Janggut menentang British.
Bab 1 : Rentetan peristiwa dan detik-detik kebangkitan Tok Janggut
Bab 2 : Kebangkitan Tok Janggut dalam konteks Gerakan Anti-British di Malaysia
Bab 3 : Kebangkitan Tok Janggut dari perspektif Budaya Politik Melayu Kelantan.

Sementara bahagian kedua pula memaparkan gambar-gambar serta dokumen-dokumen yang berkaitan dengan peristiwa bersejarah itu untuk tatapan dan rujukan kita sebagai pembaca.

Bab 1 : Rentetan peristiwa dan detik-detik kebangkitan Tok Janggut

Dalam bab ini penulis memperkatakan tentang kronologi peristiwa yang membangkitkan semangat ‘pemberontakan’ dalam kalangan masyarakat melayu waktu itu. Bagaimana tindak-tanduk ‘orang putih’ yang memperkenalkan pelbagai syarat dan undang-undang yang menyulitkan rakyat. Jika selama ini rakyat bebas mengerjakan ladang dan bersawah tanpa perlu sebarang ‘surat hak milik’ dan tanda sempadan, kedatangan British telah merubah kebiasaan rakyat, menimbulkan rasa kurang senang dihati mereka. Pihak British juga memperkenalkan sistem pemungutan cukai tanah dan cukai hasil sedikit sebanyak telah mengurangkan pendapatan rakyat (yang sedia sedikit). Faktor-faktor inilah antaranya yang menaikkan lagi semangat menentang penaklukan British.

Jika selama ini bidang kuasa yang melibatkan hal ehwal rakyat (orang-orang kampung) ditangani oleh Penghulu/Penggawa atau Tok Kweng, kini sedikit demi sedikit kuasa diambil alih oleh pihak British. Begitu juga dengan kuasa Sultan sebagai pemerintah negeri mula diganggu-gugat dengan kedatangan kuasa British ini. Demi menjaga kedudukan mereka, Sultan terpaksa berkompromi dengan British walaupun tanpa kerelaan mereka.

Rentetan tindak-tanduk pihak penjajah itulah yang menjadi titik tolak berlakunya penentangan yang membawa kepada pemberontakan seperti mana yang berlaku di Pasir Putih yang diketuai oleh Haji Mat Hassan Bin Munas atau Tok Janggut ini.


Bab 2 : Kebangkitan Tok Janggut dalam konteks Gerakan Anti-British di Malaysia

Dalam bab ini, penulis mengenengahkan tentang wujudnya gerakan-gerakan anti-British selain Tok Janggut di Kelantan.

Kehadiran dan penglibatan British dalam hal ehwal tempatan telah mencetuskan tindak balas daripada penduduk peribumi Malaysia yang lain. Di Kedah misalnya, Sultan Abdullah menentang campurtangan Kompeni Hindia Timur Inggeris yang membawa kepada tercetusnya serangan dan akhirnya termeterai perjanjian pada tahun 1791 antara Kedah dan Inggeris.

Di Naning pula, diketuai oleh penghulunya Dol Said yang tidak berpuashati dengan campurtangan Inggeris yang mempertikai kedudukan Naning yang dikatakan di bawah kerajaan Melaka dan mengarahkan segala urusan pentadbiran dan undang-undang dirujuk kepada Melaka. Ini telah mengurangkan kuasa Dol Said sebagai ketua yang mengamalkan adat pepatih.

Begitu juga dengan negeri-negeri lain seperti Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Tok Gajah di Pahang. Pembunuhan JWW Birch di Pasir Salak juga merupakan penentangan terhadap British di Perak. Kebangkitan Datu Tating & penentangan Mat Salleh (Datu Mohamed Salleh Datu Balu) di Sabah serta penentangan terhadap kerajaan Brooke (James) di Sarawak adalah kesan daripada penjajahan kuasa-kuasa British dan sekutu-sekutunya di negeri-negeri di Tanah Melayu ini.

Timbulnya semangat untuk membebaskan diri/negeri/jajahan takluk daripada cengkaman penjajah dan kuasa-kuasa barat adalah juga akibat daripada meletusnya Perang Dunia I pada Ogos 1914. Peperangan yang melibatkan Britain, Perancis dan Rusia di satu pihak dan Jerman dan Austria di pihak yang lain meletakkan British di Tanah Melayu (Kelantan khususnya) dalam keadaan terdesak.

Selain itu juga Kerajaan Turki Uthmaniah telah mengisytiharkan perang terhadap Britain dan sekaligus mengisytiharkan jihad terhadap kuasa barat yang cuba menguasai negara-negara islam yang lain. Kekacauan yang tercetus di Singapura pada 15 Februari 1915 di mana askar-askar Indian Muslim di bawah pimpinan Haji Nur Alam Shah sebagai menyahut seruan jihad oleh kerajaan Turki Uthmaniyah membangkitkan lagi semangat untuk menentang British di negeri Kelantan yang terkenal sebagai bumi Serambi Mekah itu.


Bab 3 : Kebangkitan Tok Janggut dari perspektif Budaya Politik Melayu Kelantan.

Kepada seorang peneliti budaya, ia melihat budaya itu melambangkan jiwa anggota masyarakatnya.

Dalam bab ini, Budaya Politik Melayu Kelantan ini berdasarkan catatan Carveth Wells seorang jurutera keretapi yang ditempatkan di Tanah Merah, Kelantan. Mengikut catatan beliau, kehidupan rakyat Kelantan agak berbeza dengan kehidupan orang Melayu di tempat lain.

Di Kelantan wau dan gasing, rebana ubi dan kertok ditewahkan. Di sini juga (sebelum diharamkan) lembu dan ayam dilagakan. Bertelingkah, bertewah dan berlaga adalah budaya harian mereka (rakyat negeri Kelantan). Ini (permainan tradisi) hanyalah lapisan luaran sahaja, pertelingkah, perlagaan dan pertewahan ini sebenarnya adalah berkenaan dengan soal maruah, harga diri dan martabat. Untuk mendapatkan itu semua, mereka terpaksa berjuang, bertelingkah dan bertewah.

Dan dalam pola itulah Haji Mat Hassan dibesar dan didewasakan. Dalam pola budaya itulah juga rakyat Kelantan hidup dan menentukan kehidupan mereka dari satu generasi kepada generasi yang lain. Bersama harga diri, maruah dan martabat, mereka bertindak terhadap persekitaran sosio-politik sama ada pada waktu kolonial mahupun selepasnya.


Kesimpulannya:

Pada saya Tok Janggut bukanlah seorang penderhaka seperti mana yang dilabelkan pada beliau oleh sesetengah pihak (British & sekutu-sekutunya). Pada saya beliau adalah lambang kebangkitan orang Melayu Islam menentang penjajahan British yang mengamalkan prinsip ‘Jajah & Perintah’.


[Nota kaki: :) saya seperti buat assignment untuk subject sejarah pulak! hehehehe ]

0

Anekdot

16 Januari
Dapat jemputan daripada kak yati (Norhayati Berahim) yang mengadakan sambutan ulangtahun anakandanya Qaisara aka Teta. Juga sambutan ulangtahun kelahiran mereka-mereka yang berulangtahun di bulan Januari.

Seronok! Selain dapat makan, juga dapat jumpa geng yang sama-sama datang. Kami berborak sambil makan tanpa malu... hahahaha

Jutaan terima kasih saya ucapkan pada tuan rumah, kak yati serta kak sue yang sudi jemput saya dan keluarga.

22 Januari
Hari ini merupakan Birthday Lili adik saya.
Happy Birthday Li, moga sentiasa dalam rahmat-Nya!
Aku sayang ko!

Hari ini adalah hari sabtu, lepas kerja sirman kata nak ke Putrajaya ambil gambar, memandangkan saya yang tiada program apa-apa ikut sajalah! Sementelah Aysha pula macam bosan saja duduk kat rumah. Jadi saya, berbekalkan buku Tok Janggut & Aysha dengan skuternya, kami buat aktiviti kami sementara sirman ambil gambar.

Malamnya kami ke Bangi makan satay kajang.
Kemudian melencong sikit ke Bandar Baru Bangi rumah kakyah ambil 'stok' (novel) yang saya kirim. Jangan ditanya bila masanya saya nak baca sebab saya memang tak ada jawapannya. Tapi insyallah saya akan cuba curi-curi masa untuk membacanya. Kalau tidak macam mana saya nak capai matlamat 50 novel untuk tahun 2011 ini ya tak??


24 Januari
Dapat surat daripada company. Alhamdulillah rezeki untuk saya ber'shopping' :)

5

Cabaran 50 Novel : Buku 2 ~ Cinta Sufi

Salam semua,

Buku kedua yang telah selesai saya baca adalah buku ini, Cinta Sufi karya Ramlee Awang Murshid. Novel terbitan Alaf 21 ini adalah sequel Bagaikan Puteri selepas Hijab Sang Pencinta, Cinta Sang Ratu dan Bagaikan Puteri sendiri sebagai pelengkap pada kisah Laksamana Sunan atau Saifudin.

Sinopsis belakang kulit

PILU hati saat dikhabarkan suaminya gugur di medan perang, Catalina rebah tidak sedarkan diri. Sebaik terjaga, dia membicarakan hajatnya ke Hulu Melaka. Ingin mencari lelaki bertanduk dua.

Tanpa diduga, takdir menentukan Laksamana Sunan lelaki yang dicari Catalina. Malangnya, Laksamana Sunan bukan lagi wirawan. Kudratnya lenyap dan ditawan penjajah yang menakluk Melaka. Hampir dibunuh musuh, dia diselamatkan oleh cinta yang dipendam Luna.

Laksamana Sunan, Catalina dan Luna... bukan sekadar terperangkap dalam perjalanan yang berliku, malah terkurung dalam cinta segi tiga yang terlafaz dan tersembunyi. CINTA SUFI Sebuah kesinambungan trilogi Bagaikan Puteri, dipenuhi aksi pengembaraan dan pertembungan antara kebaikan dan kebatilan, yang nyata dan mistik. Disemarakkan lagi dengan rasa cinta dan pengorbanan.

Rasa Saya:

Cinta Sufi ini adalah kesinambungan kisah Saifudin yang dikenali dengan gelaran Laksamana Sunan. Kali ini, Saifudin yang telah kembali dari zaman akan datang terdampar lemah tidak berdaya selepas 'merentasi masa'. Dia yang lemah dijadikan tawanan/hamba sahaya oleh Yang Mulia Catalina balu Aryas Do Lopo bangsawan Portugis yang terkorban ketika berperang dengan tentera Turki.

Catalina yang kehilangan suami, belayar ke Tanah Melayu semata-mata ingin mencari Maryam yang muncul dalam mimpi-mimpinya tatkala dia tak sedarkan diri. Sebagai seorang bangsawan yang punya nama dan kedudukan, serta balu kepada wira Aryas Do Lopo yang terkorban ketika berperang, memberi kelebihan padanya mendapatkan perkenan Raja Portugal untuk menyertai armada perang ke Melaka. Tapi tak siapa yang tahu bahawa misinya yang sebenar adalah untuk mencari 'Maryam'.

Bermula kisah perjalanan pencarian mereka ke Hulu Melaka...

Pembacaan awal saya agak perlahan memandangkan saya punya masalah ‘ingat-ingat lupa’ pada kisah-kisah Laksamana Sunan dalam naskhah yang terdahulu. Antara pembacaan dan cubaan saya untuk ingat kembali, saya jadi bercelaru. Jadi saya membaca bagaikan jasad tanpa ruh! Mujurnya rentak saya bertambah lancar hanya selepas beberapa bab kemudian.

RAM sinonim dengan genre fiksyen/thriller bahkan dijoloki dengan gelaran Penulis Thriller No. 1 di Malaysia oleh para penggemar dan peminatnya. Begitu juga kisah ini, di mana tanah Melaka yang berdaulat menjadi salah satu lokasi utama. Pencarian 'Maryam' membawa Catalina ke Hulu Melaka yang bergolak. Sepanjang perjalanan, secara simboliknya 'Laksamana Sunan' menjadi jurupandu mereka walaupun ketika itu dia adalah hamba/tawanan perang.

Kali ini sejarah kependudukan Portugis di tanah melayu, Melaka khususnya difiksyenkan. Saya jadi keliru adakah ini fakta atau ‘auta’. Ops! jangan silap tafsir. Apa yang saya maksudkan ‘auta’ di sini adalah tokoh-tokoh yang termuat dalam buku sejarahnya betul tetapi insiden yang berlaku di kota Melaka di abad ke 15 itu benarkah begitu kisah yang berlaku di sebaliknya? Saya jadi keliru. Antara pemahaman saya tentang asal-usul penjajahan Portugis di Melaka dengan kisah yang berlaku di sebaliknya. (Huhuhu susunan ayat saya tulis ini pun dah jadi berbelit-belit seperti kepala saya yang pening... hahahaha)

Maafkan saya andai saya khilaf. Maklumlah pemahaman tentang sejarah Tanah Melayu saya sudah tumpul. Mata pelajaran Sejarah yang saya belajar dulu sudah menjangkau lebih 20 tahun yang lalu. Dan rasanya saya perlu cari balik buku-buku sejarah tentang tanah air saya yang tercinta ini supaya saya tidak lupa.

Ok berbalik pada cerita ini, Cinta Sufi ini juga sarat dengan tazkirah. Penulis bijak mentarbiah saya sebagai pembaca melalui tulisannya ini. Segala kelebihan surah-surah Al-Quran serta amalan-amalannya diperincikan dengan baik sekali. Amalan zikir dengan 99 nama-nama Allah (Asma’Ul Husna) dijadikan teras dalam naskhah ini. Pendek kata saya tidak membaca ‘kosong’ buku ini. Ada ilmu dan pengajaran yang boleh saya kutip melaluinya.

Selain itu juga dalam naskhah ini diceritakan juga tentang bangsa Polip. Serius, saya memang tidak tahu tentang kewujudan kaum ini. Dan sehingga saat ini saya masih tertanya-tanya siapakah sebenarnya kaum Polip ini?

Kesimpulannya, bagi penggemar RAM yang sentiasa mengikuti sekuel Bagaikan Puteri, pasti anda tidak akan lepaskan peluang membaca Cinta Sufi ini. Kisah yang berlatarbelakangkan Tanah Melayu di kurun ke-15 ini menggunakan bahasa ‘lama’. Tapi tetap mudah difahami, jangan risau!! Dan saya paling suka dengan penggunaan kata ganti diri ‘kita’ yang digunakan oleh Laksamana Sunan. Cute aje! hehehe

TAPI saya sangat kecewa dengan penamatnya. RAM suka membuatkan saya tertanya-tanya... apa yang berlaku pada Laksamana Sunan selepas dia ditembak (di dada) oleh Kapten Leandro dan kemudian dibawa oleh Laksamana Hang Tuah ke ‘dasar tasik’? Dan bab terakhir bagaikan klu bahawa akan ada lagi sambungannya selepas ini... Benarkan begitu?? Hanya RAM yang ada jawapannya...

Apa-apapun, saya suka cerita ini...

2

Bingkisan

Salam semua,

Teruja! Itulah perasaan pertama yang menerpa dalam dada tatkala menerima bingkisan ini. Apa yang ada dalam sampul oren ini? Nak tahu? Wah kepoh juga ya kamu... hahahaha

Inilah bendanya.

Laaaa buku ke?

Yelah, bukulah! Apalagi yang boleh membuatkan hati saya berbunga ceria kalau tidak buku. Tapi kalau dapat intan berlian emas perak sebelanga rasanya ceria akan berganda-ganda lagi! Hahaha mata duitan juga saya ni ya!

Sebenarnya saya tertarik untuk memiliki naskhah ini kerana:
1- teruja membaca perbincangan tentang naskhah ini oleh para ulat buku di Goodreads Malaysia
2- ini kisah tentang perjuangan Tok Janggut, iaitu kisah sejarah yang pernah berlaku di tanah kelahiran saya.
3- Pasir Pekan - kampung di mana terdapatnya makam Tok Janggut merupakan tempat yang penuh nostalgia buat saya. Saya menimba ilmu (sekolah menengah) di Pasir Pekan, kebanyakkan rakan-rakan sekolah menengah saya rata-ratanya menetap di Pasir Pekan.
4- banyak lagi, nanti saya fikirkan

Buku ini saya beli terus daripada anak kepada penulis buku ini, yang saya kenali lewat emailnya. Misz Noni. Dan apa yang lebih menarik, disertakan sekali satu naskhah kecil yang sangat BESAR manfaatnya. Ya buku kecil ASMA'UL HUSNA - 99 nama Allah lengkap dengan fadhilat-fadhilatnya. Dan saya rasa Misz Noni ni juga menyediakan khidmat printing. Kalau ada yang berminat, kalian boleh jenguk sini.

Bagai diatur sahaja takdir ini kerana saya baru selesai membaca novel karya Ramlee Awang Murshid yang berjudul Cinta Sufi juga mengenengah kelebihan-kelebihan mengamalkan Asma'ul Husna ini.

Jadi untuk cabaran membaca saya, buku ini, Tok Janggut : Pejuang atau Penderhaka karya Nik Anuar Nik Mahmud menjadi buku ketiga yang akan saya baca. Insyallah saya cuba habiskan sebelum hujung minggu (ini) berakhir.

Oh! saya sudah dapat idea bagaimana saya boleh realisasikan Cabaran 50 Novel Setahun (2011) saya yang pada awalnya rasa rasa agak mustahil.

Nak tahu bagaimana?

Okey matematiknya sangat mudah. Setahun kita ada 12 bulan. 50 buah novel yang ingin saya baca dibahagikan kepada 12 bulan. Jadi dalam sebulan saya perlu baca dalam 4.166 (4 setengah) buah buku yang saya bulatkan jadi 4 buah. Dalam sebulan kita ada 4 minggu. Jadi dalam masa seminggu saya perlu sekurang-kurangnya habiskan sebuah buku.

Tapi bukankah 4 buah kali 12 bulan baru dapat 48 buah?
Ya, yang 2 buah lagi tu saya tambah baca di sela-sela waktu di mana ketika mood membaca saya sangat baik (doakan agar mood membaca saya sentiasa ada!) demi mencapai matlamat 50 buah buku dalam masa setahun ini. Bijakkan saya?? hehehehe

Selamat berjaya! Good luck! Ganbatte kudasai! Chaiyok! chaiyok!

2

11-1-11

Salam semua,

Sebenarnya saya tengah tension yang teramat ni. Ini kiranya semacam nak release sekejap laa..

Apa nak cerita ya?
Oh! hari ini tanggal 11 Januari adalah hari lahir kaknOOr. 'Selamat meraikan ulangtahun kelahiran kaknOOr! moga sentiasa dilimpahkan kurnia, diberikan kesihatan yang baik, dimurahkan rezeki dan sejahtera dunia akhirat'

Siapa kaknOOr?
Dia, adalah sahabat yang pertama kali saya kenali lewat anjung makcik raja sekitar awal tahun 2006. Dia sahabat yang menjadi kakak yang sangatttt baik pada saya. Kami ber'sapa' di dangau makcik raja, sama-sama menantikan kehadiran Alang & Nuha (sila baca novel Surat Ungu Untuk Nuha jika ingin tahu siapa Alang yang rebus tak empuk & Nuha). Dia, saya jumpa buat pertama kalinya di SOGO (ceritanya boleh baca ->di sini<-) Bermula detik itu dia terus menjadi sahabat & kakak yang paling memahami dan mengambil berat. Bahkan di bahu dia juga airmata saya pernah tumpah menangisi pemergian arwah kakak saya. Dan dia juga yang menjadi orang pertama yang saya khabarkan tentang berita sedih pemergian arwah kakak saya itu (ceritanya di sini). Dia bagaikan pengganti kakak saya. Dan sehingga detik dan saat ini hingga ke akhirnya dia akan tetap jadi 'kakak' saya yang saya sayangi.

Buat kaknOOr, mengenali dan menyayangimu adalah anugerah yang paling bermakna pernah berlaku dalam hidup wan... terima kasih untuk kasih sayang itu!

2

Cabaran 50 Novel Setahun ~ Buku 1 : Bidadari Hujan

Salam semua.

Sebagaimana yang dijanjikan entry kali ini saya akan berbicara fasal Cabaran 50 Novel Setahun (2011) yang saya azamkan. Untuk pembuka tirai tahun 2011 ini saya mulai dengan novel ini, Bidadari Hujan karya Noor Azzahra terbitan Jemari Seni.

Novel ini saya beli ketika berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 bulan April tahun lalu.

Kenapa ambil masa yang lama untuk membacanya?

Alasan saya: lambakan novel yang ‘banyak’ yang ada dalam simpanan saya ketika itu (pesta buku) menyebabkan saya jadi tertangguh membacanya. Yelah memborong buku bagaikan tiada hari esok! Bagaikan esok-esok juga nak bacanya... semua–sekaligus atau dengan kata lain tamak! Dan, inilah jadinya, terperap & terpuruk di rak!

Alasan lain, ketika itu (pesta buku) juga para penerbit berlumba-lumba menerbitkan karya penulis-penulis (bestseller) mereka yang sentiasa menjadi buruan para pembeli seperti saya. Jadi saya yang rambang mata ini, beli–beli–beli dan beli tanpa memikirkan bila waktu nak baca-baca-baca & bacanya. Lagipun bila dah banyak pilihan depan mata, biasanya keutamaan saya bila membuat pilihan adalah berdasarkan penulis yang saya sudah tahu ‘trend’nya. Yang saya harapkan saya akan berpuas hati ketika membacanya! Ketika usainya minggu Pesta Buku, novel lain pula yang mengambil tempat di rak.

Jadi inilah antara sebab-sebabnya kenapa karya ini agak terlewat untuk saya terokainya! Oh lupa pula saya nak beritahu, ini novel pertama karya Noor Azzahra yang saya baca dan mungkin juga yang pertama diterbitkan. Kalau silap maafkan saya!

Oklah berbalik pada novel ini.

Apa kisah dan ceritanya?

Bidadari Hujan ini berkisah tentang Rain – Raimy Haidar yang jatuh hati pada si dia, bidadari hujan yang memayunginya di satu pagi yang renyai. Tatkala hujan turun menyimbah bumi, dia muncul bersama sekaki payung meneduhkannya daripada titisan hujan. Dan hari itu, titisan hujan yang menimpa bumi bagaikan gugurnya kuntuman bunga yang indah dan mewangi pada pandangan mata Rain. Hujan rahmat buatnya. Dan dia jatuh cinta! (Baru saya sedar signifikan kulit novel yang sebegitu!)

Lia (Qamalia) – dia, bidadari hujan benar-benar telah membuat hati Rain panasaran. Dia yang cantik, dia yang hidup sekadarnya sahaja (bukan dalam golongan orang kaya) berjaya menawan hati Rain yang ada segala-galanya.

Namun harapan dan permintaan si nenek meranapkan seluruh impian Rain untuk membina istana bahagia bersama bidadari hujannya runtuh bagaikan rebahnya istana pasir pabila diterjah ganasnya sang ombak. Demi nenek yang dikasihi dia turutkan juga walau hatinya membantah. Demi nenek dia rela dalam terpaksa walaupun hatinya hancur luluh tak bersisa. Istana dibina tapi permaisurinya bukanlah si bidadari hujan yang dia puja. Rain nanar. Lia pasrah.

Sufi – dia wanita yang tak punya ‘rasa’ pada tanggapan Rain. Walau terang-terangan ditunjuk rasa tidak suka Rain pada si isteri, dia tetap begitu. Endah tak endah. Apa yang Rain tidak suka itu yang dibuatnya. Dia suka-suka masuk kemas bilik Rain (mereka berlainan bilik tidur). Dia suka-suka sambut Rain balik daripada pejabat. Dia suka-suka bawa air walaupun Rain tidak minta. Dia yang suka bercakap, walaupun Rain tidak suka mendengarnya. Pendek kata, dia suka buat benda yang Rain tidak suka! Noktah.

Tapi Rain tidak tahu, di balik raut cerianya dia juga punya rahsia yang mungkin hanya Rain sahaja tidak tahu. Dia ada kisah lalu yang pedih lagi perit untuk dilaluinya. Dan insiden yang meragut nyawa kedua orang tua Sufi merobohkan tembok hati Rain. Rain ingin meminjamkan bahunya pada Sufi, tapi Sufi pula sudah berubah sikap. Sufi yang sebelumnya telah menyebabkan tahap kesabaran Rain meletus terus membisu. “Dosa hari itu... Tuhan telah membalasnya pada saya semalam...” – ms 329 Sedihnya. Walau hakikatnya bukan salah Sufi pun!

Apa yang telah Sufi buat? Wujudkah rasa kesal di hati Rain kerana mengecewakan Sufi? Dan rumahtangga mereka, mampukah dipertahankan pabila orang yang selama ini menginginkan mereka bersatu, kembali pada yang SATU? Nak tahu kisah selanjutnya... bacalah Bidadari Hujan.

Apa istimewanya novel ini?

Apa ya? Oh! uniknya pada saya ialah watak utama dalam karya ini adalah seorang LELAKI. Ya, tonggak utama adalah Rain. Noor Azzahra berjaya menghidupkan 'Rain' sebagaimana sepatutnya seorang ‘jantan’. Yang ego, yang mementingkan diri sendiri dan yang paling utama yang tidak pernah cuba menyelami hati seorang wanita bergelar isteri. Atau kerana dia sudah tanamkan rasa ‘tidak suka’ pada si isteri jadi segala-galanya yang ada kaitan dengan si isteri buatkan dia jadi benci. Mungkin pada dia ‘Sufi’ adalah perosak pada kebahagiannya, kerana dia tidak mampu untuk menyalahkan si nenek yang dia kasihi?

Saya jadi kasihan pada Sufi. Dia wanita tabah yang berjaya menyimpan kemas sejarah lalunya pada pengetahuan Rain. Atau Rain yang tidak pernah ambil tahu? Atau Rain yang tidak pernah ‘buka mata’ memandang Sufi selayaknya seorang wanita dan isteri yang harus dilindungi, dikasihi dan dicintai?

Dan buku ini pada saya sangat sweet dengan penamatnya yang sebegitu. Oh ya! saya sukakan mainan bahasa penulis. 'Manis' sahaja pada pembacaan saya. Cumanya sahaja saya jadi tertanya-tanya... bila masanya si Sufi mula jatuh cinta pada Rain? Mungkin ada dinyatakan, hanya saya yang terlepas pandang. Apa-apapun cerita yang sangat sweet (pada saya) sebagai pembuka tirai 2011.


3

Salam tahun baru 2011

Salam semua,

Salam pembuka tirai buat semua sahabat-sahabat tersayang. Moga hadirnya lembaran tahun baru 2011 ini menjanjikan sejuta keindahan buat kita semua.

Walaupun tahun 2011 sudah 4 hari meninggalkan kita, harap masih belum terlewat untuk saya ucap selamat pada kalian semua ya! Selamat untuk semuanya...

01-01-11, saya berada di kampung. Balik kampung untuk mengambil jantung hati saya yang minta nak tinggal dengan Mok Tok di penghujung cuti sekolah. Sebenarnya alasan utama dia nak main dengan kak ti (sepupunya). Buat pertama kali dia, saya hantar ke kampung. Buat pertama kali dia jauh dari saya. Mulanya rasa cuak juga, mana tahu dia menangis nak balik, jenuh la mok tok nak pujuk, payah la tok wae nak kena hantar dia atau parah la sirman nak kena drive 7,8 jam. Tapi alhamdulillah, semuanya OK. Walaupun awal-awal tu dia agak bosan (mengikut kata si Ijat adik saya). Yelah, masa saya hantar, rupa-rupanya kak ti bercuti ke Melaka, dia balik selepas 2 hari saya balik ke KL.

Petang 01-01-11, saya dalam perjalanan balik dari Kelantan ke KL. Tiba dah lewat malam. Keadaan cuaca yang tidak menentu dengan hujan yang sesekali lebat mengiringi perjalanan kami, membuatkan sirman harus lebih berhati-hati ketika memandu. Lebih kurang jam 12.15 malam (pagi) ahad kami tiba di Usj.

02-01-11 tengah hari, kami keluar. Mula-mula ke IoI Mall, kemudian ke Shah Alam Mall belikan Aysha skuter yang dia idam-idamkan. Kemudian ke Seksyen 7 Shah Alam hantar barang adik saya Ijat yang menyewa di situ. Oh ya, si Ijat sambung buat degree kat Uitm Shah Alam. Tapi dia pulak yang keluar. Hampeh betullah adik saya sorang ni! hehehe sebenarnya salah saya yang datang lambat. Tapi mana saya tahu dia punya plan baik punya... pergi tengok wayang! isk isk isk. Nasib baik ada kawan serumahnya. Kemudian saya singgah beli tudung di Ariani (last day sale).

03-01-11, saya cuti sempena Aysha masuk sekolah. Bunyi macam si Aysha baru masuk tahun 1 aje... hehehe FYI Aysha tahun ni dah masuk tahun 3. Saja je saya ambil cuti, selain alasan nak selesaikan urusan pembayaran pendaftaran sekolah dia, saya juga nak belikan dia buku tulis. YA! saya patutnya beli awal-awal lagi, tapi biasalah saya ni, suka buat kerja last minit. Sama juga seperti bayar saman (speed trap) yang tertunggak dari tahun 2005 yang baru saya usaikan pada 31-12-2010. Itupun sebab last day saman traffic ada offer 50% & saya bayar thru myEg-dot-com-dot-my. Agaknya kalau offer 50% tu tak ada tarikh luput pastinya saya belum bayar lagi... hahahaha Rasa sayang nak bayar sebab bukan saya yang bawa kereta!! Jadi kenapa saya yang harus bayar? Haish Ops! melalut pula saya.

Selesai urusan di Sekolah kebangsaan Aysha, saya ke sekolah Kafa pula, jelaskan yuran pendaftaran untuk sessi persekolahan 2011, jelaskan yuran taska (transit), yuran taska bulan Dec 2010, yuran Van sekolah, juga beli buku tulis. POKAI saya... hari tu saja dekat RM1k melayang. Tapi demi anak, gigihkan juga mental dan fizikal. Jadi bulan satu ni saya kena PUASA beli apa yang patut... huhuhu tapi aura membeli (baca: habiskan duit) sukarnya nak kikis...

Selesai urusan sekolah Aysha, saya (ditemani sirman) ke Petaling Jaya. Saya nak withdraw EPF (akaun 2) saya untuk bayaran rumah. Mula-mula ke Jalan Yong Shok Lin sebab akaun rumah saya di situ. Ambil surat daripada bank, kemudian ke EPF. Memandangkan saya pernah keluarkan duit sebelum ini, saya hanya perlu sediakan surat daripada Bank, salinan kad pengenalan dan isi borang, itu sahaja! Alhamdulillah selesai dalam masa tak sampai 2 jam.

Daripada Petaling Jaya, singgah di Subang Parade, memikirkan saya ada voucher Parkson yang valid sampai 9 Januari. Saya ada RM100 voucher yang saya dapat dengan pembelian barangan SKII. Tak tahu nak beli apa. Berpusing-pusing dalam Parkson. Belek-letak-belek-letak. Belinya tidak lagi. Sampaikan sirman naik bosan menunggu. Daripada dia keluar, masuk balik, saya belum juga buat keputusan nak beli apa... huhuhu... daripada blaus kepada kot, hinggalah kasut, tak buat keputusan juga. Pegang blaus, jamah kot (tapi bila nak pakai kotnya sebab kat office saya ni pakai jeans dan t-shirt pun bos tak kisah - jadi kot tolak tepi). Kasut pula ada yang berkenan tapi saiz pula yang tak ada... hampeh betul. Selepas 2 jam berpusing-pusing, sudahnya saya beli blaus. Nak dijadikan kisah, bila cashier dah punch harga baru saya sedar yang vouchernya saya tak bawa...HAMPEHH sungguh! Melayang lagi duit saya... ingatkan dapat 'Free' rupa-rupanya 'tipah tertipu' huhuhu

Dalam perjalanan balik ke Usj, niat nak singgah bank, bayar hutang apa yang patut tapi hujan selebat-lebat hujan turun. Jadi niat ke bank saya batalkan dulu, tapi memandangkan perut lapar, singgah juga di Ubi Kayu untuk makan tengah hari.

Sementara tunggu nak ambil Aysha petangnya, nak berinternet sirman dah conquer, sudahnya saya bergolek-golek habiskan bacaan novel saya.

Ya, cabaran 30 novel setahun saya sudah bermula! Tapi saya gatal nak cabar diri saya untuk menghabiskan 50 buah novel untuk tahun ini. Jika didarab dikali, saya perlu baca lebih 4 buah novel dalam masa sebulan. Harap saya berjaya mencapai sasaran 50 novel setahun! Untuk senarai lanjutnya akan saya update kemudian ok!

Chaiyok! Chaiyok!


Back to Top