0

Tawaran menarik sempena KLIBF 2011 di booth Jemari Seni

Salam semua,

Buku Umum (Novel Pra-Cetak)

(novel terbaru Hlovate ~ Contengan Jalanan hanya sebuah novel (bukan 2 sebagaimana muka kulitnya ~ 2 cerita dalam satu novel ~ 2 sudut pandangan Fend & K-square)


Sempena pesta buku yang sedang berlangsung sekarang sehingga 1 Mei 2011, inilah antara pilihan menarik yang menanti kalian di booth Jemari Seni. Novel pra-cetak yang belum ada di kedai-kedai buku lagi. Hanya ada khusus di PWTC. Setiap novel baru terbitan tahun 2011 diberi diskaun 20% dan jika kalian membeli 3 buah buku (baru - terbitan Januari hingga pra-cetak) akan diberi satu beg 'bergaya' (paper bag)

Si Manis 17


Selain daripada itu, Jemari Seni juga memperkenalkan produk terbaru 'Si Manis 17'. Untuk pengetahuan semua, novel-novel ini bukan sekadar untuk remaja (si Manis 17) sahaja, tetapi ia juga sesuai untuk dibaca oleh segenap lapisan umur. (Psst kaksu kata, salah satu cara untuk 'awet muda' adalah dengan membaca bahan bacaan yang segar bak si manis 17... hehehe)

Setiap novel ini dijual dengan harga runtuh RM14 sebuah (harga sebenar RM17). Dan untuk kalian yang berani mencuba, boleh dapatkan kesemua koleksi (4 buah) ini dan anda akan dihadiahkan dengan sebuah paper bag 'bergaya' dan satu kipas 'berlagak' hehehe.

Oh ya! untuk anda yang ingin dapatkan novel-novel lain sebagai koleksi, anda akan diberi diskaun 30% untuk kesemua novel-novel terbitan tahun 2006 - 2010. Apa lagi ya?? rasanya kalian kena datang dan tengok sendiri baru syok kan??

Jadi... datanglah ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011 dan jangan lupa singgah di booth Jemari Seni yang terletak di Dewan Tun Hussien Onn (bersebelahan dengan eskalator/pentas utama). Jumpa anda di sana ya!!


9

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur...

Salam semua,

-credit to Rnysa yang gambarnya saya cilok daripada Facebook beliau-
[ gambar dirakamkan pada lewat petang (lebih kurang jam 6.30 petang hari sabtu oleh lensa kamera Rnysa ketika pengunjung beransur kurang ]

Hari ini merupakan hari ke-4 berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang ke-30 diadakan di PWTC. Bermula 22 April 2011, jumaat saya sudah berkampung di PWTC, secara spesifiknya di booth Jemari Seni (JS) yang terletak di Dewan Tun Hussien Onn (tingkat bawah bersebelahan dengan eskalator-pentas utama) bersama-sama dengan team PTS, Ana Muslim, Popular dan beberapa penerbit lain yang saya kurang pasti. Maaf. Tugas utama saya sebagai promoter jualan untuk Jemari Seni tidak mengizinkan saya untuk 'melawat jiran-jiran'. Bukan bos-bos JS tak bagi peluang tapi saya yang terlebih berdedikasi ini tidak cukup masa untuk mencelah! hahahaha (ayat bodek - supaya tahun depan bos-bos JS akan lantik saya sebagai promoter JS lagi... hehehe)

Hari pertama - jumaat, seawal pagi booth JS sudah diserbu oleh para pengunjung. Rata-rata menerkam buku terbaharu HLOVATE - Contengan Jalanan. Teruja untuk mendapatkan bookmark ekslusif lagi terhad bertandatangan penulis kiriman khas daripada Hlovate. Juga teruja untuk mendapatkan karya-karya pra-cetak daripada Syud (Baju Melayu Hijau Serindit), Saidatul Safaa (Quartet) dan Normaslina Masri(Mencari-Suami@JS.com). Juga teruja dengan tawaran hebat diskaun 20% untuk setiap buku baru (2011) dan 30% untuk setiap buku-buku terbitan Jemari Seni Publishing (2010 hingga 2006), juga 3 buah buku kompilasi (terpilih) untuk harga RM39.00 sahaja. Hebat tu! kalau kat kedai mana nak dapat harga runtuh sebegitu.

Menjelang ke tengah hari pengunjung bertambah ramai. Dengarnya di lobi utama Tun Mahathir datang untuk launching buku terbaharu beliau 'A Doctor In The House'. Pun tak sempat saya nak jenguk, padahal dekat sangat dengan pintunya... hanya beberapa langkah sahaja dah boleh nampak. Pun saya tak sempat nak intai. Buku-buku di rak pula sekejap sahaja sudah hampir kosong dan kena tambah. Itu baru hari pertama dan baru setengah hari!

Hari kedua dan ketiga - sabtu dan ahad, orang bertambah ramai sebab hujung minggu. Jikalau hari jumaat, booth JS sudah penuh, hari sabtu dan ahad apatah lagi. Berganda-ganda, hinggakan nak bergerakpun sukar. Dan saya sampai kering tekak dok bercakap... hahahaha

Cumanya tahun ini saya tidak punya masa untuk bersama-sama geng Ulatbuku menerjah booth ke booth misi mencari buku dan bertemu dengan penulis. Tapi bagus juga sekurang-kurangnya saya tak habis banyak duit borong buku. Lagipun saya sudah bertekad untuk berhemat. Jangan terkejut kalau saya katakan ada antara buku-buku yang saya beli masa Pesta Buku tahun lepas masih elok dalam plastik! Belum dibuka dan dibaca! Jadi misi saya cuba untuk menghabiskan dulu mana yang ada. Tapi membeli tetap membeli cuma kurangkan aje! (huhuhu ayat bela diri, nanti bila saya belikan kalian akan kata "kata tak nak beli, tapi beli jugak!")

Saya juga sangat berbesar hati bila ada antara 'adik-adik' saya yang belum pernah saya bersua muka, sudi menyapa saya. Memperkenalkan diri pada saya. Dan minta maaf andai saya agak tidak 'bersahabat' maklumlah penat! Tapi saya cuba sedaya mungkin. Dan kalau boleh setiap 'adik-adik' saya, saya nak peluk kuat-kuat. Terima kasih pada Dawlin Zainudin, pada kakmid (Hamidah Hassan), pada Siti Suhaili, pada Airina, pada Almiza Razak, pada Khairun Nisaq dan beberapa orang yang saya sudah terlupa nama. Juga kak Azieazah yang berbalas kunjungan dengan saya... hehehe. TERIMA KASIH... TERIMA KASIH... TERIMA KASIH kerana kalian sudi memperkenalkan diri. Juga pada geng-geng ulatbuku -kaknOOr, nacha, kaknOtie, adhan, iejay, wabbit, mamaerra, carrie. Juga gengkicap - Dd, Kucc, kak Jua, Rinn. Sayang korang semua!!!

Seronok. Itulah ayat yang tepat untuk saya gambarkan bagaimana perasaan saya selama tiga hari saya berkampung di PWTC. Nawwir cukup risau dengan saya. Bimbang kalau-kalau saya terlampau penat dan jatuh pengsan. Hehehe bimbang sungguh dia, padahal saya ok-ok aje! Lagi bersemangat ada lah!. Tak sabar nak tunggu minggu depan, pastinya pengunjung bertambah ramai, ye lah dah hujung bulan, gaji dah masyukk dan bersambung pula dengan cuti umum hari pekerja. Harap saya dapat bertemu dengan kalian lagi...

daaaa......

4

(12) Leraian Novella ; (13) Sayangku... Aini Sofea!

Leraian Novella
Pengarang: Norhisham Mustaffa
Halaman : 276
Tahun : Cetakan Pertama – 1997
Terbitan : Creative
Harga : RM15.90

Blurb

Irama syairku hanyalah untukmu...

Nirwan Bakhtiar bagaikan permata berharga dalam hidup Atma Afiza. Tidak akan dihilangkan dari genggaman walaupun ada tangan-tangan yang cuba merampasnya. Dia rela bergadai nyawa demi menjaga kesucian kasih sayang mereka. Dan kematian Nirwan hanya menjadi penyudah kepada sebuah jalinan novella ciptaan mereka berdua. . .

Aduh Atma. . .
Tak mungkin kita lakukan itu. Bertahun-tahun kita bina nama yang baik, kita bangunkan citra yang mulus, tiba-tiba hari ini kita musnahkan semua itu hanya kerana kita harus berebut keinginan untuk hidup bersama?


Sinopsis:

Novella Atma Afiza dan Nirwan Bakhtiar dikisahkan oleh Ana – Nunung Rohana, sahabat baik Atma Afiza yang sudah dianggap bagaikan saudara, bagaikan adik beradik. Bahkan persahabatan mereka melangkau pada perhubungan erat dua keluarga. Kedua orang tua Atma seperti ibu dan bapa angkat pada Ana. Begitu juga kedua orang tua Ana bagaikan papa dan mama pada Atma.

Kisah bermula apabila Atma Afiza perkenalkan Nirwan Bakhtiar seorang pengiat sastera, seorang novelis yang berusia dua kali ganda usia Atma Afiza, kepada Ana. Nirwan Bakhtiar yang dikenali Atma Afiza lewat majlis-majlis sastera yang disertainya. Pertemuan pertama Ana dengan Nirwan Bakhtiar menimbulkan rasa kurang senang Ana pada Nirwan Bakhtiar. Pada Ana, Nirwan terlalu ‘tua’ untuk Atma yang baru menjangkau usia 20 tahun. Perhubungan ‘akrab’ antara Atma Afiza dan Nirwan Bakhtiar menimbulkan rasa jengkel di hati Ana pada mulanya. Dan dalam jangka masa yang sama Atma Afiza telah ditentukan jodoh dengan Taufik seorang pegawai bank oleh Pak Yim – ayah Atma, Tuk Pin – datuk dan Nek Yah – neneknya.

Bermula konflik di jiwa Atma yang tidak sukakan Taufik tetapi dia tidak mampu untuk mengatakan ‘tidak’ pada keputusan yang telah dibuat oleh Pak Yim, Tuk Pin dan Nek Yah. Di masa yang sama perhubungan Atma Afiza dan Nirwan Bakhtiar mula dihidu oleh keluarga Atma. Keadaan bertambah parah apabila Atma antara takut dan berani menyuarakan rasa tidak suka pada Taufik dan minta diputuskan tali pertunangan antara mereka. Dan paling tidak disangkakan, Nirwan Bakhtiar adalah anak Su Saemah sepupu Mak Non – ibu Atma Afiza. Anak saudara yang tersisih dari keluarga. Dua pupu dengan Atma yang tidak pernah dikenalnya!

Jalinan kisah yang berselirat menjerat dua jiwa dalam kancah hidup yang tidak berkesudahan. Dan konflik yang terjadi dalam keluarga mereka menjadi barah yang membunuh jiwa Atma Afiza untuk meneruskan hidupnya. Dan kematian Nirwan Bakhtiar menjadi penyudah pada ceritera novella mereka.

* * *

Sayangku... Aini Sofea!
Pengarang: Norhisham Mustaffa
Halaman : 115
Tahun : Cetakan Pertama – 1998
Terbitan : Creative Enterprise Sdn Bhd
Harga : RM5.90

Blurb

Aku bagai pelancong asing. Datang tatkala kau sudah bukan milikku...

Aku terasing di sini tanpa arah dan haluan... Yang ada hanya kenangan dan tuntutan naluri diulit janji. Namun, mengapa mereka seolah tidak pernah mengenal aku? Aku dilayan bagai peminta sedekah sedang aku adalah pemilik seluruh kekayaan ini.


Sinopsis:

Syahrul Nizam, kedatangannya dinanti tapi malangnya dia tidak dikenali. Lantaran kehadirannya dipandang sebelah mata. Namun kehilangannya dijejaki dengan harapan untuk menjernihkan kembali keadaan. Apatah lagi dia adalah pewaris kekayaan Warisan Holding yang ditinggalkan oleh arwah bapanya.

Kehadirannya bukan untuk mengganggu urusan Warisan Holding. Urusannya adalah urusan peribadi. Urusan untuk menunaikan janji. Perjalanan berpuluh ribu batu yang diimpikan untuk mengapai bahagia, namun yang terbentang di depan mata meragut seluruh rasa bahagia yang ada dihatinya.

Bumi Los Angeles menemukan mereka – Syahrul Nizam dan Aini Sofea. Janji diikat dengan satu harapan untuk bahagia bersama. Namun janji hanya tinggal janji. Tanjung Bidara meranapkan seluruh impian mereka untuk hidup bersama. Kehadirannya disambut dengan majlis perkahwinan dan pengantinnya adalah Aini Sofea. Sedihnya rasa hati bila harus menyaksikan kekasih hati bersanding dengan lelaki lain!

Aini, aku pergi.
Aku tak pasti apakah aku akan kembali lagi ke Malaysia.
Tapi percayalah, aku cintakan Malaysia, seperti aku tetap mencintaimu.
Malaysia tetap tanah airku.
Engkau pun tetap dewiku.
Dirgahayu Aini!
Dirgahayu sayangku!



Rasa Saya:

Saya marathon karya Norhisham Mustaffa (NM). Ini bukan kali pertama saya membaca buku-buku ini. Saya sudah lupa saya membaca untuk kali yang ke berapa! Dan untuk kesekian kalinya, saya tetap suka. Tiap kali saya menatap bait-bait ayat garapan NM, tiap kali itu juga hati saya terkesan, jiwa saya tersentuh.

Bagi saya NM seorang penulis yang menulis dengan hati! Setiap karya garapan beliau yang saya baca, pasti kisahnya menusuk ke jantung hati saya. Segala rasa suka, duka, sedih, sebak, gembira bahkan pelbagai rasa yang hadir di hati mereka – watak lakaran penulis – saya turut sama merasainya. Saya akan menangis bila ‘mereka’ berduka, saya tumpang gembira bila ‘mereka’ bahagia (tapi yang banyaknya saya menangis!)

Saya cuba keraskan hati pabila membaca karya-karya NM, tapi sering kalinya saya gagal membendung airmata dari menitis. Saya sering kali kalah dengan perasaan saya sendiri. Inilah kelebihan penulis pada saya. Dia bijak mencuri tumpuan dan perhatian saya sepenuhnya. Walau saya sedar, kisah ini hanyalah rekaan penulis, dan saya tahu saya sudah baca kisah ini untuk kesekian kalinya tapi berkali-kali itu jugalah saya akan menitiskan airmata! Atau paling tidakpun pasti airmata akan bergenang di kelopak mata.

Kisah garapan NM hanyalah kisah-kisah biasa. Kisah golongan marhaen yang hidup seadanya. TAPI yang luarbiasanya adalah bagaimana penulis membawa kita sebagai pembaca menghayati dan turut serta merasai apa yang dirasai oleh watak-watak ciptaannya. Dan apa yang paling berkesan di hati saya adalah, latar cerita yang dikisahkan dalam sesetengah karya beliau berjaya menggamit ingatan saya pada nostalgia yang pernah saya lewati. Melahirkan kerinduan yang tidak terluah pada kenangan lalu yang telah saya tinggalkan.

Latar cerita dalam Leraian Novella yang berkisar di sekitar bandar Kota Bharu dan kawasan sekitar yang dibayangkan dalam novel ini sangat dekat di hati saya. Ingatan pada ‘rupa’ Kota Bharu yang pernah saya lewati era 80an – 90an. Zaman telefon genggam masih belum ada atau belum berleluasa dalam kamus hidup masyarakat. Era telefon awam yang masih lagi berfungsi sebagai alat perhubungan yang penting. Bukan sekadar menjadi objek ‘vandalisme’ anak-anak muda yang tidak bertanggungjawab. Ia sangat menggamit ingatan pada tanah kelahiran saya yang sedang mengalami perubahan atas nama pemodenan. Sesungguhnya novel adalah salah satu alat perakam sejarah yang tidak pernah lapuk jika kena dengan caranya.

Kita juga akan lebih rasa terkesan apabila kisah yang dipotretkan itu dekat di hati kita. Begitulah kisah yang dipotretkan oleh NM dalam Leraian Novella ini. Kisah yang berlatarbelakangkan cara hidup anak-anak kampung sangat dekat di jiwa saya, begitu akrab dihati saya. Persahabatan antara watak Ana & Atma, pernah saya lalui. Saya pernah bersahabat baik seperti mana Ana & Atma bersahabat, bukan hanya sekadar berkawan dengan anak, bahkan saya dilayan bagaikan anak sendiri oleh ibu sahabat saya yang saya seru dengan panggilan ‘Ma’. Membaca Leraian Novella saya bagaikan membuka kembali diari lama yang sudah saya tinggalkan.

Saya juga sukakan bahasa NM. Bahasa orang lama yang penuh nilai-nilai estetika, penuh santun lagi berseni. Oh! terselit juga dialek negeri yang membuatkan saya teruja pada moleknya bahasa negeri saya. Menjentik semangat jati diri saya sebagai anak kelahiran negeri yang pernah tersohor dengan gelaran ‘Tanah Serendah Sekebun Bunga’ ini.

Penulis juga membuatkan saya tumpang bangga menjadi anak Melayu. Watak garapan NM menyuntik semangat jati diri anak melayu walau di mana mereka berada. Seperti watak Syahrul Nizam dalam Sayangku Aini Sofea, walau dilahirkan di bumi Amerika, walau ibunya wanita Amerika, tetapi dia tetap teguh mempertahankan kemelayuannya walau berada di bumi asing yang jauh daripada bangsa Melayu. 'Wajah' anak melayu yang penuh santun dan berbudi bahasa.

Saya sangat rindukan tulisan NM dan saya belum jumpa lagi seorang ‘Norhisham Mustaffa’ di dalam setiap karya yang saya baca dekad ini. Bukan. Saya bukan mencari 'klon' Norhisham Mustaffa, tetapi cukup sekadar legasi yang dibawa oleh orang-orang lama diteruskan oleh pengkarya muda hari ini. Menulis dengan sepenuh jiwa agar karya mereka akan sampai ke hati pembaca seperti saya. Sebuah karya yang telus dan mulus walaupun kisahnya bukanlah semulus yang kita inginkan. Hidup ini adalah realiti yang harus kita hadapi bukannya fantasi.

Bacalah juga Kasih Orang Terbuang, anda pasti perlukan sapu tangan untuk mengelap airmata yang bakal luruh di pipi.

Selamat membaca, moga bermanfaat


8

Menghitung Hari...

Salam semua,

Tinggal lagi 14 hari pesta yang dinanti-nanti bakal tiba. Pesta ini pesta ilmu (insyallah) kerana ia menghimpunkan puluhan ribuan buku (agaknyalah) dalam satu bangunan yang dinamakan PWTC. Syurga pada penggemar buku. Boleh dapatkan pelbagai jenis buku di satu tempat. Syurga juga pada penerbit-penerbit buku yang berlumba-lumba hasilkan buku-buku yang berkualiti (hendaknya) untuk para penggemarnya. Tapi apa yang pasti, saya puasa sebulan lepas pesta buku sebab duit habis buat borong buku... hahaha (senarai buku yang wajib beli saya sudah berderet!)

Dan kalian akan nampak kelibat saya di sini.
Kalau sudi tu, sapalah saya ya...


Tak sabarnyaaaa...

3

(11) AD + IZ

Pengarang : Eury Athena
Halaman : 636
Tahun : Julai 2010
Terbitan : Kaki Novel
Harga : RM21 / RM24


Blurb:

Kita dirancangkan untuk bertemu..
Kita ditakdirkan untuk berjumpa..
namun adakah untuk bersatu.. buat selamanya?


Adrianna Mayesa, seorang pekerja butik pakaian yang sanggup berbuat apa sahaja untuk menyara keluarga tirinya walaupun sering ditindas, malah dieksploitasi oleh mereka.

Salah faham yang berlaku ketika dia menghantar pakaian ke rumah pelanggan, membuatkan Adrianna terjebak ke dalam perkahwinan kontrak yang merubah tiga ratus enam puluh darjah paksi hidupnya.

Bermula dari detik itu, dia hidup dalam kemewahan di samping Tengku-Tengku yang bermacam ragam, di samping menjalani kehidupan sebagai seorang isteri kepada Tengku Farriel Izumi, seniornya ketika di sekolah yang tidak pernah suka dan senang dengan kehadirannya.

Di saat Adrianna mula selesa dengan kehidupannya sesuatu yang selama ini dirahsiakan dan langsung tidak diketahuinya muncul... lantas meragut kebahagiaannya.

Aku sanggup mempertaruhkan segala milikku untuk mencintaimu...


Rasa Saya:

Sebuah lagi kisah kahwin kontrak yang saya baca. Kisah tentang Adrianna Mayesa (AD) dan Tengku Farriel Izumi (IZ) yang berkahwin atas dasar kontrak. Berkahwin untuk tempoh tertentu.

Adrianna si gadis yang berada di saat dan tempat yang salah. Di masa yang sama timbul pula salah faham menyebabkan dia terperangkap dalam situasi yang tidak dia jangkakan. Dia yang bekerja di butik pakaian, ditugaskan untuk menghantar baju yang telah ditempah ke rumah pelanggan dan entah di mana silapnya dia disangkakan bakal tunang kepada Tengku Farriel Izumi oleh juru mekap yang ditugaskan untuk menata-rias wajah bakal tunang Tengku Farriel Izumi.

Tengku Farriel Izumi menghadapi konflik dengan Marina Irriani, teman wanitanya. Marina yang belum bersedia untuk bertemu muka dengan keluarga Farriel, ‘mengupah’ kawannya Lisa untuk menggantikan tempatnya. Dalam kekalutan dan salah faham itulah, tempat Lisa telah di ‘ambil alih’ oleh Adrianna.

Demi menutup rahsia, dan demi menjayakan acara ‘bertemu bakal mertua’, Adrianna bersetuju untuk menyamar dan dibayar sebanyak RM30,000.00 sebagai upahnya. Malang bagi Adrianna, majlis suai kenal antara keluarga bertukar menjadi majlis akad nikah mereka dengan olah Nenda Nerissa – nenek Farriel. Adrianna hanya berpeluang menjadi ‘kekasih’ Farriel selama 3 jam 30 minit dan 39 saat dan tepat jam 12.00 tengah malam mereka sah menjadi suami isteri. Bermula detik itu, paksi hidup Adrianna berubah total.

Pelbagai insiden dan konflik berlaku dalam kehidupan Adrianna dan Farriel selepas bergelar suami isteri. Tidak kurang juga pelbagai masalah timbul ekoran ‘penipuan’ mereka. Berjayakah mereka mengatasi setiap masalah yang mendatang? Apatah lagi ada yang tidak senang dengan kehadiran Adrianna dalam keluarga ‘Tengku-Tengku’ itu.

* * *

Saya tidak tahu bagaimana harus memulakan bicara fasal buku Ad+Iz ini. Ini merupakan karya pertama Eury Athena yang saya baca. Kisah tentang si gadis yang menjadi mangsa keadaan kalau boleh saya andaikan begitu.

Watak Adrianna digambarkan sebagai seorang gadis yang agak ‘kalut’?? Atau blurr?? Tinggal bersama ibu tiri, bapa tiri dan saudara tiri apabila ibu kandungnya yang berkahwin Pak Cik Bakar (bapa tiri) meninggal dunia dan bapa tirinya pula berkahwin dengan Mak Cik Midah (ibu tirinya sekarang). Pening juga saya nak fahamkan situasi si Adrianna ini pada awal-awalnya. Dan sememangnya novel ini betul-betul mencabar imaginasi saya!. YA, saya suka berimaginasi apabila membaca!

Sebagai anak tiri, segala tanggungjawab mencari rezeki dibebankan di pundaknya. Bapa tirinya pula peminum (arak) dan berhutang dengan 'Ah Long' kerana ibu tiri dan saudara tirinya suka bermewah dan menghabiskan duit bapa tirinya, dan dialah yang harus menyelesaikan masalah hutang tersebut. Saya masih tidak faham kenapa asal sahaja ada watak ‘ibu tiri – anak tiri’ harus ada diskriminasi kasih sayang? Rasanya tak semua ibu tiri itu wataknya harus ‘jahat’ dan anak tiri pula sering dijadikan mangsa! Ini tidak adil! *ala-ala S. Kadarisman dalam 3 Abdul* hehehe... Rasanya kita harus ubah stigma masyarakat tentang ibu tiri yang kejam dan anak tiri yang ditindas ini dalam penulisan.

Tapi yang bagusnya, keadaan ini, boleh mengajar seorang 'Adrianna' si anak tiri ini hidup berdikari, tahan segala dugaan dan cabaran. Mengajar dia erti sabar dan tabah menghadapi setiap halangan yang datang dalam hidupnya.

Di awal pembacaan, saya tertanya-tanya, semudah itukah majlis akad nikah dilangsungkan? Hanya dalam masa tidak sampai 4 jam mereka sah sebagai suami isteri? Bila masanya mereka menghadiri kursus perkahwinan? (mereka -Adrianna & Farriel- tidak pernah kenal dan Adrianna pula tiada teman lelaki) Segala urusan nikah kahwin sebegitu mudahkah?? Minta maaf ya, kerana ketika saya berkahwin lebih 11 tahun lalu, urusannya agak rumit dengan segala borang yang harus diisi dan disahkan oleh penghulu/penggawa (di daerah saya la)... pendek kata dalam masa tak sampai 4 jam tu, agak singkat pada saya. Atau sebab mereka keluarga ‘Tengku-Tengku’ jadi segala urusan ‘bisa di atur’!!?? hhmmmm... boleh difikirkan...

Saya juga terganggu dengan beberapa kesilapan fakta yang seharusnya diteliti oleh penulis ketika menggambarkan sesuatu tempat. Contohnya seperti insiden kejar mengejar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Ihsan nampak kau kejar Marina kat KLIA. Kebetulan flight dia baru tiba dari New York. Masa kau tengah busy kejar Marina tu la kau langgar aku. Aku pulak terlanggar Si Ihsan. ... ...” (ms.66)

Dikaitkan dengan situasi Adrianna mengejar Puan Karen yang akan berlepas ke Thailand dan di masa yang sama Farriel mengejar Marina yang sama-sama mahu masuk ke Balai Berlepas (ms 6) – situasi mereka sama-sama berlari menuju ke arah balai berlepas.

Yang menjadi tanda tanya di benak saya, sejak bila Balai Perlepasan dan Balai Ketibaan di KLIA di lantai yang sama? Betulkan saya jika saya salah (maklumlah saya jarang naik MAS)... seingat saya Balai Perlepasan di tingkat atas dan Balai Ketibaan di tingkat bawah.

Pada saya, penulis telah cuba sebaik mungkin untuk menghasilkan karya ini namun sayangnya ia belum cukup baik untuk skala saya. Skala saya mudah sahaja, cerita yang simple (tidak perlu konflik yang kronik) tetapi logik di akal pun sudah cukup. Atau mungkin kerana saya lebih gemarkan karya yang lebih ‘jejak ke bumi’, yang saya boleh kaitkan dengan hidup kita seharian. Yang saya boleh jadikan panduan dan pedoman.

Walau bagaimanapun TAHNIAH buat penulis yang telah berjaya menghasilkan karya ini walaupun masih ada beberapa kelemahan yang boleh diperbaiki. Saya tahu bukan mudah untuk berkarya. Menulis, semua orang boleh menulis, tetapi untuk mengikat hati pembaca agar suka dengan setiap karya yang ditulis itulah yang payahnya. Moga penulis akan terus berkarya dan menghasilkan karya-karya yang lebih baik selepas ini.

Selamat membaca... moga bermanfaat.

0

Keputusan Cabaran 50 Buku : Mac 2011

Salam semua,

Selepas 3 bulan berlangsungnya acara ‘Cabaran 50 Buku – Jom Lomba Baca!’, dan sebagaimana yang dijanjikan, inilah senarai 10 ulasan terpilih antara yang terbaik yang dipilih oleh panel penilai. (Harap maklum, bukan mudah mereka nak buat pilihan ya!)

1. Aimie (Azizah) – 3 Jantung Hati
2. Airina – Odisi Bulan Biru
3. Anita Sang – Cinta Dari Istana
4. Arirada – Kau Curi Hatiku
5. Ayu Abu Bakar – Jaja & Din
6. Mardihah Adam – Namaku Bukan Maria
7. Melihat Buku – Tunggul-Tunggul Gerigis
8. Noor Hekmat – 5 Tahun 5 Bulan
9. Xana – Rayyan Fantasi
10.Wan Amalyn – Tok Janggut
(tidak mengikut susunan)

Untuk makluman semua, pemilihan dibuat berdasarkan beberapa kriteria antaranya:
• Ulasan yang mempunyai pendapat dan pandangan peribadi pengulas tentang sesebuah buku yang mereka baca dan ulas. Dan pendapat serta pandangan itu difahami/sampai pada pembaca lain.
• Ulasan yang dibuat juga mampu menarik minat pembaca lain untuk mencari dan membaca karya yang diulas itu.
• Ulasan tidak semestinya pro sahaja, pengulas boleh mengkritik melalui ulasan mereka TETAPI dengan cara yang berhemah bukan menjatuhkan mana-mana pihak.
• Ulasan yang menggunakan ‘bahasa yang betul’ akan diberi keutamaan oleh panel penilai. Cuba elakkan guna singkatan ayat, juga gunakan struktur ejaan yang betul (contoh: begitu bukan gitew)

Walaupun mungkin ini hanya sekadar acara ‘main-main’ pada kalian, tapi kakwan amat berharap agar kita semua menjaga dan memartabatkan bahasa ibunda kita ini. Lagipun kita ada penaja (Jemari Seni Sdn Bhd) yang amat menitikberatkan penggunaan bahasa yang baik dan betul (tidak perlu bahasa berbunga-bunga). Jadi kita harus menghormati dan menghargai sumbangan ikhlas daripada penaja kepada grup kita ini dengan cara berbahasa dengan betul!.

Sehingga kita bertemu di bulan hadapan, dan jangan lupa tanggungjawab kalian untuk terus menghantar ulasan-ulasan terkini. Sekian.

Bahasa Jiwa Bangsa.... Jom kita Lomba Baca!


Kak Wan


Nota: Bagi sesiapa yang masih belum beri alamat yang boleh dihubungi untuk tujuan penghantaran buku, maklumkan pada kakwan bagaimana buku ini boleh sampai ke tangan anda dengan selamat.
0

WA : Cabaran 50 Buku : (10) Aku Yang Kau Tinggalkan

Pengarang : Alina Haizar
Halaman : 759
Tahun : Cetakan kedua – Mac 2011
Terbitan : Kaki Novel
Harga : RM25 / RM28

Sinopsis

Aku Yang Kau Tinggalkan ini berkisah tentang Nia Atikah seorang anak yang harus berkorban demi kepentingan keluarganya. Apabila si adik yang selama ini ‘menurut kata’, tiba-tiba melarikan diri di saat barangan hantaran cantik tersedia, yang hanya menunggu hari berlangsungnya majlis akad nikah, memaksa Nia berkorban. Demi maruah keluarga, demi kepentingan ibu dan adik-adiknya dia pasrah merelakan diri mengambil tempat si adik. Dia harus berkahwin dengan lelaki yang menjadi tunangan si adik.

Zaril Ikhwan – dia lelaki malang yang kehilangan upaya. Dia lelaki yang tidak berdaya. Kemalangan yang dialami telah meragut seorang Zaril Ikhwan yang punya segala-galanya – kebijaksanaan, kebolehan bertutur dan keupayaan berjalan. Dia bagaikan hilang semuanya kecuali si nenek yang sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingannya. Hatta mencari seorang isteri untuk menguruskannya di masa hadapan andai tiada siapa yang akan merawatnya.

Perkahwinan Nia Atikah dan Zaril Ikhwan bukanlah atas dasar cinta. Ikatan mereka atas dasar kepentingan diri masing-masing. Nia menerima Zaril kerana wang dan Zaril menerima Nia kerana dia perlukan ‘penjaga’. Ikatan bersulamkan syarat. Syarat berlandaskan kontrak. Itulah asal perkahwinan mereka.

Siapa menduga, cinta datang di antara mereka. Namun cinta sahaja tidak memungkinkan ikatan berjalan mulus atas landasannya. Andai ada hati yang membenci, andai ada tangan yang merungkaikan ikatan, cinta sahaja tidak cukup untuk ikatan perkahwinan kekal selamanya.

Nia pasrah andai itu takdir buatnya. Dia pergi tatkala si suami kembali normal atas usaha dan semangatnya. Namun, mampukah dia hilangkan kelibat Zaril dari ingatanya kalau cintanya pada Zaril sudah sehati dengan jiwanya? Walau di manapun kakinya melangkah bayangan Zaril terus merantainya.

Rasa Saya:

Membaca judulnya, saya bagaikan pernah ‘melihat’ tajuk ini. Puas saya fikir, baru saya teringat. Saya pernah berkongsi rasa dengan pembaca tentang novel yang menggunakan judul yang sama. Ia karya Hendan Yahya terbitan Creative yang pernah saya baca lamaaaaaa dulu. Oh! jangan risau, hanya kesamaan pada judul sahaja bukan ceritanya. Kisah yang satu lagi, anda boleh baca di ->sini<-

Okey, berbalik kita pada kisah garapan Alina Haizar ini. Sebenarnya ini merupakan karya pertama garapan penulis ini yang saya baca. Untuk saya yang pertama kali 'mengenal' tulisan penulis ini, karya ini tidak menghampakan saya. Kisah yang agak menarik pada saya lah. Kisah pengorbanan seorang anak terhadap ibu. Kisah pengorbanan seorang kakak pada adik-adiknya. Kisah pengorbanan seorang isteri pada suaminya. Dan kisah pengorbanan seorang ibu untuk anaknya.

Saya sukakan semangat juang Nia, walaupun di masa yang sama dia harus merawat hatinya yang luka. Dia tidak pasrah pada keadaan yang menekannya. Dia bangkit walaupun dia harus mengorbankan rasa cintanya pada Zaril dan ikatan perkahwinan mereka yang menjadi galang gantinya. Dia teguh berdiri walau hakikatnya dia hampir tumbang. Berbekalkan semangat Hazeril yang menjadi sumber kekuatannya, dia terus berjuang tanpa mengenal erti lelah.
- Siapa Hazeril? Orang ketigakah?? jeng.. jeng.. jeng

Sesungguhnya ikatan perkahwinan adalah perkongsian dua jiwa dalam melayari hidup berumahtangga. Namun baik Nia mahupun Zaril, mereka berkahwin atas dasar ‘kahwin kontrak’ – Nia menerima Zaril demi wang dan Zaril menikahi Nia kerana perlukan ‘pengasuh’. Walaupun wujud rasa cinta dan kasih antara mereka, namun mungkin kerana tujuan perkahwinan mereka tersasar, natijahnya ikatan perkahwinan mereka berantakan.
- Itulah yang terlintas di fikiran saya ketika 'menghadapi' situasi yang menimpa Nia & Zarul. Sesungguhnya bila saya membaca, saya gemar membandingkan plot cerita dengan suasana yang kita hadapi hari ini. Kerana saya percaya sedikit sebanyak penulis pasti akan mengambil iktibar akan hal ehwal yang berlaku di seputar kehidupan kita di dunia sebenar.

Keberkatan dan restu ibu-bapa juga sangat penting dalam menentukan keharmonian rumahtangga. Puan Hanida ibu Zaril sedari awal menolak Nia atas alasan, Nia tidak sesuai untuk bergandingan dengan Zaril Ikhwan, anaknya. Ditakdirkan nasib Zaril tidak sebegitu, tidak mungkin Nia yang menjadi pilihan anaknya, itu anggapan Puan Hanida. Bagi Puan Hanida, perkahwinan yang diatur oleh Puan Zainon –Si Nenek– sangat tidak sesuai dengan keluarga mereka.
- Saya jadi tidak suka dengan sikap Puan Hanida, kerana dia sendiri bagaikan lupa akan tanggungjawabnya sebagai ibu kepada Zaril. Dia bagaikan lepas tangan akan nasib Zaril pada si nenek. Saya tidak boleh terima sikap Puan Hanida yang hanya ambil berat apabila si anak sudah pulih? Ish, kasihan sungguh dapat ibu sebegitu...kan?

Apatah lagi perkahwinan Nia–Zaril berserta dengan sejumlah wang ‘taruhan’ menambahkan lagi rasa jengkel Puan Hanida pada Nia yang dirasakan tidak ikhlas menerima Zaril yang tidak berdaya. Akibatnya rumahtangga Nia-Zaril, sukarnya nak bahagia. Dengan campurtangan dan olah Puan Hanida jugalah menyebabkan Zaril bagaikan ‘membuang’ Nia setelah dia sembuh, dan Nia yang memilih wang berbanding Zaril menguatkan lagi prasangka buruk Zaril pada Nia.

Nia merasakan dia dibuang setelah ‘khidmat’nya tidak diperlukan lagi, dan Zaril merasakan dia tidak lagi perlu ‘dijaga’ oleh Nia menyebabkan Nia membuangnya. Sudahnya, begitulah mereka...

Takdir menemukan mereka. Bumi Turin menjadi saksi selepas 5 tahun mereka terpisah. Pertemuan yang tidak seindah yang diharapkan. Zaril yang bakal berkahwin dengan Suzanna dan Nia yang di‘syaki’ oleh Zaril sudah punya pengganti dirinya. Sukarnya nak raih bahagia bila masing-masing tidak ingin mengaku masih berkongsi rasa cinta yang sama. Dan bila rahsia mula tersingkap, masih ada rintangan yang harus ditempuhi. Dan sesungguhnya bahagia itu adalah apabila dugaan dan cabaran yang mendatang ditempuh dengan ikhlas dan sabar.
- Ada ketikanya saya merasakan Zaril itu bersifat pentingkan diri sendiri! Kenapa selama ini (dalam tempoh 5 tahun) tidak dicari Nia? Oh kerana Nia yang membuangnya, jadi apa perlu lagi dicari? Begitu? hish... saya jadi emo pulak bagi pihak 'Nia' hahahahaha

Dan tatkala halaman terakhir saya noktahkan saya masih terfikir, apa signifikannya Mak-Mak Datin tu terlibat sama dengan lawatan rasmi 'para suami' ke 'Pusat penyelidikan yang begitu aktif dalam mereka cipta teknologi-teknologi tinggi'-ms 8 itu? Kenapa tidak diatur rancangan berasingan untuk para isteri? Tapi lawatan ke gedung-gedung membeli belah, memborong barangan berjemana itu sangaaaatlah relevannya kerana sayapun suka shopping juga... hehehehe

Sebagaimana saya impikan dalam hidup ini untuk tetap rasa bahagia, begitulah pengakhiran kisah ini yang membuatkan hati saya rasa bahagia dan moga saya juga akan terus berbahagia selama-lamanya... itu doa saya untuk kalian juga... aminn

Selamat membaca, moga bermanfaat.

Back to Top