0

Salam....

Salam semua,

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan limpah kurnianya saya masih lagi diberi kesempatan untuk menghirup udara di alam maya ini. Setelah hampir 5 windu diberi peluang untuk menjadi penghuni dunia ini, pelbagai macam perkara, kejadian yang telah saya harungi. Yang pahit, yang manis semuanya ada. Waktu susah mahupun senang telah berjaya saya harungi... dan hanya satu ungkapan yang mampu saya zahirkan, Syukur Alhamdulillah. Saya bersyukur sangat-sangat kerana saya dikelilingi oleh mereka yang menyayangi saya dan yang saya sayang!

Hari ini, saya masih di sini... menyambut hari di mana saya diputerikan oleh bonda saya. Sambutan? secara khususnya TAK ADA! Cuma pagi-pagi bangun tidur reaksi Aysha "Hari ni birthday mummy!".... 'Ya Aysha, hari ini birthday mummy... dan mummy masih lagi menunggu ucap selamat daripada Papa'. Tapikan... dia sudah lupa agaknya bahawa isterinya ini berulangtahun! hingga berakhirnya 24 jam untuk tarikh 20 June, saya tidak mendapat hatta ucapanpun daripada sirman! Ketika berderet-deret ucap selamat masuk ke dalam status facebook saya, saya sangat-sangat terharu & berbesar hati, tapi jauh di sudut hati saya menyimpan rasa rajuk dan terkilan. Sedihkan?! Takpalah kita tinggalkan episode sedih saya itu...

Kalian pasti tertanya-tanya kenapa saya menukar panggilan nama (sekali lagi) daripada ‘wan’ kepada ‘saya’ kan? Saya ada beberapa alasan yang saya rasakan munasabah. Pertama kerana saya merasakan ada antara tetamu saya (kamulah, sahabat-sahabat saya!) yang berusia di bawah saya, yang saya tidak tahu secara tepat usia sebenar kamu. Jadi lebih baik saya gunakan gantinama ‘saya’, yang merujuk kepada panggilan umum.

Lagipun, di hari jadi saya ini... saya jadi sedar diri. Adik-adik saya semuanya sudah besar-besar belaka. Hatta adik perempuan bongsu saya juga sudah mempunyai keluarganya sendiri! Apatah lagi adik bongsu lelaki saya, hujung bulan ini akan melapurkan diri di Uitm Cawangan Kelantan. Jadi secara tepatnya saya sudah tidak mempunyai adik yang masih berada di bangku sekolah! Dan tiba-tiba saya terasa betapa diri saya sudah tua! Dan pertambahan usia ini sebagai bukti!

Kalian juga pastinya tertanya-tanya (ada ke?) mana saya menghilang kan? Buat pengetahuan, saya masih ada. Masih di sini. Cumanya sebulan-dua kebelakangan ini banyak sangat masalah (jiwa) yang melanda saya. Jadi biarlah saya menyepi untuk menenangkan diri. Itulah yang saya putuskan. Sesungguhnya berdiam diri adalah lebih baik daripada saya mengikut kata hati yang akan memberi kemudaratan di masa depan... siapa tahukan? Saya takut saya akan melepaskan geram pada mereka yang tidak berkenaan, saya takut terlepas kata yang bakal mengguriskan hati sesiapa. Jadi lebih baik saya diam. Paling-paling tidak pun saya menangis sendirian untuk melegakan hati saya sendiri. Lagipun saya anggap ini sebagai, Allah sedang menguji saya, menguji tahap kesabaran saya.

Dalam jangka waktu saya menyepi (sebenarnya bukanlah menyepi betul!), pastinya kalian pernah ‘nampak’ kelibat saya di FB. Sekali-sekala saya masih ber‘suara’ di sana. Dan saya juga sempat bercuti bersama adinda saya Dr. Rose di Genting Highland pada 15 May yang lalu. Berseronok main permainan kanak-kanak (kerana saya takut untuk mencuba permainan untuk orang dewasa! Upah la berapa banyak pun saya tak akan naik permainan yang saya rasakan mampu ‘mencabut nyawa’ saya itu). Cuma saya ralat tak dapat naik go-kart sebab queuenya panjang sangat, tak larat nak tunggu turn. Insyallah pergi lain kali saya pasti akan naik go-kart!

Saya juga berkesempatan balik kampung pada 4-7 June yang lalu. Menjenguk abah dan mek serta melepaskan rindu pada rumah yang saya huni waktu saya masih kecil (saya lahir di rumah lain) hingga saya menginjak dewasa dan berkeluarga. Daripada rumah yang hanya mempunyai 2 bilik, kini bertambah menjadi 5 bilik, itupun masih belum mencukupi pabila sekali sekala kami adik-beradik berkumpul (time raya 2 kali setahun), hinggakan harus dibuka ‘bilik’ ekstra di ruang tamu rumah abah. Tidur bergelimpangan di atas lembek kekabu buatan tangan mek ataupun di atas hamparan toto ‘Made in Thailand’. Aah! seronoknya walaupun harus berperang dengan nyamuk yang berpesta sakan kerana mendapat ‘durian runtuh’! Sebenarnya bukan keselesaan yang kita cari, tapi keseronokkan bersama keluarga itulah yang paling utama.

Saya juga berkesempatan menghadirkan diri ke majlis walimah sepupu saya Wan Nor Dalila di Darul Hidayah, Dusun Tua, Hulu Langat pada 13 June yang lalu. Dalila ini adalah sepupu saya belah abah. Anak adik abah, Uncle Wan Yunus. Bersempena dengan majlis ini, Abah, Mek, Khairi serta Dr. Rose dan anak-anaknya Yasmin dan Amirun serta Cik Moh (adik abah yang bongsu) juga datang bersama anak-anaknya Syahir & Syakir. Oh ya! Dr. Rose datang kerana kebetulan dia ada kerja ‘pejabat’ yang harus dihadiri. Sementelah dengar khabarnya dia sedang menunggu surat posting. Harus berpindah daripada klinik kepada hospital sesuai dengan tanggagajinya yang baru. Nampak gaya keinginan untuk sambung jadi pakar berkuburlah gamaknya ek Rose? hehehe apa-apapun Tahniah!

Sebelum itu, adik saya Nini juga ‘naik’ rumah baru. Jadi mengambil sempena abah datang, abah sampai hari Khamis, flight pukul 12.20 tengah hari daripada KB, jadi malamnya dia mengadakan majlis sembahyang hajat sempena naik rumah, di rumah barunya itu. Alaa tetamu jemputannya bukannya siapa kami adik beradik yang berada di sini aje. Oleh kerana hari khamis malam jumaat tu saya bekerja, jadi harus menunggu sirman balik (walaupun dah pesan supaya dia balik awal), jadi saya agak terlewat tiba. Lagipun saya belum arif untuk ke Nusaputra dan tersesat jalan jugalah!. Kami tiba ketika mereka sedang bersolat jemaah. Ralat tak dapat ikut serta. Malam tu adik abah, Uncle yang jadi iman. Oh FYI uncle ni tok penghulu cum imam di Darul Hidayah. Dan malam tu saya dan Aysha tidur di rumah baru Nini, memandangkan jumaat tu saya sengaja ambil cuti! Tapi sirman balik laa.. sebab dia bekerja.

Hari jumaat malam, kami mendapat jemputan makan malam daripada kak nik, sepupu saya yang paling sulung. Anak arwah Pok Long (abang abah yang sulung, abah nombor 2). Kak Nik, tinggal di Putrajaya Precint 6 (kot) sebab bersebelahan dengan Alamanda Putrajaya. Oh kak nik ni cikgu besar tau! walaupun orangnya kecil molek jer! hehehe Oleh kerana satu kereta tak muat, jadi saya kena jadi pilot, ikut belakang kereta Mizi (bawa kereta Nini). Memandangkan esoknya (sabtu) saya bekerja, jadi saya bawa balik kereta Nini dan selepas kerja saya akan terus ke rumahnya dan Aysha akan datang dengan sirman.

Hari sabtu tu pula, Nini buat majlis makan-makan untuk adik-beradik belah Mizi pula, serta saudara-mara mana yang ada/boleh datang. Masakan ala kampong, ada ulam-ulaman, sedap! Dan malamnya saya tidur kat rumah Nini lagi, kerana esoknya (Ahad) senang kami nak ke rumah Uncle di Hulu Langat pula. Tak perlu janji tunggu kat mana-mana. Lili akan terus ke rumah Uncle dan Rose akan pergi dengan Ghafar yang akan mengambilnya di Impiana Hotel KL dan terus ke Hulu Langat. Oh! Rose stay kat Hotel Impiana di mana Conference itu berlangsung. Dan anak-anaknya mek yang kena jaga! (kiranya ini kontra dengan tambang flight yang dia sponsor untuk mek, abah dan Pak Uda Khairi lah ni... hehehe)

Selepas majlis Dalila, kami (rombongan orang kampung) mendapat jemputan minum petang di rumah Poksu Din (sepupu abah) di Ampang. Dan makan malamnya di rumah Chik (juga sepupu abah) di Serdang. Wah! agenda kami penuh dengan makan-makan ajelah. Daripada Serdang kami ke Putrajaya kerana abah akan tidur di rumah Muharram di Precint 11.

Saya, balik ke rumah di USj. Hari isnin tu saya sengaja ambil cuti lagi, jadi dari USj saya sekali lagi ke Putrajaya dengan Aysha. Bawa rombongan ke Alamanda (tak tahu nak pergi mana, cik moh nak ke Sogo tapi takut terlewat nak balik, flight jam 8.30 malam). Sempat la Abah beli kemeja, Pak Uda beli slack & kemeja untuk hari pendaftaran Uitm serta minggu orientasi. Saya tak beli apa-apa sebab kena tunggu gaji. Dan Aysha yang dah jadi hantu buku, pantang nampak kedai buku mula la merengek nak beli. Huh! susah juga... dan ketika orang lain sedang sibuk nak pilih makanan, dia yang saya belikan apa yang dia nak (magazine), langsung dah tak mahu makan, kenyang katanya!

Lebih kurang jam 6.00 petang kami, Muharram satu kereta, Lili satu kereta (yang penuh anak-anaknya) dan saya satu kereta terus ke LCCT. Abah sempat lagi beli perfume bodyshop (white musk) sementara menunggu orang lain selesai solat maghrib. Sedih la pula nak berpisah setelah beberapa hari meluangkan masa dengan mereka. Kena tunggu raya baru dapat jumpa lagi... lama tuuuuu...


Nota: mengikut kalendar jawa 1 windu = 8 tahun



0 comments:

Back to Top