0

Chutti-2-Nepal [Siri Jelajah Nepal #1] Kathmandu

Assalamualaikum wbt

Namaste...
Alhamdulillah, dengan izin-Nya saya berkesempatan ikut serta rombongan kaksu dan Abang Rosdi ke Kathmandu, Nepal.

Pada tanggal 18 - 22 November 2016, dengan penerbangan Malindo Air - OD184, kami berlepas ke Kathmandu Nepal. Kali ini saya ikut rombongan kaksu dengan geng-geng Kashmir dia. Maknanya, saya jumpa dengan orang barulah... (Alhamdulillah bertambah lagi sahabat saya!)

Masa mula-mula kaksu ajak, saya dah teruja... maklumlah tempat baru yang tak pernah terlintas saya nak jejak. Dalam senarai panjang tempat-tempat yang ingin saya lawati, Nepal tidak pernah tersenarai antara negara yang ingin saya lawati. Mungkin kerana tanggapan awal pada kebanjiran rakyat mereka yang datang ke negara kita, saya jadi skeptikal pada negara mereka. (maafkan kekhilafan saya!) Dan saya ada alasannya, nanti saya cerita.

Pada mulanya ingat nak ajak En. Roommate, tapi bila memikirkan belanja yang besar (dengan kadar tukaran ringgit berbanding USD yang agak tinggi) tak jadi En. Roommate nak ikut, tapi dia kata, kalau saya nak pergi... pergi ajelah. Itu yang saya nak dengar sebenarnya... hahahaha... kata 'izin' daripada dia. Yalah, bila kita dah ada 'penjaga' ni, apa-apa yang kita nak buat kenalah ada cop mohor lulus dulu barulah boleh nak buat apa-apakan?  (Psst: sini saya bisik... selalunya taktik saya, saya akan plan siap-siap -termasuk beli tiket flight- bila dah dekat nak pergi baru saya cakap ke dia dengan muka sedih minta belas... kalau tak pergi rugi, sebab tiket semua dah beli... hahaha) Tapi untuk kes ke Nepal ni, saya tak berani nak ambil risiko besar sebab harga tiket pergi-balik bagi saya agak mahal. Selepas dicampur-tolak dengan pelbagai kos, termasuklah kos 'beli seat' dalam flight yang konon-kononnya nak kerusi tepi tingkap, tapi rupanya-rupanya tempat duduk saya itu (08A) langsung tak ada tingkap! Hasilnya harga tiket saya melebihi RM1.7k. (Itu belum dicampur dengan tour package lagi ya).

Oklah, di sini saya perincikan harga tiket yang saya beli (untuk diri sendiri sahaja)...
  • tiket KL-Kathmandu - RM505.90 
  • tiket Kathmandu-KL - USD222.90.  Kenapa harga tiket Kathmandu-KL dalam USD? Sebabnya saya tak beli tiket pergi-balik. Memandangkan 'tabung' tak cukup pada masa tiket dibeli, saya pilih beli sehala KL-Kathmandu dahulu.  Jadi bila masa nak beli tiket Kathmandu-KL, mereka gunakan rate USD
  • Harga tempat duduk tepi tingkap yang tak ada tingkap - RM30
  • Bayaran tambahan untuk tukar waktu penerbangan - RM250
  • Insurans perjalanan - RM67.26
  • Total keseluruhan - RM853.16 + USD222.90 (RM936.18 @ RM4.20/USD1) =  RM1,789.34  
Jadi rancangan nak ke Nepal ini En. Roommate memang dah tahu awal lah.

Ok berbalik pada ahli rombongan. Selain kaksu dan Abang Rosdi, ada Rosleiliza dan Rosmeina (saya namakan : geng adik beradik sebab mereka memang adik beradik πŸ˜„) Leili dan Meina ni sekapal dengan saya - oghe Machang, klate, ada Nanan adik kaksu, dan geng lawyer dari Sungai Petani, Cik Sofiah, Selvi dan Hafidzah (saya namakan : geng utara). Fidzah ni adik ipar kaksu dan Fidzah bawa anaknya Deena Asyiqin (sebaya Aysha). Dan kakyah... haaa kakyah ni special case, nanti saya cerita. Alhamdulillah... walaupun baru pertama kali jumpa dengan geng utara dan geng adik-beradik di Kathmandu, Nepal (itupun hari kedua di sana baru bersua muka) kami dapat bergaul dengan mesra dan sepertinya sudah lama kenal.

Kenapa hari kedua di sana baru jumpa dengan semua ahli rombongan?

Ok nanti saya cerita, kerana hal ini ada kena mengena dengan kakyah.

Haaa, sebut fasal kakyah... sebenarnya rancangan asalnya konon-konon, kaksu & Abang Rosdi, kakyah & Abang Harris, saya dan En. Roommate nak pergi sama-sama (geng baru kita tak kira yaaa), tapi akhirnya yang kekal hanya kaksu & Abang Rosdi . Kakyah tak jadi pergi. Tapi memandangkan saya teringinnnn sangat nak pergi, jadi En Roommate yang sayang kat bini dia ni bagilah izin. Mula-mula ahli rombongan 9 orang jadi bila saya join, kaksu dah sukaaa sangat, kalau tak adik kaksu Nanan akan duduk bilik seorang dan kena bayar extra. Kiranya saya akan sebilik dengan kaksu dan Abang Rosdi akan sebilik dengan adik kaksu. Dan bermula sessi pujuk memujuk kakyah untuk ikut serta... akhirnya tembok pertahanan kakyah runtuh. Yayyyy kakyah akan ikut! Jadi kami akan sebilik 3 orang (boleh gossip-gossip sebelum tidur... ahaks!)

Oleh kerana tiket kena beli sendiri (masing-masing beli), maka terjadilah 3 sessi penerbangan. Penerbangan pertama adik kaksu, sebab dia naik MAS. Sessi kedua kakyah dengan penerbangan Malindo jam 12.20 tengah hari waktu Malaysia dan dijangka tiba jam 2.45 minit petang waktu Nepal. Dan penerbangan ketiga dengan penerbangan Malindo jam 6.10 petang waktu Malaysia dan dijangka tiba jam 8.35 malam waktu Nepal. Penerbangan memakan masa selama 4 jam 40 min. Jangan lupa perbezaan waktu antara Malaysia dan Nepal, di mana waktu Nepal lewat 2 jam 15 minit berbanding waktu Malaysia ya.

Kenapa ada 3 sessi?

Sessi pertama - adik kaksu, kerana dia bekerja dengan MAS jadi dia dapat tiket free dan masa yang dia pilih penerbangan awal pagi waktu Malaysia. Ketika saya sampai di KLIA dia sudah dalam penerbangan ke Nepal.

Sessi kedua - kakyah, kerana kakyah orang terakhir beli tiket.  Oleh kerana harga untuk sessi ketiga agak mahal, jadi kakyah beli tiket penerbangan yang lebih awal berbanding dengan waktu yang telah dibeli oleh geng utara dan geng adik beradik.

Dan sessi ketiga - Geng utara dan geng adik-beradik.  Mereka yang terawal beli tiket dengan harga yang berpatutan. Dan saya? Mulanya saya beli ikut masa geng yang sudah beli terlebih dahulu.

Oleh kerana kakyah akan pergi seorang diri, jadi kami (saya & kaksu serta Abang Rosdi yang harus ikut kaksu) yang kasihkan kakyah ini (ahaks! - kakyah sila muntah hahahaha) dengan senang hati awalkan masa penerbangan ikut waktu penerbangan kakyah (of course dengan sedikit penambahan pada harga tiket yang telah dibeli). Itulah sebab kenapa ada 3 sessi penerbangan. Dan inilah juga sebabnya kenapa baru hari kedua baru saya jumpa dengan semua ahli rombongan.

Kenapa saya kata saya tak terlintas dalam fikiran nak ke Nepal? 
Ada apa dengan Nepal?
Apa yang menarik di Nepal?

Pertama kali diajak oleh kaksu untuk ikut serta dengan rombongan ke Nepal ini, apa yang terlintas dalam benak saya... ada apa dengan Nepal ini?  Ada tempat membeli-belah yang menarikkah? Rakyat dia ramahkah? Bolehkah kami berinteraksi dengan mudah?  Makanan dia okeykah?  Bahkan ada seribu satu persoalan berlegar dalam kepala saya.

Sebagaimana yang kita maklum, Nepal telah mengalami gempa bumi yang agak teruk pada tanggal 25 April 2015.  Jadi perkara pertama yang terlintas dalam kepala saya, selamatkah untuk saya melawatinya? Memandangkan Kathmandu merupakan antara bandar yang teruk terjejas dengan gempa bumi itu.  Bahkan seminggu selepas saya kembali daripada Nepal, diberitakan terjadi lagi gempa bumi berskala kecil yang menggegarkan bumi Nepal.

Selain daripada itu, saya takut saya tak rasi dengan makanan mereka kerana saya bukan penggemar makanan jenis berkari (walau bagaimanapun saya tetap makan, tapi bukan pilihan utama dan saya paling suka makan masakan berkari hasil air tangan kaksu!).  Saya membayangkan, saya bakal hadapi masalah (kelaparan) jika saya dihidangkan dengan makanan mereka.  Sebagaimana yang kita maklum, Nepal juga ratanya beragama Hindu dan Budha, jadi pastinya makanan halal agak sukar untuk diperolehi.

Tapi, bila fikir-fikirkan balik, selagi saya tak pergi dan lihat serta hadap sendiri keadaan di sana, saya tidak akan tahu.  Jadi saya bertekad... walau sekali untuk seumur hidup ini, saya harus pergi. Lawat dan lihat sendiri tempat orang... kerana masing-masing ada persepsi dan tanggapan sendiri akan apa yang mereka lihat dan mereka alami. Pendek kata, objek yang kita kata bulat, mungkin pada mata orang lain berbentuk bujur. (Oh! saya bawa sebeban stok makanan sebagai persediaan tau! hahahaha - habis ke tidak nanti saya cerita kemudian)


Tentang hal pengangkutan dan hotel, semuanya telah diuruskan memandangkan kami pergi melalui travel agensi - Zest Leisure Travel & Tours.  Jadi hal tentang tempat tinggal dan transport, saya memang tidak risau kerana semuanya telah diuruskan.  Selain penginapan dan pengangkutan yang akan membawa kami berkeliling melawat tempat-tempat menarik yang ada di Nepal, pakej kami termasuk sekali dengan pemandu pelancong warga Nepal.


Sebelum ke sana, banyak hal yang harus diuruskan (oleh kaksu terutamanya sebagai ketua rombongan, salah satunya permohonan Visa - terima kasih kaksu dan kakyah yang jadi 'runner' pergi ke kedutaan Nepal untuk urusan visa kami semua).  Permohonan visa ini juga satu hal... saya yang belum pernah lagi buat visa, agak blurr. Memandangkan saya belum ada gambar (untuk buat visa), selepas majlis kenduri kahwin anak kakak ipar adik di Shah Alam, saya yang konon-kononnya dah alang-alang pakai lawa-lawa ni, pergilah ambil gambar di Kompleks PKNS Shah Alam. Padahalnya baju hat saya pakai lawa-lawa tu bukannya nampakpun! Sengal! πŸ˜‚ hahahahaha.  Rupa-rupanya ukuran saiz gambar untuk buat visa berbeza daripada ukuran buat passport.  Nasib baik lulus aje gambar yang saya buat ini. Mengikut kata adik kaksu, Kerajaan Nepal ni, bukanlah strict sangat... tapi cuak tetap cuak, nasib baik LULUS.

Duit Rupee, tag nama dan sifir kadar tukaran wang
Seperti kebiasaan nak pergi mana-mana negara, perkara utama yang harus disediakan adalah tukar duit. Saya tukar duit USD dan Nepalese Rupee. Kadar tukaran waktu itu 1USD = RM4.119 dan seminggu selepas saya tukar, USD naik jadi RM4.40 untuk 1USD. (saya tukar duit sebelum Donald Trump dilantik sebagai Presiden baru Amerika Syarikat dan sehari selepas kemenangan beliau USD melonjak naik - atau Ringgit kita yang semakin susut nilai??)

Nepal Rupee pula 100Rupee = RM5.  Dan saya jadi agen tukar duit (Rupee) kepada ahli rombongan memandangkan tak semua pengurup wang ada duit Rupee ini. Mungkin faktor kadar duit yang terhad atau permintaan yang kurang, menyebabkan pengurup wang tak nak ambil risiko kerugian bila menyimpan duit Rupee dalam kadar yang banyak.

Selain daripada itu, saya yang terlebih teruja nak pergi ini, dengan bersemangatnya membuat tag bagasi untuk setiap ahli rombongan. Tapi sebelum menyediakannya, sessi sumbang saran untuk namakan grup kami ini bermula di grup whatsApp, dan sebulat suara memilih idea kakyah yang menyarankan agar kami gunakan perkataan Chutti-2-Nepal sebagai 'nama rasmi' grup kami. Chutti adalah bahasa urdu/hindi yang bermaksud holiday/cuti.  Logo pula, daripada gambar bunga yang kaksu letak sebagai profile picture grup kami itu.  

Tiba hari yang dijanjikan... memandangkan waktu penerbangan adalah pada jam 12.20 tengah hari, dan kita harus daftar masuk seawal 3 jam sebelum waktu penerbangan (penerbangan antarabangsa), dan memandangkan En. Roommate bekerja, jadi terpaksa saya keluar awal (lebih kurang jam 8 pagi dari Usj yang hanya mengambil masa 30 minit untuk ke KLIA1). Jadi, pagi-pagi lagi saya sudah tercongok seorang diri (tipu! Ramai ja orang yang nak keluar/masuk kat airport ni... πŸ˜‚).  Maksud saya, sementara menunggu kakyah, kaksu dan Abang Rosdi, saya seperti orang bodoh tak tahu nak buat apa... hahaha

Perkara pertama yang dibuat bila jumpa depa, pergi balut beg. Kemudian pergi cari makanan (sarapan pagi yang sudah melepasi waktu makan pagi).  Saya cari nasi (lemak), takut bila dah sampai sana, tak jumpa nasi! hahaha macam la 'tangki' perut saya besar dan boleh simpan kenyang sampai beberapa hari...πŸ˜‚ sekali lagi sengal!

Bila dah daftar masuk, saya beli croissant buat bekal untuk dimakan setiba di sana.  Memandangkan makan tengah hari/malam tidak termasuk dalam pakej hari pertama.  Mujurnya dalam flight Malindo yang saya naik ini, dihidangkan dengan nasi (tapi tak berapa nak kena dengan selera saya) kira boleh la nak buat alas perut.

Oh ya, ketika kami beratur nak naik flight, boleh dikira dengan jari berapa kerat aje orang perempuan (bangsa kita) yang ada dalam kapal terbang yang kami naik ini.  Selebihnya diisi oleh orang yang nak balik kampung! (faham dak maksud saya?).  Nasib baik kami tukar waktu... kalau tak, tentu kakyah 'seorang diri'.  Dah la macam-macam cerita yang saya dengar tentang orang-orang Nepal. Tentang prosedur di lapangan terbang Tribhuvan dan macam-macam hal yang membuatkan saya bertambah cuak.

Orang kata jangan bawa bagasi besar-besar nanti kena bersesak-sesak dengan orang ramai untuk mengambil beg.  Orang kata, orang Nepal suka tengok (pegang) beg yang sedang bergerak melalui 'conveyor' walaupun tahu itu bukan beg mereka. Pendek kata macam-macam mak nenek yang dimomokkan di telinga saya.  Tapi saya yang bukan jenis pandai nak 'light travel' tetap juga nak bawa beg besar.  Banyak benda yang saya nak sumbat.  Banyak stok makanan yang saya nak bawa, jadi mana mungkin saya bawa beg kecil yang cukup sekadar untuk saya bawa masuk dalam kabin? Lagipun saya dikhabarkan bahawa cuaca di Nepal adalah antara 11ΒΊC - 22ΒΊC, jadi saya harus juga bawa baju sejuk, sementelah saya memang tak tahan sejuk.  Maka saya tawakal, saya bawa juga beg yang telah bersama-sama saya merentasi benua Eropah dan asia serta serata tempat yang telah saya pergi sebelum ini.

Oh ya, satu hal lagi... jangan bayangkan lapangan terbang mereka sebesar KLIA kita ya, walaupun ada orang kata lapangan terbang Tribhuvan ini adalah antara salah satu lapangan terbang yang tersibuk di dunia.  Sibuk kerana Negara Nepal adalah antara salah satu 'pintu gerbang' untuk para pendaki yang sukakan aktiviti mendaki gunung.  Nepal telah terbukti menjadi tempat terbaik di dunia untuk aktiviti pendakian gunung. Antara gunung yang sering menjadi tumpuan pengunjung seluruh dunia pastinya Gunung Everest, selain Gunung Annapurna, Kala Patthar, Kangchenjunga, Lhotse dan Makalu.  Macam mana saya tahu? Saya tanya Mr. Google kerana yang saya tahu hanya 3 gunung sahaja iaitu Everest, Annapurna dan Kala Patthar.

Pandangan daripada jendela pesawat
Satu lagi pengalaman yang tak mungkin saya lupakan... saat tayar kapal terbang yang membawa kami menjejakkan rodanya di landasan.  Patutlah Nanan kata, hanya juruterbang yang terpilih dan berpengalaman sahaja yang diberi izin untuk membawa penumpang ke Nepal! Terasa bergetar di jantung bagaimana saatnya kapal terbang 'landing' dan dalam masa beberapa saat harus buat pusingan (Abang Rosdi kata Pilot buat 'kona leper' πŸ˜‚) Mungkin faktor muka buminya yang bergunung-ganang menyebabkan landasannya tidak cukup panjang untuk membolehkan pesawat bergerak lurus menuju destinasi. (yang saya dapat lihat jelas daripada jendela pesawat saat kapal mula terbang rendah). Saya salute pada En. Pilot yang membawa kami pada hari tersebut.  Selain cekap mengendalikan pesawat, beliau juga ada sense of humor! (kerana sempat aje puji para pramugari dia yang lawa-lawa tu). Terima kasih En. Pilot kerana membawa kami dengan selamat.

Alhamdulillah... kami selamat tiba.  Saat menunggu beg kami keluar daripada perut pesawat, tanggapan pertama saya tentang Lapangan Terbang Tribhuvan tidaklah seburuk yang di sangka tapi betullah orang-orang Nepal suka/pegang beg yang melalui conveyor walaupun sah-sah beg itu bukan milik mereka!  Dan satu lagi, rakyat Nepal yang mencari rezeki di tempat kita, akan membawa pulang televisyen yang besar-besar balik ke kampung mereka (terpampang jelas jenama tv di kotak yang mereka bawa πŸ˜‚) TV hat depa beli bawa balik dengan tv yang ada di rumah saya pun kalah!

pertama kali dalam hidup pakai bunga malai πŸ˜„
Setiba di sana, kami berempat disambut oleh pemandu pelancong kami, Sujan Kansakar.  Kami diberi kalungan bunga malai sebagai tanda 'selamat datang'.  Oh! Kami tidaklah dikalungkan sebagaimana yang kita lihat dalam tv.  Dalam kes kami, kami kalung sendiri ketika berada dalam van menuju hotel penginapan.  Oleh kerana masing-masing dengan beg besar, ada porter yang bantu kami membawa beg ke van. Sebagai upahnya saya bagi duit Ringgit kepada setiap orang sebagai upah angkat barang kami memandangkan duit Rupee kami semuanya dalam note besar.  Ya mereka terima juga duit ringgit kita.

Perjalanan daripada lapangan terbang menuju ke hotel penginapan agak perlahan memandangkan waktu bekerja sudah selesai.  Berebut dengan pemandu yang mahu pulang ke rumah! Tanggapan pertama saya saat berada dalam kenderaan, Kathmandu yang sesak dengan lalu lintas yang bersimpang siur!  Dan perjalanan menuju ke hotel penginapan, saya tak jumpapun traffic light! Bagaimana mereka tahu untuk ikut peraturan? Jawapan yang boleh saya beri... pandai-pandai sendirilah! Ahaks! DAN taubat saya memang tak akan ada keberanian untuk memandu di sana.  Bunyi 'hon' sebagai tanda minta izin untuk lalu/potong jalan. Bandar Kathmandu yang berdebu, tak ubah seperti kesan selepas banjir besar melanda.  Kesan runtuhan akibat gempa bumi masih jelas terlihat serta kesibukkan warga Nepal menguruskan urusan seharian menjadi tatapan mata saya.

Untuk malam pertama di Kathmandu, kami menetap di Grand Hotel yang terletak di kawasan Red Cross Sadak.  Sebut fasal Grand Hotel ini, teringat saya pada insiden kelakar ketika mengisi borang kastam.  Setiap orang sedia maklum, apabila kita melawat negara luar, kita diharuskan oleh pihak kastam untuk isytiharkan apa yang kita bawa, ke mana tujuan kita dan atas alasan apa kita melawat sesebuah negara itu.  Ketika mengisi borang pengisytiharan dan salah satu bahagian adalah di mana kita akan menetap, saya isi ruangan itu sebagai Red Cross Sadak yang sepatutnya diisi dengan nama Grand Hotel!  hahahaha mati-mati saya ingatkan hotel itu namanya Red Cross Sadak.  Padahal itu adalah nama kawasan tersebut (gara-gara main tiru sahaja apa yang orang lain tulis... ahaks).

kami - kaksu, kakyah, Abang Rosdi & Nanan adik kaksu
Setelah selesai urusan daftar masuk bilik, akhirnya saya dapat selesakan diri dengan bersantai menikmati pemandangan bandar Kathmandu daripada jendela bilik hotel.

Oleh kerana makan malam tidak disediakan, kami makan bekal yang dibawa daripada KL. Croissant berintikan sambal hitam yang saya bawa khusus.  Tak tahulah sama ada sambal hitam air tangan saya itu sedap ataupun sebab perut memang tengah lapar, jadi rasa sedap aje makan malam kami... πŸ˜‚ hahaha

Oleh kerana, ahli rombongan lain masih dalam perjalanan (masih di awan biru)... jadi aktiviti untuk hari pertama ini adalah, bebas.  Jadi kami ambil peluang jalan-jalan sekitar kawasan hotel dan adik kaksu, Nanan yang jadi pemandu pelancong kami memandangkan dia pernah datang dan dia yang sampai awal sudah terlebih dahulu buat tinjauan (kedai yang patut kami masuk πŸ˜‚).  Dan aktiviti kami berakhir dengan acara ngopi di salah satu kedai kopi yang berdekatan dengan hotel penginapan.  Dan berakhirlah hari pertama di Kathmandu yang melakarkan satu lagi pengalaman baru bagi saya.

Semoga hari esok, kami bakal mencipta satu lagi pengalaman baru bersama sahabat-sahabat baru...

Salam Sayang,

0 comments:

Back to Top