0

Mengenangmu... #02

Salam sayang,

# di hari ke-4 pemergian abah #

Memandang sayu kerusi yang kini kosong, terbayang-bayang kelibat dia sedang membuat sarung golok, ternampak-nampak bayangannya membuat rehal, juga di saat dia hanya bersandar memejamkan mata
sambil membaca (hafal) ayat-ayat suci Al-Quran yang menjadi mainan bibirnya...

Oh! betapa rasa itu mencengkam kuat dalam rongga dada... menzahirkan kerinduan yang amat pada dia yang telah tiada...

Ya Allah, Ya Tuhanku...
Kau rahmatilah roh beliau...
Kau tempatkanlah dia dalam kalangan para kekasih-Mu
Kau masukkanlah dia ke dalam Jannah-Mu

Abah, Lila rindu abah!
Rindu sangat-sangat...

Yang akan tetap merinduinya
0

Mengenangmu... #01

Salam semua,
 
Hari ketiga pemergian ayahanda...
Dia yang ditinggalkan di kuburan...
Rasa hiba yang tetambak di dada sukar benar nak dilepaskan...

Saya yang tetap rindukan abah
0

Al-fatihah

Salam semua,

" Daripada DIA kita datang, kepada DIA kita akan kembali "

Dia lelaki yang paling saya kasihi, lelaki yang paling saya sayangi
dengan seluruh jiwa raga saya, telah kembali kepada kekasihnya - Sang Pencipta alam.

Perginya tak kembali...
Hilangnya tiada galang ganti...

Tiada kata yang dapat saya ungkapkan, tiada nada yang dapat saya zahirkan untuk menggambarkan rasa sedih yang beraja di hati.

Ya, ayahanda kesayangan saya telah pergi tinggalkan kami sekeluarga buat selama-lamanya. Pergi tinggalkan saya yang masih dahagakan belaian kasih sayangnya. Yang masih perlukan bimbingan dan kata-kata nasihatnya. Dalam sekelip mata, dia tinggalkan saya tanpa sempat kami ucapkan 'Selamat Tinggal'.

Dia insan istimewa yang Allah anugerahkan pada saya. Dia insan terbaik yang Allah pilih untuk jadi pembimbing dan pelindung saya. Yang akan saya bawa 'nama'nya dihujung nama saya selama-lamanya selagi hayat dikandung badan. Dia lelaki pertama yang saya 'kenal' sejak saya lahir ke dunia ini.  Dia yang sering 'memerhati', terlalu memahami setiap tindak tanduk anak-anaknya.

Oh! saya jadi rindu padanya. Rindu yang tidak akan pernah usai sampai kapanpun.

Al-Fatihah buat ayahanda kesayangan saya. Moga rohnya sentiasa diberkati, dirahmati dan ditempatkan dalam kalangan para solihin, para kekasih Allah.

Yang akan tetap merinduinya walau beribu tahun mendatang,
0

Kisah itu...

Salam semua,

Banyak sungguh yang saya nak cerita, tapi seperti biasalah, kesuntukan masa jadi alasan. Sangat cliche kan?

Ok, saya ceritakan satu persatu...

Memandangkan tahun ini giliran saya beraya kat Shah Alam dulu, jadi saya balik kampung pada hari raya kedua. Banyak agenda yang saya terlepas pandang dan salah satunya adalah 'family photo'.  Sungguh terlupa sangat-sangat. Tahun-tahun sudah, walaupun saya beraya di sini dulu, acara ambil gambar tetap kami adakan.

Oleh kerana adik saya Nini bersalin pada 27 Ramadan 1434 bersamaan dengan 5-Ogos-2013, jadi dia tak balik kampung raya kali ini. Jadi ikut perancangan awal, Mek dan Abah akan ikut saya balik KL untuk jenguk cucu baru mereka itu.  Tapi memandangkan saya balik lebih awal, saya plan dengan Lida yang akan balik ke Kluang untuk bawa Mek dan Abah singgah rumah Nini di Puchong dulu sebelum mereka balik ke Johor.

Mereka datang KL pada hari Jumaat 16-Ogos, Ghafar ambil Mek dan Abah di Ampang rumah kakak Korie dan bawa balik ke rumah mereka.  Jadi pada hari sabtu 17-Ogos lepas kerja saya akan ambil Mek dan Abah kat rumah Ghafar di Pantai Dalam dan bawa mereka ke rumah Kak Nik di Putrajaya sebelum ke rumah Nini di Puchong.


Ya, pada hari itu selain adakan rumah terbuka sempena Hari Raya, hari itu juga kerana meraikan Husna anak sulung Kak Nik yang mengikat tali pertunangannya. Selamat bertunang kak long Husna.

Seronok! Seronok sangat kerana waktu-waktu inilah kami dapat berkumpul dengan sepupu-sepupu. Borak-borak, makan-makan sambil berphoto bagai. Dah lewat petang baru kami bertolak ke rumah Nini di Puchong. Berkampung kat rumah Nini pula.

Hari Ahad 18-Ogos saya ada acara piknik di Putrajaya dengan geng Adiwarna, jadi tengah hari baru saya dapat ke rumah Nini.  Biasalah bila Mek dan Abah datang, kami akan berkumpul di rumah Nini al-maklum la rumah saya, rumah 'sarang burung' jadi agak tidak selesa untuk Mek dan Abah. Petang tu, sepupu belah abah iaitu Kak Nik dan anaknya Husna, Rani dan anaknya Ain, Hidayah sekeluarga, Adli sekeluarga, Hisyam dan isteri serta Mok Long Kak Wae datang untuk tengok baby Nini. Oh ya, Muharram dan keluarga juga datang saing keluarga arwah Pok Long.

Saya balik rumah dah lewat malam memandangkan esoknya nak kerja dan Aysha nak sekolah.  Mek dan Abah masih ada kat rumah Nini. Ikutkan Mak Mizi, suruh Mek dan Abah stay sampai hujung minggu tapi biasalah Abah mana mahu duduk-duduk tanpa buat apa-apa kerja.  Bosan!  Daripada nak balik hari selasa, jadi hari rabu, Nini beli tiket MAS untuk Mek dan Abah.

Oleh kerana hari bekerja, awal-awal lagi saya pesan ke Nini suruh cari last flight kalau ada.  Bukan apa, memandangkan saya yang akan hantar Mek dan Abah ke airport, lebih baik ambil yang lewat sikit jadi sempatlah Sirman balik dari kerja dulu.  Nasib baik ada! Penerbangan KL-KB dengan penerbangan MAS pukul 10.25 malam.

Saya awal-awal lagi dah online check in supaya tak terkocoh-kocoh jika ada aral.  Lebih kurang jam 8.30 malam kami bertolak ke airport. Oleh kerana kesuntukkan masa, sirman drop kami kat depan pintu masuk dan saya bawa Mek dan Abah cari kaunter untuk check-in luggage.  Selesai urusan di kaunter saya bawa mereka ke pintu masuk untuk pemeriksaan kastam sebelum mereka masuk ke balai perlepasan.

Sayu rasa hati nak lepaskan mereka balik. Cium tangan Mek dan Abah. Cium pipi Mek dan Abah. Dalam hati dah sarat dengan rasa sedih. Tahan mata agar tidak tumpahkan airnya di tengah-tengah balai berlepas ini. Lagipun dan janji dengan Abah nak balik makan durian hujung bulan ni sempena cuti hari merdeka. Saya lepaskan mereka dengan berat hati. Saya tunggu hingga kelibat mereka hilang daripada pandangan mata ini. Sedih tau! Nak-nak bila kita nak lepaskan mereka yang kita sayang.

'Bye-bye Mek! Bye-bye Abah! Tunggu Lila balik hujung minggu ini ya!'

Dalam perjalanan balik dari airport, saya dapat panggilan daripada Mek mengkhabarkan yang flight mereka delay! Daripada pukul 10:25 ke pukul 10:45 malam. Wah! dalam sejam juga mereka harus melepak dalam tu... Dalam pada itu sempat juga saya call adik saya Ijat yang akan ambil Mek dan Abah di Airport Pengkalan Chepa. Bukan apa, takut dia tertidur aje!

Lebih kurang jam 12.15 pagi, dapat panggilan daripada Mek mengkhabarkan yang mereka sudah dalam perjalanan balik ke rumah. Alhamdulillah...

Salam sayang,
0

Piknik @ Adiwarna

Salam semua,

Piknik bersama geng Adiwarna di Taman Putra Perdana, Putrajaya sangatlah meriah!
Meriah dengan makanan, juga meriah dengan 'sembang buku'
Terima kasih pada JS Adiwarna yang menjayakan acara yang sangat gemilang ini...
Dapat jumpa komrad ulat-buku, juga dapat kenal adik-adik (baru) yang minat buku... adalah satu kenangan yang sangatlah mengujakan!


Salam sayang,
0

Selamat hari raya Aidil Fitri 2013

Salam semua,

Selamat Hari Raya Aidil
Minal Aidil Wal Faizin
Mohon Maaf Lahir & Batin



[ Note: Tahun ni giliran saya beraya di Shah Alam, jadi tak adalah saya ambil cuti awal. Lagipun cuti saya tinggal tak berapa hari saja lagi untuk tahun ni.  Jadi lebih baik saya ambil cuti lepas raya, dapat saya beraya banyak hari sikit kat kampung.  Alaa Usj - Shah Alam kan sekangkang kera aje? Ok la kan? Balik pagi raya pun boleh dak? hikhikhik ]

Salam sayang,
Back to Top