Warkah Buat Kanda


Assalamualaikum kanda,

Lila rindu kanda. Lama sungguh Lila tak ‘menyapa’ kanda. Bukan kerana Lila sudah lupa. Tidak! Tidak sama sekali...

Mana mungkin Lila lupa pada kanda Lila yang sangat-sangat Lila kasihi ini. Yang sangat-sangat Lila rindui ini. Sesungguhnya datanglah seramai manapun 'kakak' di sepanjang perjalanan hidup Lila menuju hari depan, kanda tetap punya tempat yang paling khusus dalam hati Lila. Yang tiada sesiapapun dapat ambil tempat itu. Jika yang datang itu sikap dan sifatnya persis kanda, masih tidak dapat menggugat kedudukan kanda dalam hati Lila. Itu Lila sangat pasti.

Kanda yang Lila rindui,

Masih ingat tak kanda... dulu-dulu, waktu itu kanda masih menuntut di USM Pulau Pinang.  Lila pula sedang menunggu keputusan SPM. Oleh kerana tiada apa yang Lila buat di rumah, Lila minta izin abah ke Penang ziarah kanda. Ingat tak?

Itu pertama kali Lila nak ke Penang tanpa pengawasan orang tua, tanpa sesiapa jadi peneman tapi Lila nekad juga nak ke sana. Lagipun, Lila kan pernah ke USM sebelum tu (dengan abah) untuk hantar kanda mendaftar di USM ingat tak? Masa tu abah kita bawa kereta Proton Saga warna putih dengan nombor pendaftarannya DQ1719. Kereta pertama yang abah kita beli. Bangga bukan main bila abah bawa balik kereta tu kan?  Kereta itu kemudiannya abah jual selepas terlibat dalam kemalangan dan abah beli kereta Proton Saga warna hijau pula dengan nombor pendaftarannya DS4042 yang sampai sekarang masih ada kat rumah kita di kampung.

Lila ingat lagi, masa tahun 1988 tu Lila masih sekolah. Dalam ramai-ramai anak abah, Lila yang abah bawa. Ke Lila yang merengek nak ikut? Lupa laa maklumlah dah lama sangat kan? Teruja bukan main lagi dapat pergi Penang masa tu. Masa tu mek tak ikut, tapi yang ikut sama Chik (Wan Zubidah - sepupu abah) dan Pak Alang (suami kak Saudah - sepupu abah). Sebelum ke Penang, kita singgah ke Perak rumah Cikgu Wan Abdullah di Kemunting Jaya, Taiping.

Kat Penang pula, kita tumpang tidur di rumah Abang Lah (Wan Hasbullah) anak Cikgu Dir (Wan Kadir) Wakaf Bharu. Cikgu Dir ni, bapa saudara abah, jadi Abang Lah ni kiranya sepupu abah la. Kita ni pelikkan, 'panggil' orang tak ikut 'pangkat' mereka, main panggil aje. Yelah nak panggil 'Pakcik', dia nampak muda dan pangkat-pangkat 'abang' aje. Sama seperti kita panggil Mok Long iaitu kakak ipar abah yang juga sepupu mek, kita panggil dia 'kak wae' aje. Dah biasa, susah nak ubah dah! Ok, berbalik pada Abang Lah ni, waktu tu dia menetap dan kerja di sana. Di Seberang Perai kalau tak salah Lila dengan isteri dan dua orang anak dia yang masih kecil (masa tu lah, sekarang ni semua dah besar-besar dah!) Di sana, kita juga dibantu oleh kawan Pak Alang. Pak Alang ni dia orang Perak bila dia kahwin dengan kak Doh dia tinggal di kampung kita.  Kawan Pak Alang yang Lila dah lupa namanya ni kerja kat dalam USM sebagai apa tu Lila memang dah tak ingat.  Dan dia juga anak jati Penang.  Dengan raut muka yang ala-ala mamak, dengan pelat Penang yang pekat buatkan Lila selalu terpinga-pinga bila dia bercakap... hikhikhik tapi dia baikkan? Jadi dialah yang tukang bawa kita jalan-jalan sekitar Penang waktu itu.

Abah pula, masa Lila minta izin, macam confident aje izinkan Lila pergi sorang-sorang. Dan Lila pula beraninya pergi sorang-sorang, waktu itu awak tu baru berumur 17 tahun tau! Aah Lila kan anak abah no 3, anak yang berani (kalau ada rasa takut-takut cepat-cepat Lila benam jauh-jauh ke dasar hati). Lagipun Lila kan pemegang tali pinggang biru Tae-Kwon-Do kat sekolah (Putih-Kuning-Hijau-Biru-Merah-Hitam)? Walaupun bukan hitam, sekurang-kurangnya kalau nak sepak orang Lila boleh laaa... eksen kan Lila nih!

Mek, bila tahu Lila nak ke Penang jumpa kanda, dan kebetulan waktu itu musim buah apa lagi penuh satu kotak diisi dengan buah-buahan untuk kanda dan kawan-kawan di kolej. Nasib baik kotak tu tak besar mana, tapi bila diisi penuh-penuh berat juga la Lila nak angkat. Oh! bukan setakat buah aje yang mek isi, macam-macam makanan pun ada. Bagaikan apa yang ada kat rumah yang kami makan, mek nak kirim pada anak sulung dia yang jauh di Pulau itu. Tengok! Betapa sayangnya dia kat anak!  Pendek kata macam kotak doremon (cuma mek dan abah je yang tak ada) buka-buka semua ada... hikhikhik (nampak sangat tipunya kan!)

Jadi, pada hari 'kejadian' dengan bas belah pagi (dijangka tiba belah petangnya) Lila bertolak ke Penang seorang diri dengan kotak penuh berisi buah kiriman mek untuk kanda dan kawan-kawan dengan perasaan yang macam-macam. Dipendekkan cerita, semakin jauh Lila tinggalkan rumah, makin tinggi cuak dalam dada. Ya, Lila bukanlah berani sangat sebenarnya, tapi sebab nak sangat ke Penang dan nak yakinkan abah supaya izinkan Lila ke sana, Lila buat-buat la berani depan abah!

Bila bas dah masuk negeri Pulau Pinang, dan bila tiba di satu kawasan (Butterworth - berdasarkan tanda nama yang tertera) orang berpusu-pusu turun daripada bas dan Lila yang tak tahu apa-apa ni ikut turun sama sebab ingatkan dah sampai! Bayangkan dengan jinjing beg baju di sebelah tangan dan kotak yang sarat makanan untuk kanda di belah tangan yang lain, Lila jalan bagaikan itik pulang petang - terkedek-kedek. Berat tau kotak itu. Berbirat jugalah tangan Lila pegang tali rafia yang jadi pengikat kotak itu. Lila yang tak tahu nak tuju ke mana, main ikut aje ke mana arah orang ramai itu tuju. Nak tanya orang, Lila tak berani. Nanti orang tahu yang Lila ni budak baru, budak sesat kat situ. Dalam hati dah nak menangis pun ada.

Dalam dok terpinga-pinga (sambil jalan) itu, dalam dok takut-takut tu (tapi eksyen berani) ada la sorang 'mamat' ni tegur. Lila perasan dia sebab dia naik bas sama yang Lila naik. Kiranya dia orang 'kampung' kita jugak la kan? "Nak ke mana dik?" Dengan confidentnya "USM" Lila jawab.
"Laa kenapa adik turun sini? Kalau nak ke USM patutnya adik turun di Georgetown, takpun boleh mintak drebar turunkan adik kat Gelugor, dekat sikit kalau nak masuk USM"
Alamak! Uwaaaa Lila dah menangis dalam hati sebab panik, tapi takkan nak tunjuk depan-depan orang kan? Jadi Lila tunjuklah muka yang control selamba untuk tutup rasa takut. Yelah kalau abah confident aje biarkan Lila datang Penang sorang-sorang, mestilah abah yakin dengan Lila kan? Yakin yang Lila mampu jaga diri, mampu survive walaupun sorang-sorang kat tempat orang.
"Habis semua orang turun sini, sayapun turun la. Ingatkan dah sampai" Aah sudah! Macam mana ni? Bas yang Lila naik tadi dah jalan dah. Nak panggilpun memang dah tak boleh dah.
"Jadi, kalau nak pergi USM dari sini macam mana ya?" Dalam takut ala-ala berani tu, nak tak nak Lila terpaksa tanya juga. Tapi dalam hati hanya Allah sahaja yang tahu, cuak sungguh. Takutpun ya juga.
"Tak palah, abang hantar naik feri sampai ke seberang" Oh! baiknya hati dia. Alhamdulillah!! Dalam hati Lila panjatkan kesyukuran kerana ada orang nak tolong. Agaknya dia pun tahu yang Lila sebenarnya tak tahu nak ke mana. Dan nasib baik dia orang baik-baik...

Dan yang paling best, kotak penuh makanan yang senget-senget bahu Lila bawapun dia tolong bawakan. Baik sungguh dia, Lila puji dia dalam hati ajelah! Tapikan sampai sudah Lila lupa nak tanya nama dia dan dia duduk di mana, di 'kampung' kita. Terukkan Lila ni? TAPI budi baik dia Lila akan kenang sampai mati. Dan doa Lila, walau di manapun dia sekarang, Lila harap Allah sentiasa permudahkan urusan dia. Oh! Lupa nak cakap, dia 'belanja' tiket feri juga. Sampai di Pulau, lepas ucap terima kasih kat abang yang baik hati itu, Lila ambil teksi masuk USM terus ke Desasiswa Cahaya, kolej kediaman kanda.

Kanda yang Lila kasihi,

Lila minta maaf banyak-banyak kalau Lila buat kanda risau yang amat sangat pada hari itu. Lila betul-betul minta maaf! Ingatkan Lila nak buat kejutan untuk kanda. Datang senyap-senyap dan tadaaaa tup-tup Lila dah ada depan pintu kolej kanda, tapi malangnya kejutan Lila tak menjadi ekoran kesilapan Lila turun di Butterworth. Ya, Lila ke Penang tanpa pengetahuan kanda. Tapi entah kenapa kanda jadi tergerak hati nak telefon kampung dan mek yang tak tahu apa, cakap pada kanda yang Lila ke sana hari tu.

Havoc! Itu yang diberitahu pada Lila oleh kawan-kawan kanda. Selepas dapat perkhabaran tentang kedatangan Lila, kanda dan kawan-kawan kelam kabut ke stesen bas untuk ambik Lila. Tunggu punya tunggu, kelibat Lila tak juga nampak. Yalah! macam mana nak jumpa kalau Lila turun kat tempat lain, kanda pula tunggu kat tempat lain. Sampaikan kak Chuda, kawan kanda kata nak report polis kalau Lila tak ada kat dalam bilik bila mereka balik dari stesen bas. Alhamdulillah nasib baik Lila dah ada kat bilik bila kanda dan kawan-kawan balik ke bilik. Kalau tak tak tahulah macam mana kecohnya Desa Cahaya tu kan... hahaha Insiden yang tak mungkin akan Lila lupakan!

Selama tempoh seminggu lebih Lila di Penang, Lila jadi PATI di bilik kanda. Mengikut kanda ke dewan kuliah, beraksi ala-ala penuntut U yang khusyuk dengar lecturer dok beri kuliah sambil salin (tak tahu apa yang Lila salin) nota sedangkan keputusan SPM pun tak dapat lagi. Lila juga berkesempatan menonton pementasan teater bertajuk Uda dan Dara oleh penuntut-penuntut Pusat Pengajian Seni (kalau tak salah Lila la). Pertama kali menonton teater, suka bukan main. Yelah, Lila mana pernah tengok teater seumur hidup Lila, tengok cerita kat panggung wayangpun tak pernah, ini nak tengok teater? Pengalaman lagi...

Satu lagi pengalaman yang tak mungkin Lila lupakan adalah ketika Pusat Pengajian kanda (Sains Kemasyarakatan) buat program apa entah dalam dewan kuliah, Lila dibawa menyelit sama. Sepertinya ada acara ceramah? Serius, Lila memang tak tahu apa, main ikut aje ke mana kanda bawa Lila. Dan yang paling... (tak tahu nak cakap apa) Lila diheret oleh kawan kanda untuk jadi 'pemegang dulang' untuk acara pemberian 'cenderahati' kepada panel penceramah. Perasaan Lila ketika itu memang tak tahu nak gambarkan macam mana teruja tapi takut!

Semasa Lila berada di sana juga, kebetulan sekumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Zainab Kota Bharu datang buat rombongan melawat Pulau Pinang, dan salah satu tempat lawatan mereka adalah USM, jadi Lila dibawa menyertai 'adik-adik' melawat sekitar USM dan sekitar Pulau Pinang. Pendek kata sepanjang Lila berada di Penang, masa Lila penuh terisi dengan pelbagai aktiviti yang sangat menyeronokkan.

Kanda yang Lila sayangi,

Ingat tak dulu, masa Lila dapat tawaran ke ITM (sekarang Uitm) dalam jurusan Perancangan Bandar dan Wilayah, seronoknya tak dapat Lila gambarkan dengan kata-kata. Akhirnya impian Lila untuk belajar di 'U' tercapai juga. Waktu itu kursus yang Lila ambil mengharuskan Lila daftarkan diri di ITM Cawangan Manjung, Perak selama setahun sebelum sambung di Shah Alam. Waktu itu kampus ITM Perak hanyalah bangunan rumah kedai. Walaupun tak sebesar dan secantik USM, tapi ia tetap Pusat Pengajian Tinggi jugak kan? Masa hari pendaftaran Lila, kali ini mek ikut sama hantar Lila kat Manjung. Kanda yang masih lagi belajar di USM, turun ke Perak dan kita sama-sama berkumpul di rumah Tok Wan Ab. Rahman, sedara Wan (nama sama seperti atuk kita kan?) di Batu Kurau Perak.

Pertama kali Lila akan jauh dari keluarga, perasaan takut memang ada. Sewaktu kena 'tinggal' sorang-sorang kat Manjung, nak menangispun ada! Tapi Lila harus kuatkan kalau nak pandai? Masa Lila berada di Manjung, kita selalu berhubung. Salah satu cara kita berhubung adalah melalui surat. Waktu itu rasanya penggunaan telefon tangan masih belum ada kot? Kalau adapun hanya orang yang 'ada-ada' sahaja yang mampu guna. Nak guna telefon awam, kanda juga bukannya ada talian tetap untuk Lila hubungi lagipun malaslah Lila nak beratur panjang bak gerabak kereta api tuh. Jadi berutus surat adalah pilihan kita yang terbaik!

Lila sering tertunggu-tunggu kiriman surat daripada kanda. Bukan apa, selalunya kanda akan 'klip' duit (tak banyak manapun kadang-kadang RM10 sahaja) bersama helaian kertas yang bertulis tangan kanda bercerita tentang macam-macam hal di sana. Mungkin orang akan kata 'apa lah sangat dengan RM10 tu, bukannya banyak pun!' Ya, pada orang RM10 kecil aja jumlahnya tapi bagi kita besar maknanya. Dengan RM10 itulah Lila tambah duit belanja untuk beli alat-alat pembelajaran. Beli pen teknikal, beli kertas dan macam-macamlah untuk kerja kursus Lila. Masa itu kanda dapat pinjaman JPA dan Lila biasiswa FAMA (Father & Mother). Kesian abah setiap dua minggu Lila telefon minta duit. Kadang-kadang Lila rasa nak quit, rasa kesian sebab adik-adik pun mesti nak pakai duit juga.  Tapi kanda sering beri semangat... 'takpa... kita susah dulu untuk kita senang kemudian, sabar laa Lila'

Ya, dengan adik-beradik kita yang 9 orang itu, yang ketika itu Lili, Lida, Ros dan Nini masih sekolah, Ghafar dan Aizat yang masih kecil, Khairi adik kita yang bongsu masih belum ada lagi waktu tu, semuanya perlukan belanjakan? Dengan kerja abah di sawmill yang tak menentu, dengan mek yang tak kerja, kita harus pandai berjimat. Nasib baik di ITM makanan disediakan. Sedap tak sedap itulah yang harus Lila telan. Bersyukur dengan apa yang kita ada dan dapat. Orang lain, kalau makanan kat dewan makan tak best, mereka boleh makan kat luar, tapi kalau Lila tak nak makan kat dewan, lapar lah jawabnya! Tapi kita tetap bahagiakan? Kita bahagia dengan cara kita.

Sebab itulah Lila ternanti-nanti sangat surat daripada kanda. Lila bukanlah harapkan sangat duit yang ada dalam tu sebab Lila tahu kanda juga harus berjimat dengan duit pinjaman JPA kanda itu, kalau adapun itu bonus untuk Lila, tapi Lila nak baca cerita kanda tentang Penang, tentang USM yang telah buat Lila jatuh cinta pada 'Pusat Pengajian Tinggi'. Yang buat Lila berkobar-kobar nak masuk dan belajar di U seperti kanda juga dan Alhamdulillah Lila dapat.  Ketika membaca coretan kanda, Lila rasa seronok. Lila jadi lupa pada 'kesempitan' Lila di Manjung. Lila jadi semangat nak belajar, nak cepat habis (supaya tak extend - pakai duit lagi), supaya Lila dapat cari duit sendiri untuk beli apa yang Lila tak mampu beli ketika belajar. Ya, kanda lah inspirasi Lila. Dan lagi satu Lila paling suka tulisan tangan kanda yang cantik itu. Kadang-kadang Lila cuba tiru tulisan kanda. Kadang-kadang jadi, kadang-kadang tak lawa langsung! Yelah, tiru kan mana pernah cantik, dan sampai sekarang Lila rasa tulisan tangan Lila tak pernah cantik seperti kanda!

Ketika Lila berada di Shah Alam, sekali lagi Lila ke USM. Kali ini kita berkumpul untuk meraikan hari konvokesyen kanda. Waktu itu, bagaikan satu kampung (nampak sangat tipukan?) datang meraikan hari bersejarah kanda itu. Pada hari itu selain (arwah) abah, ada (arwah) Wan - bapa abah, ada (arwah) Mok Mah-mak Mek, Che Yah - kakak ipar mek, ada adik-adik (Lida, Nini, Ghafar dan Aizat). Oh! Lina pun ada sama. Masa tu dia dah dapat tawaran melanjutkan pelajarannya di Maktab Perguruan Ipoh. Sebenarnya Lina dapat belajar sana ketika Lila berada di Manjung lagi kan. Tapi dia tak rajin tulis surat seperti kanda! Jadi biarkan dia... hahaha Lila pilih kasih! Tapi Lila tak sedar, yang baju-baju kurung yang Lila pakai hari-hari ke kuliah, Lina yang bagi. Sebelum masuk maktab, Lina pernah kerja di Jabatan Pendaftaran Negara, jadi dia selalu beli kain dan buat baju. Memandangkan saiz badan kita sama aje, banyak la baju-baju dia yang Lila angkut pergi kolej. Bila balik cuti sekali-sekala, Lila bawa balik dan 'curi' tukar dengan baju dia yang lain pula.  Dia mesti tak perasan sebab baju dia banyak... syyy jangan cakap ke dia tau!

Kanda yang Lila cintai

Kalau nak cerita, berhelai-helai muka suratpun tak akan habiskan? Sebabnya selama kita hidup, kita ada banyak kenangan yang kita kongsi bersama. Yang pahit, yang manis, semuanya ada. Ya, kanda 'kenal' dan hidup bersama Lila seumur hidup kanda. Dan Lila kenal dan hidup bersama kanda selama 34 tahun usia Lila, jadi tak hairanlah selama kita hidup bersama, setiap hari kita kumpul dan ciptakan banyak momen indah untuk kita kenangkan? Semuanya tersemat kukuh dalam ingatan Lila. Terpatri tak mungkin hilang selagi ingatan ini masih ada dengan izin Allah.

Lila rindu kanda. Panggilan telefon pada petang 19-Disember-2006 benar-benar telah merobek jantung Lila. Meruntuhkan benteng ketabahan Lila. Lila kehilangan kanda buat selama-lamanya. Dan sampai saat dan detik ini Lila tetap merindui kanda. Rindu pada kanda yang manis. Rindu pada kanda yang penyayang dan rindu pada kanda yang baik hati ini. Dari dulu, kanda jadi 'banker' Lila, saat Lila sesak, kanda ada untuk hulurkan bantuan. Kala Lila buntu, kanda ada untuk berkongsi masalah. Pendek kata, kanda sentiasa ada saat Lila perlukan sokongan serta dokongan. Kehilangan kanda buatkan Lila hilang arah (sekejap). Kehilangan kanda merupakan satu tragedi kelabu yang tak mungkin hilang dari lipatan sejarah hidup Lila. Lila masih perlukan kanda untuk bimbing Lila. Lila masih perlukan kanda!

TAPI Tuhan lebih sayangkan kanda. Di usia kanda belumpun 40 tahun, DIA sudah ambil kanda dari kami. DIA pinjamkan kanda walau Lila rasa sekejap tapi tetap bermakna dalam hidup Lila. Sampai ke saat ini, bila Lila teringatkan kanda, pasti mata Lila rasa berpasir. Oh! Rindu yang tak akan pernah usai... Dan ketahuilah Lila sayang sangat-sangat pada kanda...

Salam sayang daripada Lila yang akan sentiasa merindui kanda sampai kapan pun!,

#Al-fatihah untuk kanda yang telah pergi menemui Kekasihnya pada 19122006#

1 comments:

adhan said...

al-fatihah untuk arwah...mata saya pun berpasir tatkala membaca coretan ini..moga kak wan n family tabah...

Back to Top