3

(20) Contengan Jalanan

Penulis : Hlovate
Halaman : 262 + 291
Tahun : Mei 2011
Terbitan : Jemari Seni Sdn Bhd
Harga : RM21.00 (Sem. M'sia)/RM24.00 (Sabah/Sarawak)



Plot/Jalan Cerita

Contengan Jalanan, kisah tentang perjalanan mencari diri - soul searching. Mencari arah tuju hidup. Membongkar makna cinta hakiki pada Yang Satu.

Contengan Jalanan sebuah kisah yang mempunyai dua sudut pandangan daripada dua 'pencerita' yang berbeza. Fend dan K2 (baca: K-Square). Mereka dua sahabat dari kecil, membesar dan menimba ilmu di tempat yang sama walaupun berlainan kursus.

Fend, K2, Pa'an, Azad dan Erdi, sekumpulan anak muda pelajar Limkokwing yang berlainan kreativiti dan kemahiran. Fend budak fotografi, K2 dan Pa'an budak Creative Studies, Azad Architect in the making dan Erdi Graphic Design & Ilustration. Namun baik aerosol art, graphic design, kamera mahupun model semuanya disatukan oleh tali gitar dan drumstick dalam Creepy Hues (nama band). Dalam muzik.

I - Fend

Fend; Fendy; Affendy, anak muda kelahiran Kuala Perlis. Pelajar jurusan fotografi merangkap freelance photographer di Limkokwing. Dalam hidupnya cuma ada lima benda yang bermakna; kamera, gitar, Dell, HTC & iPod. Dia cintakan fotografi. Dia gilakan muzik. Hidupnya hanyalah untuk fotografi dan muzik. Dia anak muda yang tidak banyak cakap tapi adakalanya soalan-soalan random yang diutarakan bisa membuatkan sepupu serta sahabatnya 'sentap'.

Dalam keghairahannya mengejar cita-cita, dalam kegilaannya terhadap muzik dan fotografi, dia masih tercari-cari hala tuju dan apa makna hidupnya di dunia ini. Pertemuan yang tanpa sengaja dengan Lia; Amalia, dengan hanya satu ungkapan kata, meninggalkan satu tanda dalam benak Fend. 'The man that decided to change on the twelfth hour dies on the eleventh' benar-benar membuatkan Fend berfikir. Persoalan demi persoalan yang menerjah dibenaknya membawa dia backpacking ke Australia bersama abang sepupunya Chad; Irsyad (setelah pertanyaan yang sama dia utarakan pada Chad tentang ungkapan kata tersebut).

Bermusafir di bumi Australia di bulan Ramadhan benar-benar menguji seorang Fend. Dengan ala-ala masjid-hoping mereka mencari diri. Mengenali Tok 'Abdul Qadir dan anaknya Imam Zakariyya, Brother Ade, Bapak Tono juga Akmal pelajar Malaysia di UNSW (University of New South Wales) telah membuka mata Fend akan makna sebenar hidup, selain mendekatkannya pada DIA yang satu. Perjalanan ini telah mengubah seorang Fend the Fendy Fender kepada seorang Affendy yang baru.

II - K2

K2 (baca: K-Square); Ku Kamaruzzaman, sahabat Fend. Sama-sama belajar di Limkokwing tetapi dalam bidang Creative Studies. Segala benda dalam hidupnya berpaksikan seni. Semua alat muzik bertali dia mahir memainkannya. Dengan prinsip there's no such thing as 'wrong' in arts menjadikan dia lelaki 'gila' pada teman-temannya.

Kematian Chad sepupu Fend yang juga merupakan sahabatnya telah mengubah Fend menjadi sangat pendiam. Perubahan drastik Fend ini telah membuatkan K2 hilang punca. Benarkah kematian Chad yang menyebabkan Fend menggantung Fendernya? Atau ada 'benda' lain yang telah berlaku pada Fend ketika mereka -Fend dan Chad- berkelana ke Australia dulu?

Pelawaan Fend untuk ke Australia dituruti demi menyelami dan memahami hati Fend selepas kematian Chad. Menjejaki lorong-lorong kenangan Fend bersama Chad di bumi Koala tidak mampu membuka hijab di hati Fend. Dia masih belum ‘kenal’ Fend yang baru.

Benarlah hati itu Allah yang pegang. Hidayah dan petunjuk itu hanya Allah yang beri. Benda dan perkara yang sama tidak semestinya akan memberi kesan yang sama juga kepada penerima yang berbeza. Perubahan yang sama Fend cuba tunjukkan pada K2 tapi sayangnya jalan yang dilaluinya bersama Chad tidak sama dengan lorong yang dilaluinya bersama K2.

Namun perubahan Fend sedikit sebanyak membekas di hati K2. Dia sudah hilang seorang kawan (Chad) dan dia tak ingin hilang seorang lagi (Fend). Dia bergelandangan ke bumi Indonesia untuk mencari jawapan kepada perubahan yang berlaku pada Fend. Mencari erti hidup yang beda!

Berbekalkan sketchbook hitam pemberian Fend sebagai peneman, dia bermusafir ke tanah asal Hikayat Pendawa Lima ini. Tanah Jawa. Tapi dia bukan Fend yang berhati lembut yang mudah tersentuh, mudah dilentur, mudah dibentuk kembali. Hatinya sekeras batu. Namun batu yang keras pun boleh pecah dan keluarkan air. Apatah lagi hati manusia. Hati yang dipegang oleh Allah bisa jadi lembut dan cair dengan izin-Nya. Dengan rahmat-Nya.

Dan dengan pertolongan Indra Sulaksana, lelaki kristian yang menjadi tour guide selama dia berada di Indonesia, dia temui dirinya, dia kembali sujud kepada-Nya. Dia kembali kepada Tuhan Yang satu. Benarlah. Hati itu Allah yang pegang.

Sekacip Pinang

Kalau tanya pada saya apa istimewanya karya Hlovate kali ini? Jawapan saya, anda kena baca dan nilaikan sendiri. Kerana setiap orang punya pendapat dan pandangan mereka yang tersendiri. Mungkin tidak semua orang suka cara dan gaya Hlovate berkarya, tapi pada saya saya sangat sukakannya. Secara jujurnya saya banyak belajar daripada tulisan-tulisan Hlovate.

Contengan Jalanan. Contengan yang memberi pelbagai rasa dijiwa. Contengan ini bukan sekadar tentang kisah Fend dan K2. Ini kisah tentang bagaimana mereka membawa saya sebagai pembaca melihat hidup ini dari kaca mata anak-anak muda yang gemarkan seni dan muzik. Bagaimana mereka berubah dan bagaimana perubahan mereka membuatkan saya sebagai pembaca muhasabah diri.

Membaca naskhah ini, banyak perkara baru yang saya pelajari. Saya yang tidak berapa tahu tentang muzik 'heavy rock' (ada ke istilah heavy rock? heavy metal ada laa hehehe), saya google, saya cari di youtube setiap lagu yang didengar oleh ‘Fend & K2’ semata-mata untuk menghayati naskhah ini. Bertemankan lagu-lagu dalam Contengan Jalanan sebagai latar, saya membaca naskhah ini untuk kali yang kedua. Sesungguhnya dalam ritma lagu-lagu 'keras' ada pengajaran yang boleh kita ambil iktibar seperti lagu One oleh Metallica.

Sejujurnya menerusi Contengan Jalanan inilah saya tahu tentang lagu One dan kisah di sebalik lagu tersebut. Kisah yang benar-benar menginsafkan. Apabila segala nikmat yang Allah kurniakan ditarik balik kesemuanya tidak tersisa. Nikmat penglihatan, nikmat percakapan, nikmat pendengaran, nikmat kedua-dua belah kaki dan tangan semuanya ditarik balik bayangkan bagaimana jiwa itu bisa hidup? Subhanallah... Alhamdulillah bersyukurnya saya kerana Dia masih sudi meminjamkan nikmat dan rahmat-Nya pada saya. Terima kasih Hlovate kerana mengingatkan saya yang kadang-kala leka dan alpa ini.

Kata-kata di helaian akhir setiap bab juga sangat menarik untuk renungan bersama. Penuh pengertian agar kita sebagai pembaca berfikir dan bermuhasabah diri.

Walaupun pada awalnya naskhah ini agak sedikit 'berat' untuk saya faham. Ya, muzik underground, muzik indie bukan dalam lingkungan pengetahuan saya. Jadi saya agak perlahan untuk memahami dan 'masuk' ke dalam jiwa Fend dan K2. Walau bagaimanapun cerita bertambah menarik dan penuh pengisian apabila kisah Fend dan Chad berkelana di Australia bermula. Begitu juga apabila kisah K2 bergelandangan ke Indonesia benar-benar membuatkan saya terpaku. Persoalan tentang erti hidup yang sebenar walau di mana sahaja mereka berada, di bumi Australia mahupun di tanah Indonesia benar-benar membuatkan saya insaf! Moga saya dan kalian semua tergolong dalam kalangan orang-orang yang mendapat hidayah dan rahmat Allah.

Biarlah orang kata buku ini buku untuk orang muda, tapi saya yang tak berapa muda inipun masih boleh baca. Adakalanya apa yang kita baca itu perkara kedua, tapi apa yang lebih penting adalah apa yang kita dapat daripada pembacaan kita!

Bacalah, moga ianya bermanfaat untuk anda juga.


2

(19) Kasih Bersemi


Penulis : Rozita Abd Wahab
Halaman : 571
Tahun : Mac 2006
Terbitan : Diwangsa Publications & Distributors
Harga : RM19.90 (Sem. M'sia)/RM21.00 (Sabah/Sarawak)
ISBN: 983-9459-54-6




Blurb:

Kasih yang disemai; Mekarnya tetap menjadi rindu yang manis


Hanim guru muda yang baru sahaja ditugaskan di sebuah sekolah di utara menjadi perhatian guru-guru dan penduduk kampung sekitar rumah sewanya. Dia menjadi buah mulut masyarakat di situ apabila dikatakan akan bertunang dengan Awaludin, anak bujang Mak Yam. Malu dan marahnya bukan kepalang kerana cerita tidak berasas itu.

Untuk menutup rasa tertekan, Hanim mereka cerita bahawa dirinya sudah bertunang. Bagaimanapun cerita rekaannya itu mengundang kecewa Mak Piah pula. Mak Piah menyimpan angan hendak menjodohkan guru itu dengan anak terunanya Akmal, lelaki yang amat pendiam!

Siapa pun tidak menyangka cerita rekaannya menjadi kenyataan bila dia terpaksa juga bertunang dengan Shafri teman lelaki yang kerap melukakan hatinya. Hanim menerima ikatan itu kerana kebaikan Puan Asma, wanita yang dianggap ibu kandungnya.

Kematian Shafri akibat kemalangan menyulitkan lagi hati Hanim. Mengapa Awaludin yang menginginkan Hanim, berkahwin pula dengan Amirah? Bagaimana Hanim mengubati hati kecewanya?


Plot/Jalan Cerita:

Kasih Bersemi berkisah tentang Hanim, guru muda lepasan maktab. Dia, gadis kota metropolitan Kuala Lumpur dihantar bertugas ke sebuah kampung di utara tanah air. Dia anak yang dibenci oleh ibu yang membesarkannya. Dia kakak yang tidak dihormati oleh adik-adiknya. Dia dilayan bagaikan orang gaji di rumahnya sendiri. Kesempatan ini bagaikan peluang terbaik baginya untuk 'lari' daripada bebanan perasaan yang ditanggung. Tapi dia punya ayah yang sangat menyayanginya yang sentiasa disisi, yang sentiasa ada untuk mendengar keluh kesahnya.

Sementelah pula hubungan yang tidak menentu dengan Shafri - teman lelakinya, memberinya peluang untuk menata kembali hatinya yang sering kali disakiti oleh lelaki itu. Penghijrahan ini bagaikan memberi peluang untuk dia ‘bernafas’ dengan aman di daerah yang jauh daripada ‘masalah-masalah’nya itu. Tapi benarkah lari dari masalah adalah penyelesai segala masalah?

Kasih Bersemi membawa kita menyelami hati seorang anak yang sering dinafikan haknya oleh ibu. Adakalanya penderaan mental lebih teruk berbanding dengan penderaan fizikal. Tapi, Hanim seorang anak yang tabah, dia memandang hidup ini dengan pandangan yang positif. Dipaksa belajar menjahit, memasak, mengemas rumah dan melakukan serba-serbi urusan rumahtangga seawal usia mudanya. Namun sesungguhnya ada manfaat untuknya di kemudian hari.

Kasih Bersemi membawa kita menyelusuri hati seorang wanita yang sering disakiti oleh lelaki yang diharapkan untuk membawanya keluar dari kemelut yang membelenggu hidupnya di rumah. Janji-janji manis yang dilafazkan si dia sering membuatnya dilambung bahagia. Namun di waktu yang sama hatinya sering kali pula disakiti.

Kasih Bersemi bercerita tentang erti kasih sayang seorang sahabat, tentang hubungan sesama jiran tetanga, juga tentang tanggungjawab sosial seorang guru terhadap anak muridnya. Pendek kata, Kasih Bersemi adalah sebuah kisah masyarakat yang sarat dengan pengorbanan, kasih sayang dan tanggungjawab. Ini kisah perihal pahit manis, suka duka yang berlaku di seputar hidup seorang Farah Hanim Halim.


Watak & Perwatakkan:

Hanim – si gadis kota yang peramah dan baik hati. Dan dengan sikap peramahnya itulah, dia disenangi dan menjadi dambaan orang kampung untuk dijadikan calon menantu. Dan salah seorangnya adalah Mak Yam yang terkenal dengan mulut becoknya. Baru dua bulan dia di kampung itu, sudah heboh satu kampung gossip tentang dia yang bakal bertunang dengan Awaludin; anak Mak Yam. Dia juga perempuan yang tahu malu dan geram. Demi menutup mulut orang-orang kampung daripada terus bercerita, dia ‘mereka’ cerita tentang dirinya yang sudahpun bertunang dengan orang Kuala Lumpur. Daripada hanya cerita rekaan, akhirnya dia memang bertunang dengan Shafri, orang Kuala Lumpur!

Hanim juga dipotretkan sebagai seorang guru muda yang berdedikasi dan penuh rasa tanggungjawab terhadap tugasnya sebagai pendidik. Dia wanita yang dikurniakan dengan sifat belas dan simpati yang menggunung. Dan usaha murninya yang menjadi sebutan orang kampung apabila dia tampil membela nasib anak muridnya Fahmi, anak yatim piatu yang kehilangan kedua orang tua. Dijaga oleh nenek yang uzur yang akhirnya juga meninggalkannya. Fahmi dijadikan adik angkat dan dia dengan rela hati membiayai segala perbelanjaan persekolahan Fahmi hinggalah Fahmi dijadikan anak angkat oleh Auntie Asma dan Uncle Salleh (ibubapa Shafri) keluarga angkatnya.

Shafri – dia lelaki yang sering kali alpa. Pantang ada wanita jelita, hatinya mudah terpesona. Tapi akhirnya dia akan kembali pada Hanim pabila hatinya mulai tawar dengan setiap wanita baru yang dikenalinya. Hanim tetap wanita dambaan hatinya.

Shafri, dia bagaikan lelaki yang tidak ada tenggang rasa pada Hanim. Walau hakikatnya dia amat menyayangi Hanim. Dia bagaikan lelaki yang tidak reti bertanggungjawab terhadap hubungannya dengan Hanim yang telah bertahun-tahun terjalin. Dan kesilapan terbesarnya apabila Hanim memergokinya curang bersama wanita lain.

Berjauhan dengan Hanim, mengajar dia erti cinta yang sebenar-benar cinta. Sayangnya pada Hanim tidak mampu diganggu-gugat oleh mana-mana wanita yang hadir dalam hidupnya. Hanya Hanim yang dia sayang dan cinta selama-lamanya. "Awak istimewa di hati saya...ratu hati saya... sampai akhir hayat saya akan menyayangi awak. Nim, I love you so much..." -ms 238

Dan benarlah, rasa cintanya pada Hanim dia bawa hingga ke mati. Di saat mereka sedang berbahagia menghitung hari, Shafri pergi mengadap ilahi selepas terlibat dengan kemalangan.

Akmal – anak Mak Piah, jiran sebelah rumah sewa Hanim di kampung. Dia lelaki yang pendiam. Amat pendiam! Hatta dengan ibunya sendiri dia tidak banyak bercakap. Hinggakan Hanim gelarkannya Si Bisu. Tapi diamnya bukan bermakna dia tidak ambil peduli. Diamnya diam berisi. Dalam diam, dia memendam rasa pada jiran sebelah rumahnya. Tapi bukan sifatnya untuk menunjukkan rasa suka pada si gadis terang-terangan. Nasib baik ada si ibu yang memahami gelodak di hatinya. Yang menjadi jambatan untuk dia dekat dengan si gadis yang dipuja dalam diam itu.

Saya sangat sukakan watak Akmal ini. Inilah antara hero kegemaran saya selepas Eric Chua (Permata Asmara). Pada saya Akmal adalah bayangan lelaki yang sangat gentleman. Dia lelaki yang bercakap bila perlu. Dia lelaki matang yang tenang lagi bersahaja. Tapi bila diberi peluang dia bisa menjadi lelaki yang sangat romantik dengan caranya yang tersendiri. Kata-katanya juga bisa membuatkan Hanim yang becok mulut juga terkedu! Itulah Akmal yang saya suka. Dan saya jatuh cinta padanya! hehehe

Faisal – dia senior Hanim ketika mereka di maktab perguruan. Dia, lelaki yang sukakan Hanim tapi harus mengurung rasa hatinya memandangkan Hanim sudah ada Shafri dalam hidupnya. Dia lelaki yang hadir tidak kena pada masa dan ketika. Dia pernah jadi lelaki yang baik, tetapi kerana cinta, dia berubah sifat dan sikap. Dia jadi lelaki yang menyebalkan. Dia jadi lelaki yang menjengkelkan. Bahkan dia jadi lelaki yang sanggup memperjudikan hati wanita lain semata-mata untuk menarik perhatian Hanim. Dia jadi lelaki yang bagaikan tiada rasa belas kasihan dan tanggungjawab.

Amirah - dia teman serumah Hanim. Dia guru sekolah menengah. Dia sahabat yang sentiasa ada di saat-saat Hanim dirundung duka. Dia sentiasa ada di saat-saat suka mahupun duka Hanim. Namun dia juga menjadi mangsa keadaan. Dia jatuh cinta pada Faizal disebabkan Hanim. Dia juga dikecewakan oleh Faizal kerana Hanim.

Selain watak-watak utama yang menjadi tunjang utama cerita ini, watak sokongan seperti Auntie Asma, Uncle Salleh dan Mak Piah yang penyayang, Mak Yam yang becok, juga 'Ibu' yang sering menyakitkan hati Hanim (ada sebab kenapa 'Ibu' bertingkah sedemikian) menjadikan cerita ini penuh warna-warni. Menjadikan cerita ini menarik untuk saya baca berulang-ulang kali.


Sekacip Pinang:

Saya ‘kenal’ Rozita Abd Wahab lewat karya-karyanya bersama Creative Enterprise dan saya jatuh cinta. Selain bersama penerbitan Creative, karya-karya beliau juga pernah diterbitkan oleh Alaf 21 dan Syarikat Diwangsa. Dan betulkan saya andai saya tersilap, rasanya Syarikat Diwangsa ini sudah tidak aktif lagi, jadi anda mungkin tidak akan jumpa lagi naskhah ini kecuali ada syarikat penerbitan lain membeli hak cipta dan menerbitkannya semula.

Saya sudah lupa untuk kali ke berapakah naskhah ini saya baca. Tapi saya tetap sukakannya walaupun setiap babak dan atur langkah sudah saya hafal jalan ceritanya. Jangan ditanya kenapa dan apa yang membuatkan saya sukakannya kerana saya tiada jawapan khusus untuk soalan itu melainkan saya sukakannya tanpa alasan. Sayangnya, penyuntingan yang tidak sempurna, kesilapan demi kesilapan yang terlihat dek mata bole saya terutamanya kesilapan ejaan dan penggunaan istilah bahasa inggeris sedikit sebanyak mencacatkan naskhah yang menarik ini. Apa-apapun saya tetap sukakan isi yang terkandung di dalamnya.

Bacalah moga ada manfaatnya buat kita semua.


2

Keputusan Cabaran 50 Buku : Jun 2011

Salam semua,

Alhamdulillah Cabaran 50 Buku; Jom Lomba Baca! kita sudah memasuki bulan ke-7. Ini bermakna kita sudah ada 10 lagi ulasan yang terpilih untuk bulan ke-6. Dan kita juga masih ada 5 bulan berbaki untuk membaca dan menyediakan ulasan bagi mencukupkan 50 buah buku sempena cabaran kita ini. Ingat!! harus cukupkan 50 buah buku berserta ulasan bagi melayakkan kalian merebut hadiah utama yang ditawarkan oleh pihak penaja iaitu JEMARI SENI SDN BHD.

Untuk mencari 10 ulasan terpilih, komen pertama yang kakwan dapat daripada panel penilai adalah; 'mereka lebih kepada memberi sinopsis cerita berbanding dengan membuat ulasan'. Dan kakwan, tak boleh nak kata apa-apa...

Walau bagaimanapun, untuk bulan Jun ini, inilah senarai 10 ulasan yang telah dipilih oleh panel. (Nama tidak mengikut urutan)

1- Aimie - L.U.V.E.
2- Ain - Warna
3- Amal - Indahnya Hidup Tanpa Derita
4- A&N - Tinta
5- AS - Langsir Biji Remia
6- MB - Bohemian
7- NH - Jiranku Kekasihku
8- R - Baju Melayu Hijau Serindit
9- WA - Menunggu Hujan
10- XX - Quartet

Tahniah ya pada kalian yang terpilih! Pada mereka yang namanya tidak tersenarai dalam 10 ulasan yang terpilih, jangan berputus asa, masih ada lagi masa untuk kalian menyediakan ulasan yang bisa mengkagumkan panel dan seterusnya memilih ulasan kalian sebagai pemenang!

Ayuh... jom baca dan buat ulasan!

Salam sayang,
kakWan

Libur vs Pesta

Salam semua,

Hujung minggu yang padat! Itulah yang telah saya lalui di hujung minggu yang baru lalu. Hari jumaat saya cuti. Teman saya Bunga aka Erna dari Jakarta berlibur ke Singapura-Malaysia. Dari Jakarta Bunga terus ke Kota Singa bersama ahli keluarganya (kakak-kakaknya, iaitu Mbak Atik, Mbak Tuti, Mbak Rini & suami dan ponakannya, Adji, Bimo dan Hayu). Dari Singapura mereka terbang pula ke Kuala Lumpur. Dari Kuala Lumpur mereka terus ke Genting Highland dan hari jumaat (1 Julai) barulah saya menyertai mereka pusing-pusing di Kuala Lumpur.

Dari Crown Princess saya bersama kak Shima ambil mereka. Selepas urusan check-out selesai, kami ke Muzium Kesenian Islam yang terletak berhampiran dengan Masjid Negara. Ini kali pertama saya melawat sini. Diketawakan oleh Bunga yang sudah dua kali melawat tempat ini.... huhuhu Kemudian singgah hantar Bunga ke Pasar Seni (ada kiriman lagi yang belum dibeli). Dia kami tinggalkan dan kami meneruskan perjalanan ke Dataran Merdeka. Bergambar. Meneruskan perjalanan ke Pavillion. Makan tengah hari di Medan Selera Pavillion. Di sini juga pertama kali saya jejakkan kaki. Bukan apa, di sini bukan taraf saya untuk bershopping! huhuhu

Selesai jalan-jalan di Kuala Lumpur, kami ke Shah Alam. Bunga dan keluarganya akan menginap di Seksyen 3 Shah Alam (Bangunan MAIS). Sebelum itu singgah di rumah kak Sharifah jiran kak Shima untuk makan petang. Terima kasih kak Sharifah! Kemudian hantar mereka ke tempat penginapan untuk berehat sebelum ke I-City pada sebelah malamnya.

Tapi saya dan Bunga singgah ke SACC Convention Center yang sedang berlangsung acara Pesta Buku Selangor 2011. Hajat hati nak jumpa kaksu dan kak yah tapi mereka sudah balik. Tak apalah sebab esoknya (sabtu) adalah hari perjumpaan kami bersama geng Ulatbuku. Saya hantar Bunga ke biliknya dan saya balik. Penat tapi happy!

Sabtu - Saya bekerja (separuh hari) seperti biasa. Sebelum ke pejabat hantar Aysha yang ada hari sukan tahunan sekolahnya. Oleh kerana kami terlewat tiba, saya tidak tahu ke mana Aysha harus melapurkan diri. Tak sampai hati nak tinggalkan dia terkontang-kanting sendirian, dan mula la airmatanya meleleh! Tengok dia menangis saya marahkan dia, tapi dalam hati saya menangis sama! Bila dia dah jumpa teman-temannya, dia saya tinggalkan dengan hati yang separuh ralat! Sepatutnya saya ambil cuti temankan dia dan lihat dia bermain sukan (sukaneka) sebagai tanda sokongan moral untuknya tapi memandangkan cuti saya sudah penuh, jadi terpaksalah saya bekerja! (Nota untuk tahun depan, reserve cuti untuk acara sukan tahunan sekolah Aysha)

Dalam kereta, airmata saya meleleh tanpa dapat saya tahan. Kasihan anak saya! Kasihan sungguh Aysha, orang lain mak-bapa ada, dia... uuwwaaa sedihhhhhhh!!! Jam 10.30 pagi Sirman telefon beritahu dia dah di sekolah Aysha. Alhamdulillah lega hati saya selega-leganya sekurang-kurangnya dia tidak keseorangan. Barulah senang hati saya untuk bergumbira petangnya. Habis waktu kerja saya terus ke Shah Alam untuk acara sembang-santai bersama geng Ulatbuku di SACC Mall Shah Alam!!

Di The Teapot Deli kami berkumpul. Ada kaksu, kakyah, nawwir, syud, nacha, Naz, kaknOtie, Iejay, Wabbit, Lia, Ruby, dan Bunga. Kami makan-makan, berbagi hadiah, bertukar cerita, bergambar dengan gembira tanpa ada yang menghalau walau masa berjam-jam diambil oleh kami untuk acara kegemaran kami ini... makan & borak! Seronok! tapi ada rasa ralat juga sebab saya terlupa akan janji saya pada Nacha... Sorry nacha! kita jumpa lain kali wan tunaikan ya!

Kemudian saya, wabbit & Lia temankan Bunga yang ada lagi barang yang belum dibeli untuk dibawa pulang esoknya (ahad). Dari SACC Mall, kami ke Alam Sentral, kemudian ke Kompleks PKNS patah balik semula ke SACC Mall demi mencari hadiah/titipan daripada kaum kerabat Bunga di Jakarta. Selepas selesai bershopping, Bunga, Lia hantar ke tempat penginapannya untuk acara makan malam bersama keluarga kak Shima dan kak Sharifah di Muara untuk sebelah malamnya.

Ahad - seawal pagi saya sudah ke tempat penginapan Bunga untuk menyertai Lia & Wabbit makan pagi bersama Bunga dan keluarga sebelum mereka bertolak pulang ke Jakarta (penerbangan jam 1.30 tengah hari). Selesai makan, kami pulang ke bilik penginapan mereka sementara menunggu kak Shima dan kak Sharifah datang untuk menghantar mereka ke LCCT Sepang. Dihiburkan dengan keletah Hayu yang sungguh menggemaskan! Disakat oleh abangnya (yang berbeza umur lebih kurang 12 atau 13 tahun) dan sampai satu peringkat 'putus saudara sama mas!' tapi bila nak suruh abangnya dukung 'Hayu sayang banget sama Mas!' hahaha lucu sungguh! Saya lepaskan Bunga dan keluarganya dengan hati yang berat. Sedih mahu berpisah, harap dipanjangkan umur untuk kami bertemu lagi... Lia & Wabbit akan menyertai mereka hingga ke Sepang.

Tapi saya, harus melapurkan diri di booth Jemari Seni. Satu tugas yang sangat saya SUKA! Tugas kali ini lebih santai dan sebenarnya saya lebih banyak berborak dengan Khairyn Othman dan Syud yang bertugas (book signing) dan adinda-adinda Soleh, Fahmi dan Afiqah selain beronda-ronda bersama Nawwir. Makan tengah hari sekali lagi kami -kaksu & Abang Rosdi, kakyah, Khairyn, Syud, Nawwir- makan di The Teapot Deli. Diam-diam Khairyn pergi bayar. Huhuhu padahal dia masih belum bekerja lagi! Terima kasih Khairyn! moga murah rezeki di tempat kerja baru nanti...!!

Jam 8.30 malam, selepas bantu kapten Soleh packing barang untuk bawa balik selepas selesai seminggu berkampung di SACC Convention Center saya pulang ke Usj dengan badan yang penat tapi hati puas!

Jadi... itulah cerita Libur-Pesta saya kali ini. Walaupun hari isnin saya masuk pejabat dengan hidung berair, kepala pusing dan tekak perit tapi saya tetap puashati!!

Tapi masih ada satu lagi tugas yang menanti saya, mengumumkan senarai 10 ulasan terpilih untuk bulan Jun bagi acara Cabaran 50 Buku ; Jom Lomba Baca! di blog ulatbuku. Harap dalam masa sehari dua ini saya sudah ada senarai pemenang dan Insyallah minggu depan saya sudah boleh pos hadiah pada para pemenang. Doakan saya diberikan kesihatan yang baik ya... (sebab tanda-tanda mahu sakit sudah ada... harapnya tidak melarat dan kesihatan saya cepat baik)

Salam sayang,
Back to Top