0

(18) Dia & Dia

Pengarang : Bunick Firdaus
Halaman : 584
Tahun : Februari 2011
Terbitan : Jemari Seni Sdn Bhd
Harga: RM21.00
ISBN: 978-967-5118-54-8


Rasa Saya:

Hidup seorang Arisa tenang-tenang sahaja. Hinggalah saat dia dilamar oleh Fazril di puncak Kinabalu. Di puncak ketinggian 4,101 meter Fazril melafazkan hasrat hati dan janji termeterai, secara sah dia menjadi teman wanita Fazril dan dalam tempoh tiga bulan mereka akan mengikat tali pertunangan. Bahagia Arissa berganda-ganda. Daripada sahabat baik menjadi insan yang bakal bergelar suami.

Namun bukan itu takdir yang tertulis buat Arrisa. Belum sempat rombongan peminangan bertandang ke rumah orang tuanya, kad undangan perkahwinan antara Syed Adam Fazril bin Syed Ahmad Al-Idrus bersama pasangan Sharifah Zhaliya Bt Syed Hashim Al-Idrus sampai ke tangannya. Hancur luluh hatinya. Punah sudah mahligai impiannya. Fazril harus dia lupakan. Walau perit, walau pahit itu yang harus dia lakukan.

Sukarnya untuk membuang Fazril dari hidupnya. Siksanya jiwa untuk menguburkan segala kenangan indah yang mereka kongsi bersama. YA, bukan mudah untuk dia melupakan Fazril dalam sekelip mata!

Di saat dia berperang mengubati jiwa yang parah, Irfan hadir dalam hidup Arissa. Kehadiran yang membantu menyembuhkan luka di hati. Dia menjadi suri hidup Irfan. Doa dan harapannya moga bahagia kekal miliknya. Namun jalan untuk dia mengapai bahagia bukan laluan lurus. Ada ranjau berduri yang harus dia tempuhi. Kehadiran Dania mengugat bahagia yang cuba diraihnya. Bahkan nyawanya juga hampir melayang angkara Dania.

Sesungguhnya rasa cinta itu adalah anugerah yang Esa. DIA pernah tiupkan rasa cinta Fazril pada Arissa. DIA anugerahkan ‘roh’ cinta Irfan buat Arissa. Dan DIA duga Arissa dengan cinta dan kasih sayang Fazril dan Irfan. Antara Arissa dan Fazril, Zhaliya berdiri di tengahnya. Antara Arissa dan Irfan ada Dania yang mengekorinya. Jadi di mana letaknya Arissa dalam kemelut ini?

****

Sejujurnya membaca naskhah ini ada rasa yang mengganggu jiwa saya. Bukan bermakna saya tidak suka. Suka. Watak-watak garapan penulis ada tarikan dan ‘roh’nya tersendiri. Ada pelbagai rasa yang berperang dalam hati saya ketika ‘menjiwai’ setiap watak yang ada dalam naskhah ini. Ya, saya suka berimaginasi.

Watak dan Perwatakan

Arissa – sikapnya yang tenang dan tabah di depan Zhaliya ketika mendapat khabar perkahwinan Fazril mengkagumkan saya. Saya dapat rasa apa yang Arissa rasa. Sakit. Hati bagai dirobek-robek tapi dia harus berlagak tenang. Saya benar-benar jatuh kasihan pada Arissa. Saya jadi benci pada Fazril yang pengecut, tidak mahu berterus terang dari awal. Waktu itulah!

Arissa bangkit dari kesakitan akibat di’tinggal’kan Fazril, saya kagumi semangat juangnya walaupun bergelen-gelen airmatanya tumpah sebelum hatinya sembuh.

Kehadiran Irfan mengubat luka dihati, walau parutnya tetap kekal ada di hati. Benarkah cinta pertama sukar dilepaskan daripada hati walaupun si dia tidak ditakdirkan menjadi milik kita? Begitulah, sukarnya Arissa membuang terus ingatan pada kenangan lalu bersama Fazril.

Ingatan dan rasa suka pada Fazril yang telah menjadi sejarah, dalam diam menjadi barah dalam hati Irfan yang telahpun bergelar suami pada Arissa. Silap Arissa kerana terus berhubung dengan Fazril walaupun atas tiket seorang sahabat! Ada rasa tidak puashati di hati saya dengan tindakan Arissa. Tapi bagaimana harus saya salahkan Arissa kerana Fazril seakan tidak peka dengan situasi Arissa. Apatah lagi dengan konflik yang berlaku di seputar hidup Arissa–Irfan–Dania.

Jadi saya tak tahu adakah wajar atau tidak tindakan Arissa... jom sama-sama kita rungkaikan bersama!

Fazril – saya letakkan dia sebagai lelaki idaman wanita. Dia memilih tempat yang sangat romantik untuk meluahkan rahsia hati pada si pujaan hatinya – Arissa. Wah! saya pun sama dapat tempias dan berkongsi rasa bahagia yang Arissa rasa tatkala di lamar di Puncak Kinabalu itu. Berbalas-balas pantun antara mereka memang mengundang rasa bahagia di hati saya juga. Kiranya dia hero yang tepatlah buat Arissa.

Tapi di saat dia memilih Zhaliya sebagai isteri dan meninggalkan Arissa saya jadi sakit hati, saya terkilan bahkan saya jatuh kasihan pada Arissa. Tapi saya tidak boleh nak salahkan Fazril. Antara maruah keluarga yang harus dia junjung, antara cintanya pada Arissa yang dia julang, dia tersepit. Natijahnya dia yang menjadi korban. Di saat itu saya jadi berbelah bahagi, nak suka atau nak benci pada Fazril? Ada ketikanya saya kasihan pada Fazril tapi di masa yang sama, saya tak suka dengan tindak-tanduknya. Aduh! memang pening kepala saya. Psst... dia tetap idaman hati saya! hehehe

Irfan – dia hero penyelamat heroin, itulah yang boleh saya katakan tentang watak Inspektor Irfan ini. Dia hadir di saat Arissa benar-benar perlukan sokongan dan dukungan. Di saat ini dia bagaikan seorang White Knight yang berjaya menyelamatkan si puteri daripada penjahat. Jika White Knight berkuda untuk menyelamatkan si Puteri, dia tampil bermotor besarnya menyelamatkan wanita yang telah mencuri hatinya. Dia menjadi sosok lelaki yang saya kagumi. Dia memahami. Dia menghiburkan. Bahkan dia boleh juga menjadi sangat romantik walaupun bidang tugasnya memperlihatkan dia sebagai seorang yang tegas.

Itu sebelum dia berjaya ‘memiliki’ Arissa. Silap dia kerana pentingkan diri sendiri. Dia bagaikan ‘paksa’ Arissa membuat keputusan di saat Fazril perlukan ‘semangat’ untuk terus hidup. Dia bagaikan gunakan kuasa vetonya untuk memaksa Arissa membuat keputusan. Walau hakikatnya dia tidaklah paksa, tapi dia meletakkan Arissa dalam situasi yang ‘terpaksa’. Dan kesilapan dia yang terbesar adalah sifat cemburunya. Bahkan disebabkan sifat cemburunyalah yang telah membina tembok antara mereka.

Saya jadi terkilan, benarkah cinta bisa membuatkan orang hilang pertimbangan? Sebagaimana Irfan hilang pertimbangan membiarkan Arissa terkapai-kapai mencari arah. Bagaikan dahan yang selama ini kukuh dan teguh sebagai tempat berpaut mulai rapuh dan gugur menyembah bumi.

Sebenarnya banyak penyebab tapi saya tetap ingin menyalahkan Irfan yang sering keliru membuat pertimbangan. Dan di saat itu, rasa suka saya pada Irfan sudah hilang.

Salah mereka -Arissa, Fazril, Irfan- kerana masing-masing ego dan cuba menidakkan kenyataan yang terbentang di depan mata. Natijahnya memakan diri sendiri dan mereka jugalah yang menjadi mangsa keadaan.

Watak sampingan juga memainkan peranan yang sama penting dalam mengatur perjalanan cerita ini. Zhaliya, tindakan tidak bertamadunnya telah merosakkan dua jiwa yang sedang membina bahagia. Dania, tindakan tidak warasnya hampir meragut nyawa insan lain.


Plot

Dia & Dia tentang konflik jiwa yang menyelubungi hidup Arissa. Dia rasa pilihannya sudah betul tapi kenapa masih ada lagi rasa sangsi yang berlagu di hatinya? Dia & Dia tentang kasih sayang lelaki pada wanita kesayangan mereka. Namun kasih sayang juga bisa menghancurkan hati.

Cinta tidak semestinya bersatu bagaikan tabu dalam hidup mereka. Ya, walaupun cinta Fazril dan Arissa setinggi Puncak Kinabalu, tetap tidak kesampaian. Ya, walaupun cinta Irfan dan Arissa hingga ke jinjang pelamin, tetapi kenapa masih juga ada rintangannya? Dan bahagiakah mereka dengan jalan yang mereka pilih? Bacalah... Dia & Dia ada jawapannya.

YA, Dia & Dia membuatkan saya mengusung pelbagai rasa di hati. Tapi tetap membuatkan saya tersenyum puas tatkala baris terakhir saya noktahkan. Bacalah, moga ada manfaat pada kita semua!

4

Terima Kasih...

Salam semua...

Semalam 20 Jun 2011
tanggal saya diputerikan
tanggal saya pertama kali menjengah dunia

Semalam 20 Jun 2011
tiada sambutan yang hebat-hebat
tiada kek dan makan besar yang nikmat-nikmat
tetapi akan tetap saya ingat
sebagai tanda umur sudah meningkat

TERIMA KASIH...
Pada kamu yang memberi ucap selamat
Pada kamu yang mendoakan saya selamat
Pada kamu yang menjadi sahabat

TERIMA KASIH...
Pada DIA yang meminjamkan nikmat
Pada DIA yang mencurahkan rahmat
Pada DIA yang menghadirkan kamu sebagai sahabat

Sesungguhnya...
tiada apa yang lebih berharga
selain keluarga dan sanak saudara
selain sahabat yang sentiasa ada
yang susah dan senang dikongsi bersama

Ketahuilah...
Kamu sekalian adalah hadiah terhebat yang saya dapat
Daripada DIA yang MAHA hebat

terima kasih...
terima kasih...
terima kasih...

kerana kamu menjadikan saya istimewa
kerana kamu memberikan saya bahagia
kerana kamu sentiasa ada di sisi saya
kerana kamu menceriakan hari-hari saya
kerana kamu adalah sahabat saya
(dunia dan akhirat)

Hanya DIA yang tahu bagaimana saya rasa
Rasa sayang saya pada kamu semua
Rasa sayang yang teramat sangat...

*peluk kamu erat-erat*
*agar kamu dapat rasa apa yang ada dalam hati saya*


0

(17) Menunggu Hujan

Pengarang : Adileah
Halaman : 447
Tahun : Mac 2011
Terbitan : Jemari Seni Sdn Bhd
Harga: RM19.00
ISBN: 978-967-5118-56-2

Rasa Saya:

Selepas Pada Angin Aku Berpesan, Adileah muncul bersama karya terbaharunya Menunggu Hujan. Wah! suka ya dia bermain dengan ‘cuaca’?? Jangan selepas ini taufan pula sudah ya Lia! hehehe

Menunggu Hujan berkisah tentang Malisa; si gadis lulusan Ijazah dalam Bussiness Management, bekerja sebagai jururawat peribadi di rumah agam Cik Puan Juita janda kaya kematian suami. Cik Puan Juita yang lumpuh sebelah badan akibat serangan angin ahmar perlukan jagaan khusus. Ada enam tugas utama yang disenaraikan oleh Makcik Limah merangkap ketua pembantu rumah di rumah agam itu yang Malisa harus laksanakan.
Apakah enam tugas itu? Kamu harus baca untuk mengetahui jawapannya.

Menunggu Hujan bercerita tentang Hafiz; cucu bongsu Cik Puan yang ke-50 pulang bercuti bersama rakan-rakannya ke Kampung Padang Tenggala. Kepulangan yang pada asalnya bukanlah atas alasan untuk melawat neneknya yang sedang sakit, tetapi memandangkan dia tiada tempat ke mana harus dibawa teman-temannya bercuti, jadi ke rumah neneknya lah yang dia tuju. Sementelah pula rakan-rakannya tiada kampung halaman, jadi inilah peluang untuk mereka rasai suasana kampung.

Di bilik Cik Puan mereka bertemu buat kali pertama. Tanpa basa-basi mereka berkenalan. Perkenalan yang pada mulanya menjengkelkan hati Hafiz dan merimaskan Malisa. Perkenalan yang akhirnya menyatukan dua hati yang sering bertelagah menemui titik persefahaman yang dinamakan keserasian.

Di saat hati Malisa mulai lembut untuk menerima huluran kasih Hafiz, perkhabaran tentang status Hafiz merobohkan impian yang baru terbina. Dayang Suhaila; anak kenalan En. Mustapha; bapa Hafiz yang ada syarikat perkapalan bukan tandingannya. Dayang Suhaila adalah gadis pilihan Puan Rokiah; ibu Hafiz untuk digandingkan dengan Hafiz anaknya

Sedar akan taraf diri, Malisa rela undur diri. Sememangnya cinta tak semestinya bersatukan? Dan orang pernah berkata "Andai kamu menyintai seseorang, lepaskanlah dia. Andai dia kembali padamu maka dialah milikmu selamanya”. Ya, demi kasih dan sayangnya pada Hafiz, Hafiz dia tinggalkan! Walau hatinya parah menanggung rasa kecewa, mana mungkin dia zahirkan pada Hafiz. Dengan ‘bantuan’ Dayang Suhaila dan Puan Rokiah; perempuan ala mak datin mengikut kata Makcik Limah, dia berjaya membuat Hafiz bencikan dirinya.
Apa yang Malisa buat hinggakan Hafiz bencikannya? Baca! kalau ingin tahu.

Tapi bagaimana harus dia lalui hidup ini bila rasa cintanya pada Hafiz sukar untuk dibuang daripada tangkai hatinya? Atau selamanya dia harus mengusung rasa cinta yang tiada titik noktah itu? Dan bagaimana pula kesudahan nasib cinta mereka? Bacalah, Menunggu Hujan ini ada jawapannya.


Menunggu Hujan menyerlahkan kematangan Adileah dalam berkarya. Satu yang saya suka pada karya-karya Adileah adalah pengakhiran ceritanya. Mengenali si penulis ini, saya masih tidak dapat mengagak bagaimana sesebuah cerita garapannya akan menemui titik noktahnya. Unpredictable! Itulah perkataan yang sesuai untuk karya garapan penulis ini.

Seperti kesudahan kisah Yasmeen dan Ariel dalam Pada Angin Aku Berpesan yang mungkin tidak disukai oleh sesetengah pembaca, tapi saya suka! Mungkin sesetengah pembaca hanya inginkan hero mesti end-up dengan heroin, tapi kita harus ingat, kita hidup di dunia ini bukan berdua sahaja. Kadang kala Allah temukan kita dengan orang yang salah untuk lorongkan kita pada jodoh kita yang sebenarnya. Mana kita tahu kan? Dan kita juga harus ingat, dalam hidup ini tidak selalu apa yang kita angan-angankan akan jadi nyata. Adakalanya apa yang kita tidak inginkan itulah yang terjadi! Dan kita sebagai hamba-Nya, harus reda pada setiap ketetapan yang telah Dia tentukan pada kita.

~Watak & Perwatakkan~

Berbalik pada karya terbaharu Adileah ini. Menunggu Hujan memperkenalkan kita pada Malisa yang dipotretkan sebagai gadis yang lasak pada pandangan mata kasar. Tetapi disebalik kelasakkan tingkah lakunya, tersembunyi sifat lemah lembut yang penuh dengan rasa kasih sayang. Malisa pada saya adalah gadis yang tegas dan teguh pendirian. Dia tidak mudah goyah dengan dugaan yang mendatang. Dia juga digambarkan sebagai seorang gadis yang panas baran “Acik, jangan ikutkan panas baran Acik tu.”~ ms 4. Tapi disebalik tegas dan panas barannya dia tetap juga seorang wanita yang punya hati dan perasaan yang lembut.

Saya sukakan watak Malisa yang mengajar kita agar tidak mudah terpedaya dengan ‘impian yang mempesonakan’. Malisa adalah lambang wanita yang tidak mudah mengalah dan tidak sesenang hati mengatakan YA pada pesona seorang lelaki seperti Hafiz. Walaupun dalam hatinya mula tumbuh rasa cinta dan kasih pada Hafiz, dia harus mengutamakan ‘kenyataan’ melebihi keinginan hatinya. Tapi sebenarnya tindakan jual mahal Malisa lah yang telah menundukkan ego seorang ‘kasanova’ seperti Hafiz! Saya suka! Inilah dia penangan aura seorang wanita. Girl Power! hehehe!

Saya juga sukakan watak Malisa yang ‘panjang akal’. Bila melibatkan kepentingan dirinya, dia mampu berfikir secara kritis dan kreatif untuk mengelakkan dirinya daripada terus di’belasah’ oleh ‘musuh-musuhnya’. Saya suka cara Malisa membina 'perisai' demi menutup rahsia hatinya daripada dihidu oleh Hafiz.

Watak Hafiz digambarkan sebagai seorang lelaki yang tidak acuh pada persoalan hati dan perasaan. Hafiz yang pada pandangan mata ‘Malisa’ adalah lelaki yang dengan mudah menyerahkan cintanya pada sesiapa yang dia jumpa. Hafiz yang kasanova! 'Hari itu putus cinta dengan Cherry, semalam bukan main ber’dear’ dengan dia. Hari ini tunang pula yang datang.' ~ms;113

Itu sebelum dia kenal Malisa. Itu sebelum hatinya di sapa hembusan cinta Malisa. Malisa yang membukakan mata hatinya akan makna sebenar erti cinta dan kasih sayang. Hakikatnya Hafiz tidak diberi kesempatan untuk membuat pilihan dan keputusannya sendiri. Puan Rokiah terlalu dominan terhadap Hafiz. Segala hal berkaitan hidup Hafiz, Puan Rokiah yang tentukan termasuklah berkaitan dengan soal jodohnya. Hafiz bagi saya seorang anak yang baik. Dia tahu dia tidak akan 'menang' bila berhadapan dengan ibunya, jadi jalan selamat agar tidak dituduh sebagai anak derhaka adalah, ikut sahaja apa kata ibunya!

Watak antagonis ‘lakonan’ Puan Rokiah dan Dayang Suhaila memang menimbulkan rasa benci dan sakit hati saya. Bagaimana mereka –Puan Rokiah & Dayang Suhaila– yang licik 'berlakun' di depan mata Hafiz semata-mata untuk menjatuhkan Malisa, benar-benar membuatkan saya meluat sama. Eeee geramnya!!

Agaknya semua watak lelaki dalam novel ini tidak cukup sifat 'jantan'nya. Hehehe Selain Hafiz, watak En. Mustapha juga digambarkan secara rambang sebagai lelaki yang 'lemah'. Sepatutnya sebagai anak lelaki, dia harus tahu tanggungjawabnya terhadap ibu, juga peranan dia sebagai ketua keluarga. Tapi dia lebih senang 'ikut telunjuk' isterinya. Apa sahaja yang isterinya lakukan dia diamkan sahaja. Dia tidak cukup tegas sebagai suami dan dia tidak cukup protective sebagai bapa.

~Plot Cerita~

Naskhah ini mengangkat persoalan cinta tidak semestinya bersatu. Bahkan cinta sahaja tidak menjamin kebahagiaan. Persefahaman dan restu ibu bapa juga merupakan tonggak utama untuk kecapi rasa bahagia dalam melayari hidup berumah tangga. Jika saya jadi Malisa, saya juga akan fikir berpuluh-puluh kali untuk menerima ‘Hafiz’ dengan layanan ‘Puan Rokiah’ yang sebegitu. Ya, saya akui saya bukan dalam kategori perempuan yang tegas dan tegar. Saya mudah lemah dengan dugaan. Itu adalah kenyataannya.

Naskhah ini juga bagaikan meng’YA’kan bahawa ‘seorang ibu mampu menjaga sepuluh orang anak tetapi sepuluh orang anak belum tentu mampu menjaga seorang ibu’ (dalam naskhah ini 9 orang anak). Sadis dan tragis. Itulah nasib yang menimpa ‘Cik Puan Juita’. Naskhah ini bercerita akan erti tanggungjawab anak terhadap orang tua mereka. Tanggungjawab seorang anak terhadap ibu yang telah kematian suami apatah lagi yang dalam keadaan uzur tidak berdaya itu. Saya insaf. Moga saya dijauhkan daripada alpa akan tanggungjawab saya terhadap kedua orang tua saya. YA, ada duit semua boleh beli, tapi rasa kasih dan sayang sememangnya tiada nilainya. Juga tidak semua benda boleh dijual beli dengan sesenang hati! Adakalanya kasih sayang anak-anak (orang tersayang) adalah penyembuh yang paling mujarab.

Bacalah, moga ada manfaat pada kita semua.

0

(16) Tinta

Pengarang : Nasron Sira Rahim; Syud; Pingu Toha
Halaman : 551
Tahun : Mac 2011
Terbitan : Jemari Seni
Harga: RM21.50 (Sem. M'sia)/RM24.50 (Sabah/Sarawak)
ISBN: 978-967-5118-57-9


Blurb:

Tiga ceritera dalam sebuah TINTA

Ceritera 1 - Wajah Ketiga ~ Nasron Sira Rahim

Hatinya ditusuk rasa sedih, kecewa dan amarah yang tidak berkesudahan. Bagaikan ditusuk sembilu, kebahagiaan mereka menatijahkan luka yang pedih dan mendalam dalam sanubarinya. Keperitan yang terpaksa dia pendam sehingga membuahkan pohon kesengsaraan yang bercambah rendang.

Apakah maksud di sebalik jujukan kod-kod nombor itu?
Mungkinkah dia salah seorang mangsa Pembunuh Obituari?

***

Ceritera 2 - Dia, dalam Ramai... ~ Syud

Ramai orang kata, kadang-kadang, perkara yang paling kita tak jangka itulah yang akan terjadi pada diri kita.

“Sufiy.”
“Ya?”
“Nama saya Ameer.”
“Oh. Jumpa lagi, Ameer.”


Siapa sangka, kan? Siapa sangka orang yang dia sangka hilang atau memang dah tak akan jumpa itu... muncul lagi di hadapan matanya?

***

Ceritera 3 - Ada & Evan ~ Pingu Toha (seperti diceritakan oleh Kiki Abu Zain)

Boleh ke kita hidup pakai hukum ‘and they live happily ever after’?

Ada; yang sudah penat dengan cinta. Evan; yang begitu naif tentang cinta. Mereka cuba disatukan oleh ‘janji tadika’ abah dan ibu. Mereka bertemu di ruang maya. Di realiti, mereka mencari. Demi ‘Katakan Tidak kepada Kahwin Paksa’, mereka berjanji.

Lalu, yang mengikat mereka itu apa? Janji atau cinta?

~~***~~***~~***~~


Rasa Saya

Salah satu kriteria yang saya guna pakai ketika membuat pemilihan novel untuk dibaca di kala masa luang yang terhad adalah novel kompilasi. Selain durasi ceritanya yang pendek berbanding novel biasa, saya juga boleh habiskan bacaan hanya dengan sekali baca untuk setiap cerita. Andai kata masa memang tidak mengizinkan, saya boleh saja menyambung bacaan saya (cerita yang seterusnya) di hari dan waktu yang lain tanpa rasa teringat-ingat bagaimana kesudahan kisah tersebut. Dan salah satu kompilasi novel yang telah berjaya saya habiskan adalah Tinta.

TINTA memuatkan tiga cerita pendek dalam tiga genre berbeza daripada tiga penulis berbakat yang melahirkan tiga ‘rasa’ yang berlainan. Nasron Sira Rahim, Syud dan Pingu Toha adalah kolaborasi hebat yang menjadikan Tinta sebuah naskhah yang amat menarik pada saya.

Nasron Sira Rahim yang sinonim dengan genre suspen thriller, kali ini menerusi Wajah Ketiga membawa kita selangkah mendekati pembunuh bersiri yang dikenali sebagai Pembunuh Obituari (sila rujuk novel Nama Atas Kertas) bersama-sama dengan Inspektor Ridzuan dari Jabatan Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut.

Misteri bermula apabila Inspektor Ridzuan menerima panggilan telefon berkenaan dengan seorang mangsa ditemui mati di sebuah banglo terasing di Mentakab. Mangsa dipercayai dibunuh dengan cara ditikam di tengah leher hingga membawa maut dan si pelaku ini telah meninggalkan teka-teki yang berupa jujukan huruf yang dimasukkan ke dalam mulut mangsa sebagai klu.

Pembunuhan kejam lagi misteri ini telah disyaki dilakukan oleh Pembunuh Obituari berdasarkan modus operandi yang mirip kepada pembunuhan bersiri yang berlaku di Kedah. Dengan bantuan Inspektor Faiz dari Unit Siasatan Kes Pembunuhan dari Ibu Pejabat Polis Kontigen Kedah, mereka cuba merungkai misteri dan sekaligus mendedahkan siapakah si pelaku yang kejam ini.

Berjayakah pihak polis menyelesaikan siri pembunuhan ini? Atau akan ada lagikah mangsa yang menjadi korban? Dan benarkah pembunuh yang membunuh mangsa di Mentakab adalah orang yang sama yang diburu oleh Inspektor Faiz? Atau ada manusia lain yang taksub dengan Pembunuh Orbituari yang mendapat liputan meluas di dada-dada akhbar dan menjadi Pembunuh ‘Copycat’ bagi mengelirukan lagi pihak polis?

Ingin bersama membongkar identiti si pembunuh sebenarnya? Jomlah bersama-sama membaca karya Nasron Sira Rahim ini, mungkin anda yang bijaksana akan berjaya membantu Inspektor Ridzuan dan Inspektor Faiz mencari jawapannya.

Fuhhh lega! Itulah yang saya rasa usai membaca naskhah ini. Walaupun masih ada misteri yang belum terungkai sepenuhnya, tapi penulis bijak memaku saya untuk membaca naskhah ini hingga ke penamatnya. Kebolehan penulis mengatur ayat memberi deskripsi tentang keadaan mayat yang dibunuh benar-benar membuatkan saya ngeri untuk membayangkannya.

Selain daripada itu, penulis juga berjaya menyelitkan sifat ‘manusia biasa’ ke dalam diri seorang ‘Inspektor’. Masalah rumahtangga yang membelenggu Inspektor Ridzuan sedikit sebanyak menjejaskan kreadibilitinya sebagai ‘insan penyelamat’ menunjukkan bahawa inspektor polis juga manusia biasa yang tidak dapat lari daripada ujian. Ya, anggota polis juga manusia biasa, bukan manusia kebal yang tidak ‘lut’ dengan masalah walaupun menyarung baju kalis peluru!

Saya bukanlah dalam kategori peminat tegar kisah pembunuhan bersiri atau yang seangkatan dengannya, tetapi naskhah ini telah berjaya memaku saya untuk membaca hingga ke noktah terakhir walaupun terpaksa mengusung rasa debar dan gerun sepanjang saya menekuni naskhah ini. Tahniah pada penulis! Anda benar-benar membuatkan saya jadi suspen!

Dia dalam Ramai karya Syud pula meneutralkan rasa gerun dan suspen tatkala membaca Wajah Ketiga. Menekuni karya Syud ini, melahirkan rasa damai aje di hati. Membuatkan saya tidak mampu menyembunyikan senyum di bibir. *masih tersenyum-senyum sambil menaip :)*

Sebagaimana Syud yang selesa menulis sesuatu yang dekat dengan dirinya, begitu juga saya yang selesa membaca karya Syud yang biasa-biasa ini pada sesetengah pembaca, tapi luar biasa pada saya. Saya selesa membaca sesuatu yang boleh saya bayangkan di minda, bagaikan membaca dan ‘melihat’ seiring dibenak saya. Sesuatu yang ‘imaginasi’ tidak mustahil berlaku di alam nyata, ya dak? Sesuatu yang mampu saya letakkan diri saya dalam setiap situasi yang berlaku. Itulah yang saya suka pabila membaca setiap karya-karya Syud. Saya menjadi sebahagian daripada 'plot' dalam cereka ini!

Syud masih lagi menjadikan Johor, atau lebih tepatnya Johor Bahru dan Kota Tinggi sebagai latar cerita menjadikan Dia dalam Ramai ini ‘hidup’. Dan mungkin kerana Syud juga berasal dari sana, saya tidak dapat membuang imej Syud sebagai Sufiy Suraiya dari benak saya. Dan mengenali peribadi si penulis ini, menguatkan lagi gambaran saya terhadap watak Sufiy ini. Dan saya rasa sangatlah ‘sweet’ okeeeyyy!! Pada sayalah! Mungkin tidak pada kalian. hehehe

Sebagaimana Sufiy Suraiya rasa suka pada seseorang di saat mata terpandang akan kelibat si dia buat pertama kalinya, sebagaimana si dia menjadi sebahagian daripada dorongan untuk Sufiy Suraiya melangkah ke pejabat setiap hari tertentu, begitulah apa yang saya rasa ketika membaca naskhah ini. Perasaan ‘suka’ (belum lagi cinta) itu saya turut sama rasainya. Saya bagaikan ter'nampak' bagaimana Sufiy Suraiya bertingkah. (hehehe kalut + gelabah + berlagak sok ayu! itulah reaksinya)

Dia dalam Ramai berkisah tentang Sufiy Suraiya yang masih terkenang akan si dia yang tidak dia kenali. Bahkan si dia yang dia hanya ingat pada segaris senyumannya. Selepas hampir empat tahun berlalu dan dia hampir ‘hilang’ kelibat si dia di hatinya, takdir menemukan mereka. Alahai si dia yang dia cari selama ini rupa-rupanya anak jiran sebelah rumah di Kota Tinggi; kampung halamannya, 'geng' pula dengan adik-adiknya.

Dia dalam Ramai tentang Fadli Ameerudin; Ameer; Lee yang tertarik pada si dia yang digelar Phantom oleh si Azril rakan baiknya lantaran dia tiada klu akan siapa dan bagaimana wajah si dia yang boleh dia gambarkan pada teman-temannya. Yang dia ingat (sangat) hanyalah pada 'her super clear eyes'; pada sepasang matanya yang jernih yang terus mengikat hatinya selama beberapa tahun ini.

Tatkala takdir menemukan mereka, nasib pula seakan tidak menyebelahi Ameer. Berita yang dibawa oleh ibunya tentang rombongan 'peminangan' si gadis sampai ke telinganya membuatkan dia hampir nanar.

Benarkah tiada jodoh antara mereka sedangkan dua hati saling berbalas kata walaupun tanpa bicara? Atau takdir sekadar menduga demi menguatkan rasa yang terjalin antara mereka adalah benar bukan ilusi semata? Jawapannya akan terjawab bila anda membaca naskhah ini.

Seperti biasa Syud bijak 'mencipta' ruang dan peluang setiap watak yang digarapnya 'bergerak' mengikut arah angin. Berjalan di atas landasan yang dinamakan takdir. Setiap watak walau sekecil manapun peranannya tetap meninggalkan kesan yang besar pada pembacaan saya. (Bahagian yang paling saya suka; dedikasi lagu, memang membuatkan saya ketawa besar bersama Azril & Farhana!). Saya suka cara Syud mencipta kebetulan yang saya rasakan logik dan tidak nampak keterlaluan yang dibuat-buat. Saya juga sukakan bahasa mainan Syud yang membuatkan pembacaan saya lancar tanpa gangguan.

Usai membaca Dia dalam Ramai, perasaan suka dan saya hanya nak senyummmm sahaja terbawa-bawa ketika saya membaca Ada & Evan karya Pingu Toha.

Pingu Toha pada saya merupakan penulis generasi muda yang memperkenalkan genre ‘indie’ kepada kelompok pembaca (muda) yang dahagakan kelainan. Sebagaimana saya ‘jatuh cinta’ kali pertama (kepada karya penulis) ketika membaca L.U.V.E. diikuti 1 4 3, rasa suka yang sama bahkan mungkin makin menggebu pada penulis ini membuatkan saya jadi ‘buta’. Tetap juga jatuh cinta! Bukankah pujangga pernah menyatakan ‘Cinta itukan Buta’? Jadi jangan salahkan saya andai rasa 'cinta' itu tetap saya bawa bersama saya! Ada & Evan garapan Pingu Toha ini menyerlahkan idea bernas, segar lagi bertenaga si penulis membuatkan rasa suka saya berganda-ganda. hehehe *jiwang!*

Ada dan Evan adalah tentang anak muda yang dipasangkan oleh orang tua mereka lantaran cinta zaman tadika mereka (si ibu dan si abah) tidak kesampaian. Demi merealisasikan impian ‘janji tadika’ ibu bapa mereka, anak-anaklah yang akan menjayakannya.

Menerusi email mereka ‘bertemu’ atau istilah anak-anak muda sekarang berdating. Dan apa yang uniknya mereka tidak pernah bersua muka di alam nyata (atau mereka mungkin pernah bertemu tetapi tidak mengenali satu sama lain). Melalui email mereka berbalas kata, berhujah bicara menyampaikan rasa tidak puas dihati atas tindakan orang tua mereka. Melancarkan misi ‘Katakan Tidak kepada Kahwin Paksa’.

Rutin berbalas email, menjadi medan mereka meluahkan isi hati tentang hal-hal yang berlaku di seputar mereka, Ada; yang masih menyimpan rasa ralat pada mantan kekasih-kekasihnya, Evan; yang masih mencari arah dan hala tuju hidup berpasangan. Email juga menjadi landasan untuk mereka saling memberi dorongan dan galakan atas hal-hal yang tidak beres antara pasangan dan hidup masing-masing. Bahkan saling meluah rasa apa yang mereka suka dan apa yang tidak mereka sukai. Pendek kata menerusi email mereka bersahabat.

Tapi sampai bila? Hatta makanan dalam tin pun ada tarikh luputnya, apatah lagi hubungan yang berlandaskan kemahuan keluarga. Sampai masa, pastinya keputusan mereka akan ditagih oleh kedua orang tua mereka. Dan hanya YA atau TIDAK pada ikatan yang diaturkan menjadi jawapannya. Tapi bolehkah mereka menerima diri masing-masing bila awal-awal lagi mereka telah lancarkan misi ‘Katakan Tidak Pada Kahwin Paksa’ ini yang secara simboliknya adalah TIDAK pada sebarang ikatan yang mungkin akan terjalin antara mereka? Sekali lagi, jawapannya ada dalam naskhah ini.

Pingu Toha, seperti biasa dengan idea 'gila-gila'nya itu memang mencuri hati saya. Saya tidak terfikir bagaimana berbalas-balas email meluahkan begitu-begini tentang itu-ini benar-benar superb! Boleh dijadikan 'bahan' untuk menggarap sesebuah cerita cereka. Apa itu begitu-begini, itu-ini ini? Anda baca sendiri kalau ingin tahu! hehehe

Pendek kata suspen thriller bergabung dengan kisah yang santai diiringi dengan idea segar bernas ketiga-tiga penulis ini menjadikan TINTA sebuah naskhah yang sarat dengan pelbagai 'rasa' yang diserikan dengan pelbagai 'warna-warni' kehidupan. Daripada siri pembunuhan yang kejam lagi tidak berperikemanusiaan kepada persoalan jodoh dan pertemuan yang adakalanya berliku sebelum tiba ke garisan penamat yang dinamakan takdir menjadikan naskhah ini cukup rencahnya.

Apa-apapun saya sangat berpuashati dengan naskhah ini. Saya tidak kisah andai kalian tidak sependapat dengan saya kerana selera masing-masingkan berbeza walaupun secara fizikalnya kita mempunyai warna rambut yang sama! Oh! kecualilah kalian inaikan rambut untuk menampakkan warna perang?! hehehehe

Apa-apapun selamat membaca moga ada manfaatnya buat kalian.

Keputusan Cabaran 50 Buku : May 2011

Salam Semua,

Alhamdulillah satu bulan lagi sudah berjaya kita lepasi. Pastinya masing-masing sedang berlomba baca untuk mencapai misi 50 buah buku untuk tahun 2011 ini kan? Bagi yang sudah hampir nak cecah angka 50, tahniah pada anda! Bagi yang masih belum cukup, jangan bimbang masih ada lebih kurang 7 bulan lagi untuk cukupkan jumlah bacaan anda.

Bagi kakwan pula, semangat membaca ada, tapi masa pula seakan tidak mengizinkan. Apatah lagi kerja-kerja pejabat sangatlah memerlukan perhatian. Tapi melihat senarai bacaan adik-adik buat kakwan bersemangat untuk mencuri masa membaca, apatah lagi buku-buku/novel-novel yang menimbun yang belum dibaca bagaikan setinggi menara KLCC dah! huhuhu

Oklah! untuk tidak membuang masa adik-adik semua, di sini kakwan senaraikan 10 ulasan terpilih antara yang terbaik yang telah dipilih oleh panel penilai.

1- Aimie - Mencari Suami@JS.Com
2- Ain - Sweet Sour
3- Arirada - Baju Melayu Hijau Serindit
4- AS - Valentina Nervosa
5- FHS - Langsir Biji Remia
6- MB - Perempuan Politikus Melayu
7- Rinn - Impikan Mentari
8- SAL - After Office Hour
9- WA - Kaca Jendela Ainnur
10- XX - Iman Suraya


Tahniah ya pada pemenang. Pada adik-adik yang belum berjaya, jangan berputus asa, usaha lagi. Mungkin ulasan anda bagus tetapi tidak dipilih kerana tidak mencapai 'piawai' panel penilai. (Psst: kakwan beri klu ya... cuba gunakan struktur ejaan yang betul & tanda baca yang betul).

Di sini, selain tempat untuk kita berlumba baca, selain tempat untuk memupuk minat membaca dalam kalangan kita, kita juga berusaha untuk menjaga dan memartabatkan bahasa kebangsaan kita ini dan salah satu caranya dengan menggunakan struktur bahasa dan ejaan yang betul dalam ulasan yang kita sediakan. Juga sebagai usaha untuk menyahut cabaran pihak Jemari Seni selaku penaja sesuai dengan usaha mereka memartabatkan Bahasa Melayu dengan cara menggunakan Bahasa Melayu dengan betul. Cubalah! Mungkin sukar untuk mengubah kebiasaan kita, tapi kalau kita tak cuba, kita tak tahu kan?

Seperti biasa, hadiah akan diposkan kepada adik-adik seperti biasa. Kakwan mohon sangat, supaya kalian dapat maklumkan pada kakwan sekiranya bungkusan telah selamat kalian terima. Kakwan bimbang jika hadiah yang dikirimkan tidak sampai ke tangan kalian kerana kakwan gunakan perkhidmatan pos biasa. Jika ada antara pemenang yang belum mendapat hadiah, juga, sila maklumkan pada kakwan. Bukan apa, kakwan memegang amanah daripada pihak JS yang telah menyerahkan hadiah (novel) yang telah anda menangi kepada kakwan. Kakwan mohon ya?! Dan terima kasih kakwan ucapkan atas bantuan dan kerjasama adik-adik semua.

Akhir kata, jangan lupa untuk terus menghantar ulasan-ulasan kalian pada kakwan untuk dipaparkan di blog ulatbuku. Dan juga terima kasih kerana kalian sudi menjadi sebahagian daripada 'keluarga Geng Baca' di blog Ulatbuku ini. Moga usaha yang sedikit ini memberi manfaat kepada pembaca lain di luar sana!

Jom kita 'Lomba Baca'!! Sesungguhnya... Membaca Itu Jambatan Ilmu!

Salam Sayang,

Back to Top