(15) Langit Penuh Daya

Penulis : Dewi Sekar
Halaman : 354
Tahun : Februari 2008
Terbitan : PT Gramedia Pustaka Utama

Rasa Saya:

Salah satu bahan bacaan (novel) yang saya gemar baca adalah novel dari seberang (Indonesia). Dan salah seorang penulis dari seberang yang saya sukakan karya-karyanya adalah Dewi Sekar. Karya-karya beliau seperti trilogi; Zona @ Tsunami, Perang Bintang dan Zona @ Last menjadi kegemaran saya. Selain bahasa yang mudah saya fahami, saya juga sukakan cerita hasil garapan penulis. Seperti trilogi Zona ia memaparkan kisah tentang mangsa tsunami.

Langit Penuh Daya satu lagi karya Mbak Dewi yang menjadi pilihan saya. Melihat pada judulnya tanpa membaca sinopsis di belakang kulit buku, saya terpedaya. Saya membayangkan ’Langit Penuh Daya’ adalah metafora tentang kehidupan ini. Saya mentafsirkan langit yang putih bersih di atas sana, tidak semestinya tiada ’tipu muslihatnya’. Langit yang cerah tidak semestinya tiada mendung yang mendatang. Langit yang penuh daya, itulah tafsiran saya.

Tapi saya silap. Langit Penuh Daya memaparkan kisah tentang Langit dan Daya. Ya, Langit dan Daya adalah nama watak dalam novel ini. Langit si pria dan Daya adalah si gadisnya.

Langit Penuh Daya berkisar tentang Langit dan Daya; Princess Dayana nama penuhnya, bersahabat baik. Sahabat sejati. Sementelah pula mereka berjiran. Persahabatan dari usia remaja hingga meningkat dewasa menukarkan rasa sayang seorang sahabat kepada rasa sayang yang melebihi langkau sempadan seorang sahabat. Tapi Daya cuba menidakkan rasa sayang yang telah berubah menjadi cinta. Pada Daya bersahabat lebih kekal sifatnya berbanding bercinta kerana persahabatan akan kekal selamanya sedangkan pabila bercinta ikatan bisa putus tatkala rasa cinta sudah hilang di hati pasangan.

Tapi rasa cinta yang hadir dihati tak siapa yang mampu menghalangnya. Seiring dengan masa, rasa cinta mula menapak di hati Daya buat Langit sahabat baiknya. Dia nekad untuk mencantas rasa itu daripada bertunas. Dia lebih sayangkan Langit sebagai sahabatnya. Hinggalah muncul Dian di hati Langit. Kehadiran Dian menggugat keamanan hati Daya.

Tanpa Daya tahu, Langit juga berperasaan yang sama dengan Daya. Tapi oleh kerana Daya berkeras mengatakan bahawa mereka adalah sahabat baik dan tidak mungkin bercinta membuatkan Langit mengurung rasa cintanya pada Daya. Hinggalah hadirnya Yusa di jiwa Daya.

Situasi bertambah parah, apabila Langit berselisih faham dengan Dian, Daya yang diminta tolong oleh Langit untuk memujuk Dian. Bahkan hingga ke Semarang Daya harus turuti semata-mata ingin memujuk Dian bagi pihak Langit (mereka di Jakarta).

Tanpa Langit sedar, justeru perhubungan Yusa dengan Daya lah yang menjadi punca kenapa Dian menyisihkan diri daripada Langit. Dian jadi sedar bahawa Langit cemburu pada Yusa yang menjadi pasangan Daya! Apa ertinya cemburu jika tiada cinta di hati? Kerana ada rasa cintalah membuatkan Langit cemburu pada Yusa. Itu tanggapan Dian.

Sampai bila mereka mampu bertahan? Sedangkan rasa cinta yang hadir mula mencengkam rasa? Dapatkah mereka mempertahankan ikatan persahabatan mereka? Dan benarkah rasa cinta Dian terhadap Langit mulai pudar apabila dia sedar bahawa Langit juga menyimpan rasa cinta pada Daya? Atau ada lelaki lain yang telah mencuri hati Dian tanpa Langit sedar dan Daya hanyalah sebagai sebab dia menyisihkan diri?

Wah! Banyaknya persoalan yang perlu anda cari. Dan salah satu caranya dengan membaca novel ini.

Saya suka karya ini. Walaupun hanya persoalan biasa yang dihidangkan pada pembaca. Hanya sekadar kisah cinta antara dua insan yang bersahabat baik dan bertukar menjadi cinta, tapi saya tetap suka. Pada saya persoalan biasa mampu menjadi istimewa apabila penulis bijak mengatur jalan cerita. Bagaimana penulis bijak mengikat hati pembaca untuk membaca kisah ini hingga ke penamatnya.

Membaca karya ini saya bagaikan ’menonton sinetron’! Ya, kerana naskhah ini sepenuhnya dalam bahasa Indonesia. Walau ada antara perkataan yang saya tidak faham, tapi saya tetap enjoy ketika membacanya. Saya dapat menikmati kisah Daya-Langit ini dengan cemerlang. Bahkan saya jatuh cinta dengan karya ini. Lagipun ini juga salah satu cara untuk saya belajar bahasa nusantara ini kan? Selain dapat menambahkan perbendaharaan kata yang boleh digunapakai dalam bahasa kita. Waduh... kitakan serumpun!

Selain daripada itu, kelainan yang paling ketara antara novel tempatan adalah nama watak-wataknya. Bagi saya nama yang mereka gunakan agak ’unik’. Bahkan melalui nama jugalah ia menjadi idea pada penulis untuk bermetafora. Seperti nama watak Yusa Dermaga – Ohh... semoga belum ada kapal pesiar seksi yang bersandar di sana! ~ms 37

Pendek kata tidak salah jika kita pelbagaikan sumber bacaan kita. Tidak rugi kita meluaskan skop pembacaan kita jika sedikit sebanyak memberi ilmu (bahasa) pada kita. Betul tak?

Blurb:

Langit dan Dayana bersahabat sejak remaja. Sejak awal, entah mengapa Daya ingin membuktikan pada dunia bahwa laki-laki dan perempuan bisa bersahabat tanpa ”terkontaminasi roman picisan”. Belakangan sikapnya ini jadi bumerang yang melukai hatinya sendiri, sebab perasaannya pada Langit mengikuti embusan angin takdir tanpa bisa dikendalikan, tumbuh menjadi cinta. Toh, Daya nekat menyembunyikan perasaannya dari Langit. Persahabatan mereka tak pernah putus, bahkan juga saat akhirnya Langit menjalin hubungan dengan Dian

Daya tak pernah menjalin hubungan serius dengan laki-laki lain, sampai Yusa memasuki kehidupannya. Kehadiran arsitek yang bekerja sebagai desainer interior dan taman ini membuat Langit tiba-tiba merasa terancam, hingga ia mulai mempertanyakan, apa yang sesungguhnya dirasakannya pada Daya, si gadis rumah sebelah.

* * * * * * * *

0

(14) Kaca Jendela Ainnur

Pengarang : Diya Nordin
Halaman : 414
Tahun : Januari 2011
Terbitan: Jemari Seni Sdn Bhd
Harga : RM18.00 (Sem. M'sia)/RM21.00 (Sabah/Sarawak)
ISBN : 978-967-5118-51-7

Blurb:

Masa itu adalah makhluk Allah yang tak pernah henti berdetik


Seumur hidupnya, dia hanya mahu memenangi hati Syuhairah, mama yang sangat dia rindu walau wujudnya di depan mata. Dari kecil dia sering tertanya-tanya, kenapa dia bagaikan halimunan pada mata mama!

Ainnur Shahirah tidak pernah kenal siapa ayahnya. Sangkanya, apabila bertemu ayah, kurang-kurang dia punya kasih seorang bapa. Tapi dia salah. Ayah seperti mama. Tidak pernah menerimanya sebagai anak.

Dia menjadi daki dalam keluarga. Dia sedar duduk dirinya. Dia akhirnya pasrah, kasih mereka bukan untuknya. Dia harus pergi agar mama dan ayah bahagia dengan keluarga sendiri.

Kata Zhafran, “Ainnur bukan sekadar kejam pada Tok Mama dan Tok Baba. Tapi juga Uncle Luqman. Salah ke mereka hingga turut terhukum?”
Apa yang Zhafran tahu?

Semuanya dia yang tanggung. Rasa pedih, terluka. Semuanya ditelan sendiri. Dia sudah sehabis daya mencuba. Dia pergi pun atas kehendak mereka, jadi apakah dia yang kejam?

* * *

DIYA NORDIN memeta watak Ainnur Shahirah dengan baik sekali. Kaca Jendela Ainnur membawa anda memahami hati seorang perempuan yang tabah. Benarkah hati perempuan itu hening bak kaca?

~~***~~

Rasa Saya

Diya Nordin bukanlah penulis baru bagi saya. Saya ‘kenal’ beliau lewat karya-karya e-novelnya yang pernah saya ikuti suatu waktu dahulu. Saya pernah ber’tunggu-tangga’ di blog beliau menantikan entry terbaharu. Ternanti-nanti sambungan e-novel garapan beliau. Dan salah satunya adalah e-novel Masihkan Ada Kasih. Itu dulu. Masa saya masih punya waktu luang yang banyak. Masa saya ketagih untuk membaca karya-karya e-novel daripada penulis-penulis baru yang berbakat besar. Kini Masihkah Ada Kasih kembali dalam bentuk yang lebih nyaman untuk dibaca. Dalam versi cetak. Dan Kaca Jendela Ainnur inilah hasilnya.

Kaca Jendela Ainnur mengangkat persoalan kasih sayang, persoalan cinta. Ya, elemen cinta masih lagi menjadi rencah utama dalam naskhah ini. Tapi apa yang berbeza adalah ia bukan kisah cinta uda dan dara. Ini kisah cinta antara si anak dengan orang tuanya. Ini kisah cinta yang bersifat tulus dan mulus patutnya. Tapi berlainan sifatnya dalam naskhah ini. Ini kisah si anak yang tidak mendapat kasih sayang yang sewajarnya daripada kedua ibu dan ayah kandung.

Ainnur Shahirah – hadirnya ke dunia ini bagai melukut di tepi gantang pada Syuhairah, mamanya. Dia dibenci oleh ibu kandungnya sendiri. Dia disisihkan oleh ayah yang menjadi asbab dia dilahirkan. Dia bagaikan anak yang terbuang! Walau dia masih punya Uncle-Papa yang menyayanginya. Walau dia punya Umi yang mengasihinya. Tapi dia tetap dipandang sepi oleh mama dan ayah.

Bagi mama, dia lambang masa lalu yang pahit. Bagi ayah, dia racun yang merosakkan kebahagiaan yang sepatutnya ayah kecapi. Ya, dia ’trofi’ yang tidak bernilai. Simbol kehancuran masa lalu mama dan ayah.

Pelbagai usaha telah dia lakukan untuk menagih kasih mama. Dia ceburi ’profesion mama’; guaman, dengan harapan dia punya topik yang boleh didebatkan dengan mama. Tapi segala usaha, segala penat lelahnya, langsung tidak dihargai oleh mama. Jadi apa gunanya dia terus berada di depan mata mama andai kehadirannya hanya bagaikan bayang hitam yang menakutkan mama?

Usai membaca Kaca Jendela Ainnur, saya menarik nafas berkali-kali. Saya rasa bersyukur dan bertuah kerana saya anak yang disayangi oleh kedua orang tua saya. Walaupun tiada ucapan sayang yang terlafaz dibibir mereka, tapi saya tahu saya memang disayangi.

Saya jadi kasihan pada seorang ’Ainnur Shahirah’. Saya turut sama menangisi nasib hidupnya. Alangkah malangnya seorang anak apabila ibu yang melahirkannya ke dunia ini seakan tidak mengiktiraf kedudukannya di hati si ibu. Alangkah pilunya hati seorang anak apabila ayah kandung sendiri, teganya hati melayan si anak bagaikan dia bukan darah dagingnya. YA, Ainnur Shahirah dianaktirikan oleh ibu dan bapa kandungnya sendiri.

Saya sukakan naskhah ini kerana penulis berjaya membuatkan saya larut dalam pembacaan. Saya sukakan bahasa mainan penulis yang berjaya membuatkan pembacaan saya lancar tanpa gangguan. Saya sukakan jalan cerita garapan penulis kerana ia berbeza daripada kisah ’cinta’ klise yang sering saya baca lewat novel melayu dewasa ini; kisah cinta pria – dara. Ini kisah cinta ibu dan anak. Ini kisah tentang kasih sayang antara ayah dan anak. TAPI apa yang saya tidak suka, penulis telah mencuri airmata saya tanpa saya sedar.

Ada rasa sebak mengapung di dada. Sedih mengenangkan nasib Ainnur Syahirah. Saya membayangkan andai saya yang berada di tempat Ainnur Syahirah... aduh tak dapat saya bayangkan! Tapi mungkin anda berbeza daripada saya yang mudah tersentuh apabila membaca kisah sedih lagi menyayat hati. Atau hanya saya yang terlebih emosional apabila membaca kisah Ainnur Syahirah ini?

Entahlah. Apa yang pasti, saya insaf dan saya bersyukur kerana saya anak kesayangan ibu dan ayah saya. Dan tidak mustahil kisah sebegini memang wujud di alam nyata. Lihat sahaja anak yang tidak berdosa di buang bagaikan sampah oleh ibu yang melahirkannya!! Jika ada sifat kasih sayang dalam hati si ibu, mana mungkin dia tergamak membuang darah dagingnya sendiri, ya tak? Dalam naskhah ini Ainnur Syahirah masih lagi bernasib baik kerana masih ada insan yang menyayanginya, masih ada insan yang mengasihinya walau bukan ibu dan ayah kandungnya.

Bacalah. Moga sedikit sebanyak kisah ini menjadi pengajaran pada kita, baik kita ’si anak’ mahupun kita ’si ibu’.

Selamat membaca moga ia bermanfaat.

0

Selamat Hari Guru

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang Ulama' yang mulia
Jika hari ini seorang Peguam menang bicara
Jika hari ini seorang Penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang Guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

(Usman Awang 79)

Selamat Hari Guru diucapkan pada semua warga pendidik yang telah mencurahkan bakti mendidik anak bangsa menjadi insan yang berguna tanpa mengenal erti penat lelah.

Juga ucapan ditujukan khas buat kanda saya Wan Roslina, adinda saya Wan Roslida dan suami, pada sepupu-sepupu saya, Wan Nor Fadriah, Wan Norhayati dan Rosilawati Kartini juga buat anda yang bergelar guru.

Selamat Hari Guru, cikgu!!

3

Keputusan Cabaran 50 Buku : April 2011

Salam semua,

Kakwan mohon maaf pada adik-adik kakwan yang ternanti-nantikan keputusan 10 ulasan terbaik untuk bulan April. Kakwan terlewat lagi *sedih*. Bukan niat nak mungkir janji tapi kekangan masa yang menghalang kakwan tunaikan janji. Dengan acara pesta buku yang baru selesai, kakwan jadi kesuntukkan masa. Padahal para juri sudah beri awal-awal lagi... huhuhu alasan!?

Alhamdulillah. Kali ini kakwan dapat komen yang positif daripada panel penilai. Positif kerana ada peningkatan dalam ulasan yang adik-adik buat. Alhamdulillah itulah yang kita harap-harapkan agar apa yang kita buat ada peningkatannya. TAPI buat panel penilai, ia membuatkan mereka agak sukar mencari ulasan-ulasan terbaik dan sekaligus menyukarkan lagi mereka membuat pilihan.

Jadi, inilah antara ulasan-ulasan yang terpilih untuk ‘Cabaran 50 Buku – Jom Lomba Baca!’ kali ini.

1- Aimie - Dia & Dia
2- Anita Sang - Menunggu Hujan
3- Arirada - Salju Sakinah
4- Ayu Abu Bakar - Kristal-Kristal
5- Khaulah Khalid - Lagukan Senandung Itu
6- Melihat Buku - Sebongkah Batu Di Kuala Berang
7- Mariah - Cinta Sang Ratu
8- Ummu Hakeem - Lasykar Pelangi
9- Xana - Surat Ungu Untuk Nuha
10- Rinn - Matahariku


Sehingga kita bertemu di bulan hadapan, jangan lupa tanggungjawab kalian untuk terus menghantar ulasan-ulasan terkini ya. Sekian.

---
Oh! ya, kakwan juga nak umumkan bahawa kita menerima dua lagi penyertaan daripada adik-adik kita yang berminat untuk menyertai kita dalam acara 'Lomba Baca' ini.

Mereka adalah:
27- Farah Hana
28- Izyan


Semoga acara 'Lomba Baca' kita ini bertambah meriah dan memberi lebih banyak 'pandangan' untuk pembaca di luar sana mendapat gambaran terhadap buku-buku yang kita baca ini. Moga dengan usaha kita ini memberi manfaat pada pembaca lain.

Membaca Memperkasa Minda.... Jom kita Lomba Baca!

0

Usai Sudah...

Salam semua,

Dah habis dah.

Apa yang dah habis?

Pesta buku la. 10 hari berlangsung, hujung minggu lepas, 1 Mei adalah hari terakhirnya. Syukur Alhamdulillah saya diberikan kesihatan yang baik untuk bersama-sama memeriahkan lagi acara dan meramaikan lagi jumlah pengunjung.

Selama 6 hari daripada 10 hari berlangsungnya acara pesta buku, saya bersama warga kerja Jemari Seni mempromosikan novel-novel terbitan Jemari Seni Sdn Bhd dan JS Adiwarna. Satu pengalaman yang sangat berharga. Pelbagai karenah pengunjung, pelbagai selera pembaca yang saya temui. Tak kurang juga dengan sapaan daripada pengunjung yang bertanyakan novel-novel terbitan lain selain Jemari Seni. Kiranya jadi penunjuk arah pun ya jugak. Sampaikan adik saya Filzah cakap “kak wan ni semua buku dia tahu”. Oh! bukan semuapun buku yang saya tahu. Kebetulan sahaja buku yang mereka cari saya tahu terbitan mana. Lagipun sayakan ramai kawan jadi sedikit sebanyak saya jadi ambil tahu. hehehe

Memandangkan tahun ini saya ‘sibuk’ jadi tak banyak booth yang saya lawat. Dan tak banyak buku yang saya beli. Bagus juga kan? Sekurang-kurangnya saya dapat berjimat. Kan hari tu saya kata nak berhemat ketika berbelanja, jadi bagus sungguhlah saya sibuk di booth Jemari Seni.

Tapi kalau tak beli buku rasa macam tak sah juga. Yelah sekurang-kurangnya boleh la saya tulis kat dalam buku tu 'kenangan KLIBF 2011'. Jadi inilah antara buku yang saya beli sempena KLIBF 2011 :
1. Contengan Jalanan – Hlovate – Jemari Seni Sdn Bhd
2. Baju Melayu Hijau Serindit – Syud – Jemari Seni Sdn Bhd
3. Mencari-Suami@JS.com – Normaslina Masri – Jemari Seni Sdn Bhd
4. Quartet – Saidatul Saffaa – Jemari Seni Sdn Bhd
5. Langsir Biji Remia – Noor Suraya – JS Adiwarna
6. Blues Retro – Imaen – JS Adiwarna
7. Alahai Jijah! – Dihsar Ludba Haqifa – JS Adiwarna
8. Maaf, Saya Bukan Bibik! – Nashmin – JS Adiwarna
9. Kita Hanya Di Seberang Jalan – Bahruddin Bekri – PTS
10. Misteri Firaun Musuh Para Nabi – Afareez Abd Razak al-Hafiz - PTS
11. Hujan Gerimis Dihiasi Pelangi – Manaf Hamzah – Pustaka Islamiyah


Wah! dalam pada tak nak beli tu, ada 11 buah juga tu. Ya. 1-8 merupakan buku terbitan Jemari Seni. Saya beli hari pertama berlangsungnya pesta buku sebelum booth Jemari Seni diserbu oleh para pengunjung. Kiranya saya antara pembeli terawal lah... hehehe. Di booth Jemari Seni saya dapat beli dengan harga yang lebih murah kerana saya ada voucher. Yay!!! & terima kasih pada Iejay. Di booth PTS pun saya dapat harga istimewa sebab dinda saja JiD tolong belikan dengan harga beliau, harga penulis. Saya dapat 35% diskaun. Alhamdulillah terima kasih pada JiD! Bukan senang tau nak beli dengan harga runtuh sebegitu. Dan apa yang lebih istimewa, En. Din (Bahruddin Bekri) yang datang sapa saya jadi saya hulurlah buku beliau untuk ditandatangani. Wah! penulis sendiri yang datang gitu! Berbesar hati sungguh saya. Sebenarnya ada beberapa buah buku En. Din yang saya nak beli tapi dah kehabisan stok. Terpaksalah order lain kali melalui JiD.

Selain daripada itu, saya juga dapat 2 buah buku sebagai hadiah. Satu daripada dinda saya Nawwir yang menghadiahkan saya buku 101 Doa Para Nabi & Rasul Dalam Al-Quran (Khasiat dan Kaifiat Beramal) tulisan Ustaz Haji Zahazan Mohammed terbitan Telaga Biru. Saya ingat nak beli satu lagi untuk dihadiahkan pada ayahanda saya, tapi sampai habis saya lupa nak pergi balik ke booth Telaga Biru untuk membelinya *ralat*.

Dan satu lagi daripada adik saya Mardihah Adam yang menghadiahkan novel karyanya yang berjudul Andai Gerimis Berhenti terbitan PTS ketika beliau bertandang ke booth Jemari Seni dan sudi menegur saya. Mardihah Adam ni adik yang bersama-sama saya dalam ‘Geng Lomba Baca – Cabaran 50 Buku Setahun’.

Dan ada juga buku yang saya nak beli tapi saya tak sempat nak beli seperti buku terbaharu kak Anis Ayuni (Alaf 21), buku terbaharu Nurul Syahida (Buku Prima), buku terbaharu kak Norhayati Berahim (NB Kara). Ralat. Memang ralat, tapi tak apalah saya habiskan dulu mana yang ada ni barulah saya cari semula. Lagipun saya yakin buku-buku itu bila-bila masapun stoknya pasti ada sebab ianya buku baru. Sebenarnya nak pujuk hati supaya tidak terlalu terkilan.

Oh sebelum lupa, saya nak ucapkan jutaan terima kasih pada adinda kesayangan saya Syud yang sudi jadi peneman saya setiap malam. Yang sudi menunggu saya sehingga usai acara dan balik bersama saya. Sekurang-kurangnya saya tidak keseorangan balik ke rumah. Saya ada teman sembang dalam kereta, jadi tidaklah saya takut sangat. Ya, saya ni penakut sikit. Nak-nak kalau balik malam-malam mula la terbayangkan benda yang bukan-bukan.

Sebenarnya banyak lagi yang saya nak cerita. Tapi saya kesuntukkan masa. Kerja pejabat berlambak-lambak *sigh*. Entry untuk umumkan pemenang ulasan terbaik untuk bulan April belum buat lagi *sigh*. Minggu depan nak kena ambil cuti lagi sebab ayahanda dan bonda akan turun ke KL sempena adik saya Ijat konvo... risau nih takut bos tak luluskan cuti saya... minggu depan Bos besar nak pergi oversea... bos kecil tiap kali masuk office bawak balik kerja untuk saya sebeban *sigh* uuwwaaaaaa tensiiiii.


Back to Top