0

Doa senjata umat Islam

DAN Tuhanmu berfirman: " Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orangorang yang menyombong diri daripada menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina-dina." (Ghaffir: 60)

Sebagaimana yang tercatat dalam surah di atas, Allah s.w.t. memberi jaminan bahawa setiap doa hamba-Nya akan dimakbulkan oleh-Nya. Pun begitu, kita tidak seharusnya berasa gusar sekiranya doa kita tidak tertunai. Ini kerana, menurut hadis yang diriwayatkan daripada Abi Hurairah, Rasulullah s.a.w. telah bersabda bahawa

Allah hanya akan menerima doa hamba-Nya melalui tiga cara iaitu:
* Diperkenankan doanya ketika di dunia, dengan diberikan apa sahaja hajatnya.
* Doanya telah diperkenankan, tetapi hajatnya itu disimpan dan akan diberikan di akhirat kelak, dan
* Doanya telah diperkenankan, tetapi bukan dengan diberikan apa yang diminta, tetapi dengan cara diselamatkan dirinya daripada bala bencana.

Doa selain menjadi senjata yang ampuh umat Islam, ia juga merupakan jalinan yang hebat menghubungkan hamba dengan Pencipta Yang Maha Esa. Walau bagaimanapun, doa disarankan untuk diamalkan dengan penuh adab serta kaifiat bagi mendatangkan kesan yang optimum.

Contoh, Al-Qhadi ‘Iyad secara tegas mencadangkan kepada para Muslim untuk berdoa dengan doa yang warid daripada Rasulullah s.a.w. dan apa yang terdapat dalam al-Quran sahaja. Ini kerana, Allah s.w.t. telah mengajar umat Islam teknik dan gaya permohonan doa yang paling tepat menerusi firman-firman-Nya yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Antara kelebihan doa Nabi s.a.w. ialah ia merupakan kombinasi tiga perkara iaitu; kefahaman kepada akidah, mesej yang tepat dengan menggunakan bahasa yang jelas dan nasihat buat umat.

Mustajab
Justeru itu, pelbagai perkara seperti adab-adab berdoa, waktu-waktu dan tempat-tempat mustajab doa, kategori mereka yang dimakbulkan doa serta kaedah memilih doa-doa yang ma’thur dari al-Quran dan hadis perlulah kita ketahui dalam memastikan doa yang dipohon dimakbulkan Allah s.w.t.

Sumber - petikan dari : http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0629&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm

0 comments:

Back to Top