0

Chutti-2-Nepal [Siri Jelajah Nepal #6] Kathmandu City

Assalamualaikum wbt
[sambungan dari sini]

Hari keenam [Selasa, 22 Nov] 💚 Kathmandu City

Sedar tak sedar hari ini hari terakhir saya berada di Nepal.  Jadi untuk acara terakhir di Nepal ini, kami akan melawat sekitar Kathmandu City, terutamanya di Durbar Square dan Thamel Street.

Untuk makan pagi, kami makan di hotel. Mungkin kerana sudah beberapa hari hadap makanan yang lebih kurang sama, selera saya agak merudum... sekadar ambil roti dengan telur dadar dan minum pula teh o panas untuk alas perut.

Memandangkan hari ini merupakan hari terakhir dan penerbangan balik kami adalah pada malam nanti, kami harus check out terus daripada hotel penginapan. Tapi penerbangan balik Nanan adik kaksu pada esok hari, jadi sebelum kami memulakan aktiviti untuk hari itu, Sujan bawa kami ke hotel yang bakal jadi tempat bermalam Nanan malam itu dahulu. Selesai urusan check in Nanan, kami ke Bhaktapur Durbar Square.

Dikatakan, bangunan yang terdapat di Bhaktapur Durbar Square ini telah wujud sejak abad ke-15 lagi. Dan di sini juga dikatakan terdapat istana yang mempunyai 55 pintu (tapi jangan tanya saya yang mana satu bangunannya kerana saya tak berapa nak tahu), jadi tak hairanlah kalau tempat ini juga terkenal sebagai 'Living Art Gallery'.

Kebanyakkan bangunan yang terdapat di sini berunsurkan senibina kuil sesuai dengan jolokannya, City of Devotees memandangkan lebih 90% penduduk Nepal adalah beragama Hindu. Jadi tak hairanlah jika setiap bangunan, pagoda mahupun wakaf-wakaf yang ada dalam kawasan ini terdapat unsur-unsur tempat suci agama mereka - Hindu. (Walaupun tak semua bangunan yang ada di situ saya masuk.  Saya sekadar pusing keliling tengok dari luar bangunan sahaja).

Kini tempat yang pernah satu ketika dahulu menjadi kawasan penginapan Malla King, telah bertukar fungsi sebagai muzium dan menjadi salah satu Unesco World Heritage Site.

Lets pictures do the talking 😍

'Pintu Masuk' - bayaran dikenakan
 


 
Antara bangunan yang mempunyai seni reka ukiran yang cantik dan berseni


 
antara barangan kraf yang dijual

antara pemandangan yang boleh dilihat di kawasan Durbar Square
sedang dibaik pulih

antara tulisan yang diukir di sepanjang dinding bangunan yang sedang dibaik pulih

antara yang banyak - stupa yang ada di sana


seni ukiran yang sangat unik

anak-anak sekolah



bergambar bersama 'jaga' 

acara wajib - bergambar bersama ahli rombongan yang ohsem! 😍

Satu lagi yang menarik perhatian saya adalah kisah tentang 'Living Goddes' - Kumari.

Dikatakan 'Kumari' ini dipilih dalam kalangan kanak-kanak yang belum baligh (berusia dalam lingkungan 5 tahun). Dengan kriteria yang tertentu, berdasarkan horoskop tertentu serta sifat-sifat fizikal tertentu, anak-anak perempuan akan dipilih sebagai Kumari. Apabila saya berpeluang ke Nepal, barulah saya tahu tentang Kumari ini dan cari info tentang sejarah asal usul Kumari yang menjadi Living Goddes pada rakyat Nepal.

Dikatakan, anak perempuan yang terpilih sebagai Kumari ini tidak dibenarkan menjejakkan kakinya ke tanah. Untuk ke mana-mana, Kumari ini akan didukung/kendong. Saya pernah terbaca, ada antara mantan Kumari ini harus melalui sessi terapi kaki kerana dek lamanya tidak menggunakan kaki untuk berjalan mereka hilang upaya untuk berjalan seperti biasa. Biasanya jangkasa masa anak-anak perempuan ini diangkat sebagai Kumari bergantung kepada tempoh 'matang' (bila datangnya haid pertama, maka gugurlah status Kumari yang disandang oleh anak perempuan ini) mereka. Dan proses yang sama akan berlangsung untuk mencari pengganti Kumari yang baru.

sumber photo: Google

❤💛❤

Thamel Street, kami diberi masa separuh hari (daripada selepas waktu makan hingga ke waktu petang) untuk acara bebas di Thamel Street ini. Kerana masing-masing ada misi tersendiri, jadi saya pusing-pusing tengok apa yang patut bersama kakyah, Fidzah, Deena, Cik Sofiah dan Selvi.

Thamel Street ini pada saya umpama Petaling Street di Malaysia tapi versi besar. Kawasan yang menjual pelbagai jenis barangan. Senaraikan sahaja apa yang anda inginkan, Insya-Allah jika anda rajin dan ada kudrat untuk menjelajah ke setiap pelosok kedai yang ada, anda pasti akan jumpa apa yang anda inginkan.

Untuk pengetahuan anda, di sini terdapat deretan kedai di sepanjang jalan, di setiap lorong-lorong yang ada di kawasan Thamel ini. Jika anda leka, anda boleh sesat! (sebagaimana yang berlaku pada kami semalam - sesat tak jumpa cari lokasi yang telah ditandakan sebagai tempat berkumpul). Bila datang balik pada hari ini, dalam suasana yang cerah/terang barulah dapat dilihat dengan jelas, kawasan ini nampak serupa sahaja di setiap lorong. Yang berbeza hanyalah nombor kedai.

Dan kesibukkan Thamel Street ini selain kesibukan aktiviti jual belinya, lorong-lorong ini juga menjadi laluan kenderaan bermotor.  Jadi harus berhati-hati. Tidak seperti di Durbar Square yang kenderaan bermotor dilarang sama sekali memasukinya.

Di sini saya beli (lagi) shawl untuk tanda kenangan pada kakak dan adik-adik saya. Dengan pilihan yang pelbagai warna dan jenis kain tinggal kita pilih ikut kesesuaian mata dan poket kita sahaja. Yalah, pilihan yang cantik pada kain yang bermutu haruslah dengan harga yang lebih tinggi berbanding dengan kain yang biasa-biasa sahaja.  Cumanya sampai ke sudah saya tak dapat cari Ponco yang saya suka (pada warna dan harganya). Yang saya jumpa kebanyakannya warna kelabu/krim dan harganya pula bila ditukar pada matawang kita buatkan saya telan air liur.

Oh ya, di sini banyak terdapat pengurup wang yang kita boleh tukarkan Ringgit Malaysia ke matawang Rupee Nepal. Dan kadar tukaran mereka lebih rendah berbanding dengan kadar yang saya tukar di Malaysia. Maknanya kita akan dapat lebih nilai Rupee bila kita tukar di sini.

Gambar yang sempat saya rakamkan di sela acara membeli belah...

 

 

 

 

 

 


💚❤💚

Agenda terakhir di bumi Nepal adalah makan malam di Restoran Chulo. Secara peribadinya, makanan Nepal bukan pilihan saya. Jadi juadah yang dihidangkan (menu khusus untuk Vege), satupun tidak dapat diterima oleh tekak saya (saya cuba makan sikit je). Nasib baik hari ini makanan tengah hari yang kami ambil sangat sedap!  Menu dia kena aje dengan tekak saya yang agak cerewet sikit, tapi alhamdulillah nasi putih dengan ayam dan briyani kambing serta roti naan yang dihidangkan sangatlah sedap! (pada tekak saya la...) Dan saya nak rekomen sesiapa yang datang ke Kathmandu Nepal terutamanya yang melawat kawasan Thamel Street harus cuba makan di Al-Madina Halal Food. Selain makanan yang sedap, di sini ada free wifi 😍 😄

Tapi apa yang menariknya di sini adalah sambil sajian makan malam dihidangkan, kita dihiburkan dengan persembahan nyayian dan tarian tradisi masyarakat Nepal.  Sekali imbas, pakaian yang dipakai oleh penari-penari ini ada iras pakaian orang-orang tibet.

Kami tidak dapat menanti sehingga persembahan tamat memandangkan kami harus bergegas ke lapangan terbang untuk penerbangan pulang ke bumi tercinta. Walaupun sekejap, sekurang-kurangnya saya ada pengalaman dan kenangan indah tentang musik Nepal.








Oleh kerana kesuntukan masa, kami harus ucap selamat tinggal pada Sujan dalam suasana yang kelam kabut (sayalah! tu) kerana tiket balik saya dalam beg besar. Semasa packing malamnya, saya lupa nak keluarkan dan simpan dalam hand luggage untuk memudahkan urusan saya. saya langsung-langsung lupa fasal tiket balik ini. Huhuhuhu maka terjadilah insiden di tengah-tengah laluan orang ramai saya harus buka beg besar untuk ambil tiket.  Nasib baik urusan check in bagasi selepas itu berjalan lancar (dan cepat) jadi saya masih ada masa santai sebelum dipanggil masuk ke balai berlepas.

Sebagaimana ketika datang, suasana lapangan terbang Tribhuvan ini tetap 'meriah' dengan pelbagai gelagat orang ramai/pelancong yang akan menuju ke destinasi masing-masing. Cumanya kali ini saya dapat saksikan suasana di waktu malam, memandangkan penerbangan kami ini sessi malam dan dijangka tiba di KLIA jam 4.30 pagi.

Selamat tinggal Nepal... terima kasih untuk satu pengalaman yang sangat berharga ini.

And... we arrive home with exciting memories of the country of Himalayas!

Salam sayang,

0 comments:

Back to Top