3

Wan dan dunia novel...

Salam semua,

Wah! sedar tak sedar kita dah hampir ke penghujung tahun 2009 ya. Rasanya baru semalam wan ke Dataran Putrajaya, countdown nak sambut New Year dengan wabbit, lia, bunga, nacha & family serta sirman & eisya. Kini tahun baru 2010 dah nak muncul balik! Betapa masa, pantasnya ia berlalu tanpa menunggu kita.

Sebagaimana yang sebahagian kamu maklum, wan ni sangatlah gemarkan novel. Sehingga ke hari ini, koleksi wan semakin hari semakin bertambah tak pernah berkurang, hinggakan rak buku dah tak mampu nak menampung kesemua novel-novel itu. Bahkan ada antaranya terpaksa wan masukkan dalam kotak sebab tak tahu nak simpan di mana.

Untuk entry kali ini wan ingin berkongsi dengan kamu tentang novel-novel yang telah wan baca sepanjang tahun ini. Sebelum wan bongkarkan (hehehe gempaknya istilah bongkar ni, macam la ada rahsia besar!) wan nak ceritakan dulu tentang sejarah wan dengan dunia novel ni. Ya, kita belajar sejarah dulu ya! Mata pelajaran sejarah adalah mata pelajaran kesukaan wan ketika di bangku sekolah dulu tau dan wan pernah terbaca, tapi lupa di mana dan bila, “kita mengenal siapa diri kita melalui sejarah hidup kita” begitulah lebih kurangnya.

Masa sekolah dulu dunia novel adalah dunia yang ‘mewah’. Yalah wan suka membaca tapi wan tiada peruntukan (duit saku) untuk beli novel , kan wan masih bergantung sepenuhnya pada duit abah jadi, bacaan wan terhad pada novel-novel yang boleh wan pinjam di perpustakaan sekolah sahajalah. Tapi wan curi-curi juga baca buku teks sekolah arwah kak Ja dan yang paling wan ingat novel Keluarga Gerilya karya Pramoedya Ananta Toer (Pak Pram) selain buku-buku hikayat seperti Hikayat Misa Taman Jayeng Kasuma, Hikayat Hang Tuah, dan ada 2 3buah lagi yang sudah wan lupa. Di perpustakaan sekolah pula wan kenal dengan karya-karya Khadijah Hashim seperti Badai Semalam, Mira Edora, Laila Azwa Gadisku, Senator Adila & beberapa lagi. Juga karya Adibah AminTempat Jatuh Lagi Di Kenang (kalau ada sesiapa tahu di mana wan boleh cari novel ni, beritahu wan ya!! wan nak beli buat koleksi)

Ok berbalik pada 'sejarah' wan dengan dunia novel.

Wan aktif membaca novel sekitar tahun 2001/02. Aktif di sini bermaksud membeli dan membaca dengan kuantiti yang banyak. Wan habis belajar kat ITM (sekarang dah tukar jadi Uitm) tahun 1994. Wan mula kerja tahun 1995. Masa tu wan belum kenal lagi dunia novel. Belum lagi sanggup menghabiskan duit untuk novel. Masa tu nak kumpul duit aje. Tapi minat membaca tetap tidak hilang dan wan pernah dihadiahkan novel oleh Sirman (masa tu dia masih lagi kawan... hehehe). Dia tahu wan suka baca novel jadi dia hadiahkan novel Kehilangan karya Elias Haji Idris. Nak tahu sebab apa dia hadiahkan novel tu pada wan? Sebab nama hero dalam novel tu adalah Azman!! Hanya sebab itu. Padahal dia bukannya minatpun baca novel! dan sampai sekarang dia memang tak gemar baca novel tapi Alhamdulillah dia tak dak hal bila wan jadi ‘hantu’ novel... hehehe

Selepas dah kerja dan pegang duit sendiri barulah syok beli novel. Ya lah duit kita, suka hati kitalah nak beli apapun kan?? termasuk juga novel kan?? suka hati kitalah nak beli novel siapapun dan terbitan manapun kan?? kan?? kan??

Seingat wan, tahun 2001/02 wan hanya ‘kenal’ novel terbitan Alaf 21. Kalau tak silap novel pertama yang wan beli adalah novel karya Aisya Sofea Kau Untukku. Kisah Nurul Umairah & Ahmad Fuad. Novel tu memang buatkan wan jadi ‘gila’ dengan novel. Dulu-dulu wan mana kenal sesiapa lagi kecuali member-member office dan member-member masa kat ITM, tapi tak semua mereka gemarkan novel sebagaimana wan gilakan novel. Jadi wan bantai beli aje best ke tidak selepas tu baru tahu.

Kemudian wan 'kenal' novel terbitan Creative. Dengan Creative, novel pertama yang wan baca adalah novel Tanah Adriyana karya Noor Suraya (kaksu). Kisah ala-ala sejarah yang sememangnya menjadi kesukaan wan. Selepas jatuh cinta dengan Aliya & Hadi wan cari karya-karya kaksu yang lain seperti Biru Ungu Cinta, Keranamu Ain, Rindunya Kian Membara dan NTS. Kemudian wan baca pula novel Warisan karya Ab. Talib Hassan. Novel Warisan ini juga ‘kisah sejarah’ 3 keturunan... Jadi kamu boleh agakkan wan suka apa?? hehehe Kemudian wan kenal karya Norhayati Berahim (NB) dan novel pertama NB yang wan baca adalah Seindah Derita dan sehingga sekarang wan jadi ‘pengumpul’ untuk setiap karya-karya penulis ini yang telah menjadikan wan hantu novel!

Tahun 2006 wan kenal dunia blog yang membawa wan mengenali kawan-kawan yang mempunyai aliran minat yang sama iaitu novel. Dan begitu juga dengan syarikat penerbitan, kalau dulu hanya ada Alaf, Creative, selain DBP yang tak perlu diperkenalkan lagi. Sekarang ni pembaca sudah diberi banyak pilihan. Kita ada Jemari Seni (JS), Kaki Novel, Buku Prima (anak syarikat alaf), PTS, Utusan Publication, NB Kara, Fajar Pakeer (sekadar menyebut beberapa nama).

Seiring dengan masa, jika dulu-dulu (lebih kurang 8-10 tahun yang lalu) wan peminat tegar Alaf, tapi sekarang (10 tahun kemudian) wan ada banyak pilihan dan rasanya wan juga sudah bijak menilai (dengan cara wan sendiri lah). Wan tahu setiap syarikat penerbitan di Malaysia ini ada misi dan visi mereka tersendiri. Mereka ada signature mereka sendiri.

Begitu juga dengan wan. Semakin banyak yang wan baca, wan jadi semakin memilih! Dalam tempuh lebih 10 tahun wan membaca novel, pelbagai genre, pelbagai cerita, pelbagai teknik serta gaya bahasa yang telah wan baca. Walaupun wan bukanlah orang sastera, tapi sedikit sebanyak pemilihan pembacaan wan mula berubah. Wan bukan lagi gadis polos (ye ke?? hehehe) tapi kini wan sudah jadi ibu pada seorang anak dara yang sudah pandai membebel!. Wan bukan lagi anak gadis yang idamkan kisah-kisah romantik uda & dara yang tiada ‘sempadan’nya, tapi wan perlukan juga ilmu yang boleh dimanfaatkan melalui pembacaan wan!

Biarlah apa yang orang nak kata, sememangnya dalam banyak-banyak syarikat penerbitan, wan pilih Jemari Seni. Tapi bukanlah penerbitan lain wan pinggirkan tidak! wan tetap juga beli andai ia memenuhi citarasa dan selera wan! Cumanya wan pilih JS kerana ia bergerak seiring antara plot cerita dengan ilmu/tazkirah yang cuba disampaikan. JS menampilkan kisah cinta? syarikat penerbitan lain pun ada juga kisah cinta, cuma apa yang syarikat lain tidak tonjolkan adalah sisipan tazkirah. JS sebuah syarikat penerbitan indie yang menjunjung agama sebagai teras perjuangan mereka. Itu yang membuatkan wan salute dengan syarikat yang diterajui oleh 2 iron lady ini. Jadi tidak hairanlah kalau senarai panjang novel yang wan baca sepanjang tahun ini mencatatkan nama JS sebagai pilihan utama.

Antara karya-karya yang diterbitkan oleh JS sepanjang tahun ini yang menjadi ‘pilihan’ wan adalah (tidak mengikut kronologi ya)
1- Jaja & Din – Noor Suraya
2- Kemilau Mutiara Raudhah – Saidatul Saffaa
3- Sigaraning – Imaen
4- Dame Zoete Sarah – Khairyn Othman
5- Teluki Itu Untuk Aku – Nazawati
6- Bintang-Bintang Ke Syurga – Xarine
7- Odisi Bulan Biru – John Norafizan
8- Rooftop Rant – Hlovate
9- Kompilasi Pelangi – Syud, Hlovate & Noor Suraya
10- Rahsia Hati Sofea – Nazurah Aishah

Lain-lain karya daripada syarikat penerbitan lain yang menjadi pilihan wan adalah:
1- Bidadari-Bidadari Syurga – Tere Liye (Pustaka Republika – Indonesia)
2- Rembulan Tenggelam Di Wajahmu – Tere Liye (Pustaka Republika – Indonesia)
3- Lentera Mustika – Nisah Haron (PTS)
4- Episod Cinta Di Tanah Hijrah – Amaruszati Noor Rahim (DBP)
5- Menunggu Cinta Tuhan – Lily Haslina Nasir (PTS)
6- Dalam Kehangatan Dakapan Senja – Manaf Hamzah (Pustaka Nasional - Singapore)
7- Setiap Jumaat – Norhayati Berahim (NB Kara)
8- Aku Bukan Billy Milligan – Norhayati Berahim (NB Kara)
9- Kuseru Namamu Kekasih – Maya Iris (PTS)
10- Detektif Bertudung Hitam – Bahruddin Bekri (PTS)
11- Ombak Bukan Biru – Fatimah Busu (Pekan Ilmu)
12- Mikail – Ramlee Awang Murshid (Alaf 21)
13- 9 Nyawa – Ramlee Awang Murshid (Alaf 21)
14- Memori – Naz Areesya Ameen (Buku Prima)
15- Street Vendetta - Mazni Aznita (Buku Prima)

Sebenarnya ada lagi, tapi cukuplah setakat senarai ini dulu. Sebab ada antara novel tahun-tahun sudah yang wan ulang baca. Juga termasuk karya-karya dari seberang (Indonesia) seperti karya-karya Maria A. Sardjono, Andrei Aksana, Andrea Hirata, Marga T selain karya-karya Habiburrahman El-Shirazy.

Bukan apa, membaca karya dari seberang, memperkenalkan wan pada gaya bahasa yang lain daripada kebiasaan kita di Malaysia. Walaupun kita bangsa yang serumpun, tapi adat berbahasa agak berlainan. Sekadar untuk memperkayakan perbendaharaan kata. Tak salahkan???

Oklah sebelum wan mengundur diri wan ingin mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2010 buat semua sahabat handai wan yang sudi singgah sini. Takut esok wan sudah kesuntukan masa untuk mengarang entry. Moga tahun baru yang bakal tiba nanti menjanjikan seribu kemanisan buat kamu semua...

0

Selamat Malam...

by: Faizal Tahir

Biarkan berlalu
Semua kepedihanmu
Lelapkan matamu
Biarkan mimpi membawamu
Ke mana kau mahu
Selamat malam
Tidurlah sayangku
Siang kan tiba bercahaya
Bermula baru semua untukmu

Biarkan berlabuh tirai kisah semalam
Yang indah itu ada padamu
Dengan setiap impian dan harapan
Selamat malam
Tidurlah sayangku
Siangkan tiba bercahaya
Bermula baru semua untukmu

Kan ku menjadi arjuna dalam mimpi-mimpimu
Kan ku panah tepat ke jiwamu atas nama cintaku
Pari-pari ku utus bawa kau ke sini lagi
Terhapus semua air mata dengan senyuman

Selamat malam sayang
Selamat malam kasih
Selamat malam sayang
Woooo...

Selamat malam sayang
Selamat malam kasih
Selamat malam sayang
Woooo...
Tidurlah sayangku
Siangkan tiba bercahaya
Bermula baru semua untukmu

Selamat malam
Tidurlah sayangku




2

Cerita yang tak berkesudahan...

Salam semua,

Sudah lama wan tak berkongsi cerita di sinikan? Bukannya tak ada cerita yang boleh dikongsi, tapi wan benar-benar kesuntukan waktu. Bagaikan 24 jam sehari tu tak cukup waktu untuk melakukan segala kerja. Ops! bukan kerja pejabat ya! hehehe kerja-kerja personal, kerja-kerja bergumbira! hahahaha

Cuti tahun baru hijrah 1431 Hijriah wan habiskan masa sehari suntuk dengan mbak Bunga. Berjalan-jalan meredah kesibukan kota metropolitan KL bersama Bunga dan keluarganya serta wabbit & lia merupakan satu lagi kenangan indah yang tercatat dalam sejarah hidup wan. Dari pagi sampai malam... balik badan dah penat. Langsung tidur tak ingat dunia.

Hari sabtu, kerja separuh hari (bosannya!!!) kemudian jumpa lagi dengan Bunga & keluarganya di Putrajaya. Selesai dengan bunga wan jumpa mek & abah pula yang kebetulan datang ke KL untuk melawat besannya (bapa mertua Nini) yang dimasukkan ke wad. Acara juga sampai malam. Selepas di Alamanda, melawat ke rumah baru Nini di Nusa Putra (area Puchong). Balik dah penat juga langsung tidur tak ingat dunia...

Hari ahad, Nini buat birthday party untuk anaknya. Mek & abah yang bermalam di rumah Nini di Gombak, jadi wan ke Gombak selain untuk berjumpa dengan mek & abah lagi, juga untuk sama-sama memeriahkan lagi acara sambutan birthday Keyroll... meriah... dengan makanan, dengan acara... ada clown jugak! Sampailah ke petang-malam. Selepas mek & abah bertolak ke Kluang Johor. Oh ya! Lida & keluarganya juga datang. Mek & abah akan ikut Lida balik ke Kluang kerana Lida nak naik rumah baru, jadi korie suruh abah 'pagar' rumah baru dia... ahaks!! macam-macam la Si Korie nih! Wan tahu ni kes nak 'beli jiwa' mertua la nih! hahahahahahaha

Selepas mek & abah serta Lida & keluarganya berangkat pulang, wan sambung makan lagi! hehehe tak malu sungguh! Hei, makanan dia sedap-sedap tau! ada kambing golek (menu yang sangat sedap!) makan dengan roti arab. Dan kambingnya 2 ekor tau!... ada nasi beriani? ada laksa penang! kuih koci diapun best... pendek kata wan makan tak toleh kiri kanan dah. Natijahnya malam tadi kepala wan sudah pening+sakit (agaknya makan kambing banyak sangat kot).

Jadi 3 hari ni wan langsung tak ada masa nak online nak update cerita setiap hari. Nanti gambar-gambarnya wan publish kemudian ya, kerana wan keburuan waktu... orang lain senang lenang dok habiskan cuti tahunan sedangkan wan kena kerja... bosan tau!!

Oh ya! wan juga sudah khatam Jaja & Din untuk kali yang kedua. Seronok sangat baca Jaja & Din... macam-macam rasa ada! Lepas khatam Jaja & Din, wan sambung baca Nyanyian Tanjung Sepi (NTS) sebab rindukan Uncle Aqmar! huhuhu sekali lagi merambu airmata wan! sedihnya... tapi wan tak tahu sedih pada siapa... pada Aunty Lida yang berbahagia dengan cinta pertamanya bersama si Arjuna hatinya itu? atau sedih pada Uncle Aqmar yang pastinya berbahagia demi agamanya? Parah sungguh la wan nih! tapi yang pastinya wan bahagia sangat-sangat sebab Jaja dapat mualim yang sebaik Din!!!

Nak baca resensi wan boleh intai di ->sini<-. Sekarang ni wan dalam proses nak bertenang daripada novel-novel yang banyak dalam simpanan wan... nak menata dulu perasaan wan yang sedang berantakan nih!

Dating @ Kopitiam Kawan

Salam semua,

Semalam... hari ahad 20 Disember merupakan salah satu lagi hari yang tak akan wan lupakan. Hari yang mencorakkan satu lagi kenangan yang akan wan kenang selagi ada nafas ini.

Semalam wan ke Bandar Baru Bangi semata-mata nak 'peluk' Jaja & Din yang telah selamat kaksu sandingkan! Sebelum ke BBB, wan ke Taman Shamelin ambil Nawwir & Hannan, kemudian singgah Tasik Selatan ambil kucc & kak Ju'a.

Temujanji dengan kaksu jam 11 pagi, memandangkan wan ingat-ingat lupa jalan ke rumah nawwir jadi wan keluar dari rumah seawal jam 8.30 pagi. Hahaha lebih awal daripada nak ke pejabat! Sebelumnya wan sudah 'survey' jalan dengan sirman juga dengan kak Anim yang bersusah payah lukis map... thanks dear! Alhamdulillah wan dapat cari laluan ke rumah nawwir dengan mudah (walaupun agak was-was pada awalnya).

Lebih kurang jam 11.15 pagi kami sudah tiba di Seksyen 3 (Tambahan) Bandar Baru Bangi, di mana letaknya Kopitiam Kawan tempat yang dijanjikan untuk bertemu. FYI Kopitiam Kawan ni adalah milik Pn Ezzah Aziz Fawzy yang diusahakan bersama suaminya. Ingatkan kami yang lewat rupanya kami yang terawal selepas Mar. Kaksu & kakyah sedikit lewat kerana nak ambil kek.

Sebenarnya kali ini bukanlah perjumpaan apa, wan sekadar nak ambil Jaja & Din & alang-alang nak ke BBB wan tanyalah sesiapa yang nak join. Lagipun dah lama rasanya tak berkampung sambil sembang kosong, tapi sebagaimana yang wan maklum tak ramai yang dapat join. Maklumlah ramai yang ambil kesempatan bercuti panjang. Sementelah hari jumaat sebelumnya dah cuti Maulidur Rasul 1431 Hijriah.

Jadi yang datang cumalah wan & Aysha, Nawwir & Hannan, Kucc, kak Ju'a, kak Anim & Mar selain kaksu & kakyah. Tapi apa yang paling menyeronokkan, rupa-rupanya kaksu jemput tuan punya Restoran, siapa lagi kalau bukan kak Ezzah. Mak ai, berbunga-bunga rasa hati... seronoknyaaa!!

Mana tak seronoknya dapat jumpa selebriti tu... hehehe... kaksu, kaksu pun selebriti jugak!! Cantik lawa jer orangnya. Kalau nak tahu Ezzah Aziz juga merupakan idol yang wan suka selain Wan Zaleha Radzi. Mereka adalah antara pioneer yang memeriahkan dunia pengacaraan suatu ketika dahulu... ketika TV3 mula-mula bersiaran sekitar tahun 1984-85. Sekarang ni kak Ezzah lebih banyak bertugas di belakang tabir di Primeworks Studio... melakukan kerja-kerja untuk ntv7 (kalau wan tak silap dengarlah... maklumlah lebih teruja nak ambil gambar... hehehe)

Oh ya... 19hb Dis. merupakan hari lahir nawwir, jadi wan minta kakyah tolong belikan kek, mana boleh wan beli, wan kan nak kena ambil nawwir! nanti tak suspen la kan?? hehehe... kakyah I O U... Wan rasa sesiapa yang dah baca Jaja & Din pasti tahu kek apa yang jadi pilihan kaksu & kakyah?? kek keju beri biru (Blueberry Cheese Cake) hehehe, kek kesukaan Jaja tuh! sedapnyaaa!!

Ok.. ucapan untuk Nawwir, Selamat Ulangtahun kelahiran sayang, dirgahayu buatmu... moga dirimu senantiasa di bawah payung rahmatNya... wan sayang kamu! sayang sangat-sangat...

Kami beransur pulang selepas makan dan bersembang-sembang lebih kurang 2 jam. Tapi wan tak terus pulang, singgah pula rumah kaksu nak ambil buku yang kakyah lupa bawa. Sambung sembang lagi... dekat pukul 3 barulah kami (wan, kucc & kak Ju'a) minta diri. Oh ya, nawwir & hannan... abang Syed nya datang ambil kerana mereka akan terus balik ke kampung hubbynya di Banting. Kucc & kak Ju'a wan hantar ke stesen LRT Bukit Jalil.

Wan sampai di USJ, sirman masih belum pulang. 'Pakaikan baju' untuk Jaja & Din, terus wan golek-golek atas katil sambil upload gambar ke akaun Facebook wan... hehehe saja nak menjeleskan kawan-kawan yang tak dapat datang!

Malam tadi lebih kurang jam 2 pagi wan khatam baca Jaja & Din selepas bergolek sakan lebih kurang 6 jam campur-tolak berhenti sebab ada 'gangguan & iklan' dengan rasa puas!. Lepas ni nak baca lagi sekali... dan kali ini wan nak menghayati aksara demi aksara, baris demi baris, helaian demi helaian dengan lebih khusyuk lagi. Tak puas baca kisah Jaja & Din nih!!

Buat kaksu... sekalung TAHNIAH! sesungguhnya sentuhan majis kaksu dalam memotretkan kisah Jaja & Din membuatkan tanpa sedar wan mengalirkan airmata gembira+sedih untuk Jaja... sedih+sebak untuk Dr Aqmar Aziz... kaksu ... wan teringatkan Sharifah Nur Hannah yang telah tiada... sedih laaa...


0

Alahai CLKku sayang....!!

Salam semua,

Petang tadi [sabtu], selepas pulang dari kerja wan ke IOI Mall. Ada hadiah yang perlu dicari untuk 'anak saudara' baru. Memandangkan minggu ni sirman tak ada di rumah kerana acara 'Fisherman & Fren'nya jadi wan bawa Aysha ke pejabat jadi tak perlu wan tinggalkan dia sendirian di rumah dalam jangka masa yang lama.

Sampai di IOI Mall, cari apa yang dihajati, kemudian hantar untuk dijahit sulam dan diminta datang kembali dalam masa sejam. Memandangkan perut lapar, jadi kami -wan & Aysha- ke Kenny Rogers untuk makan tengah hari. Selesai makan, masa masih belum sampai satu jam, jadi berlegar-legar tanpa arah tujuan untuk menghabiskan masa.

Berjalan hingga ke new wing sepanjang jalan tu masuk kedai keluar kedai sajalah kerja wan, nak beli, poketpun bukannya kembung manapun!. Tiba di new concourse ada pelbagai booth yang menjual pelbagai barangan mostly untuk sambutan krismas, dan ada satu booth yang menarik wan bagaikan magnet. Satu booth yang menjual barangan untuk craft. Dalam tak ada budget tu, tangan ni gatal aje sudahnya, Embossing Stamps, Circle Cutter, Embossing Pen, Plastic Square, Oval & Star serta Pattern Puncher wan beli!

Masa dah cukup, pergi ambil barangan yang wan dah hantar untuk dijahit embroidery, & terus aje keluar dari IOI Mall. Bukan apa, lagi lama wan kat situ entah apa-apa lagi yang wan beli.

On the way balik, tengok kedai Top Speed Auto Care di USJ 18 masih buka walaupun jam sudah menunjukkan ke angka 4 petang, jadi wan singgahlah. Memandangkan dah lama tak buat service CLK wan ni jadi ingat nak buatlah normal service. Lagipun bila bawa CLK ni dah rasa semacam, tak boleh nak pecut bagaikan di litar F1 dah. hehehe

Jadi cakap dengan tokei (agaknyalah) nak buat normal service. Dia suggest ambil yang ok sikit maknanya wan boleh bawa hingga ke 7000km instead of 5000km. Jadi dalam dok tunggu mereka buat kerja, wan tunggulah kat dalam office mereka... sejuk sikit ada air-cond. Lepas tu, macam-macam yang datang, kata benda ni kena tukar la... benda tu dah haus la... kemudian datang pula (bahagian aircond) aircond cooling coil dah tersumbat, kena tukar, gas kena top-up dan macam-macam lagi lah... alamak ni bukan normal service dah ni... ni dah jadi MAJOR service dah!! huhuhu lebih kurang 2 jam menunggu dan si Aysha sudah mula buat perangai... akhirnya siap juga.

Bila tiba part nak bayar.... erk!! terkedu jap! lebih RM1k wan kena... huhuhu ni yang malas nak datang service nih! sebab wan tak reti nak cakap NO. Nasib baik la mereka terima kad plastik. Kalau nak harapkan RM dalam purse, separuh pun tak sampai, kalau adapun untuk emergency sampai hujung bulan. Dan cukup bulan nanti memang sah-sah wan kena puasa nih, huhuhu nasiblah wan sayang sangat kat CLK ni. Lagipun memikirkan wan yang bawa CLK ni jadi apa-apa hal wan yang akan tanggung ya dak?? Lagipun sirman kata CLK ni kereta orang kedekut sebab dia jarang berpeluang bawa CLK wan kalau nak pergi mana-mana. Yang selalu jadi mangsa adalah waja dia, jadi memang sah-sah wan juga yang kena keluarkan budget untuk service!

Balik daripada USJ 18 wan hala ke USJ 11 nak cuci kereta. Rasanya dah berbulan-bulan wan tak basuh. Yelah, hari asyik hujan aje... buat penat je basuh lepas tu kotor balik! (memang sah kedekut!!) hahahahaha

Itulah alkisahnya... alahai CLK ku sayang...

2

Agenda waktu cuti...

Salam semua,

Seronokkan cuti?! Tapi macam wan yang dah kehabisan cuti tahunan ni tak bolehlah nak rancang cuti-cuti Malaysia, duduklah diam-diam habiskan stok novel yang ada kat rumah tu. Sedihnya!!

Ok berbalik pada agenda biasa bila ada cuti. Apa lagi kalau bukan mengadap novel!. Kalau kamu masih ingat, dua minggu yang lepas atau lebih tepat lagi di awal bulan disember hari tu, kan Alaf 21 ada buat Pesta Bukukan? Jadi ada la tiga-empat buah buku yang telah wan beli. Percaya tak kalau wan katakan, wan dah habis baca buku-buku tersebut?. YA... betul!!, wan sendiri tak percaya bahawa wan boleh habiskan dalam masa yang agak singkat. Wah! kiranya ini pencapaian yang memberangsangkanlah ya... ahaks! Nanti wan nak bagi hadiah untuk diri wan lah. Hadiah kecemerlangan kerana produktif... hahaha

Ok bercerita tentang novel yang telah wan habiskan. Antaranya, buku Aisya Sofea. FYI buku ini wan beli sebelum Pesta Buku Alaf lagi, tapi boleh lah ya wan selitkan di sini.

Sebenarnya wan adalah antara penggemar tulisan Aisya Sofea. Alhamdulillah sehingga ke detik ini wan telahpun mempunyai kesemua novel tulisan AS daripada novel Jauh hinggalah yang terakhir ini Yang Sebenarnya. Sebagai penggemar AS sememangnya novel karya beliau amat-amat wan nantikan. Walau bagaimanapun, wan agak kecewa sedikit dengan karya beliau yang terbaru ini. Terlalu ketara kesilapan yang terpandang oleh mata bole wan ni. Sayangnyaaa... keghairahan wan untuk menikmati setiap bait ayat terbantut dengan kesilapan demi kesilapan yang wan baca. Selain beberapa fakta yang tak berapa betul, aduh... sayang sungguh!!

Wan tak pasti siapa yang harus dipersalahkan atau dipertanggungjawabkan. Andai ada interaksi antara penulis dan pihak editor, pastinya kesilapan sebegini boleh di atasi. Andai juga pihak penulis menyemak dengan lebih teliti sebelum diserahkan kepada pihak penerbit untuk diterbitkan, atau andai juga pihak editor melakukan kerja-kerja mereka mengedit karya penulis dengan lebih 'tajam' pastinya perkara remeh sebegini tidak akan berlaku. Itulah pentingnya interaksi antara penulis-editor sebelum sesuatu karya itu melalui fasa terakhir iaitu diterbitkan. Andai cuma satu-dua kesilapan masih boleh dimaafkan kerana untuk mencapai kesempurnaan 100% memanglah AMAT PAYAH walaupun tidak mustahilkan?

Okeylah, kita tutup buku Aisya Sofea kita buka buku baru...

9 Nyawa, karya terbaru Ramlee Awang Murshid yang telah selamat wan khatam. Ya buku ini wan dapatkan di Pesta Buku Alaf bersama tanda tangan penulisnya lagi. Alhamdulillah 9 Nyawa berjaya mengubat hati yang kecewa dengan buku Aisya Sofea. Alhamdulillah buku ini tidak banyak kesilapan yang wan jumpa atau sebab wan terlalu larut dalam pembacaan? tidak juga kerana wan harus baca bait demi bait ayatkan? Tahniah pada penulis & editornya.

9 Nyawa kisah simbolik tentang mitos si kucing yang mempunyai 9 Nyawa. Azizah usahawan berjaya begitu percaya bahawa anaknya mempunyai 9 nyawa selepas insiden Intan Suryani yang berkali-kali koma. Kisah tentang si buta yang dapat 'melihat' roh yang di ambang hidup dan mati. Si buta yang dapat mendengar keluh-kesah roh yang dalam perjalanan ke alam barzakh. Nak tahu kisah selanjutnya anda kenalah baca sendiri... hehehe

Wan memang penggemar karya-karya RAM. Mungkin bagi yang tidak menyukai genre thriller anda pasti tidak suka dengan karya RAM kerana RAM sememangnya sinonim dengan karya-karya yang melangkaui dunia realiti. RAM memang terkenal dengan karya-karya yang penuh dengan dunia mistik yang tidak terjangkau dek akal logik kita. Tapi pada wan itulah keistimewaan RAM.

Seterusnya ini buku yang selamat wan baca. Karya daripada penulis baru(?). Minta maaf wan memang agak 'memilih' bila nak membeli novel-novel daripada penulis yang tidak pernah wan baca sebelum ini. Kalau dulu wan main beli aje, lepas tu mula la kecewa kalau ianya tidak menepati piawaian yang telah wan gariskan.

Cinta Sejati karya Azra Aryriesa ini diterbitkan oleh Buku Prima, iaitu anak syarikat Alaf 21. Buku ini dicadangkan oleh adik wan daripada GK. Memikirkan harganya selepas ditolak diskaun sebanyak 30%, agak tidak terasa andai ianya mengecewakan. Itulah pertimbangan yang wan buat ketika mengambil keputusan membelinya.

Cinta Sejati kisah tentang 2 pasangan yang dipertemukan jodoh olehNya dengan cara yang tidak terjangkakan. Pasangan Zarif-Zara dijodohkan oleh kedua orang tua mereka sedangkan hubungan mereka tidak lebih daripada sahabat karib. Tapi disebabkan tidak ingin menghampakan harapan kedua ibubapa, mereka rela berkahwin tapi di malam pernikahan, mereka meletakkan syarat. Apakah syaratnya?

Pasangan Yashmaan-Mia, kisah mereka agak tragis. Yashmaan seorang lelaki yang ego dan gemar berfoya-foya. Dia sudah punyai teman wanita yang tidak kurang sosial dan lepas laku. Dalam diam Yashmaan diminati oleh Mia. Satu insiden yang berlaku telah merubah seluruh hidup Mia. Yashmaan yang tidak mahu bertanggungjawab terus meletakkan kesalahan 100% di bahu Mia sedangkan Mia melakukannya demi menyelamatkan nyawa Yashmaan. Namun Adam sahabat baik Yashmaan yang dalam diam menyukai si gadis polos itu sudi mengangkat maruah wanita itu daripada terus diperkotak katikkan oleh Yashmaan.

Benarlah, what goes around, comes around. Begitu juga Yashmaan, jika sebelum ini dia tarafkan penyelamat nyawanya sebagai pelacur, rupanya wanita yang dipuja sepenuh jiwa lebih teruk daripada pelacur! Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata merana seumur hidup. Tiada apa lagi yang dapat Yashmaan lakukan kerana Mia telahpun berkahwin dengan Adam sedangkan anak yang dikandung adalah anaknya... bagaimana dia dapat memperbaiki kesilapannya andai peluangnya telah tertutup?

Usai membaca... hey oklah buku ni. Walaupun ada juga satu-dua perkara andai diperhalusi oleh penulis pastinya karya ini akan lebih 'cantik'.

Seterusnya, buku ini dicadangkan oleh nacha. Wan sudah tahu kalau nacha yang rekomen pastinya terselit unsur-unsur romantika-de-amour hahaha. Makna Cinta karya Maria Alina ini diterbitkan oleh Alaf21. Ini adalah karya pertama oleh penulis yang berasal dari Kelantan ini yang wan baca.

Kisah berkisar tentang perjalanan hidup Zulaikha yang sentiasa dirundung malang. Ibunya meninggal ketika beliau masih kecil. Dibela dan dibesarkan oleh nenek yang sudah tua. Harus bergantung hidup dengan kudrat sendiri. Ada bapa, tapi bagaikan tidak diakui anaknya. Apatah lagi kelahirannya diragui. Tohmahan demi tohmahan, dilemparkan pada si ibu yang telah tiada, terpalit sama pada si anak.

Hanya satu cara untuk membersihkan nama ibu & membuktikan kesuciannyanya, dengan mengahwini salah seorang anak Haji Imran yang dihebohkan sebagai penyebab pada kelahiran Zulaikha. Siapakah yang akan dijodohkan dengan Zulaikha? Azril si abang yang senantiasa mengambil berat dan memberi dorongan atau Yusuf si adik yang sedari kecil memusuhi Zulaikha?... jeng jeng jeng... nak tahu kesudahan?? bacalah sendiri... hahaha Tapi yang pastinya ianya adalah satu naskhah yang 'manis' untuk dibaca.

Membaca karya Maria Alina ini, membawa ingatan wan kembali ke tanah kelahiran. Secara jujurnya wan sendiri baru pertama kali mendengar nama Rong Chenok, malunya mengaku diri anak kelantan sedangkan nama-nama kampung yang terdapat di Kelantan sendiri wan tidak tahu!

Seterusnya, ini buku yang telah usai wan baca, Memori karya Naz Areesya Ameen. Buku terbitan Buku Prima ini juga merupakan percubaan pertama wan membaca karya penulis 'baru' bagi wan.

Jangan terkeliru ya, penulis ini bukanlah penulis baru dalam dunia penulisan. Bahkan beliau telah berjaya menghasilkan beberapa buah novel baik dengan Buku Prima mahupun dengan Fajar Pakeer. Bagi sesiapa yang tidak tahu, dan wan sendiri baru tahu... Naz Areesya Ameen ini menggunakan nama pena Umaira Dzul Widad dengan Fajar Pakeer.

Apa yang menariknya, wan sukakan bahasa penulis ini. Ya, bahasa adalah antara faktor utama yang wan cari bila membaca novel. Wan gemarkan bahasa yang puitis nan kritis, bahasa indah dihalwa telinga, manis ketika diucap bibir... aduh! terbuai jiwa raga... hahahaha

Memori membawa kita menyusuri hidup Suhairah. Hidupnya penuh ranjau. Dikecewakan oleh Armaan, tapi berjaya dirawat oleh Zainuddin. Pelayaran rumahtangga mereka aman bahagia walaupun jika diukur mereka tidak sekufu. Dia wanita berkerjaya hebat, berpendidikan tinggi sedangkan Zainuddin hanyalah biasa-biasa yang bekerja sebagai mat despatch. Tapi cinta itu buta, pada Suhairah, Zain tetap istimewa dimata dan hatinya.

Hinggalah timbul fitnah yang ditiupkan ke telinga Zainuddin oleh ibunya yang sememangnya tidak sukakan Suhairah. Hidup mereka mula berantakan, apatah lagi Zain yang terpengaruh dengan tohmahan ibunya nekad mengahwini Husna sepupunya. Hidup harus diteruskan, walaupun payah.

Sukarnya nak bahagia! itulah yang wan rasa pada nasib Suhairah. Dengan olah Armaan yang masih menagih cinta Suhairah sedikit sebanyak telah mempengaruhi Zain (walaupun bukan Armaan penyebabnya) dan akhirnya terlerai kasih antara Suhairah dan Zain tatkala jatuh talak satu ke atas Suhairah. Peritnya hidup Suhairah sebagai janda. Haidar, ketua Suhairah yang menaruh hati padanya mula terbayangkan masa depan yang gemilang dengan Suhairah, tapi kasih Suhairah tetap pada Zain bekas suaminya. Ketika cinta datang menyapa, Ustaz Sohi pula hantar rombongan. Aduh, kecundang lagi Haidar...

Nak tahu kesudahannya, bacalah sendiri... hahahaha mesti tension kamukan... asyik-asyik wan suruh baca sendiri!! hehehe Tapi pada wan berbaloilah mengadapnya.

Dan sekarang wan sedang menguliti buku ini. Titian Nabi karya terjemahan daripada penulis seberang - Indonesia - Muhammad Masykur A. R. Said. Masih baru dibelek jadi wan masih belum dapat memberikan pendapat, baikkah atau sebaliknya. Tapi wan berani baca sebab diberikan 'lampu hijau' oleh orang yang bertanggungjawab menterjemahkan naskhah ini ke versi Bahasa Melayu. Harap-harap tidak mengecewakan wan... tunggu wan habis baca dulu ya!

Wah, panjangnya n3 wan kali ini! Macam balas dendam la pula... hahahaha. Oklah wan minta izin undur diri dulu, Insyallah n3 lain akan menyusul nanti jika wan rajin menulis... & tengoklah kalau ada kerajinan juga wan akan buat review, kalau tak ada kat rumah sembang buku tu, maknanya wan ni MALAS lah ya... alaaa bukannya ada orang bacapun kat sana! ada atau tidak sama sahaja lagipun kalau wan yang buat review pastinya semuanya best-best ajekan?? hehehe


0

Jumpa orang jauh...

Salam semua

Hari ini Selangor cuti sempena sambutan hari keputeraan Sultan Selangor. Hari ini juga wan dan ahli rombongan mak tok ke Brunei sempena Pesta Buku Brunei yang berlangsung awal tahun hari itu, makan tengah hari bersama Ryn & keluarga di Manhattan Fish & Market KLCC. Ryn yang dalam rangka lawatan cuti-cuti di Malaysia sudah berada di Malaysia beberapa hari yang lalu. Tapi mereka langsung ke Utara tanah air sebelum kembali ke KL.

Oleh kerana Selangor cuti sedangkan KL dan Wilayah merupakan hari bekerja, jadi wan malas nak bawa kereta dan menyumbangkan lagi kadar kesesakan di ibukota. Jadi wan ambil keputusan ke KL dengan menaiki komuter dari Subang, transit di KL Sentral sebelum menaiki LRT ke KLCC. Pada awalnya wan nak ikut sahaja sirman yang nak ke pejabat, tapi disebabkan oleh masalah teknikal... hehehehe jadi terpaksalah naik public transport.

Janji dengan kaksu & kakyah akan jumpa di MFM pada jam 11 pagi. Kami - wan & aysha - keluar dari rumah jam 10 pagi. Kami tiba di KL Sentral lebih kurang jam 11 pagi tapi oleh kerana kami keluar rumah dengan perut yang tak berapa nak penuh, jadi kami singgah breakfast kat Mc Donald di KL Sentral dahulu.

Ketika sedang menjamu selera, wan mendapat kiriman sms daripada PA Ryn *jeling2 kat JiD* hehehehe menanyakan berapa ramai ahli kami... oh rupanya JiD nak buat tempahan tempat. Selesai bersms dengan JiD, menghabiskan sisa makanan, kami langsung ke KLCC menaiki LRT.

Wan tiba di KLCC lebh kurang jam 11.30 pagi. Terus sahaja wan cari MFM walaupun reservation yang telah JiD buat adalah untuk jam 12.30 tengah hari. Memandangkan hari ini adalah hari Jumaat dan cuti umum bagi Selangor, jadi kadar pengunjung ke KLCC dijangka agak ramai jadi wan ambil keputusan tunggu sahaja mereka di situ. Oleh kerana tempat kami masih lagi belum disusunatur, jadi wan tunggu sahaja. Lagipun malas nak jalan-jalan nanti ada aje benda yang nak dibeli.

Lebih kurang jam 12.30 wan sudah nampak kelibat tuan haji (suami Ryn) bersama Humaydi anak teruna Ryn. Tapi ingat-ingat lupa akan raut wajahnya jadi wan hanya diamkan sahaja. Lagipun rasanya tuan haji lebih tinggi orangnya, tapi kami - wan, kaknOOr & kaknOtie (yang tiba terlebih dahulu) - tidak ambil kira bahawa Humaydi mungkin sudah semakin tinggi daripada hari terakhir kami melihatnya!! hahahaha

Ahli rombongan yang lain mulai tiba sorang demi seorang, begitu juga dengan orang jauh yang akan kami jumpa. Alangkah seronoknya kalau kakmOn juga ada sama. Pasti suasana akan bertambah meriah!. Sebagaimana biasa bila dah berjumpa, pelbagai cerita lah yang disembangkan... tapi kasihan kakyah yang terpaksa 'tawaf' KLCC beberapa kali mencari parking kosong tapi agak malang, harus tempuh kesesakkan yang agak teruk. Akhirnya dapat juga parking di bangunan getah yang letaknya berhadapan dengan Suria KLCC.

Menikmati hidangan makan tengah hari di MFM sambil bersembang, amat melekakan kami, hinggalah waktu berganjak ke jam 2.30 petang. Kami terpaksa minta diri walaupun dengan hati yang berat! Jadi kami berpisah di depan Restoran MFM dengan harapan dan impian moga suatu hari nanti kami pasti akan berkumpul lagi!!

Kemudian kami - kaksu, kakyah, kaknOOr, kaknOtie, nacha, nawwir & wan serta aysha - hala ke surau. Sementara anak-anak kakyah, Ali & Aisyah serta Aiffa anak saudara kaksu ke ?? mana ek?? lupa la... (tapi dengarnya tiket sold out!!)

Selesai di KLCC, kaknOtie minta diri. Wan, kaknOOr & nacha hala ke Masjid Jamek sedangkan kaksu, kakyah dan nawwir dengarnya nak ke Kino. Ketika menunggu LRT ke Masjid Jamek terserempak dengan JiD, Ryn & Humayra (anak gadis Ryn) yang juga ingin kembali ke Hotel penginapannya di Noble Hotel. Kami jalan beriringan hinggalah ke hotel penginapan Ryn.

Kemudian, kami - wan, kaknOOr & nacha serta Aysha - singgah di Minerva kerana ada buku yang ingin kaknOOr beli. Selesai urusan di kedai buku, kami ke Sogo... lepak sekejap sambil menghilangkan dahaga. Hahahaha sambung lagi berborak. Ketika jam sudah menunjukkan ke pukul 5.45 wan harus minta diri kerana wan akan pulang bersama sirman & wan harus ambil sekali lagi LRT yang menuju ke Titiwangsa dan berjalan kaki ke pejabatnya di Jalan Pahang.

Wan dan Aysha tiba di sana ketika sirman sedang minum bersama budak-budak pejabatnya di Restoran Haslam. Menunggu kami yang seharian ini berjalan-berjalan & berjalan.

Begitulah akhirnya sehari hari ini... bertemu dan menikmati hidangan tengah hari bersama orang jauh, terasa betapa nikmatnya melebihi daripada hari-hari biasa....


Sukarnya...

Sukarnya nak jadi anak...
adakah kita telah membahagiakan hati kedua orang tua tersayang,
adakah kita telah menyenangkan hidup mereka yang tercinta
adakah kita telah memberikan limpahan kasih sayang sebanyak kasih sayang yang mereka curahkan pada kita anak-anaknya??

Sulitnya nak jadi ibu...
adakah kita telah menunjukkan teladan yang sempurna pada anak-anak?
cukupkah ilmu di dada untuk kita membimbing mereka ke jalan yang lurus?
cukupkah kasih sayang yang telah kita curahkan pada si anak-anak?
bagaikan seluruh rasa cinta yang ada ingin kita hadiahkan pada mereka... tapi cukupkan??

Sukarnya nak jadi sahabat...
yang dapat menjadi bahu, menumpang teduh
yang dapat menjadi telinga, mendengar segala keluh kesah
yang dapat menjadi tangan, membimbing di kala tersasar arah...

Sukarnya nak jadi insan...
yang menyenangkan hati-hati yang gundah
yang membahagiakan hari-hari yang suram
yang menggembirakan jiwa-jiwa yang lara
aah... sukarnya menjadi insan yang menyenangkan dan disenangi...

sesungguhnya setiap percaturan kita hari ini adalah untuk kebahagiaan hari depan...
benarkah??
benarlah!!

0

Tahniah...

TAHNIAH Chik Rose!! Boleh la belanja kak La lepas ni... kita makan 'besar' ya!!

0

Rangkuman Peristiwa 2 Hari Dalam Hidupku...

Salam semua,

Wah! tajuk, bukan main ya wan ni.

Inilah padahnya bila tak rajin nak update cerita hari-hari. Alaah tak kisahlah lagipun bukannya ada orang baca blog wan ni. Ye dak?? hehehe

Ok peristiwa bermula pada hari sabtu, 5 Disember yang baru lalu. Habis waktu kerja separuh hari wan terus bergegas ke Shah Alam. Pesta Buku Alaf21 yang telah berlangsung sejak jumaat lagi sudah menggamit rasa. Ingatkan wan boleh cabut awal dari pejabat memandangkan... 1-bos tak masuk (ada hal kat luar) dan 2-AirCond kat office buat hal (leakage) hahaha nama aje aircond company, rupa-rupanya bila nak rosak dia rosak jugak!! jadi alasan panas boleh balik awal. TAPI... hhmmm malas la nak cerita! orang lain masuk lambat (lebih kurang jam 11.30 pagi) lepas tu suruh pula wan bantu dia buat kerja! geramnya!!! Bukanlah wan berkira, tapi kalau rasa nak minta tolong datang la awal-awal!.

Ok berbalik pada cerita Pesta Buku Alaf. Wan sampai di sana lebih kurang jam 1.30 tengah hari. Nasib baik dari jauh wan sudah nampak kelibat Iejay. Thanks dear! sebab sanggup tunggu kakwan. Lepas tu nampak kucc, nampak rinn dan nampak kaknOOr yang sedang berborak dengan Muzri (penulisan2u) alamak! segan la... wan ni kan pemalu!! Terus aje wan cari buku yang wan dah senarai pendekkan. Tak mahu intai-intai yang lain dah, takut terlebih budget! Sebab bulan 12 ni ada lagi buku yang wan nak beli, 1-buku kaksu ~ Jaja & Din, 2-buku NB & 3-buku che din (Bahruddin Bekri), jadi wan harus berhemah dalam membeli buku.

Wan nampak Sil (gengkicap) tapi dalam kelam-kabut tak sempat nak peluk-peluk dia!! ralatnya!!.

Lepas cari buku yang nak, kemudian bayar dan akhirnya jumpa Aisya Sofea yang sedang tersenyum manis menantikan kehadiran pembaca yang membeli karya terbaharunya Yang Sebenarnya (termasuklah wan walaupun buku itu bukan wan punya sebab wan dah beli buku dia dan dah khatampun!... hahaha). Jumpa kak Aisya dia dah senyum-senyum. Wah! rupa-rupanya dia ingat kat wan lah!! hehehe terharunya. Hulur buku Yang Sebenarnya, & dia turunkan tanda tangannya. (WanZ sorry ya buku awak jadi mangsa, nasib baik kita punya surname yang sama!! thanks ya saya guna buku awak!)

Kemudian wan hulur pula buku 9 nyawa pada Ramlee Awang Murshid (RAM) yang duduknya bersebelahan dengan kak Aisya. Wan memang teruja nak jumpa RAM sebab wan memang penggemar buku RAM, walaupun pada hemat wan bahasa dia agak straight tapi wan sukakan cara dia create cerita dan tunggang-terbalikkan cerita yang buat kita tak akan dapat agak apa kesudahannya walaupun ada kalanya wan akan curi-curi baca part belakangnya sebab tak tahan sabar nak tahu endingnya. Kesudahannya wan sendiri yang jadi pening. JADI pengajarannya baca aje ikut turutan... hahahaha.

Kemudian join kaknOOr bersembang dengan Aleeya Aneesa, dengan Bikash, dengan Wana Amani. Huhuhu segan ada, malu pun ya juga, rupa-rupanya ada juga orang yang kenal Wan Amalyn, kenal yang macam mana tuh wallahualam la... harap-harapnya kenal yang baik-baik la ya... ahaks!! terasa bagaikan wan ni punyai banyak 'rupa' pula. Selesai sembang kami bergambar beramai-ramai sebagai kenangan.

Kemudian kami terus ke Jusco Bukit Raja untuk menjamu selera. Bila dah namanya Ulatbuku, tak cukup dengan lambakan buku di Pesta Buku Alaf kami sempat singgah pula di Popular Bookstore. Wan dah pujuk hati wan, jangan la ada buku lain yang wan berkenan... jangan la... jangan la... tapi dalam dok lihat-lihat, pandang-pandang tu ada la satu buku yang wan dah ter'berkenan' tapi memikirkan poket yang tak berapa nak 'gumuk' di hujung-hujung tahun ni, terpaksalah wan lupakan dulu! (dalam hati - menangis sekejap - wan nak buku tu...!!)

Keluar dari Popular masuk pula MPH... hahahaha teruk sungguh!

Balik rumah, terus balut buku sebab dah jadi habit wan sebelum baca harus balut dulu. Dan bermulalah acara golek-golek dengan buku dan kali ini pilihan wan adalah 9 Nyawa karya RAM. Hinggakan urusan 'berkebun & memasak' wan amanahkan pada sirman minta dia buatkan untuk wan... ahaks. Dan alhamdulillah dia berbaik hati nak buatkan untuk wan... thanks dear, l.u.v.e. U lah! hehehe

Dalam leka dok menelaah buku RAM teringat bahawa wan harus buat kad untuk saudara-sepusat-sepusing, bapa lain-lain mak asing-asing nun jauh di Brunei yang dalam perjalanan ke Penang. Yup si tikus kelabu dalam acara cuti-cuti di Malaysia... tak sabar nak jumpa dia!!!

Terus ajak sirman ke One Utama, sebab ada benda lagi yang wan nak cari. Lebih kurang jam 8.00 malam kami ke OU. Sementara wan ke kedai craft yang selalu wan pergi, sirman ke JUsco nak cari 'box'. Hahaha satu lagi kegilaan kami adalah kumpul bekas (box) plastik. Bekas ni sebenarnya adalah untuk kami isi segala benda, kalau wan, untuk isi alatan craft wan, dan sirman pula isi barang-barang camera dia.

Di kedai craft, wan hanya beli cutting paper (untuk potong kertas dan buatkan tanda lipatan agar lipatan kad jadi cantik). Cari stamp tak ada pula yang berkenan, cari pula yang clear stamp (digunakan dengan Acrylic block) pun tak ada juga... frustnya!! sudahnya wan hanya beli pattern paper untuk buat kad. Tengah dok bayar sirman dah calling-calling kat Jusco... wan lupa nak beri J-Card wan kat dia. Jadi usai urusan di Art Craft Shop wan terus ke Jusco. Sirman dah siap tunggu dengan 2 box. Selesai di bahagian tu.

Turun ke tingkat bawah, My Aysha sudah berkenan pada playhouse. Turun escalator terus nampak mainan Princess apa lagi melekat la Aysha kat situ. Sirman dah main mata dengan wan... hahaha wan OK jer sebab dia yang akan bayar. Akhirnya beli satu Playhouse untuk Aysha as her birthday present. Wah! bukan main suka Aysha. Lepas tu siap pesan, jangan beli apa-apa lagi dah nanti habis duit. Amboi anak, pandai pula dia ingatkan kita. Kami makan malam kat Kenny Rogers. Selalunya kami beri pilihan pada Aysha untuk pilih, tapi malam ni dia kata "nak share dengan mummy sebab eisya dah kenyang!" hahahaha bukannya kenyang apa, tapi dia kenyang sebab hatinya sedang berbunga-bunga dapat apa yang dia nak!

Hari Ahad (semalam), sirman ada program kat Klang. Kerja wan mengekor aje! Sirman sepatutnya ada pre-wedding shoot kat Tanjung Harapan. Tapi date dia jam 4.00 petang, jadi dia ajak wan keluar awal, boleh singgah kat Jusco Bukit Raja (sekali lagi?) hehehe wan apa lagi, ok ajelah!!

Tengah hari lepas waktu zohor kami keluar dari rumah menuju ke Bukit Raja, Klang. Sampai sana cari makan dulu, bila perut kenyang barulah syok nak jalan-jalan kan? Usai makan kat foodcourt (sebab wan nak makan nasi) sirman kata nak singgah Popular (yang letaknya berhadapan dengan foodcourt). Dia nak tengok magazine favourite dia dah keluar atau belum. Wan apa lagi... berbunga-bungalah hati! Ni ada chance nak beli buku yang wan lihat semalam nih! hehehehe. Bila sirman datang dekat wan nampak ada magazine kat tangan dia terus aje wan hulurkan buku yang wan nak tuh... hehehe selamat duit wan!! si Aysha pula dan berkenan pada puppet, tengok hargapun reasonable wan pun OK kan aje (sebab bukan wan yang bayar!).

Keluar dari Pupular masuk pula Jusco. Jumpa lagi dengan box (lain pattern) tengok harga ok je rasa, terus beli... hahahaha termasuk box tu wan dah ada 3 kotak plastik!

Selesai kat Jusco, sementara menunggu jam 4 petang kami jalan-jalan sekitar situ, wan dah berkenan kat 1 baju di East India. Cantik. Dalam nak berjimat, wan beli juga baju tu... sebab takut teringat-ingat lepas ni. Hish teruk sungguh!

Kemudian kami akan terus ke Tanjung Harapan. Pada awalnya kami dah cuak sebab ketika nak keluar dari Jusco hujan turun dengan lebatnya. Kalau hujan macam mana nak buat photo session?? tunggu hujan teduh.

Sampai di Tanjung Harapan jam dah pukul 4.30 petang. Wah! sini memang tempat couple-couple berdating rupa-rupanya. Si Aysha pula dah tertidur, jadi wan tunggu dalam kereta sementara sirman pergi cari pelanggan dia. Sementara tunggu Aysha bangun wan layan la 9 Nyawa. Ralit.

Bila Aysha sedar, kunci kereta, cari sirman yang sedang minum-minum dengan... alamak siapa ya namanya... hahaha sungguh kurang sopan! Sebenarnya pelanggan sirman ni adalah sepupunya sendiri, iaitu anak Pak Uda Ayin adik abahnya. Nampak sangat wan tak pernah jumpa dia! Yelah sirman dengan sepupu-sepupunya bukan macam wan dengan sepupu-sepupu wan yang rapat. Kadang-kala tu wan langsung tak kenal siapa sepupu-sepupunya kecuali anak Pak Itam yang kat Shah Alam tu. Rupanya mereka tak jadi shoot sebab cuaca terlalu panas, so kena reshedule balik ke minggu depan dan lokasinya dah bertukar ke Bukit Cerakah.

Selepas mereka balik, kami sambung lepak sambil tunggu sunset. Hahaha macam ala-ala romantika-de-amour la pula... Dinner, kami makan kat satu gerai yang ada kat situ, gerai yang paling hujung, lupa pula apa namanya. Alhamdulillah kenyang perut!

Sesiapa yang tak pernah sampai sini, jangan risau surau disediakan kalau nak tunggu sunset dan bersambung dengan dinner ala-ala tepi laut sambil ditemani oleh desiran ombak yang menghempas ke pantai, melihat cantiknya Cruise yang lalu menuju ke destinasi yang entah ke mana.

Kami sampai di USJ jam sudah menunjukkan ke angka 10 malam.

0

Al-kisahnya...

Salam semua,

Kalau ada Hari Malas Sedunia, nak aje wan isytiharkan hari ini adalah harinya. Ops! sebenarnya bukan hari ini sahaja, tapi sejak dua-tiga hari kebelakangan ini. Entah kenapa malas sungguh rasanya. Nak buat apa-apapun malas.

Kalau nak dikisahkan, ada juga la cerita yang nak dikongsi, tapi itulah, malas! Malas nak tulis. Hatta nak surf pun rasa malas. Susah juga ya bila dah malas nih. Cuma satu kegilaan baru wan sekarang, wan kemaruk dok baca novel-novel lama. Bukan tak ada stok novel, berlambak-lambak yang beli tak sentuhpun ada, tapi dok cari juga novel-novel lama... yang rasa tak puas nak baca lagi... dan lagi... dan lagi...

Kisah raya aidil adha, tak adalah menarik manapun. Kecuali, selepas ding-dong-ding-dong akhirnya bos sign juga leave form wan... hehehe wan tau! bos wan mesti tak sampai hatinya... kalau tak mahunya banjir kat office nih! dah la sekarang ni dah masuk musim bah di Pantai Timur terutamanya kampung kelahiran wan nuh. Nasib baiklah rumah keluarga wan, insyallah... tak pernah lagi dilanda musibah itu. Setakat air bertakung ketika hujan lebat, dan akan surut tatkala hujan berhenti.

Wan sampai pagi raya, lebih kurang jam 7 pagi. Oleh kerana wan 'cuti' jadi hanya sirman yang ke surau menunaikan sembahyang sunat Aidil Adha. Dan memandangkan hari raya jatuh pada hari jumaat, jadi semuanya harus dipercepatkan. Jika sebelum ini solat sunat dilakukan lebih kurang jam 8.30 pagi jadi diawalkan setengah jam untuk memberi peluang kepada upacara sembelihan korban.

Tahun ni kami adik beradik - wan, Lili, Lida, Rose, Nini, Ghafar & Mek/Abah - berpakat sembelih seekor lembu. Senang sikit kerja, sebab tak perlu dibahagikan pada 7 bahagian. Cukup sekadar dibahagikan pada 3 bahagian. 1 bahagian untuk disedekahkan, 1 bahagian untuk dijamukan dan sebahagian lagi untuk kami. Tapi bahagian wan, wan ambil sikit aje, selebihnya terpulanglah pada budi bicara mek & abah. Lagipun wan bukannya rajin sangat masak kat rumah.

Alhamdulillah cuaca berbaik hati meminjamkan sinarnya. Memberi peluang pada kerja-kerja penyembelihan korban. Risau juga, maklumlah sekarang ni masih lagi di musim bah. Lecehnya nak buat kerja bila basah-basah ni.

Usai solat, rasanya di kawasan sekitar rumah wan rumah kami adalah rumah pertama yang melakukan upacara korban. Pok Su Li (jiran merangkap saudara) yang menjalankan upacara sembelih. Dia hanya sembelih sahaja, kemudian dia tinggal dan pergi ke tempat lain pula. Jadi urusan lapah-melapah adalah kerja kami anak beranak (anak menantu lelaki la). Kesian sirman langsung tak sempat nak lelapkan mata walau sebentar cuma. Kerja menanti tak kenal orang penat ke tak... selesai urusan, masa sudah berganjak ke waktu zohor. Mereka berhenti untuk solat jumaat, kerja di ambil alih oleh kami kaum wanita. Urusan masak memasak sementara mereka ke masjid. Dan satu hari ni menu untuk makan adalah, daging... daging... daging... dan daging sampai ke malam. Dan satu rumah bau hamis daging... sampai pening kepala wan!!

Malam - sirman dan shukri (husband lili) ke rumah suyoh memenuhi jemputan. Ayin (anak suyoh sepupu wan) buat akikah anaknya. Wan, tak pergi dengan alasan penat. Padahal nak tengok Nur Kasih episod akhir. Mana boleh lepaskan peluang nanti hati tak tenang sampai ke sudah. Wan ni pelik sikit... bila tak puashati... lamanya nak baik balik! hati akan asyik terkenang-kenang... dan mula la rasa sakit hati, tapi tak tahu sakit hati pada siapa! teruk sungguh perangai!

Sabtu, raya kedua. Pagi, surf internet. Bukan surf apapun... sibuk dok 'menuai & memasak'. Isk.. ni lagi satu benda alah yang tak pakai (tak guna) yang wan kerjakan. Usai 'bercucuk tanam & memasak' wan baring-baring sambil layan Episod Cinta Di Tanah Hijrah. Best!

Tengah hari masuk dapur untuk kenduri tahlil malamnya. Menu? Sup tulang, daging goreng, acar timun & kerabu perut. Semuanya daripada DAGING! hehehe.

Memandangkan musim raya ni banyak la jemputan daripada jiran tetangga, jadi mek sudah agak cuak, mesti jemputan tak ramai yang akan menghadirkan diri memandangkan malam tu aje ada lagi rumah/jiran yang buat majlis sembahyang hajat. Tapi mek kata, tak apalah! kalau tak ramai, kita buat anak-beranak! Tapi yang ajaibnya, jemputan yang datang melebihi apa yang diramalkan. Syukur alhamdulillah sampai mek kena masak nasi tambah... agaknya arwah memang seorang yang murah rezeki!

Ahad, pagi, mek masak untuk sarapan, sementara kami - wan, lili, lida, rose, nini & abah - temankan mek masak sambil borak-borak. Hahaha bukannya kami yang masak dan mek & abah tunggu nak makan!! Bila dah berkumpul macam-macam cerita la yang disembangkan... memang seronok kerana tak selalu dapat berkumpul macam tu dan 'mengumpat' fasal abang ipar yang memang susah nak hadirkan diri dalam mana-mana majlis yang kami buat. Kesian juga pada Lina, tapi itulah....

Tengah hari lepas zohor wan bertolak balik ke KL. Aysha pula yang buat hal, cirit-birit. Sudahnya sekejap-sekejap kena berhenti cari tandas. Haru sungguh. Dah la jalan jam! Kami tiba di USJ ketika jam dah menunjukkan ke angka 2 pagi.

Itulah al-kisahnya sambutan raya aidil adha wan kali ini. Yelah dah la tahun lepas wan beraya di Seoul, Korea. Sebab itulah wan nak balik sangat beraya di kampung tahun ni!

5

Dirgahayu buatmu anakku....

Hari ini tanggal dua puluh dua november tujuh tahun yang lalu,
lahirmu ke dunia ini membawa sejuta rahmat buat bonda.
kamulah anugerah terindah dariNya buat bonda
kamulah permata kebahagiaan bonda

Hanya doa dan harapan yang dapat bonda pohonkan pada yang Esa
agar dirimu sejahtera sentiasa
agar dirimu senantiasa dipayungi oleh rahmat-Nya
agar dirimu senantiasa dalam peliharaan yang Esa
agar dirimu tumbuh menjadi anak yang berguna, berilmu dan beramal soleh
agar dirimu menjadi anak kebanggaan ayah dan bonda...

Dirgahayu buatmu anakku sempena hari kelahiranmu yang ke-7 ini
Sesungguhnya kamulah 'nyawa' bonda...

* * * *

Juga ucapan Selamat Menyambut Hari Kelahiran yang ke... buat sahabatku yang dicintai WABBIT yang berkongsi tarikh yang sama... Moga kebahagiaan senantiasa melingkari hidupmu... dan hanya satu yang daku inginkan... boleh kita kawan sampai bila-bila...??

* * * *

Cerita My Aysha

Dari awal pagi dia sudah merungut... hari ini hari jadinya,
"Mummy tak wish kat Eisya pun!"
Dan kedengaranlah suara sumbang si ibu melagukan "Happy Birthday to you... happy birthday to you... happy birthday to Aysha... Happy birthday to you" Dan terserlahlah senyuman meleret di bibir si kecil tanda bahagia usai nyanyian sumbang si ibu dendangkan.

Seketika kemudian...
"Kenapa tak ada orang wish Eisya?
"mereka tak tahu hari ini birthday eisya jadi mereka tak wish la..."
hanya itu jawaban yang dapat si ibu berikan.

Seketika kemudian...
"Mummy tak beri present pun untuk Eisya"
"...."
si ibu tiada jawaban untuk itu.

Waktu tengah hari... lokasi di PKNS Shah Alam
Sirman ada pre-wedding shoot dengan Mina di Tasik Shah Alam
Wan dan Aysha berlegar-legar di kompleks PKNS, kemudian berjangkit ke SACC Mall di seberang jalan. Kebetulan MPH buat sales di ruang legar SACC. Seperti biasa adalah buku yang akan minta dibelikan oleh Aysha. Satu buku pilihannya, 1 set pensel warna Stabilo dan sebuah lagi buku 366 QUESTIONS & ANSWERS wan belikan untuknya.

Apa yang menariknya tentang buku 366 Questions & Answers ni kerana ianya sangat informatif. What is a Volcano? Why is the sky blue? How is an igloo built? -> jawaban yang wan sendiri tak tahu... ada lagi... Why is the sea salty? What are breezes? What is the ozone layer? How is glass made? What is UFO? Why do we need to eat? When was the pizza invented? What is Phoenix? Why do nettles sting? What is the human body made of? What is the Grand Canyon? dan banyak lagi... setiap hari satu soalan/jawaban, daripada bulan Januari hingga ke bulan Disember. Dan harganya... hanya RM19.90 sebelum di less 30%! & didatangkan dalam bentuk hardcover... memang berbaloi.

"Ini hadiah hari jadi Eisya ya" tanpa dibalut cantik-cantik, wan hulurkan plastik MPH padanya. Reaksi si Aysha... senyuman sudah meleret-leret dibibirnya... tanda hatinya sedang berbunga-bunga??

Petang... di Subang Parade
"Mummy kenapa tak ada kek birthday untuk Eisya?"
"..."

Alahai anak, ketahuilah ibumu ini sedang 'kering'. Tapi balik singgah juga belikan kek di Baker's Cottage demi seorang anak tersayang. Kek coklat seberat 0.5kg telah meragut RM32.00 duit belanja ibumu sementara menunggu gaji.

"Esok eisya nak bawak gi nursery boleh tak mummy? Nanti boleh makan dengan kawan-kawan" Dan satu persatu nama rakan-rakan se-nurserynya dibilang.
"Erk... okeylah"
"tapi mana pack makanan (jajan) untuk kawan-kawan eisya?"
Dan sebelum tiba di rumah, singgah pula di Giant belikan 'jajan' untuk dibahagikan pada rakan-rakannya. Melayang lagi duit mummy... huhuhu memang sah esok mummy kena puasa eisya....!!

0

Insiden...

Salam semua,

Hari ini memang jantung wan seakan mahu gugur! Berderau, seriau, takut semua ada... bercampur gaul dalam hati.

Hari ini merupakan hari terakhir persekolahan untuk sessi 2009. Sekolah petang (agama) berulang kali my Aysha ingatkan adanya perjumpaan antara guru dan ibu bapa. Dan berulang kali juga wan beritahu padanya bahawa wan memang tak boleh hadir. Macam mana nak hadir, perjumpaan diadakan pada hari bekerja, sedangkan wan sudah tiada cuti untuk dipohon. Sirman juga tidak dapat datang. Jadi kami memang tak dapat hadir.

Entahlah... sama ada Aysha tidak faham atau terlalu mengharapkan kehadiran kami, jadi dia khabarkan pada Mak Hasnah (panggilan untuk kakak yang menjemput dan menghantar Aysha ke sekolah) bahawa Papanya akan datang. Jadi Mak Hasnah tidak la datang untuk menjemputnya seperti biasa untuk dihantar ke nursery sementara menanti wan datang mengambilnya.

Ketika wan tiba di nursery seperti biasa untuk mengambilnya, bapa Danish (kawan sekelas dan satu nursery) dengan muka cuak memberitahu bahawa Aysha belum balik dari sekolah. Bagaikan mahu gugur jantung wan. Ya Allah di mana anakku?? Jika di waktu itu (lebih kurang jam 7 malam) dia masih belum balik sedangkan waktu persekolahan petang sudah lama habis (lebih kurang jam 5 petang), jadi di mana Aysha berada??

Wan telefon sirman tanya dia di mana. Sirman masih di pejabat. Tanpa pamit juga tanpa penjelasan wan terus letakkan telefon. Dalam hati memang sudah tak terkira risaunya, kerana Aysha dok canang pada semua orang bahawa Papanya akan datang jemput dia. Ketika bapa Danish datang untuk mengambil Danish, dipelawa Aysha sama untuk pulang bersama mereka... tapi Aysha tetap bertegas mengatakan bahawa Papanya akan datang (mengikut cerita bapa Danish). Dalam hati tidak putus-putus berdoa agar my Aysha selamat.

Tanpa sempat mengambil beg+kasut+baju persalinan di nursery wan terus ke sekolahnya di USJ 9. Setiba di sana wan nampak kelibat cikgu Nazeeha... hati sudah dapat menarik nafas lega. Dia kata Aysha ada kat atas. ALHAMDULILLAH... syukur padaMu Ya Allah kerana mendengar doa wan... Alhamdulillah... Alhamdulillah...

Wan naik ke atas, kelihatan Aysha sedang bermain dalam kelas yang hanya tinggal dia seorang diri. Rupanya masih ada 2 3 orang guru yang masih belum pulang padahal ketika itu sudah hampir ke waktu maghrib. Memandang Aysha, tanpa sedar air mata wan mengalir, Aysha juga menagis sama (mesti dia takut wan marahkan dia!) Dalam hati memang nak marah tapi perasaan risau lebih mengatasi perasaan marah. Menyebabkan wan tak mampu nak marah dia. Hanya dia satu-satunya buah hati wan, hanya dia seorang sahaja!

Ketika sedang bercakap dengan cikgunya, Mak Hasnah telefon, mesti dia juga risaukan Aysha, mesti dia rasa bersalah kerana tidak datang ambil Aysha sebagaimana biasa. Setelah berbasa-basi seketika dengan cikgu-cikgunya wan pamit. Tapi harus ke nursery semula kerana perlu mengambil 'barang-barang' yang tak sempat wan ambil tadi. Dalam perjalanan ke nursery kak Maria (mak Danish) pula telefon tanya sama ada wan sudah ambil Aysha ke belum. Jika belum suaminya nak pergi ambil & bawa balik ke rumah mereka.

Aduhai Aysha.... jangan la buat mummy kena heart attack lagi!!

Dalam kereta masing-masing diam. Dia yang selalunya becok dengan pelbagai cerita tentang kawan-kawan nursery mahupun sekolah hanya menikus. Wan?... harus menata kembali perjalanan degup jantung yang hampir mahu gugur tadi. Jadi lebih baik diam tak bersuara ketika hati sedang berperang.

Aysha... Aysha....

0

Siri Pengenalan : Aku & Kenangan

Episod : NAMA

Nota kecil: Dalam siri (kalau boleh dipanggil siri!?) kata ganti nama 'aku' akan digunakan merujuk pada penulis agar kisah ini terasa lebih dramatik? hehehe apa-apalah 'aku' nih

* * * * *

Nama aku... hhmmm... nak kena cakap ke? atau biar saja aku tinggalkan persoalan nama ini menghantui kamu? Tapi aku pasti ada antara kamu yang sudah tahu nama aku... jadi sesiapa yang dah tahu diam-diam yer.... mana tahu nanti aku boleh buat soalan kuiz?? hahaha

Ok, perhatian semua ya... aku nak sambung cerita nih, siri Aku & Kenangan – Episod 1 : Nama. Memandangkan abah aku namanya mula dengan ‘WAN’, jadi secara teknikalnya nama aku juga bermula dengan WAN, kalau orang cina, kira surname la.

Bagaimana aku boleh dapat nama itu? Maksud aku nama penuh yang tertera dalam my kad. Abah aku la siapa lagi! Dia kalau boleh semua anak-anak dia, dia nak namakan dengan nama yang seakan sama, kecuali nama belakang. Kalau kakak sulung aku (arwah) namanya Wan Roseliza. Sepatutnya di eja Rosliza tapi biasalah polis zaman dulu-dulu ikut sesedap mereka sahaja tulis!. Eh! jangan terkejut kalau kamu jumpa orang dulu-dulu dengan nama yang agak pelik dan unik, yang aku pasti kamu tak akan namakan untuk anak-anak kamu di zaman serba canggih sekarang ni. Tak caya cuba kamu perhatikan nama anak-anak yang lahir di era millenium ni... semuanya nama ‘canggih-canggih’ kan?.

Ops melalut pula aku nih. Ok kita sambung. Kakak nombor dua aku namanya Wan Roslina, kemudian aku lahir sebagai anak ketiga diikuti dengan adik bawah aku Wan Roslili. Kemudian Wan Roslida, lepas tu Wan Rosliha dan puteri bongsu Wan Roslini. Wah! ramainya, mesti itu yang kamu fikirkan... kan??. Ya kami 7 beradik perempuan ala-ala Jula-Juli bintang 7 la... 7 puteri dari istana kayangan yang dihantar ke bumi sebagai manusia biasa... hahahaha... aku ni kalau bab melalut memang wahid.

Ok, pertama sekali, kamu perasan tak bagaimana nama kami bermula. Abaikan nama wan yang ada kat depan tu. Dapat kamu cari kesamaannya? Hah! tak dapat? Alaa... cuba tengok betul-betul, mesti kamu perasan punya!!.

Dah dapat? Kamu nampakkan?!. Ya semuanya bermula dengan Rosli– diikuti dengan nama 2 huruf di belakang. Lagi satu, abah ni suka pasang-pasangkan nama. Seperti Lina pasangannya Lini, Lila pasangannya Lili, nasib baik Lida abah tak bubuh pasangannya Lidi... hahahaha

Dan apa yang menariknya (menarik ke?) macam-macam suku kata ada. za, na, la, li, da, ha, ni... hehehe. Nasib baik kami hanya 7 bersaudara, kalau ramai lagi, mesti ada lagi nama yang tak terfikir dek benak aku. Yup! abah aku memang kreatif... dan jangan tak percaya dia suka berfikiran lain daripada yang lain, apa orang kata berfikiran di ‘luar kotak’. Cheewah puji abah dia nampak! Mestilah... abah aku memang unik, dan dia juga sangat berseni tau maklumlah kerja diakan tukang kayu jadi dia sangat pandai dalam bab-bab ukiran kayu... (psst... cuma dia malas nak tunjuk sahaja) dia juga pernah desain corak untuk hiasan kepala katil yang ada kat rumah di kampung. Cantik tau! (pada mata aku la... mungkin pada orang lain biasa-biasa sahaja).

Ops sebelum terbabas aku nak ingatkan bahawa kita sedang bercerita tentang nama ya... fasal ukir-mengukir tu mungkin aku akan buat siri lain... sabar ya!.

Jadi apabila adik lelaki aku lahir, nama adik aku masih lagi dipilih oleh abah. Yelah anak lelaki sulung mestilah abah teruja lebih. Tapi pandai pula abah, dia letak nama lain. Dia tak pula pilih ROSLI sebagai nama depan. Kali ini abah pilih nama Wan Ab. Ghafar untuk sesuaikan dengan nama dia Wan Ab. Ghani.

Erk! nama Ghafar... isk abah ni, tak best langsung... nama macam orang tua aje hahaha (doa dalam hati minta-minta Ghafar tak masuk sini... kalau tak mahunya dia isytiharkan perang dengan kakaknya ini sebab kutuk nama dia!!) Yelah masa tu kami dah ‘besar’, kalau tak silap, masa Ghafar lahir aku berumur 14 tahun. Dah besar la tu, dah sekolah menengahpun!. Jadi dah reti nak cari nama yang konon-kononnya canggih sikit la... tapi abah tetap abah, dia mana mahu dengar cakap anak-anak perempuannya ini (kecuali arwah). Dia tetap juga pilih nama Ghafar. Bila dah ‘tua’ nih aku jadi faham akan perasaannya bila pertama kali dapat anak lelaki selepas anak perempuan berderet seramai 7 orang tu! Ghafarkan pewaris sulung abah yang akan memberikan nama WAN pada anak-anaknya kelak!

Jadi bila adik lelaki kedua lahir, kami pakat isi borang senyap-senyap dan beri pada makcik aku yang kerja kat pendaftaran. Kami sepakat pilih nama Wan Muhammad Aizat. Abah tak terkata apa dengan kerenah anak-anak perempuannya yang degil bagaikan anak jantan nih (aku la tuh yang jadi kepalanya... hehehe) Dan apabila adik lelaki bongsu lahir abah pula bertegas nak pilih nama Khairi yang bermaksud 'akhir' katanya. Yelah anak dia dah 10 orang, cukuplah tu... Jadilah adik aku yang bongsu bernama Wan Muhammad Khairi.

Macam-macam kerenah memilih nama, itu belum lagi bagaimana nak panggil nama sorang-sorang yang seramai sepuluh orang ni. Mesti pening kepala merekakan? Itu tak masuk arwah nenek yang aku panggil ‘Mok’ baik yang belah abah mahupun belah mek. Kalau nak panggil seorang, semua nama dia seru! hahaha yelah cucunya bukan hanya anak-anak abah, anak-anak Paklong (arwah) pun seramai 10 orang juga. Dan ada antara kami lahir pada tahun yang sama tau! dan bulan juga dekat-dekat macam aku lahir pada 20 June, sepupu aku si Rani lahir 1 Julai, beza umur kami hanya 10 hari je. Macam mana tak bertukar-takir... ye dak??

Aku rasa itu dulu cerita aku untuk siri pertama Aku & Kenangan – Episod 1 : Nama ni. Sebenarnya kalau nak bercerita memang tak habis. Hikayat 1001 malampun boleh kalah... tapi nanti-nantilah ya. Aku tak nak la kamu rasa bosan pula. Mungkin kita selang-selikan dengan cerita si Wan Amalyn yang entah apa-apa itu. Asyik-asyik dok bercerita tentang anaknya si Aysha. Bosan kan? macam la dia sorang yang ada anak!

Oklah jumpa lagi di episod yang akan datang... daaaaaa


0

I'm impressed...

Salam semua,

Betapa teruknya seorang sahabat ini *merujuk pada diri sendiri* selama ini wan tahu dia kerja di kedutaan Malaysia di Switzerland, dan wan ingatkan post dia biasa-biasa sahaja. Tau dak apa apa post dia?? sila klik sini.

Madam Zila... I'm so proud of you!! =)


0

Rengekan si anak...

Salam semua,

Beberapa hari ini, my Aysha asyik dok ulang meminta benda yang sama. Wan tak tahulah dia sedar ke tidak bahawa hari lahirnya akan datang hanya beberapa hari sahaja lagi. Dia kata, belikanlah untuk hadiah birthday dia. Wan bukanlah tak nak beli, tapi memikirkan bahawa dia asyik kena 'buli' sahaja dengan rakan nurserynya, wan jadi takut untuk belikan dia apa yang dimahunya itu.

Tapi bila setiap petang tatkala wan ambilnya dari taska.... sementara nak sampai ke rumah asyik dok.... "pleaseeee.... pleaseeee.... " daripada tak nak beli, jadi tak sampai hati nak menghampakan permintaannya apabila mendengarkan rayuan gombalnya itu.

Tau dak apa yang dia minta wan belikan untuk hadiah hari jadinya? HANDPHONE! Ya, handphone. Alahai anak, umur baru setahun jagung sudah ada hati nak pakai handphone sendiri.

Malas nak dengar rengekan dia wan cakap kat dia "tanya Papa... if Papa say YES then you can have it!" wah dan-dan tu juga terus aje dia cakap "thank you mummy" dengan satu ciuman di pipi (masa tu wan tengah drive tau!). Belum cakap kat papa dia lagi tu, dia dah excited!. hehehe agaknya diapun tahu semua keputusan terletak di tangan mummy, Papa cuma akan keluarkan duit aje.... Jadi bila mummy suruh tanya kat papa, itu hanya sekadar alasan mummy untuk lengahkan masa cakap BOLEH...

Sebenarnya niat nak belikan handphone untuk dia memang dah lama tertanam di hati wan. Tapi memikirkan keadaannya itu (asyik dibuli), wan hanya diamkan dulu. 'Nombor' untuk dia juga sudah ada sebenarnya. FYI sirman ambil family package 3 nombor untuk sekian harga. Jadi niat untuk belikan dia memang dah lama ada. Rasanya wan harus pertimbangkan juga memandangkan adakalanya dia, wan tinggalkan sendirian di rumah apabila wan harus bekerja hari sabtu dan sirman tiada 'dalam kawasan'. Dan semenjak wan guna mobile internet, talian telefon juga wan sudah potong... jadi kalau ada apa-apa yang berlaku di rumah agak sukar jugalah untuk berhubung.

Wan rasa wan akan belikan untuknya dengan beberapa syarat yang akan wan tetapkan kelak... apa syaratnya, akan difikirkan kemudian... hehehe

0

Selamat Berjaya... Good Luck... =)

Salam semua,

Hari ini bermula peperiksaan SPM bagi tahun 2009. Kalau ikut kebiasaan, hari pertama peperiksaan adalah mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Sejarah.

Wan nak wish pada adik bongsu, si Kerry aka Wan Mohammad Khairi aka Pak Uda yang akan menduduki peperiksaan SPM nya hari ini... SELAMAT BERJAYA... Moga dapat menjawab semua subject dengan tenang (& tentunya dengan jawaban yang betul dan tepat!) Juga pada semua pelajar yang akan menduduki peperiksaan yang sama di seluruh negara. Moga memperolehi kejayaan yang cemerlang.

Selalunya kalau tiba musim peperiksaan SPM arwah kak Ja merupakan guru yang paling sibuk. Kena jaga murid-murid yang menduduki exam. Kemudian kena tanda kertas jawaban, kadang-kadang dia bawa balik kampung kerana nak sambut raya!. Dan arwah juga mengalami kecelakaan jalan raya ketika pulang dari mesyuarat akhir (untuk guru pemeriksa kertas). Di takdirkan kesemua tanggungjawabnya telah selesai dilaksanakan (hantar kertas jawaban yang terakhir). * =[ tutup buku*

GOOD LUCK SEMUA...!!!


0

... ... ... ...

Salam semua,

Dua tiga hari ni, wan asyik sedih aje! Banyak benda yang sedih-sedih datang sekaligus dalam hidup wan.

Sedih fasal Aysha. Ralat. Terkilan. Semua ada... tapi benda dah lepas, dah tak boleh nak ulang balik... terpaksalah terima walaupun dengan hati yang sedih.

Sedih fasal... fasal apa lagi ye? ada la... tapi biarlah sedih ni wan simpan sorang-sorang. Sesungguhnya apa yang baik/gembira sahaja wajar dikongsi bersama, tapi yang tak baik tu toksah la nak panjang-panjangkan, buat hati wan tambah sedih!. Wan hanya mahu gembira. Wan hanya inginkan bahagia, jadi sebelum wan perolehi semua itu wan harus berkorban betul tak? Jika sedihku itu adalah bahagiamu, wan akan pilih sedih! Asalkan dia bahagia.

** ** **

Oleh kerana wan tak tahu nak tulis apa di sini, jadi wan akan buat satu segmen :Aku & Kenangan: Wan akan bercerita tentang seputar kehidupan wan di masa lalu. Tentang pengalaman yang wan kutip sepanjang jalan menuju ke masa depan.

Sebenarnya wan ketandusan idea nak tulis n3 tentang apa. Balik-balik apa yang wan buat hari ini, balik-balik mood wan hari ni... bosankan bacanya? Jadi daripada wan dok merapu benda yang bukan-bukan baiklah wan tulis sesuatu yang dekat dengan wan. Rasanya wan tak perlu bimbang kerana teratak ini tak ramai pengunjungnya. Jadi kebarangkalian mereka yang kebosanan dengan celoteh wan juga tak ramai... hahaha


** ** **

Dan semalam (ahad 15 Nov) wan sempat menyertai bengkel yang dianjurkan oleh adik-adik kita di Institut Pendidikan Guru Malaysia di bangi. Peluang menyertai Bengkel Penulisan Buku 'BEKELIS' 09 datang bagaikan bulan jatuh ke riba. Projek anjuran Lujnah Penerbitan & Publisiti dengan kerjasama Jemari Seni Publishing itu merupakan satu pengalaman baru yang amat berguna.

Cuma satu... wan tak punya DISIPLIN yang tinggi... itu masalah wan dari dulu sampai sekarang. Bukan tak cuba, pernah cuba, tapi tak pernah mendatangkan hasil... rasanya wan harus kuatkan semangat lagi kot!

** ** **

Selamat Hari Lahir buat adinda Lida yang sambut hari jadinya semalam (15 Nov)... =) Doa dan harapan wan agar dia sentiasa bahagia di samping keluarga tercinta, moga dia sentiasa dimurahkan rezeki, moga dia sentiasa dalam rahmat-Nya. aminnn

Minggu depan giliran my Aysha. Tak tahu nak buat apa. Dan rasanya wan tak buat apa-apapun kot! cukuplah sekadar belikan dia sebiji kek... tak pun masak kek dengannya memandangkan hari lahirnya jatuh pada hari ahad. Atau ajak saja sepupu-sepupunya pakat datang makan kek? tengok la macam mana!! no money no talk hahahaha =)


Oklah stop sini dulu... lagi banyak lagi merapu wan!!

2

Loghat.... bahasa

Salam semua,

Pagi tadi ketika dalam perjalanan ke pejabat, sebagaimana biasa wan akan pasang radio dan channel pilihan adalah hot FM. Seminggu ini Faizal Ismail (FBI) bersiaran bersama DJ jemputan Halim Othman (HBO) memandangkan Farah Fauzana (Fafau) bercuti sakit selama sebulan. FYI HBO pernah menjadi DJ kesukaan wan ketika dia bersama Era suatu masa dahulu... itu dulu laaa, sekarang ni wan liberal ya...!! (dan sekarang wan paling enjoy dengar celoteh Jawa Ranger tiap-tiap petang!!)

Apa yang menariknya topik pagi tadi adalah tentang loghat atau mengikut Kamus Dewan Edisi Empat bermaksud bahasa daerah, dialek, bahasa setempat. Apa yang wan nak ceritakan adalah tentang persepsi awal wan pada mereka yang datang daripada negeri lain yang semestinya datang bersama loghat negeri masing-masing.

Bagi sesiapa yang tak tahu, wan berasal daripada Kelantan. Dilahirkan dan dibesarkan di negeri cik siti wan kembang hinggalah ketika wan berusia lewat belasan tahun dan menyambung pelajaran di sebuah institusi pengajian tinggi yang ada nama MARA. Dan ditakdirkan wan ditempatkan di negeri Perak.

Buat pertama kali dalam hidup wan, wan harus KELUAR dari negeri kelahiran tercinta. Sebelum ini bukanlah tak pernah keluar, tapi boleh di kira dengan jari berapa kali sahajalah wan dapat peluang 'keluar' dan tempoh masa tidaklah panjang, sekadar seminggu paling lama... itupun sekadar menziarahi Uncle (di Hulu Langat) takpun Chik (sepupu abah) yang dulu menetap di Kampung Baru. Selebihnya tidak pernah!.

Ok apa yang wan nak ceritakan adalah pengalaman pertama kali harus 'keluar' dari kepompong mek dan abah. Perasaannya usah ceritalah. Takut. Hampir sebulan wan ambil masa untuk sesuaikan diri. Belajar dalam bidang perancangan bandar dan wilayah bersama rakan-rakan yang datang dari setiap pelosok negeri sedikit sebanyak menggerunkan wan.

Mana tak nya, asal kelantan, bertutur dalam loghat kelantan dari usia wan setahun jagung dan agaknya perkataan pertama yang wan sebut juga pastinya dalam loghat kelantan... sangat-sangat-sangat membuatkan wan bimbang bahawa mereka tidak akan faham dengan apa yang akan wan tuturkan. Jadilah wan bagaikan kera sumbang, asingkan diri dan jarang bercakap.

Lagi satu wan punya satu sifat prejudis pada rakan dari negeri lain selain kelantan... hehehe jangan marah ya, itu dulu... cerita zaman tok kaduk! cerita sebelum wan kenal siapa rakan-rakan wan secara peribadi. Jadi rakan-rakan wan ketika itu hanyalah dalam ruang lingkup kenalan yang asal dari negeri yang sama.

Dan entah mengapa, wan punya satu perasaan yang... anti? pada orang luar terutamanya negeri Terengganu. Padahal mereka tidak pernah buat silap apapun pada wan! teruk sungguh prasangka wan ketika pertama kali keluar dari kelantan dulu. Agaknya ini disebabkan oleh pengaruh orang-orang tua zaman-zaman dulu yang tidak pernah menggalakkan anak-anak mereka memilih calon suami/isteri yang bukan berasal dari negeri kelantan sendiri. Atau dengan kata lain, mereka memang tidak suka bermenantukan orang luar!!!

Di takdirkan rakan sekelas wan semuanya datang dari pelbagai negeri seperti Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu, Perak, Kedah dan Selangor. Dan nak dijadikan cerita hanya wan seorang sahaja orang kelantan dalam kelas yang seramai lebih kurang 25 orang itu. Jadi nak-tak-nak wan harus keluar dari rasa 'takut' dan tidak percaya diri itu. Sampai bila wan harus menangis setiap malam di corong telefon mengadu dengan mek tentang kesengsaraan (hahaha) yang wan sedang hadapi ketika itu. Sampai bila wan harus tidur bertemankan air mata yang setiap malam akan membasahi bantal kekabu hasil kerja tangan mek?? memeluk bantal seolah-olah memeluk mek.

Orang pertama yang menjadi sahabat wan ketika itu adalah Rus Shazila (Zila). Mungkin kerana kami berdua agak pendiam (ketika itu) jadi kami mudah serasi dan kami berkongsi kisah sedih bersama. Wan dengan masalah nak sesuaikan diri sedangkan dia sedih kehilangan (meninggal dunia) tunang tersayang. Dan sampai sekarang wan masih simpan 'rasa' itu khas buat zila walaupun jarak dan masa telah lama merenggutnya pergi dari pelukan wan.

Tapi lama kelamaan, sedikit demi sedikit wan berjaya atasi masalah wan, dan apa yang paling menakjubkan wan dapat bertutur dalam bahasa malaysia standard tanpa ada bau kelantan... hahaha!! (perasannya!!!, padahal budu masih lagi jadi pilihan bila balik kampung!) Dan paling tak sangka, di takdirkan Allah balikkan hati wan, wan jadi anti pada LELAKI (lelaki sahaja dan tak semua ya!!) kelantan. Abah, adik-beradik, pakcik, sepupu lelaki tak kira la! Dan sampai saat ini adakalanya perangai segelintir lelaki kelantan amat-amat-amat membuatkan wan rasa seperti malu nak mengaku bahawa 'itu adalah rakyat kelantan!!!' kerana rakyat kelantan baik pekertinya (merujuk pada Abah)... hehehe

Entah mengapa, wan memang tak suka pada budak-budak (lelaki) kelantan yang sama-sama menuntut di Manjung ketika itu tapi berlainan kelas dan kursus! Wan menyampah sangat-sangat. Agaknya kerana pada wan segelintir dari mereka ini gedhebe je lebih! padahal takpun!! (dan lelaki kelantan juga tidak romantik??!! hehehehe)

Itu kisah hampir 2 dekad yang lalu. Hari ini setelah masing-masing mempunyai kerjaya yang bagus-bagus (kecuali wan) dan mempunyai keluarga yang bahagia, semua kenangan pahit waktu itu menjadi antara kenangan yang paling indah untuk di kenang. Dan sesungguhnya loghat, budaya, makanan bukanlah menjadi penghalang untuk kita saling mengasihi antara kita walaupun adakalanya perselisihan pendapat dan fahaman sesekali timbul antara kita.

Hari ini, Zila sudahpun mempunyai kerjaya yang cemerlang sebagai PTD dan sedang berkhidmat dengan kedutaan Malaysia di Switzerland (kalau tak silap wan dia menetap di Berne) setiap saat wan mendoakan kesejahteraan buatnya yang menjadi pendorong utama pada wan di saat-saat wan terasa betapa diri keseorangan di alam ini. Ketika wan tiada sesiapa, dia hulurkan tangannya untuk memimpin wan ke arah cahaya yang terang. Mungkin dia tidak tahu, tapi hakikatnya dialah yang menjadi penguat semangat wan ketika itu. Dan di satu saat ketika dia benar-benar memerlukan sahabat, dan wan tidak dapat berada di sisinya (biarlah hanya kami yang tahu) betapa wan menyesali diri kerana tidak mampu menjadi seorang sahabat yang baik buatnya. (Salah satu sebab juga mengapa sampai saat ini wan tidak mampu untuk mengatakan TIDAK pada setiap pertolongan yang dipinta oleh sahabat-sahabat wan yang lain)

Hari ini, setelah hampir sedekad mendirikan mahligai bahagia bersama sang arjuna hati dan dikurniakan dengan seorang belahan jiwa tersayang, dan ditakdirkan sang arjuna BUKAN orang kelantan, dan sesekali apabila pulang ke kampung, dan apabila kembali ke kota, ada satu dua (perkataan) loghat kelantan dituturkan oleh my Aysha, wan akan tergelak (kerana sebutannya seperti orang siam bercakap), tiba-tiba terasa betapa sayangnyaaa... my Aysha tidak pandai bercakap menggunakan loghat kelantan!.

Sesungguhnya, mungkin apa yang kita rasa pahit di saat ini akan menjadi sesuatu yang manis untuk di kenang di satu saat kelak!

Wei... oghe banggo la jadi anok klate!!

"Bahasa Jiwa Bangsa"

Back to Top