Hari ini

Tarikh ini, tanggal 19 Disember menyimpan sejarah tersendiri dalam kamus hidup aku. Tarikh ini, aku menyimpan dua rasa yang saling bertingkah untuk mendominasi hati aku. Pabila rasa gembira cuba menduduki takhta, dan di saat jiwa mula berlagu riang, ada rasa hiba mengetuk pintu untuk cuba menghuni ruang di rongga dada.

Hari ini, sahabat yang paling aku sayang berulang tahun kelahirannya. Aku tumpang bahagia… tapi dalam masa yang sama, ada wajah duka menyelimuti dada. Di tanggal yang sama aku kehilangan insan yang paling aku sayangi. Dia pergi tinggalkan aku buat selama-lamanya. Pergi yang tiada jalan pulang, kecuali aku yang bakal menyusulnya nanti bila tiba saatnya.

Buat Nawirah Barakbah​, selamat ulang tahun sahabat! Semoga setiap apa yang dipinta lewat doa-doamu dimakbulkan oleh Dia pemilik semesta ini. Aku akan sentiasa doakan yang terbaik untuk kamu, walaupun alam ini berlaku tidak adil terhadap kamu. Aku akan sentiasa ada, jika kamu inginkan aku. Aku sentiasa sayangkan kamu, walaupun di saat aku tidak lagi mampu menyusun kata untuk menggambarkan seluruh rasa sayang ini, walaupun di saat aku tidak lagi mampu melafazkannya. Ingatlah bahawa aku tetap dan akan sentiasa sayang kamu. Aku sayang kamu kerana DIA yang menghadiahkan persahabatan ini kepada aku. Jadi mana mungkin aku tidak sayang padamu?

Dan kanda, Al-fatihah buatmu. Walau tahun berganti hati ini akan tetap menyimpan rasa sayang yang tidak berpenghujung buatmu. Lila sayang kak Ja hingga hujung nyawa Lila di dunia ini.

Nota:--- * Foto ini diambil pada tanggal 12-May-2006 (tahun yang sama, saya kehilangan arwah kak Ja) Ini permulaan kami bertemu di alam nyata selepas bermesra di alam maya di anjung Makcik Raja... lihatlah betapa polosnya kita saat itukan?...*


Salam sayang,
 
0


Assalamualaikum...

Belum terlewat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya kan? Apatah lagi kita masih di bulan Syawal dan masyarakat kita rata-rata beraya sebulan... hikhikhik

Sambutan Aidil fitri saya tahun ini biasa-biasa sahaja. Baju melayu Sirman tak sempat buat, baju raya Aysha sekadar beli sehelai jubah, dan untuk raya kedua dan ketiga, dia pakai baju kurung lama (tapi tetap nampak baru tau!).

Puasa tahun ini pun, kami tak sempat nak berbuka puasa kat luar sebagaimana tahun-tahun sudah. Ini kerana kerja pejabat yang berlambak-lambak (berganda daripada hari bukan puasa) Dah la lesu kerana berpuasa, kena pula 'bergaduh' dengan bos sebab bagi kerja terlampau banyak sangat. Tak sempat siap kat office, terpaksa bawa balik sambung kerja kat rumah.

Ada satu hari tu sampai 24jam saya tak tidur! Mana tidaknya lepas berbuka puasa, bersiap-siap nak pergi surau berterawih, balik dah pukul 10 malam. Sambung buat kerja pejabat hingga tak sedar bunyi loceng jam pukul 4 pagi untuk saya bangun siapkan juadah bersahur (masak nasi dan masak lauk simple-simple aje). Siap bersahur dah masuk waktu subuh, lepas solat bersiap-siap untuk ke pejabat pulak. Dan Akhirnya seminggu sebelum raya saya 'tumbang' juga. Demam panas, batuk dan bp turun hingga paras rendah yang dah tak normal (biasanya blood pressure:bp saya memang paras rendah tapi masih normal). Akhirnya doktor beri saya mc 2 hari. Dapatlah berehat sebentar kat rumah. Itulah sebabnya kenapa persiapan raya saya tak menjadi.

Tahun ini giliran beraya kat Shah Alam dulu, jadi bila raya kedua baru balik kampung, suasana raya tu dah tak terasa meriah mana. Banyak rumah makcik-makcik dan pakcik-pakcik yang tak sempat saya nak ziarah. Apatah lagi cuti sekolah yang singkat, lagilah sekejap masa yang dapat saya luangkan kat kampung. Tapi tak apa... Insya-Allah Raya Haji nanti saya nak balik kampung! (doakan saya ya agar waktu tu tiada aral dan halangan untuk saya balik kampung)

Apa kenangan raya tahun ini? Tak ada sangat, selain tak sempatpun nak ambil gambar raya bersama adik-beradik dan kaum keluarga yang lain.

Tapi ada satu yang buatkan hati saya bertambah sayu terkenangkan arwah abah. Bila Pakcik saya (suami adik bongsu arwah abah) datang beraya dengan anak dan menantunya. Kata-katanya ketika dia dah nak balik dan saya hantar Pakcik saya ini sampai ke tangga, dengan dia dah turun ke tanah dan saya berdiri kat atas tangga rumah...

"Pokcik tak dan lagi nak gi ziarah kubur arwah abah La. Sifu Pokcik tu! Arwah abah La la yang ajar Pokcik mengaji daripada zero sampai Pokcik boleh ambik alih..." (jadi Imam ganti kalau Imam yang biasa tak dapat datang - dulu-dulu itu tugas arwah abah, jadi imam ganti)

Balasan saya, "tak pa Pokcik, ada masa nanti boleh pergi. Itu kira saham arwah abah. Insya-Allah selagi Pokcik ingat, dan beramal dan niat pahala pada arwah abah tu pun dah cukup" 

Ya, saya rindu pada arwah abah! Abah pergi tinggalkan kami ketika kita masih dalam mood beraya, di bulan syawal. Tepatnya 2 minggu syawal 2 tahun lepas. Bermakna ini kali ke-2 kami beraya tanpa abah.

Walaupun saya dah tak mungkin dapat salam, cium tangan abah dan peluk abah serta minta ampun dan maaf daripada abah... namun saya tetap juga nak ucapkan 'Selamat Hari Raya' pada abah. Moga ketika abah pergi mengadap Ilahi, abah sudah ampunkan segala salah silap serta dosa Lila pada abah. Lila tahu, Lila banyak buat silap pada abah. Lila anak abah yang degil. Lila pernah bantah cakap abah. Lila banyak menyusahkan abah dan banyak lagi salah Lila pada abah, Tapi Lila berharap sangat abah ampunkan segala salah dan dosa Lila pada abah. Lila sayang sangat pada abah. Tiada sesiapa yang dapat ganti tempat abah dalam hati Lila.

Dan Lila sentiasa berdoa semoga Allah ampunkan segala dosa-dosa abah, moga Allah tempatkan abah di syurga-Nya, Allah perkenankan. Sayang Lila pada abah tak terhitung sebagaimana sayang Lila pada Mek dan adik-adik... Aaminn

Selamat Hari Raya Aidil Fitri, pada sahabat-sahabat kesayangan saya semua. Mohon diampun segala salah dan silap saya andai ada kata-kata (tulisan) tanpa saya sedar telah mengguris hati kalian semua. Sesungguhnya saya manusia yang lemah...


Salam sayang,

Ahlan Wa Sahlan Marhaban Ya Ramadan

Salam Ramadan! Alhamdulillah, syukur kita pada DIA yang berkuasa memberi kita kesempatan bertemu dengan bulan yang penuh keberkatan ini. Moga Ramadan kali ini memberi kita seribu rahmat dan kebaikan.

Salam sayang,
0

Perjalanan Yang Tak Terlupakan : Bahagian II [Vienna]

Salam,

Negara kedua yang saya lawati selepas Republic Czech adalah Austria.

Vienna atau Wien telah membuka mata saya pada kisah Empress Sissi (Empress Elisabeth Amalie Eugenie of Austria) yang berkahwin dengan Franz Joseph 1. Sejarah hidupnya yang telah menarik minat saya untuk ambil tahu apabila perjalanan daripada Prague ke Vienna, kami disajikan dengan tayangan filem 'Forever My Love' yang berkisah tentang kisah hidup Sissi.

Dan, Vienna juga terkenal dengan seni bina bangunan yang tidak kurang hebatnya dengan Prague. Selain menjadi tempat kelahiran Mozart pemuzik genius yang terkenal itu.



Sesungguhnya semua pengalaman dan perjalanan ini adalah atas izin-Nya.


Salam sayang


0

Perjalanan Yang Tak Terlupakan : Bahagian I [Prague]

Salam...

Saat apabila bos tanya, "nak pergi tak Europe Trip join Carrier Dealer?" saya seperti di alam mimpi! Dan saya tak beri jawapan on the spot. Banyak hal yang berlegar dalam kepala waktu itu. Memandangkan saya 'bersendirian' dalam kumpulan seramai lebih kurang 50 orang. Tapi memikirkan peluang keemasan ini bagaikan bulan jatuh ke riba, peluang yang tak tahu bila lagi akan dapat (atau harus menunggu 12 tahun lagi??) dan sememangnya pakej Europe Tour - Prague-Vienna Historic & Artistic Blend 2015 yang berharga RM11,800 ini tak mampu untuk ditolak.

Tanggal 13 - 20 May, adalah tarikh yang melakarkan satu lagi pengalaman yang tak mampu untuk saya lupakan. Dengan penerbangan Emirates KLIA - Dubai (EK343), Dubai - Prague (EK 139), saya melalui satu perjalanan yang panjang (dan agak melelahkan) apatah lagi dengan tempoh perjalanan yang agak panjang iaitu 6 jam 55 minit untuk sampai ke Dubai di mana kami transit untuk tempoh lebih kurang 5 jam sebelum meneruskan perjalanan ke Republic Czech yang mengambil masa lagi 6 jam. Satu tempoh perjalanan menaiki kapal terbang yang paling panjang pernah saya lewati. Hatta ke Melbourne tahun lepas pun saya sudah rasa lama masanya.

Itu belum lagi berdepan dengan perubahan masa dan cuaca! Perbezaan waktu 4 jam lewat antara Dubai-KL dan 6 jam lewat antara Prague-KL menyebabkan saya sepertinya tidak tidur hampir 24 jam (selain tidur-tidur ayam dalam kapal terbang).  Cuaca yang dingin dan mendamaikan jiwa menyambut kedatangan saya. 11-15 deg waktu pagi dan menjelang tengah hari cuaca mulai panas (21 deg) sebelum bertukar sejuk semula di waktu petang dan malam, membuatkan badan saya agak lesu dan letih pada awalnya. Tapi disebabkan keterujaan yang sudah menguasai minda, badan saya cepat sahaja membaik.

Dan saat kaki buat pertama kalinya jejak bumi Eropah bernama Republic Czech, dan saat pertama kali mata memandang bumi yang di sempadani oleh Jerman di belah barat, Austria di belah selatan, Slovakia di belah tenggara dan Poland di belah timur laut, mata terpukau dengan pemandangan yang ada di depan mata. SUBHANALLAH indahnya bumi-Mu Ya Rabb.

Di sini, bagaikan saya kembali ke zaman lampau.  Zaman di abad ke 18 - 19 seolah-olah berada di depan mata. Rekabentuk bangunan lama yang yang dapat dilihat pada Istana lama, rumah-rumah agam bagaikan kita melewati sejarah Bohemia dan Moravia yang sinonim dengan pedati kuda dan baju kembang (bagi wanita) yang bergabung di bawah satu bendera, Negara Republic Czech.

Walau bagaimanapun, Republic Czech yang ada hari ini cuma wujud pada tahun 1993 selepas berpecah daripada Czechoslovakia, namun sejarah tanah Czech yang kaya dengan 'sejarah' ini bermula seawal akhir abad ke-9 ketika ia dalam pemerintahan kerajaan Bohemia. (Oh! saya bukan pakar untuk terangkan secara terperinci sejarah Republic Czech ini, kerana saya pun 'ambil tahu' bila diberi peluang ke sana) dan Prague atau lebih dikenali sebagai Praha di sana adalah ibu negerinya. 

Negara yang dinobatkan sebagai 'UNESCO World Heritage Site' kerana bangunan-bangunan lama yang tetap terpelihara ini sewajarnyalah dihargai dan dilawati andai ada peluang. Dan ia juga sebuah bandar yang bersih (pada pandangan mata saya) yang dikelilingi oleh bangunan-bangunan lama yang unik dan penuh seni. (Ini orang Architecture patut datang saksikan sendiri!)

Selama 2 malam di Prague atau Praha ini, rombongan kami menginap di Majestic Plaza, hotel bertaraf 4 bintang yang terletak di Stepanska 33, Prague. Selain dibawa menjelajah ke seluruh pelusuk tempat menarik yang ada di Praha. Antara tempat yang sempat dilawati adalah Prague Castle, Old Royal Palace, St Jiri Basilica, St Vitus Cathedral, Golden Lane & Daliborka Tower. Selepas makan tengah hari perjalanan bersambung ke Old Town Square dengan Astronomical Clock yang terkenal itu serta Charles Bridge.

Sesungguhnya perjalanan ini adalah perjalanan hebat melihat indahnya alam ciptaan-Nya.

...bersambung




Salam sayang

Back to Top