0

Perjalanan Yang Tak Terlupakan : Bahagian I [Prague]

Salam...

Saat apabila bos tanya, "nak pergi tak Europe Trip join Carrier Dealer?" saya seperti di alam mimpi! Dan saya tak beri jawapan on the spot. Banyak hal yang berlegar dalam kepala waktu itu. Memandangkan saya 'bersendirian' dalam kumpulan seramai lebih kurang 50 orang. Tapi memikirkan peluang keemasan ini bagaikan bulan jatuh ke riba, peluang yang tak tahu bila lagi akan dapat (atau harus menunggu 12 tahun lagi??) dan sememangnya pakej Europe Tour - Prague-Vienna Historic & Artistic Blend 2015 yang berharga RM11,800 ini tak mampu untuk ditolak.

Tanggal 13 - 20 May, adalah tarikh yang melakarkan satu lagi pengalaman yang tak mampu untuk saya lupakan. Dengan penerbangan Emirates KLIA - Dubai (EK343), Dubai - Prague (EK 139), saya melalui satu perjalanan yang panjang (dan agak melelahkan) apatah lagi dengan tempoh perjalanan yang agak panjang iaitu 6 jam 55 minit untuk sampai ke Dubai di mana kami transit untuk tempoh lebih kurang 5 jam sebelum meneruskan perjalanan ke Republic Czech yang mengambil masa lagi 6 jam. Satu tempoh perjalanan menaiki kapal terbang yang paling panjang pernah saya lewati. Hatta ke Melbourne tahun lepas pun saya sudah rasa lama masanya.

Itu belum lagi berdepan dengan perubahan masa dan cuaca! Perbezaan waktu 4 jam lewat antara Dubai-KL dan 6 jam lewat antara Prague-KL menyebabkan saya sepertinya tidak tidur hampir 24 jam (selain tidur-tidur ayam dalam kapal terbang).  Cuaca yang dingin dan mendamaikan jiwa menyambut kedatangan saya. 11-15 deg waktu pagi dan menjelang tengah hari cuaca mulai panas (21 deg) sebelum bertukar sejuk semula di waktu petang dan malam, membuatkan badan saya agak lesu dan letih pada awalnya. Tapi disebabkan keterujaan yang sudah menguasai minda, badan saya cepat sahaja membaik.

Dan saat kaki buat pertama kalinya jejak bumi Eropah bernama Republic Czech, dan saat pertama kali mata memandang bumi yang di sempadani oleh Jerman di belah barat, Austria di belah selatan, Slovakia di belah tenggara dan Poland di belah timur laut, mata terpukau dengan pemandangan yang ada di depan mata. SUBHANALLAH indahnya bumi-Mu Ya Rabb.

Di sini, bagaikan saya kembali ke zaman lampau.  Zaman di abad ke 18 - 19 seolah-olah berada di depan mata. Rekabentuk bangunan lama yang yang dapat dilihat pada Istana lama, rumah-rumah agam bagaikan kita melewati sejarah Bohemia dan Moravia yang sinonim dengan pedati kuda dan baju kembang (bagi wanita) yang bergabung di bawah satu bendera, Negara Republic Czech.

Walau bagaimanapun, Republic Czech yang ada hari ini cuma wujud pada tahun 1993 selepas berpecah daripada Czechoslovakia, namun sejarah tanah Czech yang kaya dengan 'sejarah' ini bermula seawal akhir abad ke-9 ketika ia dalam pemerintahan kerajaan Bohemia. (Oh! saya bukan pakar untuk terangkan secara terperinci sejarah Republic Czech ini, kerana saya pun 'ambil tahu' bila diberi peluang ke sana) dan Prague atau lebih dikenali sebagai Praha di sana adalah ibu negerinya. 

Negara yang dinobatkan sebagai 'UNESCO World Heritage Site' kerana bangunan-bangunan lama yang tetap terpelihara ini sewajarnyalah dihargai dan dilawati andai ada peluang. Dan ia juga sebuah bandar yang bersih (pada pandangan mata saya) yang dikelilingi oleh bangunan-bangunan lama yang unik dan penuh seni. (Ini orang Architecture patut datang saksikan sendiri!)

Selama 2 malam di Prague atau Praha ini, rombongan kami menginap di Majestic Plaza, hotel bertaraf 4 bintang yang terletak di Stepanska 33, Prague. Selain dibawa menjelajah ke seluruh pelusuk tempat menarik yang ada di Praha. Antara tempat yang sempat dilawati adalah Prague Castle, Old Royal Palace, St Jiri Basilica, St Vitus Cathedral, Golden Lane & Daliborka Tower. Selepas makan tengah hari perjalanan bersambung ke Old Town Square dengan Astronomical Clock yang terkenal itu serta Charles Bridge.

Sesungguhnya perjalanan ini adalah perjalanan hebat melihat indahnya alam ciptaan-Nya.

...bersambung




Salam sayang

0 comments:

Back to Top