Warkah Buat Kanda


Assalamualaikum kanda,

Lila rindu kanda. Lama sungguh Lila tak ‘menyapa’ kanda. Bukan kerana Lila sudah lupa. Tidak! Tidak sama sekali...

Mana mungkin Lila lupa pada kanda Lila yang sangat-sangat Lila kasihi ini. Yang sangat-sangat Lila rindui ini. Sesungguhnya datanglah seramai manapun 'kakak' di sepanjang perjalanan hidup Lila menuju hari depan, kanda tetap punya tempat yang paling khusus dalam hati Lila. Yang tiada sesiapapun dapat ambil tempat itu. Jika yang datang itu sikap dan sifatnya persis kanda, masih tidak dapat menggugat kedudukan kanda dalam hati Lila. Itu Lila sangat pasti.

Kanda yang Lila rindui,

Masih ingat tak kanda... dulu-dulu, waktu itu kanda masih menuntut di USM Pulau Pinang.  Lila pula sedang menunggu keputusan SPM. Oleh kerana tiada apa yang Lila buat di rumah, Lila minta izin abah ke Penang ziarah kanda. Ingat tak?

Itu pertama kali Lila nak ke Penang tanpa pengawasan orang tua, tanpa sesiapa jadi peneman tapi Lila nekad juga nak ke sana. Lagipun, Lila kan pernah ke USM sebelum tu (dengan abah) untuk hantar kanda mendaftar di USM ingat tak? Masa tu abah kita bawa kereta Proton Saga warna putih dengan nombor pendaftarannya DQ1719. Kereta pertama yang abah kita beli. Bangga bukan main bila abah bawa balik kereta tu kan?  Kereta itu kemudiannya abah jual selepas terlibat dalam kemalangan dan abah beli kereta Proton Saga warna hijau pula dengan nombor pendaftarannya DS4042 yang sampai sekarang masih ada kat rumah kita di kampung.

Lila ingat lagi, masa tahun 1988 tu Lila masih sekolah. Dalam ramai-ramai anak abah, Lila yang abah bawa. Ke Lila yang merengek nak ikut? Lupa laa maklumlah dah lama sangat kan? Teruja bukan main lagi dapat pergi Penang masa tu. Masa tu mek tak ikut, tapi yang ikut sama Chik (Wan Zubidah - sepupu abah) dan Pak Alang (suami kak Saudah - sepupu abah). Sebelum ke Penang, kita singgah ke Perak rumah Cikgu Wan Abdullah di Kemunting Jaya, Taiping.

Kat Penang pula, kita tumpang tidur di rumah Abang Lah (Wan Hasbullah) anak Cikgu Dir (Wan Kadir) Wakaf Bharu. Cikgu Dir ni, bapa saudara abah, jadi Abang Lah ni kiranya sepupu abah la. Kita ni pelikkan, 'panggil' orang tak ikut 'pangkat' mereka, main panggil aje. Yelah nak panggil 'Pakcik', dia nampak muda dan pangkat-pangkat 'abang' aje. Sama seperti kita panggil Mok Long iaitu kakak ipar abah yang juga sepupu mek, kita panggil dia 'kak wae' aje. Dah biasa, susah nak ubah dah! Ok, berbalik pada Abang Lah ni, waktu tu dia menetap dan kerja di sana. Di Seberang Perai kalau tak salah Lila dengan isteri dan dua orang anak dia yang masih kecil (masa tu lah, sekarang ni semua dah besar-besar dah!) Di sana, kita juga dibantu oleh kawan Pak Alang. Pak Alang ni dia orang Perak bila dia kahwin dengan kak Doh dia tinggal di kampung kita.  Kawan Pak Alang yang Lila dah lupa namanya ni kerja kat dalam USM sebagai apa tu Lila memang dah tak ingat.  Dan dia juga anak jati Penang.  Dengan raut muka yang ala-ala mamak, dengan pelat Penang yang pekat buatkan Lila selalu terpinga-pinga bila dia bercakap... hikhikhik tapi dia baikkan? Jadi dialah yang tukang bawa kita jalan-jalan sekitar Penang waktu itu.

Abah pula, masa Lila minta izin, macam confident aje izinkan Lila pergi sorang-sorang. Dan Lila pula beraninya pergi sorang-sorang, waktu itu awak tu baru berumur 17 tahun tau! Aah Lila kan anak abah no 3, anak yang berani (kalau ada rasa takut-takut cepat-cepat Lila benam jauh-jauh ke dasar hati). Lagipun Lila kan pemegang tali pinggang biru Tae-Kwon-Do kat sekolah (Putih-Kuning-Hijau-Biru-Merah-Hitam)? Walaupun bukan hitam, sekurang-kurangnya kalau nak sepak orang Lila boleh laaa... eksen kan Lila nih!

Mek, bila tahu Lila nak ke Penang jumpa kanda, dan kebetulan waktu itu musim buah apa lagi penuh satu kotak diisi dengan buah-buahan untuk kanda dan kawan-kawan di kolej. Nasib baik kotak tu tak besar mana, tapi bila diisi penuh-penuh berat juga la Lila nak angkat. Oh! bukan setakat buah aje yang mek isi, macam-macam makanan pun ada. Bagaikan apa yang ada kat rumah yang kami makan, mek nak kirim pada anak sulung dia yang jauh di Pulau itu. Tengok! Betapa sayangnya dia kat anak!  Pendek kata macam kotak doremon (cuma mek dan abah je yang tak ada) buka-buka semua ada... hikhikhik (nampak sangat tipunya kan!)

Jadi, pada hari 'kejadian' dengan bas belah pagi (dijangka tiba belah petangnya) Lila bertolak ke Penang seorang diri dengan kotak penuh berisi buah kiriman mek untuk kanda dan kawan-kawan dengan perasaan yang macam-macam. Dipendekkan cerita, semakin jauh Lila tinggalkan rumah, makin tinggi cuak dalam dada. Ya, Lila bukanlah berani sangat sebenarnya, tapi sebab nak sangat ke Penang dan nak yakinkan abah supaya izinkan Lila ke sana, Lila buat-buat la berani depan abah!

Bila bas dah masuk negeri Pulau Pinang, dan bila tiba di satu kawasan (Butterworth - berdasarkan tanda nama yang tertera) orang berpusu-pusu turun daripada bas dan Lila yang tak tahu apa-apa ni ikut turun sama sebab ingatkan dah sampai! Bayangkan dengan jinjing beg baju di sebelah tangan dan kotak yang sarat makanan untuk kanda di belah tangan yang lain, Lila jalan bagaikan itik pulang petang - terkedek-kedek. Berat tau kotak itu. Berbirat jugalah tangan Lila pegang tali rafia yang jadi pengikat kotak itu. Lila yang tak tahu nak tuju ke mana, main ikut aje ke mana arah orang ramai itu tuju. Nak tanya orang, Lila tak berani. Nanti orang tahu yang Lila ni budak baru, budak sesat kat situ. Dalam hati dah nak menangis pun ada.

Dalam dok terpinga-pinga (sambil jalan) itu, dalam dok takut-takut tu (tapi eksyen berani) ada la sorang 'mamat' ni tegur. Lila perasan dia sebab dia naik bas sama yang Lila naik. Kiranya dia orang 'kampung' kita jugak la kan? "Nak ke mana dik?" Dengan confidentnya "USM" Lila jawab.
"Laa kenapa adik turun sini? Kalau nak ke USM patutnya adik turun di Georgetown, takpun boleh mintak drebar turunkan adik kat Gelugor, dekat sikit kalau nak masuk USM"
Alamak! Uwaaaa Lila dah menangis dalam hati sebab panik, tapi takkan nak tunjuk depan-depan orang kan? Jadi Lila tunjuklah muka yang control selamba untuk tutup rasa takut. Yelah kalau abah confident aje biarkan Lila datang Penang sorang-sorang, mestilah abah yakin dengan Lila kan? Yakin yang Lila mampu jaga diri, mampu survive walaupun sorang-sorang kat tempat orang.
"Habis semua orang turun sini, sayapun turun la. Ingatkan dah sampai" Aah sudah! Macam mana ni? Bas yang Lila naik tadi dah jalan dah. Nak panggilpun memang dah tak boleh dah.
"Jadi, kalau nak pergi USM dari sini macam mana ya?" Dalam takut ala-ala berani tu, nak tak nak Lila terpaksa tanya juga. Tapi dalam hati hanya Allah sahaja yang tahu, cuak sungguh. Takutpun ya juga.
"Tak palah, abang hantar naik feri sampai ke seberang" Oh! baiknya hati dia. Alhamdulillah!! Dalam hati Lila panjatkan kesyukuran kerana ada orang nak tolong. Agaknya dia pun tahu yang Lila sebenarnya tak tahu nak ke mana. Dan nasib baik dia orang baik-baik...

Dan yang paling best, kotak penuh makanan yang senget-senget bahu Lila bawapun dia tolong bawakan. Baik sungguh dia, Lila puji dia dalam hati ajelah! Tapikan sampai sudah Lila lupa nak tanya nama dia dan dia duduk di mana, di 'kampung' kita. Terukkan Lila ni? TAPI budi baik dia Lila akan kenang sampai mati. Dan doa Lila, walau di manapun dia sekarang, Lila harap Allah sentiasa permudahkan urusan dia. Oh! Lupa nak cakap, dia 'belanja' tiket feri juga. Sampai di Pulau, lepas ucap terima kasih kat abang yang baik hati itu, Lila ambil teksi masuk USM terus ke Desasiswa Cahaya, kolej kediaman kanda.

Kanda yang Lila kasihi,

Lila minta maaf banyak-banyak kalau Lila buat kanda risau yang amat sangat pada hari itu. Lila betul-betul minta maaf! Ingatkan Lila nak buat kejutan untuk kanda. Datang senyap-senyap dan tadaaaa tup-tup Lila dah ada depan pintu kolej kanda, tapi malangnya kejutan Lila tak menjadi ekoran kesilapan Lila turun di Butterworth. Ya, Lila ke Penang tanpa pengetahuan kanda. Tapi entah kenapa kanda jadi tergerak hati nak telefon kampung dan mek yang tak tahu apa, cakap pada kanda yang Lila ke sana hari tu.

Havoc! Itu yang diberitahu pada Lila oleh kawan-kawan kanda. Selepas dapat perkhabaran tentang kedatangan Lila, kanda dan kawan-kawan kelam kabut ke stesen bas untuk ambik Lila. Tunggu punya tunggu, kelibat Lila tak juga nampak. Yalah! macam mana nak jumpa kalau Lila turun kat tempat lain, kanda pula tunggu kat tempat lain. Sampaikan kak Chuda, kawan kanda kata nak report polis kalau Lila tak ada kat dalam bilik bila mereka balik dari stesen bas. Alhamdulillah nasib baik Lila dah ada kat bilik bila kanda dan kawan-kawan balik ke bilik. Kalau tak tak tahulah macam mana kecohnya Desa Cahaya tu kan... hahaha Insiden yang tak mungkin akan Lila lupakan!

Selama tempoh seminggu lebih Lila di Penang, Lila jadi PATI di bilik kanda. Mengikut kanda ke dewan kuliah, beraksi ala-ala penuntut U yang khusyuk dengar lecturer dok beri kuliah sambil salin (tak tahu apa yang Lila salin) nota sedangkan keputusan SPM pun tak dapat lagi. Lila juga berkesempatan menonton pementasan teater bertajuk Uda dan Dara oleh penuntut-penuntut Pusat Pengajian Seni (kalau tak salah Lila la). Pertama kali menonton teater, suka bukan main. Yelah, Lila mana pernah tengok teater seumur hidup Lila, tengok cerita kat panggung wayangpun tak pernah, ini nak tengok teater? Pengalaman lagi...

Satu lagi pengalaman yang tak mungkin Lila lupakan adalah ketika Pusat Pengajian kanda (Sains Kemasyarakatan) buat program apa entah dalam dewan kuliah, Lila dibawa menyelit sama. Sepertinya ada acara ceramah? Serius, Lila memang tak tahu apa, main ikut aje ke mana kanda bawa Lila. Dan yang paling... (tak tahu nak cakap apa) Lila diheret oleh kawan kanda untuk jadi 'pemegang dulang' untuk acara pemberian 'cenderahati' kepada panel penceramah. Perasaan Lila ketika itu memang tak tahu nak gambarkan macam mana teruja tapi takut!

Semasa Lila berada di sana juga, kebetulan sekumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Zainab Kota Bharu datang buat rombongan melawat Pulau Pinang, dan salah satu tempat lawatan mereka adalah USM, jadi Lila dibawa menyertai 'adik-adik' melawat sekitar USM dan sekitar Pulau Pinang. Pendek kata sepanjang Lila berada di Penang, masa Lila penuh terisi dengan pelbagai aktiviti yang sangat menyeronokkan.

Kanda yang Lila sayangi,

Ingat tak dulu, masa Lila dapat tawaran ke ITM (sekarang Uitm) dalam jurusan Perancangan Bandar dan Wilayah, seronoknya tak dapat Lila gambarkan dengan kata-kata. Akhirnya impian Lila untuk belajar di 'U' tercapai juga. Waktu itu kursus yang Lila ambil mengharuskan Lila daftarkan diri di ITM Cawangan Manjung, Perak selama setahun sebelum sambung di Shah Alam. Waktu itu kampus ITM Perak hanyalah bangunan rumah kedai. Walaupun tak sebesar dan secantik USM, tapi ia tetap Pusat Pengajian Tinggi jugak kan? Masa hari pendaftaran Lila, kali ini mek ikut sama hantar Lila kat Manjung. Kanda yang masih lagi belajar di USM, turun ke Perak dan kita sama-sama berkumpul di rumah Tok Wan Ab. Rahman, sedara Wan (nama sama seperti atuk kita kan?) di Batu Kurau Perak.

Pertama kali Lila akan jauh dari keluarga, perasaan takut memang ada. Sewaktu kena 'tinggal' sorang-sorang kat Manjung, nak menangispun ada! Tapi Lila harus kuatkan kalau nak pandai? Masa Lila berada di Manjung, kita selalu berhubung. Salah satu cara kita berhubung adalah melalui surat. Waktu itu rasanya penggunaan telefon tangan masih belum ada kot? Kalau adapun hanya orang yang 'ada-ada' sahaja yang mampu guna. Nak guna telefon awam, kanda juga bukannya ada talian tetap untuk Lila hubungi lagipun malaslah Lila nak beratur panjang bak gerabak kereta api tuh. Jadi berutus surat adalah pilihan kita yang terbaik!

Lila sering tertunggu-tunggu kiriman surat daripada kanda. Bukan apa, selalunya kanda akan 'klip' duit (tak banyak manapun kadang-kadang RM10 sahaja) bersama helaian kertas yang bertulis tangan kanda bercerita tentang macam-macam hal di sana. Mungkin orang akan kata 'apa lah sangat dengan RM10 tu, bukannya banyak pun!' Ya, pada orang RM10 kecil aja jumlahnya tapi bagi kita besar maknanya. Dengan RM10 itulah Lila tambah duit belanja untuk beli alat-alat pembelajaran. Beli pen teknikal, beli kertas dan macam-macamlah untuk kerja kursus Lila. Masa itu kanda dapat pinjaman JPA dan Lila biasiswa FAMA (Father & Mother). Kesian abah setiap dua minggu Lila telefon minta duit. Kadang-kadang Lila rasa nak quit, rasa kesian sebab adik-adik pun mesti nak pakai duit juga.  Tapi kanda sering beri semangat... 'takpa... kita susah dulu untuk kita senang kemudian, sabar laa Lila'

Ya, dengan adik-beradik kita yang 9 orang itu, yang ketika itu Lili, Lida, Ros dan Nini masih sekolah, Ghafar dan Aizat yang masih kecil, Khairi adik kita yang bongsu masih belum ada lagi waktu tu, semuanya perlukan belanjakan? Dengan kerja abah di sawmill yang tak menentu, dengan mek yang tak kerja, kita harus pandai berjimat. Nasib baik di ITM makanan disediakan. Sedap tak sedap itulah yang harus Lila telan. Bersyukur dengan apa yang kita ada dan dapat. Orang lain, kalau makanan kat dewan makan tak best, mereka boleh makan kat luar, tapi kalau Lila tak nak makan kat dewan, lapar lah jawabnya! Tapi kita tetap bahagiakan? Kita bahagia dengan cara kita.

Sebab itulah Lila ternanti-nanti sangat surat daripada kanda. Lila bukanlah harapkan sangat duit yang ada dalam tu sebab Lila tahu kanda juga harus berjimat dengan duit pinjaman JPA kanda itu, kalau adapun itu bonus untuk Lila, tapi Lila nak baca cerita kanda tentang Penang, tentang USM yang telah buat Lila jatuh cinta pada 'Pusat Pengajian Tinggi'. Yang buat Lila berkobar-kobar nak masuk dan belajar di U seperti kanda juga dan Alhamdulillah Lila dapat.  Ketika membaca coretan kanda, Lila rasa seronok. Lila jadi lupa pada 'kesempitan' Lila di Manjung. Lila jadi semangat nak belajar, nak cepat habis (supaya tak extend - pakai duit lagi), supaya Lila dapat cari duit sendiri untuk beli apa yang Lila tak mampu beli ketika belajar. Ya, kanda lah inspirasi Lila. Dan lagi satu Lila paling suka tulisan tangan kanda yang cantik itu. Kadang-kadang Lila cuba tiru tulisan kanda. Kadang-kadang jadi, kadang-kadang tak lawa langsung! Yelah, tiru kan mana pernah cantik, dan sampai sekarang Lila rasa tulisan tangan Lila tak pernah cantik seperti kanda!

Ketika Lila berada di Shah Alam, sekali lagi Lila ke USM. Kali ini kita berkumpul untuk meraikan hari konvokesyen kanda. Waktu itu, bagaikan satu kampung (nampak sangat tipukan?) datang meraikan hari bersejarah kanda itu. Pada hari itu selain (arwah) abah, ada (arwah) Wan - bapa abah, ada (arwah) Mok Mah-mak Mek, Che Yah - kakak ipar mek, ada adik-adik (Lida, Nini, Ghafar dan Aizat). Oh! Lina pun ada sama. Masa tu dia dah dapat tawaran melanjutkan pelajarannya di Maktab Perguruan Ipoh. Sebenarnya Lina dapat belajar sana ketika Lila berada di Manjung lagi kan. Tapi dia tak rajin tulis surat seperti kanda! Jadi biarkan dia... hahaha Lila pilih kasih! Tapi Lila tak sedar, yang baju-baju kurung yang Lila pakai hari-hari ke kuliah, Lina yang bagi. Sebelum masuk maktab, Lina pernah kerja di Jabatan Pendaftaran Negara, jadi dia selalu beli kain dan buat baju. Memandangkan saiz badan kita sama aje, banyak la baju-baju dia yang Lila angkut pergi kolej. Bila balik cuti sekali-sekala, Lila bawa balik dan 'curi' tukar dengan baju dia yang lain pula.  Dia mesti tak perasan sebab baju dia banyak... syyy jangan cakap ke dia tau!

Kanda yang Lila cintai

Kalau nak cerita, berhelai-helai muka suratpun tak akan habiskan? Sebabnya selama kita hidup, kita ada banyak kenangan yang kita kongsi bersama. Yang pahit, yang manis, semuanya ada. Ya, kanda 'kenal' dan hidup bersama Lila seumur hidup kanda. Dan Lila kenal dan hidup bersama kanda selama 34 tahun usia Lila, jadi tak hairanlah selama kita hidup bersama, setiap hari kita kumpul dan ciptakan banyak momen indah untuk kita kenangkan? Semuanya tersemat kukuh dalam ingatan Lila. Terpatri tak mungkin hilang selagi ingatan ini masih ada dengan izin Allah.

Lila rindu kanda. Panggilan telefon pada petang 19-Disember-2006 benar-benar telah merobek jantung Lila. Meruntuhkan benteng ketabahan Lila. Lila kehilangan kanda buat selama-lamanya. Dan sampai saat dan detik ini Lila tetap merindui kanda. Rindu pada kanda yang manis. Rindu pada kanda yang penyayang dan rindu pada kanda yang baik hati ini. Dari dulu, kanda jadi 'banker' Lila, saat Lila sesak, kanda ada untuk hulurkan bantuan. Kala Lila buntu, kanda ada untuk berkongsi masalah. Pendek kata, kanda sentiasa ada saat Lila perlukan sokongan serta dokongan. Kehilangan kanda buatkan Lila hilang arah (sekejap). Kehilangan kanda merupakan satu tragedi kelabu yang tak mungkin hilang dari lipatan sejarah hidup Lila. Lila masih perlukan kanda untuk bimbing Lila. Lila masih perlukan kanda!

TAPI Tuhan lebih sayangkan kanda. Di usia kanda belumpun 40 tahun, DIA sudah ambil kanda dari kami. DIA pinjamkan kanda walau Lila rasa sekejap tapi tetap bermakna dalam hidup Lila. Sampai ke saat ini, bila Lila teringatkan kanda, pasti mata Lila rasa berpasir. Oh! Rindu yang tak akan pernah usai... Dan ketahuilah Lila sayang sangat-sangat pada kanda...

Salam sayang daripada Lila yang akan sentiasa merindui kanda sampai kapan pun!,

#Al-fatihah untuk kanda yang telah pergi menemui Kekasihnya pada 19122006#
0

Kerana Dia, Ratu Sehari

Salam semua,


Wah! lama tak bersua di sini... ada sedikit rasa rindu nak berkicau di sini, tapi apakan daya kekangan masa tidak memungkinkan saya bercanda di sini sesuka hati. Ok. Kali ini saya nak uar-uarkan tentang buku terbaru terbitan Js Adiwarna.

Antologi cerpen yang memuatkan 40 buah cerpen ini didatangkan dalam dua cover yang sangat cantik. Merah dadu (pink) dan biru firus (turquoise) untuk dipilih. Jika anda rasa jiwa anda penuh rasa kelembutan, anda boleh pilih merah dadu.  Jika anda rasa anda punya jiwa yang kental anda boleh pilih biru firus. Tapi jika anda pilih (dan beli kedua-duanya) anda sememangnya sangat awesome! hahaha

 

Saya sudah beli. Saya juga sudah baca kesemua cerpen-cerpen yang termuat dalam naskhah yang diselenggarakan oleh Noor Suraya - penulis kesayangan saya - ini. Sememangnya ianya sangat manis-manis belaka. Seperti kata orang tua-tua, manisnya darah si bakal pengantin. Oh! saya tak pernah rasapun ya... hikhikhik

Cerpen-cerpen dalam Kerana Dia, Ratu Sehari ini pastinyalah bercerita tentang kisah nikah kahwin.  Ada kisah sedih, ada juga kisah gembira. Yang bila saya baca, saya juga ikut sedih dan gembira sama. Sebagaimana blurb ini...


Dari mana datangnya cinta?

Kerana Dia, Ratu Sehari – ceritanya seindah judulnya. Cinta itu bagai kupu-kupu, kan? Kalau dikejar ia terbang lari menjauh. Namun kalau tak dihiraukan, ia senang-senang saja bertenggek di atas bahu. Begitulah cinta! Kadang-kadang kalau sudah dalam hati sukar pula untuk diusir pergi. Cinta sejati, adalah cinta yang kukuh tersimpan sepanjang zaman. Kisah cinta tidak pernah serupa, tapi bermulanya tetap sama – dari mata turun ke hati.

Kait-berkait akar beringin,
     Di situlah banyak ular melata;
Nak kupesan pada angin,
     Sayangnya angin tak tahu berkata.

Ada yang berkata untuk apa rindu ini, jika sayapnya tidak dapat terbang jauh. Jadi marilah terbang jauh dengan ‘mendengar’ 40 cerpen yang manis, oleh penulisnya yang manis-manis tentunya.

‘Saksilah’ bagaimana 37 penulis Antologi Cerpen Adiwarna mengungkap fasal cinta dan kasih sayang; fasal bahagia dan duka lara; fasal indahnya menyimpan rasa! Banyak yang lucu-lucu, banyak yang indah-indah – sehingga yang membacanya jadi iri dan cemburu pada kisah cinta mereka. Dan... ramai pula yang bertanya, “Begitukah jadinya kalau hati sudah dicuri?” Jawapan saya: “Tanyalah pada penulisnya!”

Kerana Dia, Ratu Sehari hanyalah kisah orang-orang kecil tetapi di dalamnya terakam ‘petua hati’ sebagai teladan. ~ Noor Suraya



#tarikh-cantik-11-12-13#

Salam sayang,
0

Aidil Adha 2013

Salam semua,

Sambutan 10 Zulhijjah yang tidak lagi sama tanpa Abah disisi.  Mendengar alunan takbir raya sebelum solat sunat Aidil Adha terasa sayu tanpa suara Abah yang dirindui. Suara yang saban tahun menjadi santapan telinga, yang setiap saat dan ketika tatkala rindu akan dihubungi... Suara yang sudah tidak dapat lagi saya dengar di saat rindu datang menyesakkan rongga dada. Rindu yang tidak akan pernah usai...

Mengingati dia yang telah pergi benar-benar membuatkan air mata bergenang di kelopak, menunggu masa untuk mengalir di pipi.  Bersama selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, saya titipkan doa moga Abah dan Kak Ja yang telah terlebih dahulu menemui Penciptanya di tempatkan dalam kalangan para solihin dan mereka yang dikasihi-Nya.

Al-fatihah untuk dia yang saya rindu selama-lamanya...

Salam sayang,
0

Musibah

Salam semua,

Seringkali kita melihat di dada-dada akhbar, menontonnya di kaca-kaca tv, tapi bila berlaku pada diri kita sendiri baru kita tahu betapa trauma yang terpaksa kita hadapi.

Setiap yang berlaku ada hikmahnya... Ya trauma menjadi mangsa samun, saya cuba padamkan walau payah!  Moga setiap musibah yang berlaku pada saya ada hikmah yang tersembunyi.  Menjadi pengajaran buat saya, menjadi pedoman atas alpa saya... Moga DIA sentiasa akan berbaik hati menjaga saya dari sebarang musibah yang tidak mampu saya tanggung...

Salam sayang,
0

Demi Dia...

Salam semua,

Berdebar menunggu keputusan...


Salam sayang,
0

Main boling @ Adiwarna

Salam semua,

Semalam, Ahad saya join warga kerja JS Adiwarna main boling. Saja je lepak-lepak sambil bergumbira dengan kawan-kawan.

Lagipun sebelum ni saya ada buat rancangan dengan geng-geng ulatbuku. Plan nak buat potluck kat Taman Putra Perdana Putrajaya. Dan tarikh 8- September telah sebulat suara dipilih untuk kami bertemu mata, sambil berjamu selera.

Tapi bila saya ada hal pada hari tersebut, (cerita lengkapnya di sini) terpaksalah kami tangguhkan ke satu tarikh yang belum diputuskan lagi. Lagipun saya ada alasan lain juga yang saya rasa tak perlulah saya ceritakan di sini kan? Kiranya semalam adalah kali pertama saya jumpa kaksu, kakyah, Nawwir dan kawan-kawan yang lain selepas saya kehilangan abah.

Saya tawarkan diri main boling untuk grup 'Cintaku Luruh Di Oxford' yang pengurusnya Abang Rosdi dan dikawal selia oleh kaksu. Hikhikhik kelakar! Bukan kelakar apa, kelakar bila memikirkan saya bukannya terer main pun! Selain saya, peserta lain yang dalam grup ini ialah Syed Muzaffar (suami Nawwir), Fitri (staff Jemari Seni) dan Masyarah. Dan keputusan yang tidak disangka-sangka... grup kami menang! Tempat pertama lagi. Dapatlah hamper dan baucer buku RM40 setiap seorang. WOW! Yes, big WOW untuk grup CLdO!

Selain kumpulan kami CLdO, ada grup 'Coklat Manis dari Agia', grup 'Nak Kahwin Duit Tak Ada', grup 'Menantu Mithali' dan grup 'Suami Rebus Tak Empuk'. Nama kumpulan yang agak unik-unik semuakan?

Sebenarnya kumpulan kami bernasib baik sebab ada 2 hero yang jadi tukang cover pin saya yang tak jatuh-jatuh. Kalau tak masuk longkang kiri, dia bantai masuk longkang belah kanan.

Tapi apa-apapun memang seronok sungguh la semalam.

Tak sabar nak tunggu minggu depan 29 September nak join 'Hari Sahabat Jemari Seni' pulak. Tak sabar nak jumpa adik-adik manis saya, juga nak jumpa komrad ulatbuku juga.

Salam sayang
0

Selamat hari lahir Umi

Salam semua,

Selamat hari lahir Umi... moga panjang umur, diberikan kesihatan yang baik dan berpanjangan, dianugerahkan umur yang berkat dan dirahmati oleh-Nya dunia dan akhirat.

Salam sayang,
0

Dia adik bongsu saya...

Salam semua,
Tarikh 8-Sept-2013
Hantar Pak Ude, untuk pendaftaran sessi pengajian baru di Uitm Puncak Alam.

Selepas abah tak ada, Pak Ude (panggilan untuk dia oleh anak-anak buahnya yang seramai 19 orang ini) agak 'down'. Dia jadi pendiam, dia jadi tak banyak cakap. Memanglah sebelum ni pun dia agak pendiam berbanding dengan adik (lelaki) saya yang lain.

Mungkin sebab waktu itu (kematian abah - saya tak akan guna perkataan kematian, tapi kehilangan) dia yang dah habis buat diploma dan baru dapat offer sambung degree terfikir siapa yang akan biaya pelajaran dia yang selama 3 tahun itu.  Dia yang agak putus semangat nak sambung belajar, harus saya dan kakak-kakaknya yang lain meladeni karenahnya.

Hari pendaftaran, hari yang sepatutnya Mek dan Abah datang seperti yang dirancang untuk 'menghantar' dia masuk kolej. Sudahnya hanya saya sekeluarga dan Lili sekeluarga yang ada untuk hantar Pak Ude masuk kolej.

Owh! saya nak cerita tentang insiden yang berlaku sehari sebelum nak gi daftar Pak Ude. Inipun saya geram juga dengan Pak Ude, sebab suka buat kerja last minit! Dia sepatutnya 'sah'kan sijil-sijil yang harus dia bawa semasa sessi pendaftaran. Last minit punya pasal, hari sabtu, tak ada orang yang boleh 'sahkan' (syarat nak pegawai gred A) Janji dengan Kak Nik (sepupu belah abah yang kerja sebagai guru besar di SK Dengkil) dia kata dia boleh 'sahkan', jadi kami dengan yakinnya OK lah! Jadi lepas kerja, saya ke Alamanda (time nilah saya terserempak dengan my bestie tu) selain nak shopping barang untuk Pak Ude, juga sebab Kak Nik ni duduk di Precint 16 dekat dengan Alamanda. Jadi bila dah lewat petang, Lili telefon Kak Nik nak ke rumah dia, untuk urusan 'sah-mengesah' nih. TAPI nak dijadikan cerita, Kak Nik terlupa nak bawa balik 'chop nama'. Aah sudah! Dah la masa tu dah lewat petang. Mana nak cari lagi? Esok pagi-pagi dah nak kena bawa.

Telefon Nik Anuar suami Diyana (sepupu - anak Uncle), dia kata dia boleh 'sahkan', dia lawyer harusnya boleh la kan? PUN chop nama ada di pejabat. Hari dah nak malam... mana mahu cari orang untuk 'sahkan' ni? Nasib baik la saya ada 'komrad Ulat-Buku'. Geng yang terdiri daripada mereka yang bekerja dalam pelbagai sektor swasta apatah lagi awam. SITI AMIE, anda memang penyelamat! Terima kasih banyak-banyak pada Amie yang sanggup tunggu Lili datang ke UKM malam-malam buta semata-mata nak ambil tanda tangan dia yang mahal tu... epik sungguh 'perjalanan' nak daftarkan Pak Ude nih!

Oh! lupa nak cakap, Pak Ude sambung belajar di Uitm cawangan Puncak Alam. Ya, kampus baru yang terletak nun jauh di hujung negeri.  Pertama kali tengok tempat ni, agaknya Pak Ude dah tumpul semangat. Ya, lah dah la semangat yang ada pun tinggal 'nyawa-nyawa ikan', tengok tempat ni lagilah tak tahu apa nyawa lagi yang tinggal untuk dia... hikhikhik

Berkat kesungguhan Lili, berkat semangat Lili, akhirnya tanggal 8 Septembar 2013, Pak Ude akhirnya bergelar pelajar degre Uitm jurusan Grafic Design. (sebabnya beberapa bulan sebelumnya Pak Ude tinggal dengan Lili kerana kerja sementara jadi 'Pengurus Kedai' di kedai koperasi sekolah SERI/SEMI Abim di mana tempat Lili bekerja)

Lepas dia selesai daftar kolej, tunggu kawan dia habis daftar, masa untuk 'check-in' bilik.  Teman sebilik budak Kedah ambil Office Management. Oh! Ya, 'serumah' ada 4 bilik dan satu bilik menempatkan 2 orang pelajar dilengkapi dengan ruang tamu, 3 bilik air, tempat membasuh pakaian dan jemuran (yang amatlah kecik!).

Apa yang saya nak cerita, boleh pula dia tak bawa cadar katil dan selimut yang Lili dah letak kat tepi beg dia?! Nak marah/membebel pun bila terkenangkan yang dia datang pun bagaikan 'dipaksa' jadi haruslah saya sabarkan hati layan karenah dia. Oleh kerana semalam kami dah shopping kat Alamanda, dah siap beli bantal dan sarungnya, jadi ada la bantalnya sebab benda tu ada dengan saya! Lepas letak barang, bawa dia keluar cari cadar baru, selimut baru di samping cari benda lain seperti baldi, hanger dan seumpamanyalah.

Berada di kawasan penempatan baru, apa yang boleh kita harapkan, ya dak? Ada tu ada, tapi tak kena dengan selera dia.  Owh! Pak Ude ni boleh tahan jugak cerewetnya. Akhirnya dari Puncak Alam, kami patah balik ke Shah Alam (Giant), hingga ke IOI Mall Puchong untuk cari kelengkapan Pak Ude. Lewat petang baru hantar dia balik kolej semula. Berat hati, (sedih sebenarnya) nak tinggalkan Pak Ude tapi sampai bila nak 'manja'kan dia ya dak? Kena ajar dia hidup berdikari...

Salam sayang,
 
0

Bestie...

Salam semua,

Selepas hampir... (tak ingat bila tarikh akhir, tapi yang pasti dah lamaaaa) ada kot dalam 10 tahun lepas.

Kali akhir saya terserempak dengan kawan baik saya ini di komplek PKNS Bangi. Waktu itu office saya masih di Kampung Kwantung Baru, Sungai Chua, Kajang sebelum berpindah ke Puchong. Dari Sungai Chua saya ke Kompleks PKNS Bangi hanya untuk lunch. Ya, dulu bukan macam sekarang yang dah ada banyak rumah teres, rumah kedai dan pastinya banyak restoran-restoran halal yang tumbuh di  kiri kanan jalan hala ke Kompleks. Dulu, nak cari kedai makan halal memang susah di tempat saya kerja tu. Orang kajang mungkin tahu sekeliling Kampung Kwantung Baru (dulu) itu macam mana. Sekarang ni, saya pun tak tahu dah macam mana keadaan Kampung Kwantung Baru selepas office berpindah ke Puchong dan sejak itu tak pernah lagi jejak kawasan tu.

Dan tanpa di sangka, saya sekali lagi terserempak dengan dia di Alamanda, Putrajaya. Saya tidak sedar keberadaan beliau sehinggalah saya mendapat WhatsApp daripada dia...


Ya, saya memang teruja bila dapat kiriman daripada dia. Saya yang telahpun hampir sampai ke foodcourt, memang tujuan utama saya ke sana kerana nak makan steamboat kat Restoran Johnny's berpatah balik untuk cari dia. Setelah bertahun tak jumpa, rasa suka yang tak tergambar dengan kata-kata saya zahirkan dengan memeluk dia erat-erat. Nak hilangkan rasa rindu pada dia yang bertahun-tahun tak jumpa.

Dia, Rus Shazila Osman yang saya kenal ketika saya mula-mula menjejakkan kaki ke ITM Cawangan Manjung (sekarang dikenali sebagai UiTM dan telahpun berpindah ke Seri Iskandar Tronoh). Dia sahabat pertama yang saya kenal. Di saat saya rasa 'keseorangan' di 'dunia baru' ini dia hadir menghulurkan persahabatan. Di saat saya tercari-cari arah dia hadir menunjukkan jalan. Dia sahabat yang sangat memahami.

Ya, dia sahabat yang paling saya sayang. Walaupun kami ditakdirkan hanya setahun untuk bersama-sama mengharungi kesibukkan 'dunia pelajar'.  Dalam kelelahan menghadapi kuliah, mentelaah, membuat kerja kursus, membuat project studio, di samping mengejar dateline assignment, kami akrab. Bersama dalam susah dan senang, tika suka dan duka, perhubungan kami bertambah erat tanpa perlu kami mengucapkan kata sayang kerana rasa itu lahir dengan sendirinya.

Sendirian di tempat asing yang belum pernah dijejaki, apatah lagi pertama kali saya jauh daripada keluarga, menyebabkan saya harus menghargai mereka yang berada di samping. Teman-temanlah yang menjadi pendamping, menjadi tempat saya bergantung harap selain dari diri sendiri. Pengalaman mendewasakan kami. Susah senang, pahit manis kami harungi bersama. Sesungguhnya bersama dialah saya kenal erti sebuah persahabatan yang lebih 'dewasa', lebih akrab, lebih erat!

Dengan janji untuk jumpa lagi... saya terpaksa minta diri memandangkan saya ada hal lain lagi (selain makan). Insya-Allah persahabatan ini akan tetap utuh walau apa jua yang mendatang...

Buat Zila yang wan sayangi... moga terus suksess! Jangan lupa beritahu wan di negara mana kelak dia akan ditempatkan ok?! Sayang dia sangat-sangat!

Salam sayang,
0

Mengenangmu... #02

Salam sayang,

# di hari ke-4 pemergian abah #

Memandang sayu kerusi yang kini kosong, terbayang-bayang kelibat dia sedang membuat sarung golok, ternampak-nampak bayangannya membuat rehal, juga di saat dia hanya bersandar memejamkan mata
sambil membaca (hafal) ayat-ayat suci Al-Quran yang menjadi mainan bibirnya...

Oh! betapa rasa itu mencengkam kuat dalam rongga dada... menzahirkan kerinduan yang amat pada dia yang telah tiada...

Ya Allah, Ya Tuhanku...
Kau rahmatilah roh beliau...
Kau tempatkanlah dia dalam kalangan para kekasih-Mu
Kau masukkanlah dia ke dalam Jannah-Mu

Abah, Lila rindu abah!
Rindu sangat-sangat...

Yang akan tetap merinduinya
0

Mengenangmu... #01

Salam semua,
 
Hari ketiga pemergian ayahanda...
Dia yang ditinggalkan di kuburan...
Rasa hiba yang tetambak di dada sukar benar nak dilepaskan...

Saya yang tetap rindukan abah
0

Al-fatihah

Salam semua,

" Daripada DIA kita datang, kepada DIA kita akan kembali "

Dia lelaki yang paling saya kasihi, lelaki yang paling saya sayangi
dengan seluruh jiwa raga saya, telah kembali kepada kekasihnya - Sang Pencipta alam.

Perginya tak kembali...
Hilangnya tiada galang ganti...

Tiada kata yang dapat saya ungkapkan, tiada nada yang dapat saya zahirkan untuk menggambarkan rasa sedih yang beraja di hati.

Ya, ayahanda kesayangan saya telah pergi tinggalkan kami sekeluarga buat selama-lamanya. Pergi tinggalkan saya yang masih dahagakan belaian kasih sayangnya. Yang masih perlukan bimbingan dan kata-kata nasihatnya. Dalam sekelip mata, dia tinggalkan saya tanpa sempat kami ucapkan 'Selamat Tinggal'.

Dia insan istimewa yang Allah anugerahkan pada saya. Dia insan terbaik yang Allah pilih untuk jadi pembimbing dan pelindung saya. Yang akan saya bawa 'nama'nya dihujung nama saya selama-lamanya selagi hayat dikandung badan. Dia lelaki pertama yang saya 'kenal' sejak saya lahir ke dunia ini.  Dia yang sering 'memerhati', terlalu memahami setiap tindak tanduk anak-anaknya.

Oh! saya jadi rindu padanya. Rindu yang tidak akan pernah usai sampai kapanpun.

Al-Fatihah buat ayahanda kesayangan saya. Moga rohnya sentiasa diberkati, dirahmati dan ditempatkan dalam kalangan para solihin, para kekasih Allah.

Yang akan tetap merinduinya walau beribu tahun mendatang,
0

Kisah itu...

Salam semua,

Banyak sungguh yang saya nak cerita, tapi seperti biasalah, kesuntukan masa jadi alasan. Sangat cliche kan?

Ok, saya ceritakan satu persatu...

Memandangkan tahun ini giliran saya beraya kat Shah Alam dulu, jadi saya balik kampung pada hari raya kedua. Banyak agenda yang saya terlepas pandang dan salah satunya adalah 'family photo'.  Sungguh terlupa sangat-sangat. Tahun-tahun sudah, walaupun saya beraya di sini dulu, acara ambil gambar tetap kami adakan.

Oleh kerana adik saya Nini bersalin pada 27 Ramadan 1434 bersamaan dengan 5-Ogos-2013, jadi dia tak balik kampung raya kali ini. Jadi ikut perancangan awal, Mek dan Abah akan ikut saya balik KL untuk jenguk cucu baru mereka itu.  Tapi memandangkan saya balik lebih awal, saya plan dengan Lida yang akan balik ke Kluang untuk bawa Mek dan Abah singgah rumah Nini di Puchong dulu sebelum mereka balik ke Johor.

Mereka datang KL pada hari Jumaat 16-Ogos, Ghafar ambil Mek dan Abah di Ampang rumah kakak Korie dan bawa balik ke rumah mereka.  Jadi pada hari sabtu 17-Ogos lepas kerja saya akan ambil Mek dan Abah kat rumah Ghafar di Pantai Dalam dan bawa mereka ke rumah Kak Nik di Putrajaya sebelum ke rumah Nini di Puchong.


Ya, pada hari itu selain adakan rumah terbuka sempena Hari Raya, hari itu juga kerana meraikan Husna anak sulung Kak Nik yang mengikat tali pertunangannya. Selamat bertunang kak long Husna.

Seronok! Seronok sangat kerana waktu-waktu inilah kami dapat berkumpul dengan sepupu-sepupu. Borak-borak, makan-makan sambil berphoto bagai. Dah lewat petang baru kami bertolak ke rumah Nini di Puchong. Berkampung kat rumah Nini pula.

Hari Ahad 18-Ogos saya ada acara piknik di Putrajaya dengan geng Adiwarna, jadi tengah hari baru saya dapat ke rumah Nini.  Biasalah bila Mek dan Abah datang, kami akan berkumpul di rumah Nini al-maklum la rumah saya, rumah 'sarang burung' jadi agak tidak selesa untuk Mek dan Abah. Petang tu, sepupu belah abah iaitu Kak Nik dan anaknya Husna, Rani dan anaknya Ain, Hidayah sekeluarga, Adli sekeluarga, Hisyam dan isteri serta Mok Long Kak Wae datang untuk tengok baby Nini. Oh ya, Muharram dan keluarga juga datang saing keluarga arwah Pok Long.

Saya balik rumah dah lewat malam memandangkan esoknya nak kerja dan Aysha nak sekolah.  Mek dan Abah masih ada kat rumah Nini. Ikutkan Mak Mizi, suruh Mek dan Abah stay sampai hujung minggu tapi biasalah Abah mana mahu duduk-duduk tanpa buat apa-apa kerja.  Bosan!  Daripada nak balik hari selasa, jadi hari rabu, Nini beli tiket MAS untuk Mek dan Abah.

Oleh kerana hari bekerja, awal-awal lagi saya pesan ke Nini suruh cari last flight kalau ada.  Bukan apa, memandangkan saya yang akan hantar Mek dan Abah ke airport, lebih baik ambil yang lewat sikit jadi sempatlah Sirman balik dari kerja dulu.  Nasib baik ada! Penerbangan KL-KB dengan penerbangan MAS pukul 10.25 malam.

Saya awal-awal lagi dah online check in supaya tak terkocoh-kocoh jika ada aral.  Lebih kurang jam 8.30 malam kami bertolak ke airport. Oleh kerana kesuntukkan masa, sirman drop kami kat depan pintu masuk dan saya bawa Mek dan Abah cari kaunter untuk check-in luggage.  Selesai urusan di kaunter saya bawa mereka ke pintu masuk untuk pemeriksaan kastam sebelum mereka masuk ke balai perlepasan.

Sayu rasa hati nak lepaskan mereka balik. Cium tangan Mek dan Abah. Cium pipi Mek dan Abah. Dalam hati dah sarat dengan rasa sedih. Tahan mata agar tidak tumpahkan airnya di tengah-tengah balai berlepas ini. Lagipun dan janji dengan Abah nak balik makan durian hujung bulan ni sempena cuti hari merdeka. Saya lepaskan mereka dengan berat hati. Saya tunggu hingga kelibat mereka hilang daripada pandangan mata ini. Sedih tau! Nak-nak bila kita nak lepaskan mereka yang kita sayang.

'Bye-bye Mek! Bye-bye Abah! Tunggu Lila balik hujung minggu ini ya!'

Dalam perjalanan balik dari airport, saya dapat panggilan daripada Mek mengkhabarkan yang flight mereka delay! Daripada pukul 10:25 ke pukul 10:45 malam. Wah! dalam sejam juga mereka harus melepak dalam tu... Dalam pada itu sempat juga saya call adik saya Ijat yang akan ambil Mek dan Abah di Airport Pengkalan Chepa. Bukan apa, takut dia tertidur aje!

Lebih kurang jam 12.15 pagi, dapat panggilan daripada Mek mengkhabarkan yang mereka sudah dalam perjalanan balik ke rumah. Alhamdulillah...

Salam sayang,
0

Piknik @ Adiwarna

Salam semua,

Piknik bersama geng Adiwarna di Taman Putra Perdana, Putrajaya sangatlah meriah!
Meriah dengan makanan, juga meriah dengan 'sembang buku'
Terima kasih pada JS Adiwarna yang menjayakan acara yang sangat gemilang ini...
Dapat jumpa komrad ulat-buku, juga dapat kenal adik-adik (baru) yang minat buku... adalah satu kenangan yang sangatlah mengujakan!


Salam sayang,
0

Selamat hari raya Aidil Fitri 2013

Salam semua,

Selamat Hari Raya Aidil
Minal Aidil Wal Faizin
Mohon Maaf Lahir & Batin



[ Note: Tahun ni giliran saya beraya di Shah Alam, jadi tak adalah saya ambil cuti awal. Lagipun cuti saya tinggal tak berapa hari saja lagi untuk tahun ni.  Jadi lebih baik saya ambil cuti lepas raya, dapat saya beraya banyak hari sikit kat kampung.  Alaa Usj - Shah Alam kan sekangkang kera aje? Ok la kan? Balik pagi raya pun boleh dak? hikhikhik ]

Salam sayang,
0

Pesta Buku : Bahagian 3

Salam semua,

Pastinya kawan-kawan sedarkan bahawa sekarang ni musim pilihan raya yang ke-13 sedang hangat diperkatakan di setiap media cetak, media elektronik mahupun media sosial. Macam-macam cerita yang diperkatakan, dipertontonkan dan diheboh-hebohkan. TAPI kakwan tak akan bercerita tentang pilihan raya sebab kakwan ada acara yang lebih menarik perhatian untuk diambil peduli iaitu PESTA BUKU!!

Sebagaimana yang adik-kakak-abang tahu, hanya tinggal 4 hari sahaja lagi akan berlangsungnya Pesta Buku ini. Kakwan dah makin tak sabar nak sambutnya. Untuk kali ini, kakwan nak ber'kempen' untuk 'parti' JS Adiwarna pula.

Pelan Lokasi Adiwarna

Pelbagai hadiah menarik yang ditawarkan untuk adik-kakak-abang yang mengunjungi booth Adiwarna yang terletak di Dewan Mawar Aras 2, PWTC itu. Antaranya seperti di bawah ini. Wah! kakwan jadi rabun mata nak pilih! Ikutkan hati semuanya kakwan nak sebab semuanya comel-comel belaka.

~ hadiah ~

Selain daripada itu, kakwan dengar-dengar, penulis IMAEN juga ada sediakan hadiah menarik untuk pembeli buku di booth Adiwarna ini. Tapi ada syarat-syarat yang kena adik-kakak-abang patuhilah untuk dapatkan hadiah menarik ini. Jangan risau, syarat-syaratnya mudah sahaja!

~ promo ~

Kakwan dengar-dengar, ada penulis-penulis Adiwarna juga menunggu adik-kakak-abang semua. Jangan lepaskan peluang untuk bertemu dan beramah mesra dengan mereka ya. Jika adik-kakak-abang dah ada dalam ingatan nak jumpa sesiapa, boleh tengok jadual di bawah ini untuk memudahkan adik-kakak-abang buat perancangan nak jumpa hari apa, jam berapa. 

~ penulis bertugas ~

Jadi, adik-kakak-abang, jangan lepaskan peluang untuk datang ke booth Adiwarna tau! Selamat bergumbira ya adik-kakak-abang semua!!!

Sayang,
kakwan
0

Pesta Buku : Bahagian 2

Salam semua,

Kakwan masih lagi ingin berbicara tentang Pesta Buku yang akan berlangsung hujung bulan ini ya. Insya-Allah jika diizinkan, kakwan ingin berjumpa dengan kawan-kawan dan adik-adik semua.  Jika ada jodoh, kawan-kawan dan adik-adik akan nampak kelibat kakwan menyibuk di booth ini. Kakwan sangat berbesar hati jika adik-adik sudi tegur kakwan.

Lokasi Booth Jemari Seni
 
Daripada sok-sek sok-sek yang kakwan dengar, sesiapa yang memborong buku di booth Jemari Seni, pihak JS ada sediakan 'token' yang pada kakwan sangat menarik! Dan kakwan sendiri dah berderet senarai buku yang kakwan nak beli...

Promosi

Selain daripada itu, daripada bisik-bisik yang kakwan dengar daripada bos JS, para penulis mereka juga akan bertugas sempena Pesta Buku kali ini. Jika adik-adik rasa teringin nak jumpa mana-mana penulis JS, boleh tengok senarai jadual mereka kat bawah ni ya...

Jadual Penulis Bertugas

Jadi, jangan lepaskan peluang ini ya adik-adik. Mana tahu selain membeli buku, dapat hadiah dan dapat pula tanda tangan daripada penulisnya.

Jumpa adik-adik di sana??


Salam Sayang,
Kakwan,
0

Pesta Buku 2013

Salam semua,



Sedar tak sedar, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur datang lagi. Bagi pencinta buku pastinya sangat teruja dengan pesta yang menghimpunkan pelbagai jenis buku baik yang bergenre ilmiah mahupun yang berjenis fiksyen di bawah pelbagai syarikat penerbitan akan dihimpunkan di bawah satu bumbung... PWTC.

Sebagaimana tahun-tahun sudah, inilah masanya yang sangat-sangat saya nantikan. Selain untuk mencari buku/novel, ini juga waktunya saya dapat berkumpul dengan kawan-kawan yang mempunyai minat yang sama iaitu buku. Pesta ini akan berlangsung selama 10 hari bermula 26 April 2013 dan akan berakhir pada 5 Mei 2013. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk datang beramai-ramai memeriahkan lagi pesta ini.

Jumpa kalian di sana?? Jommm...

Salam sayang,


Ps: Dah lama tak menulis, terasa hilang seluruh kosa kata untuk ber'bicara'
0

Balik kampung


Salam semua,

Duduk berjauhan dengan keluarga ni, perkara yang paling cuak adalah bila dapat panggilan daripada kampung, ataupun daripada adik-beradik yang lain. Selalu ada rasa 'gerun' nak angkat telefon bila terpapar nama pemanggil (nama Abah, Mek, Lina, Lili, Lida mahupun Rose).

Begitulah apa yang saya rasa bila dapat panggilan daripada Lili, adik saya yang berada di Bangi. Mengkhabarkan perihal abah.  Katanya beberapa hari lepas Abah kena 'mild stroke' sebelah badan belah kanan kebas-kebas dan adalakanya dia tak boleh rasa apa-apa. Bagaikan terkena renjatan elektrik, hati saya berdebar dengan pantas, rasa cuak, rasa bimbang yang amat. Dalam hati tak putus-putus doa saya panjatkan agar keadaan abah baik-baik sahaja!

Keputusan dicapai, hujung minggu saya balik kampung! Balik kampung semata-mata untuk tengok Abah. Selagi tak tengok keadaan abah dengan mata dan kepala kita sendiri, selagi itu hati jadi tak senang. Buat semua benda jadi tak kena.

Bila saya sampai di kampung, orang pertama yang ingin saya lihat adalah Abah!. Tapi bila hanya Mek yang sambut kami, saya jadi cuak. Kerana yang tergambar dalam kotak fikiran saya, abah yang terbaring sedang berehat. Bila ditanya; Abah mana? Jawapan Mek, sedikit sebanyak melegakan saya... "Eh! abah mu mana lagi... gi surau la..." 

Ya, surau yang berada selang beberapa rumah daripada rumah saya adalah 'rumah kedua' abah. Rutin abah, dari waktu Subuh hingga Isyak, jika tiada imam, abah lah yang menjadi imamnya. Itupun jika abah tak kerja laa...

Memandang figura abah yang sudah dimamah usia, saya jadi sayu. Saya tak ingin kehilangan abah. Abah masih saya perlukan untuk terus membimbing saya, menjadi tulang belakang saya, menjadi kekuatan saya. Ya, seharusnya tanggung jawab abah sudah selesai tatkala Sirman lafazkan akad, menukarkan saya daripada 'anak orang' kepada 'isteri orang'. Dan secara automatik tanggung jawab menjaga saya sudah berpindah bahu. Namun, hakikatnya saya tetap perlukan abah dalam hidup saya!

Memandang fizikal Abah yang seperti sedia kala, alhamdulillah... saya menarik nafas lega. Abah masih menjalankan rutin hariannya seperti sedia kala. Ke surau, ke kedai kopi, bahkan memandu ke Wakaf Bharu setiap hari jumaat masih dia lakukan. Cumanya, secara rasmi kami anak-anak putuskan abah sudah tak payah pergi kerja lagi. Ya, abah masih bekerja di sawmill. Jika dulu untuk mencari nafkah menyara kami adik-beradik yang masih belajar, tapi kini memandangkan hanya 2 orang anak abah yang masih belajar di Uitm, Abah bekerja hanya untuk mengisi masa lapangnya.

Untuk mengurangkan rasa bosan, abah membuat kerja-kerja tangan seperti membuat rehal & membuat sarung golok. Selama beberapa hari saya berada di kampung, dalam abah tak berapa nak sihat tu dia berjaya menyiapkan satu sarung golok...katanya itu adalah fisioterapi untuk tangan kanannya yang kebas-kebas dek serangan angin ahmar itu...

Ya, abah memang tak boleh duduk diam...

Salam sayang

Salam

Salam semua,

Ya Allah, lama sungguh tak berceloteh di sini. Sampaikan nak masuk rumah sendiripun sepertinya dah ingat-ingat lupa jalannya.

Bukannya tak ada cerita yang nak dikongsi, banyak! Tapi kekangan masa dan rasa malas yang terlalu menebal dalam hati membuatkan tiap kali nak menulis sepertinya hilang kata-kata. Sudahnya, tak jadi kerja...

Oh! sebelum lupa, Selamat Tahun Baru 2013 (ya ucapan yang sudah basi... tapi tak apalah) moga tahun 2013 menjanjikan sebanyak-banyak kebaikan untuk kita semua.

Sebagai 'ulat buku' yang sudah hilang 'gatal'nya, kita cuba untuk menyahut cabaran membaca 80 buah buku untuk tahun 2013. Tapi tak tahulah dapat capai ke tidak bila melihatkan pola membaca yang sekejap OK sekejap lagi KO. Itu belum lagi buat resensi novel untuk berkongsi dengan pembaca yang lain. Rasanya kita hanya mampu membaca aje kot... *sigh*

Oh! hujung bulan Januari yang lalu kita berkesempatan melawat Bali, Indonesia bersama komrad Ulatbuku. Nanti (tak tahu bila) kita akan berkongsi pengalaman ketika di Bali ya. Pemandangannya, masyaAllah cantik sungguh! Cumanya nak makan aje agak susah sikit, tapi masih boleh diatasi.

Apa lagi ya yang nak ditulis? Sepertinya sudah hilang kosa kata nak menulis. Hairan sungguh kita pada mereka yang boleh menulis panjang lebar tu...

Oklah otak dah tepu, sebelum ia terus jammed lebih baik kita undur diri... daaaaa

Salam sayang,
Back to Top