Selepas hampir... (tak ingat bila tarikh akhir, tapi yang pasti dah lamaaaa) ada kot dalam 10 tahun lepas.
Kali akhir saya terserempak dengan kawan baik saya ini di komplek PKNS Bangi. Waktu itu office saya masih di Kampung Kwantung Baru, Sungai Chua, Kajang sebelum berpindah ke Puchong. Dari Sungai Chua saya ke Kompleks PKNS Bangi hanya untuk lunch. Ya, dulu bukan macam sekarang yang dah ada banyak rumah teres, rumah kedai dan pastinya banyak restoran-restoran halal yang tumbuh di kiri kanan jalan hala ke Kompleks. Dulu, nak cari kedai makan halal memang susah di tempat saya kerja tu. Orang kajang mungkin tahu sekeliling Kampung Kwantung Baru (dulu) itu macam mana. Sekarang ni, saya pun tak tahu dah macam mana keadaan Kampung Kwantung Baru selepas office berpindah ke Puchong dan sejak itu tak pernah lagi jejak kawasan tu.
Dan tanpa di sangka, saya sekali lagi terserempak dengan dia di Alamanda, Putrajaya. Saya tidak sedar keberadaan beliau sehinggalah saya mendapat WhatsApp daripada dia...
Ya, saya memang teruja bila dapat kiriman daripada dia. Saya yang telahpun hampir sampai ke foodcourt, memang tujuan utama saya ke sana kerana nak makan steamboat kat Restoran Johnny's berpatah balik untuk cari dia. Setelah bertahun tak jumpa, rasa suka yang tak tergambar dengan kata-kata saya zahirkan dengan memeluk dia erat-erat. Nak hilangkan rasa rindu pada dia yang bertahun-tahun tak jumpa.
Dia, Rus Shazila Osman yang saya kenal ketika saya mula-mula menjejakkan kaki ke ITM Cawangan Manjung (sekarang dikenali sebagai UiTM dan telahpun berpindah ke Seri Iskandar Tronoh). Dia sahabat pertama yang saya kenal. Di saat saya rasa 'keseorangan' di 'dunia baru' ini dia hadir menghulurkan persahabatan. Di saat saya tercari-cari arah dia hadir menunjukkan jalan. Dia sahabat yang sangat memahami.
Ya, dia sahabat yang paling saya sayang. Walaupun kami ditakdirkan hanya setahun untuk bersama-sama mengharungi kesibukkan 'dunia pelajar'. Dalam kelelahan menghadapi kuliah, mentelaah, membuat kerja kursus, membuat project studio, di samping mengejar dateline assignment, kami akrab. Bersama dalam susah dan senang, tika suka dan duka, perhubungan kami bertambah erat tanpa perlu kami mengucapkan kata sayang kerana rasa itu lahir dengan sendirinya.
Sendirian di tempat asing yang belum pernah dijejaki, apatah lagi pertama kali saya jauh daripada keluarga, menyebabkan saya harus menghargai mereka yang berada di samping. Teman-temanlah yang menjadi pendamping, menjadi tempat saya bergantung harap selain dari diri sendiri. Pengalaman mendewasakan kami. Susah senang, pahit manis kami harungi bersama. Sesungguhnya bersama dialah saya kenal erti sebuah persahabatan yang lebih 'dewasa', lebih akrab, lebih erat!
Buat Zila yang wan sayangi... moga terus suksess! Jangan lupa beritahu wan di negara mana kelak dia akan ditempatkan ok?! Sayang dia sangat-sangat!
Salam sayang,
0 comments:
Post a Comment