0

Kerana Dia, Ratu Sehari

Salam semua,


Wah! lama tak bersua di sini... ada sedikit rasa rindu nak berkicau di sini, tapi apakan daya kekangan masa tidak memungkinkan saya bercanda di sini sesuka hati. Ok. Kali ini saya nak uar-uarkan tentang buku terbaru terbitan Js Adiwarna.

Antologi cerpen yang memuatkan 40 buah cerpen ini didatangkan dalam dua cover yang sangat cantik. Merah dadu (pink) dan biru firus (turquoise) untuk dipilih. Jika anda rasa jiwa anda penuh rasa kelembutan, anda boleh pilih merah dadu.  Jika anda rasa anda punya jiwa yang kental anda boleh pilih biru firus. Tapi jika anda pilih (dan beli kedua-duanya) anda sememangnya sangat awesome! hahaha

 

Saya sudah beli. Saya juga sudah baca kesemua cerpen-cerpen yang termuat dalam naskhah yang diselenggarakan oleh Noor Suraya - penulis kesayangan saya - ini. Sememangnya ianya sangat manis-manis belaka. Seperti kata orang tua-tua, manisnya darah si bakal pengantin. Oh! saya tak pernah rasapun ya... hikhikhik

Cerpen-cerpen dalam Kerana Dia, Ratu Sehari ini pastinyalah bercerita tentang kisah nikah kahwin.  Ada kisah sedih, ada juga kisah gembira. Yang bila saya baca, saya juga ikut sedih dan gembira sama. Sebagaimana blurb ini...


Dari mana datangnya cinta?

Kerana Dia, Ratu Sehari – ceritanya seindah judulnya. Cinta itu bagai kupu-kupu, kan? Kalau dikejar ia terbang lari menjauh. Namun kalau tak dihiraukan, ia senang-senang saja bertenggek di atas bahu. Begitulah cinta! Kadang-kadang kalau sudah dalam hati sukar pula untuk diusir pergi. Cinta sejati, adalah cinta yang kukuh tersimpan sepanjang zaman. Kisah cinta tidak pernah serupa, tapi bermulanya tetap sama – dari mata turun ke hati.

Kait-berkait akar beringin,
     Di situlah banyak ular melata;
Nak kupesan pada angin,
     Sayangnya angin tak tahu berkata.

Ada yang berkata untuk apa rindu ini, jika sayapnya tidak dapat terbang jauh. Jadi marilah terbang jauh dengan ‘mendengar’ 40 cerpen yang manis, oleh penulisnya yang manis-manis tentunya.

‘Saksilah’ bagaimana 37 penulis Antologi Cerpen Adiwarna mengungkap fasal cinta dan kasih sayang; fasal bahagia dan duka lara; fasal indahnya menyimpan rasa! Banyak yang lucu-lucu, banyak yang indah-indah – sehingga yang membacanya jadi iri dan cemburu pada kisah cinta mereka. Dan... ramai pula yang bertanya, “Begitukah jadinya kalau hati sudah dicuri?” Jawapan saya: “Tanyalah pada penulisnya!”

Kerana Dia, Ratu Sehari hanyalah kisah orang-orang kecil tetapi di dalamnya terakam ‘petua hati’ sebagai teladan. ~ Noor Suraya



#tarikh-cantik-11-12-13#

Salam sayang,

0 comments:

Back to Top