0

Chutti-2-Nepal [Siri Jelajah Nepal #5] Nagarkot - Bhaktapur

Assalamualaikum wbt
[cerita sebelumnya di sini]

Hari kelima [Isnin, 21 Nov] 💛 Nagarkot - Kathmandu

Selamat pagi Nagarkot!

Suhu yang sangat sejuk, hinggakan nak masuk bilik air pun terasa ngilu kaki yang memijak lantai simen.  Saya gigihkan juga diri demi menyaksikan munculnya fajar pagi. Apa yang istimewanya di sini, saya tidak perlu keluar daripada bilik hotel demi berburu sunrise, kerana sang matahari pagi muncul boleh dilihat hanya dari beranda bilik. Jadi pagi ini kami hanya menanti terbitnya matahari hanya dengan santai-santai di bilik (dan saya bersiap ala kadar) demi menunggu munculnya matahari. Tapi anda juga punya pilihan lain untuk menikmati saat munculnya sang mentari kerana di sekitar Nagarkot itu sendiri terdapat beberapa lokasi yang menjadi pilihan pengunjung dari serata negara. Dan pilihan saya adalah yang aman-aman sahaja... hahaha

Tatkala garisan jingga muncul dari balik banjaran gunung... Subhanallah... indahnya alam ini! Terima kasih Ya Allah, kerana masih berbaik hati memberi pinjam 'ruh' ini untuk saya terus bernafas di bumi-Mu ini...

pandangan dari kamar penginapan
saat munculnya sang mentari pagi
Himalayan Range, menganjur daripada Daulagiri di sebelah barat merentasi Everest hingga ke Kanchenjunga di sebelah timur dan garisan alam ini sebahagiannya dapat dilihat dengan jelas dari bilik hotel ini.

Selesai acara menunggu terbitnya mentari, saya bersiap untuk makan pagi dan sekaligus check out daripada hotel untuk acara yang selanjutnya.

berfoto sebelum meninggalkan Hotel yang mempunyai panorama yang sungguh mempesonakan ini...

berswafoto di depan hotel penginapan

Tiba saatnya saya harus ucap selamat tinggal pada Hotel Country Villa yang telah merakamkan satu lagi pengalaman manis dalam hidup saya. Perasaan saya bercampur baur antara sedih dan teruja. Sedih kerana harus tinggalkan tempat yang indah ini dan teruja untuk terokai tempat baru yang pastinya menjanjikan 1001 pengalaman baru untuk saya.

❤💚❤💚❤

Destinasi seterusnya untuk hari kelima ini adalah Bhaktapur. Terletak kira-kira 30km daripada bandar Kathmandu merupakan antara 3 bandar terpenting di Nepal selain Kathmandu dan Patan.

'Pintu masuk' ke Bhaktapur City

Bhaktapur, kota tua yang dilindungi Unesco ini terkenal dengan senibina bangunan yang unik dan penuh berseni.  Kota ini terkenal dengan jolokan 'Living Heritage' selain 'City of Devotees' dan 'City of Culture' kerana di'dalam'nya terdapat monumen-monumen yang sarat dengan sejarah dan menyimpan ceritanya yang tersendiri.

Untuk melihat apa yang ada di balik gerbang itu, bayaran dikenakan kepada setiap pengunjung. Seperti kita, pelancong ini dikenakan bayaran sebanyak USD15 atau Rupee 1500. Agak mahal juga jika dicongak hanya sekadar ingin melihat bangunan-bangunan yang ada di dalamnya.  Tetapi tatkala kaki melangkah memasuki gerbang yang memisahkan kota Bhaktapur, saya tahu, saya tak akan menyesal membayar lebih kurang RM70.

Apa yang dapat saya lihat, kebanyakan bangunan yang ada, dibina berasaskan batu bata merah - terra cotta (ini sekadar pemerhatian saya sahaja).  Pintu-pintu, tingkap-tingkap berasaskan kayu yang diukir cantik menghiasi hampir setiap bangunan yang ada.  Saya tidak pasti sama ada bangunan-bangunan ini adalah binaan asal ataupun bangunan yang telahpun dibaikpulih akibat musnah dek gempa bumi yang pernah di alami oleh negara ini beberapa kali.

Menelusuri laluan tanah tanpa tar di antara bangunan-bangunan yang terdapat di kota ini, meninggalkan kesan yang tersendiri pada saya. Saya membayangkan bagaimana kehidupan di kota ini pada masa lalu. Dapat lihat aktiviti-aktiviti harian penduduk dijalankan secara santai di setiap 'pintu rumah' masing-masing. Selain aktiviti pertukangan tangan (seni ukiran kayu), pembuatan tembikar, mahupun aktiviti jual beli barangan makanan seperti kuih-muih, buah-buahan hinggalah ke barang basah (ya, ikan pun ada!). Pendek kata semua ada di sini.

Biar gambar yang bercerita...



 










Walau bagaimanapun ekoran kejadian gempa bumi yang melanda Nepal tahun 2015 kesan-kesan runtuhan masih jelas kelihatan berselang seli dengan kerja baikpulih yang sedang giat dijalankan. Keadaan persekitaran yang berhabuk dan berdebu selain kerja-kerja baikpulih agak menyesakkan pandangan, Namun pengalaman yang dikutip amatlah berharga untuk kita jadikan kenangan dan ingatan.

💚❤💚

Satu lagi tempat yang kami sempat lawati adalah Boudnath Stupa. Ia terletak kira-kira 6km daripada Kathmandu.  Boudnath Stupa ini adalah antara stupa yang terbesar di sini. Ia juga dikenali dengan nama Khasti. Tak banyak yang saya ambil tahu di sini memandangkan ianya penuh dengan hal-hal/manusia yang sedang melakukan ritual ikut cara mereka.

The Eyes of Boudnath Stupa
Aktiviti hari ini berakhir dengan berakhirnya lawatan ke Boudanath Stupa ini.  Sepatutnya ada satu tempat lagi yang ada dalam agenda tetapi kami ambil keputusan untuk melupakannya... melawat ke Patan City. Memandangkan tempatnya juga lebih kurang sama dengan tempat-tempat yang telah kami lawati hari ini... bandar yang sarat dengan elemen agama anutan mereka.

Oh! Di sini, saya dan ahli rombongan sempat singgah membeli sedikit cenderahati untuk teman-teman dan sahabat-sahabat yang ditinggalkan di bumi Malaysia. Apa yang menariknya, kedai yang menjadi tumpuan kami itu rupa-rupanya dimiliki oleh pasangan adik-beradik, dan si adiknya pernah bekerja di Malaysia (Mydin Klang kalau tak silap) jadi dengan mudah kami tawar menawar dalam bahasa Melayu!

💚❤💚❤

Tapi apa yang paling saya suka sepanjang lawatan untuk hari ini adalah bergambar kenangan...

ahli rombongan yang sangat best!
semarak bunga kertas, semarak itulah kasih sayang ukhawah kami


Hingga kita jumpa lagi...

Salam sayang,


0 comments:

Back to Top