0

Chutti-2-Nepal [Siri Jelajah Nepal #3] Pokhara

Assalamualaikum wbt
[sambungan dari sini]

Hari Ketiga [Sabtu, 19 Nov] 💛 Pokhara

gelap pagi menuju tempat tinjauan
Sebagaimana yang dirancang, seawal jam 4.30 pagi saya sudah bangun dan bersiap demi untuk mengejar waktu matahari terbit yang dijangka muncul jam 6.33 pagi. Perjalanan menaiki bas menuju Sarangkot, port yang menjadi tempat tinjauan/check point untuk menanti matahari muncul mengambil masa lebih kurang satu jam (waktu pagi dengan trafik yang bergerak lancar).

Memandangkan kami hanya akan makan pagi sekembali daripada berburu sunrise, saya bawa bekal biskut sebagai alas perut. Saya ni ada penyakit gastrik, jadi untuk mengelakkan sakit menyerang dan sekaligus mencacatkan percutian ini, saya harus berjaga-jaga.  Orang putih kata "prevention is always better than cure".  Dalam keadaan badan yang tak cukup rehat dan tak cukup tidur, saya tetap bersemangat.  Bukan selalu kita ada peluang untuk datang ke tempat orang ya tak?

Perjalanan menaiki bas, hanya sampai pada certain tempat sahaja, selebihnya kami harus jalan kaki mendaki ke atas, ke tempat yang dikhaskan untuk menanti munculnya matahari. Dalam keadaan cuaca pagi yang cukup dingin, saya yang bukan jenis athletic ini agak tercungap-cungap juga la untuk sampai.  Salah satu petua saya untuk simpan tenaga ketika mendaki, jangan bercakap dan teruskan berjalan... hahaha  Dari manalah agaknya para pendaki yang berjaya menawan puncak itu dapat kudrat ya? Jawapan mudah, melalui latihan... ahaks!

Oleh kerana bukan hanya kami yang berburu matahari muncul, jadi kami terpisah... saya bersama kakyah, Meina dan Leili, ahli lain saya tak pasti di mana mereka (kami jumpa semula selepas itu). Saat menyaksikan matahari muncul dari celah-celah gunung, tiada kata yang dapat menggambarkan perasaan saya tika dan saat itu.  Subhanallah... Maha Suci Allah yang menciptakan alam yang serba indah ini...

Banjaran gunung yang terbentang di depan mata di selaputi sisa salji yang memutih, di kaki gunung aliran sungai mengalir, berbalam-balam kediaman penduduk nun jauh di bawah sana... adalah satu pemandangan yang sungguh menakjubkan.

Biarlah gambar-gambar yang berbicara bagi pihak saya...

sunrise di Sarangkot


'fish tail'


Apaliba matahari semakin bersinar terang, menerangi kawasan yang sebelum ini gelap... kami bergerak turun untuk bergabung dengan ahli rombongan yang lain.  Bila kawasan sekitar makin cerah, makin cerah juga mata saya melihat deretan kedai yang menjual pelbagai jenis barangan. Apa yang menarik perhatian saya adalah deretan kedai yang menjual Pashmina yang cantik-cantik dan lawa-lawa.  Di sini walaupun harganya agak mahal (sehelai Pashmina jenis cashmere yang saya beli berharga Rupee1,600 bersamaan dengan RM80), saya sempat beli 3 helai selepas tergoda tengok coraknya yang cantik-cantik. Leka memilih kain, saya lupa nak ambil gambar sekitar kawasan anjung tinjau itu.

sementara menunggu Leili yang masuk ke dalam gua,
kami ambil kesempatan berswafoto
Dalam perjalanan kembali ke hotel penginapan, kami singgah di Mahendra's Cave.  Saya pun tak tahu apa sejarah tempat ini.  Katanya dalam gua sana ada patung hindu - Lord Shiva (hahaha ampunkan saya... apabila perut lapar, satu apapun yang Sujan dok cakap saya tak ambil perhatian!)  Apa yang boleh saya lihat dan andaikan, di situ terdapat gua yang boleh dimasuki/dijelajahi tapi harus masuk ke dalam lubang/pintu yang agak sempit dan jauh ke dalam sana.  Saya tak masuk pun sebabnya... saya takut/cuak... hahahaha Tapi ketika kami sampai, segerombolan anak-anak remaja sekolah datang menyerbu tempat itu.  Oleh kerana hanya seorang ahli rombongan kami Leili yang agak adventure masuk ke dalam sana, jadi kami yang menunggu di luar gua ini hanya berjalan santai di sekeliling kawasan tersebut. (tak adalah besar manapun kawasan tersebut - 10 minit jalan-jalan dan pusing-pusing sudah siap!)

Kami kembali ke hotel penginapan untuk makan pagi sebelum meneruskan agenda seterusnya. Kami ada satu hari ini untuk menjelajah tempat-tempat menarik di Pokhara ini.

Aktiviti seterusnya adalah Boating at Phewa Lake.  Acara menaiki bot mengelilingi tasik ini tidaklah seperti kita naik bot di Taman Tasik Titiwangsa.  Satu bot boleh muat 5 orang termasuk juru pandu bot.  Oleh kerana ahli grup kami 11 orang, jadi dengan Sujan sekali harus bersampan bersama kami. Bagaikan sepakat tanpa kata, bot kami, bot Pantai Timur, kerana ahli bot semuanya orang Klate - saya, kakyah, Meina dan Leili.  Sementara geng utara - Fidzah, Deena, Cik Sofiah dan Selvi satu bot dan ketua rombongan kami kaksu, bersama Abang Rosdi dan Nanan serta Sujan dalam satu bot lain. Walaupun ada rasa cuak untuk saya melangkah masuk ke dalam bot, tapi memikirkan  mungkin ini pengalaman sekali seumur hidup saya bersampan di tasik Phewa ini, saya kuatkan hati.

Saat bot bergerak perlahan di air yang tenang ini... pelbagai rasa mengisi dada.  Tapi saat terpandang pemandangan yang indah di depan mata, rasa cuak terus hilang diganti dengan rasa teruja. Padanlah Bandar Pokhara menjadi tumpuan ramai pelancong, keindahan alam semulajadinya memang tak tergambar dengan kata.

refleksi Gunung Annapurna yang boleh dilihat jelas melalui tasik Phewa





Ketika kami bersantai-santai mengelilingi tasik, nun di kejauhan gunung pelancong sedang melakukan aktiviti paragliding.  Buat pengetahuan semua, Nepal sangat terkenal dengan aktiviti-aktiviti lasak terutamanya hiking & trekking.  Malah aktiviti seperti bungee jumping, kayaking mahupun zip lining juga menjadi pilihan pelancong selain aktiviti-aktiviti santai seperti kami, boating & bas-ing (ronda menaiki bas) ahaks!

Kami bersampan berkeliling tasik lebih kurang 30 minit sebelum kembali ke daratan.  Alhamdulillah walaupun ada sedikit rasa gerun sebelum ini, tapi pengalaman yang saya kutip ini yang lebih bermakna.

Kemudian kami singgah di Tibetan Refugee Camp.  Di kem ini dijalankan perusahaan membuat karpet serta barang-barang kraftangan sebagai usaha untuk mengumpul wang bagi menampung perbelanjaan pelarian tibet ini. Memandangkan harga karpet yang tak mampu pada poket saya, jadi saya hanya beli beg sandang dan kotak pensil yang dibuat daripada kain untuk Aysha.

sejarah Davis Fall
Selepas itu, kami singgah di Davis Fall.  Pada awalnya ketika dengar perkataan Davis Fall daripada mulut Sujan, saya ingatkan Devi's Fall.  Ya lah, Nepal inikan majoritinya penganut Hindu ataupun Budha, jadi saya ingatkan Devi ini salah satu nama bagi patung-patung yang terdapat di situ. Bila sudah sampai ke sana dan baca penerangan tentang asal usul kejadian ini barulah saya tahu... ianya Davis bukan dieja Devi.

Davis Fall ini merupakan satu tempat tumpuan orang ramai yang datang ke sini untuk bersantai. Oleh kerana sabtu adalah hari cuti di Nepal, kebanyakkan rakyat tempatan yang mengambil peluang untuk bersantai di hujung minggu.

Apa yang menarik di sini, kita akan dapat lihat di mana air yang tidak tahu dari mana puncanya, mengalir di celah-celah batu (membentuk air terjun), mengalir ke dalam laluan sungai yang tidak tahu ke mana arahnya selepas melalui celah-celah rekahan batu. Kawasannya tak lah besar mana, dan oleh kerana ketika kami sampai, rakyat tempatan agak ramai memenuhi kawasan yang agak sempit dan berpagar besi itu agak sukar untuk saya ambil gambar kawasan itu.

Memandangkan masing-masing sudah lapar, kami kembali ke hotel penginapan untuk makan tengah hari.  Dan pada petangnya adalah acara bebas.  Acara bebas di sini bermakna, jalan-jalan tanpa Sujan di sekitar bandar Pokhara. Oleh kerana malam sebelumnya, tak semua kedai yang kami sempat singgah, haruslah deretan kedai yang terdapat di sepanjang jalan sekitar bandar Pokhara ini menjadi tujuan kami.

Ini antara gambar yang sempat saya rakamkan di sela-sela mata memandang barang jualan yang membuatkan mata saya rambang!

pelbagai jenis boots yang cantik
pashmina yang pelbagai corak dan warna
gambar-gambar
fish tail yang nampak jelas dari balik bangunan

Sepetang berada di sini, saya telah berbelanja suku daripada wang yang saya bawa. Saya jadi rambang mata melihat pashmina yang pelbagai jenis corak & warna serta kualiti kain daripada jenis wool, cashmere, silk hinggalah pada jenis cotton. Walaupun harganya bila di tukar pada ringgit malaysia, tak lah murah mana... tapi... huhuhu saya borong juga.

Saya teringin nak beli ponco (sejenis baju sejuk), saya dah berkenan dengan satu tu... warna merah, lining hitam (warna kegemaran saya) tapi bila tanya harga... saya telan air liur dulu... hahahaha memandangkan harganya sampai beratus-ratus ringgit duit kita, terpaksalah saya batalkan hasrat. Selain baju itu tidak sesuai untuk dipakai di negara kita yang panas lit-lit ini, kemungkinan saya beli dan simpan dalam almari sangat tinggi.  Ok kita simpan duit beli benda lain ya...

Kami menjejaki bandar Pokhara daripada cerah tanah, hinggalah wajah Pokhara bertukar gelap. Kami harus kembali ke bilik hotel untuk makan malam dan berkemas untuk check out daripada hotel esoknya.

Esok, kami akan menuju ke destinasi lain pula...

Salam sayang,

0 comments:

Back to Top