0

Chutti-2-Nepal [Siri Jelajah Nepal #2] Kathmandu-Pokhara

Assalamualaikum wbt
(sambungan daripada sini)

Eksplorasi menjelajah Nepal bersama Pakej 6 Hari 5 Malam bermula dengan hari kedua di bumi Nepal.

Hari kedua ini baru dapat berkenalan dan bersua muka dengan geng utara dan geng adik beradik. Walaupun sebelum berangkat ke Nepal, kami pernah aje berhubung melalui grup whatsApp yang kaksu buat khas untuk tujuan hebahan atau info, apa yang patut kami ahli rombongan buat/sediakan. Ya, semalam mereka tiba sudah agak lewat malam dan saya barangkali sudah selamat belayar ke awan biru... ahaks! 

Hari kedua [Jumaat, 18-Nov] 💚 Kathmandu - Pokhara

Aturcara untuk hari kedua ini adalah ke Pokhara.  Pokhara merupakan bandar kedua terbesar di Nepal. Selain menyajikan keindahan alam semulajadi yang menarik, Pokhara juga adalah pintu gerbang yang menjadi tumpuan para pendaki yang ingin menawan puncak Annapurna.

Pokhara terletak di sebelah Barat Kathmandu. Untuk sampai ke Pokhara daripada Kathmandu, ada pelbagai cara, sama ada dengan menaiki domestic flight,  laluan air (berkayak) ataupun melalui jalan darat iaitu sebagaimana perjalanan yang kami ambil, menaiki bas.

Kathmandu - Pokhara dihubungkan oleh lebuh raya Prithvi yang mempunyai dua lorong sahaja. Bayangkan perjalanan sejauh lebih kurang 200km dengan menaiki bas memakan masa 7 hingga 8 jam bahkan boleh jadi bertambah panjang lagi masa bergantung pada keadaan trafik. Jangan lupa ya, jalan raya mereka dibina di lereng-lereng gunung, memandangkan bentuk muka buminya berbukit bukau. Sementelah laluan yang menghubungkan Kathmandu dengan Pokhara ini sangat sempit dan berliku di lereng-lereng gunung (hanya muat 2 lorong tanpa rezab jalan yang sepatutnya - dan di salah satu bahu jalannya terdapat gaung), kenderaan yang bertali arus dengan bas-bas, lori-lori (hantu) bahkan kenderaan-kenderaan persendirian, antara faktor utama yang membataskan pergerakan lalu lintas.

Bas yang harus patah balik kerana memasuki laluan
bertentangan dan disebelahnya adalah gaung/lereng gunung

tanpa sebarang penghadang hanya sekadar batu jalan separas betis
Satu yang saya perhatikan, pemandu di sana suka guna taktik 'memandu ikut suka hati dia sahaja'. Anda bayangkan ya, jalan yang hanya mempunyai dua lorong (sehala pergi dan sehala lagi balik) dan kalau ikut peraturannya hanya boleh dilalui oleh sebuah kenderaan arah pergi dan sebuah lagi kenderaan hala pulang, tapi mereka boleh aje memotong barisan walaupun tahu di depan sana jalan sesak dan tiada ruang untuk mereka mencelah masuk. Apabila kenderaan arah bertentangan datang, sama ada kita harus beri jalan pada mereka untuk menyusup masuk ataupun kenderaan arah bertentangan kena tunggu untuk beri peluang pemandu ini masuk barisan balik. 

Satu lagi pengalaman yang pada saya agak menggetarkan jiwa (kecut perut sebenarnya... hahaha).  Tapi saya harus bagi tabik spring kepada pemandu bas yang membawa kami ini. Cekap!  

Sememangnya perjalanan Kathmandu-Pokhara ini sendiri adalah satu 'adventure' bagi saya.  Tak perlu mendaki gunung untuk merasai 'adrenaline rush' cukup sekadar menaiki bas dan rasai sendiri kengeriannya... hahahaha 

sebahagian daripada kami yang terlebih adventure
meneroka kawasan belakang restoran yang kami singgah.
Setelah ber'penat-lelah' menata jantung dengan perjalanan menaiki bas ini, kami berhenti untuk makan tengah hari di Chinese Restaurant Highway. Satu tempat persinggahan yang agak mendamaikan jiwa.  Cuaca yang nyaman dan sejuk menyambut kedatangan kami.  Ketika rombongan kami singgah, hanya kami sahaja yang menjadi pelanggan atau mungkin masa masih awal untuk makan tengah hari?  Tapi waktu makan sepertinya sudah sampai waktunya apabila jam biologi (perut saya) sudah beri signal - lapar! 

Tapi sebelum menjamu selera, kami sempat mengintai kawasan belakang restoran yang mana terdapat anak sungai yang airnya mengalir tenang dan dingin.  Oh! untuk sampai ke anak sungai ini, laluannya agak tersorok dan sedikit sukar (rasanya tak ada pelancong yang singgah kot, kecuali kami kerana laluannya memang tak proper) dan terdapat beberapa orang pekerja tempatan yang sedang membersihkan semak samun di kawasan tersebut.

Sajian lengkap pertama yang saya makan di Nepal.  Alhamdulillah, mungkin kerana perut yang lapar, makanan itu terasa sedap aje di tekak saya! Makanan untuk vegetarian menjadi menu kami pada tengah hari itu. (Maaf lupa nak ambil gambar makanan kerana perut sudah lapar, apapun tak ingat dah, kecuali makan. Hahaha)

Perjalanan diteruskan.

antara lukisan alam yang sempat saya potretkan dalam
perjalanan menaiki bas dengan handphone
Sepanjang jalan menuju Pokhara, selain jalannya yang berliku dan penuh 'onak' sedikit sebanyak rasa gerun itu terubat dengan lukisan alam yang tak tergambar dengan perkataan. Subhanallah, indahnya bumi ciptaan Allah ini. Rasanya inilah petualang yang sangat bermakna pada saya.  Ada rasa suka di celah-celah rasa ngeri.  Pendek kata pemandangan di kiri kanan jalan sepanjang perjalanan ini sedikit sebanyak mengubat rasa dan kadang-kala melalai dan mengalih rasa kita pada jalan yang berliku itu.

Perjalanan menuju destinasi yang pastinya terakam sejuta kenangan dan inspirasi. Sesungguhnya perjalanan ini juga bagaikan membawa saya kembali pada zaman saya di tahun 80-an.  Kehidupan yang serba sederhana, tanpa teknologi canggih yang kadang kala melalaikan, tanpa kemudahan asas yang serba sempurna. Tapi saya bahagia aje dengan keadaan itu (pada zaman itulah) kerana orang-orang yang saya kasihi sentiasa ada depan mata. 

antara penempatan yang sempat saya potretkan dari dalam bas
Perkampungan yang dibina sepanjang laluan utama ini memperlihatkan bagaimana corak hidup mereka yang serba sederhana. Rumah-rumah yang dibina secara tradisional yang serba asas dan terbatas (saya diberitahu, sumber bekalan elektrik juga terhad pada waktu-waktu tertentu sahaja). Tanah kosong di sekeliling rumah, dijadikan kebun sayur yang akan menjadi sumber makanan pada keluarga ini. Tertangkap juga pada mata saya, binatang ternakan yang dibela. Selain daripada itu, punca bekalan air pula terletak di tepi jalan utama. Di tepi jalan inilah, aktiviti membasuh kain serta mandi-manda dilakukan


Inilah kehidupan.  Hidup yang dijalani seadanya...

Sepertinya hidup kita ini, tidak hanya jalan lurus di depan mata, akan ada selekoh yang harus kita ambil yang pastinya akan ada risiko yang akan kita hadap... hadapilah apa juga rintangan dan halangan yang datang... pasti bila tiba di penghujung perjalanan ini, menantinya hasil yang menakjubkan.

menanti senja?
Daripada seawal-awal pagi, hingga senja mulai menjengah tiba, perjalanan ini membuka mata dan hati saya akan satu hakikat.  Syukurilah segala nikmat yang kita perolehi, kerana hidup ini tak selalunya indah dan berjalan mulus. Andai kita rasa kita susah, masih ada ramai lagi yang hidup mereka lebih susah berbanding dengan kita.

Di sebalik segala kekurangan yang mereka ada, mereka ada kelebihan yang kita tak mampu adakan.  Mereka ada alam semulajadi yang menakjubkan!

Tatkala perjalanan menghampiri Bandar Pokhara, dapat dilihat corak dan susun atur penempatan penduduk lebih moden dan teratur.  Mungkin tempias daripada kedatangan para pelancong ke bandar kedua terbesar di Nepal ini menjadi sumber ekonomi kepada penduduknya. Pokhara yang terkenal dengan keindahan semula jadinya, bahkan puncak-puncak gunung yang terdapat di Pokhara menjadikan bandar ini salah satu pusat trekking kepada pendaki yang ingin menawan puncak 'dunia' itu!

nikmatnya dapat luruskan kaki...
Selepas mengharungi perjalanan hampir 10 jam, kami tiba di Da Yatra Courtyard Hotel & Resort. Hotel yang akan menjadi tempat penginapan kami selama 2 malam di Pokhara ini. Selesai urusan check in dan dapat nombor bilik masing-masing, kami ambil kesempatan untuk berehat sebentar.  Alhamdulillah, dengan segala 'adventure' yang saya lalui sepanjang hari kedua di Nepal ini, melihat keadaan bilik hotel yang cantik ini sedikit sebanyak terubat penat lelah dalam bas.  Hotel yang menyediakan perkhidmatan wi-fi percuma ini sangat-sangatlah saya impikan.

Buat pengetahuan, saya memang tidak mengaktifkan roaming telefon tangan.  Hanya berpesan pada En. Roommate, jika ada sebarang kecemasan, untuk menghubungi kaksu.  Jadi saya ambil kesempatan di Da Yatra ini untuk berhubung dengan En. Roommate melalui panggilan whatsApp (rindu ooo walaupun hati teruja dengan tempat baru, buah hati yang ditinggalkan tetap jadi ingatan).  Dapat lunjurkan kaki setelah berjam-jam dalam bas, adalah satu nikmat rasa yang tak terkata.  Santai-santai sambil melihat gambar dalam telefon tangan (saya tak bawa kamera, hanya bergantung sepenuhnya pada kamera handphone), sangatlah menenangkan.

Malam masih muda! Memandangkan Pokhara bakal memasuki musim sejuk di mana waktu siangnya lebih singkat berbanding waktu malam, jadi tak hairanlah kalau masuknya waktu Maghrib adalah pada jam 5.16 minit petang (waktu Nepal).

Walaupun perjalanan yang panjang dan memenatkan, saya bagaikan ketagih untuk melihat keindahan Pokhara di waktu malam.  Selepas makan malam di hotel, saya sertai geng adik beradik dan geng utara keluar meronda-ronda sekitar hotel penginapan memandangkan hotel kami berada dalam kawasan bandar Pokhara. Dan Nanan yang menjadi pemandu pelancong kami malam itu.

Saya akhiri malam kedua di Nepal dengan pelbagai rasa di dada. Tak sabar menanti esok hari, kerana aktiviti awal pagi esok adalah berburu sunrise di Sarangkot

Salam Sayang,

0 comments:

Back to Top