0

Cabaran 50 Novel : (5) Harga Sebuah Cinta ~ Hani Fazuha

Pengarang : Hani Fazuha
Halaman : 464
Tahun : Januari 2011
Terbitan : Alaf 21
Harga : RM18.00

Blurb:

KENAPA setiap kali hati berdetik meminta bahagia, kita harus membayarnya dengan titis air mata? Cinta Fea bersama Arman tidak kesampaian. Segalanya menjadi kenangan yang menyakitkan buat Fea. Sejak itu, terasa sukar sekali dirinya meraih bahagia.

Perkenalan Fea dengan Zura membuka ruang untuknya mengenali Ikmal. Lelaki itu punya segalanya. Namun, persahabatan itu jugalah yang menyebabkan hatinya kembali berdarah. Dia mendapat tahu bahawa Zura adalah kekasih baru Arman. Keadaan menjadi genting apabila Arman berhasrat ingin merawat cinta mereka yang telah lama terputus. Lantas, lamaran Ikmal dianggap penyelamat untuk Fea keluar dari kemelut itu. Malangnya, memilih Ikmal ternyata bukan jalan penyelesaian. Sekali lagi dia diuji sehingga hampir-hampir dia terhenyak duduk tidak berdaya.

Dalam kekalutan, Zhafir tiba-tiba menawarkan diri atas nama pengorbanan kerana bagi Zhafir, Zura lebih berhak memiliki cinta Arman. Fea keliru. Andai perkahwinan mereka berlandaskan pengorbanan, kenapa Zhafir sanggup jatuh miskin semata-mata untuk mendapatkan haknya sebagai suami? Ada apa pada gadis biasa sepertinya sehingga banyak hati yang harus terluka?

Kata Saya:

Harga Sebuah Cinta kisah tentang rentetan hidup Fea (Hanisofea) si gadis manis anak bekas orang gaji seringkali diduga. Cinta pertamanya dengan Arman ditentang hebat oleh Puan Syarifah Maznah ibu Arman. Padanya Fea tidak layak untuk bergandingan dengan anaknya Arman. Padanya Fea tidak setaraf dengan keluarga mereka yang 'berdarjat'. Sementelah pula ibu Fea merupakan orang gaji mereka.

Dalam kepayahan Fea berjuang untuk berjaya dalam pelajaran, kerana hanya dengan ilmu dia bisa merubah nasib mereka berdua. Bagi menampung perbelanjaan, Fea bekerja di kedai bunga bagi meringankan beban ibunya yang bekerja menoreh getah selepas diberhentikan kerja dan dihalau keluar daripada rumah sewaan milik keluarga Arman. Dalam masa yang sama Fea menyambung pelajarannya.

Persahabatannya dengan Zura menemukan dia dengan Ikhmal, sepupu Zura. Ikhmal yang periang dan happy-go-lucky. Juga Zharif, abang Zura yang pendiam, pemerhati dan ‘kerek’ di mata Fea. Lebih mengharukan lagi keadaan, mereka (Ikhmal & Zharif) bersahabat baik dengan Arman yang pernah membuatkan hati Fea luka berdarah. Tapi yang paling merumitkan keadaan, Arman adalah lelaki yang menjadi dambaan Zura, sahabat baiknya.

Di kala hidupnya penuh celaru, ibunya pergi meninggalkannya sebatang kara. Dia hilang tempat bernaung kasih. Dia hilang sumber kekuatannya. Dan yang lebih malang, dia dibuang kerja gara-gara cuti mengejut ekoran kematian ibunya. Peritnya takdir yang tertulis buatnya.

Hidupnya tambah ’kucar-kacir’ apabila Ikhmal pula mula menagih kasihnya padahal sebelum ini dia berkawan dengan Nisha. Arman yang masih sayangkannya berusaha untuk merebut kembali cintanya. Ketika hati Fea mula memilih Ikhmal, dia diduga lagi. Atas dasar persahabatannya dengan Zura, Fea menolak Arman dengan cara menerima lamaran Zhafir walaupun hatinya langsung tidak boleh melupakan Arman, cinta hatinya yang pertama.

Bagaimanakah kesudahan nasib Fea? Mampukah digapai bahagia yang didambanya? Jawapannya ada dalam naskhah ini.

* * *

Selepas Mengukir Bahagia dan Bebunga Kasih, Hani Fazuha kembali merancakkan dunia penulisan dengan karya terbaharunya Harga Sebuah Cinta (HSC).

HSC yang mengangkat tema cinta, persahabatan dan kekeluargaan ini memperlihatkan kematangan Hani Fazuha dalam berkarya. Dengan gaya bahasa yang mudah, tapi ada kalanya terselit rasa 'manis'nya ketika dibaca memudahkan saya menghadamnya. Di kala 'Fea' sedih, saya turut sama merasainya. Ditambah dengan plot cerita yang menarik membuatkan saya tidak perlu meluangkan masa yang lama untuk menghabiskannya. Naskhah ini sememangnya berjaya membuatkan saya ingin baca dan terus baca hingga ke penamatnya untuk mengetahui kesudahan kisah Hanisofea ini.

Tahniah Hani untuk karya yang sweet ini!


0 comments:

Back to Top