0

Natrah... berakhirnya episod sedih...

Salam buat semua sahabat yang kucintai...

Mungkin generasi muda hari ini tidak mengenali siapa itu Nadra/Natrah Maarof. Atau mungkin anda pelik kenapa tiba-tiba nama ini muncul di dada akhbar mengkhabarkan berita tentang kematiannya.

Bagi mereka yang tahu tentang kisah Natrah, pastinya akan tahu tentang tragedi berdarah yang pernah berlaku di Singapura suatu ketika dahulu disebabkan oleh si gadis manis keturunan Belanda ini.

Secara ringkas, Nadra Maarof atau nama sebenarnya Bertha Hertogh atau Maria Huberdina Hertogh adalah gadis keturunan Belanda yang dilahirkan di Tjimahi, Jawa, Indonesia pada tanggal 24 Mac 1937.

Ketika rumpun nusantara (Tanah Melayu, Indonesia) sedang bergolak (sekitar Disember 1942), beliau diserahkan kepada Che Aminah Mohamad oleh ibunya Adeline Hunter dan neneknya Nor Louise tanpa pengetahuan bapanya Sarja Adrianus Petrus Hertogh yang ketika itu dipercayai menjadi tawanan tentera Jepun. Ketika itu Maria/Natrah baru berusia 5 tahun.

Tanggal 15 November 1945, Che Aminah yang berasal dari Kemaman, Terengganu telah membawa Natrah balik ke Kampung Banggol, Kemaman, Terengganu melalui Singapura kerana perasaan orang Indonesia ketika itu meluap-luap membenci orang kulit putih yang dianggap bangsa penjajah. Beliau hidup dalam suasana ‘melayu’ dan diberi pendidikan Islam.

Pada tahun 1945 Sarjan Hertogh dibebaskan selepas Jepun menyerah kalah dek kejatuhan Hiroshima dan Nagasaki yang menjadi mangsa bom atom (Perang Dunia ke-2). Dia kembali ke tanah Jawa mencari anaknya Natrah. Namun mereka kembali ke Belanda tanpa menemui Natrah. Usaha mencari diteruskan melalui teman-teman dan pegawai kerajaan Inggeris dan Belanda.

Pada September 1949 Natrah ditemui oleh Arthur Locke, Penasihat British di Terengganu sewaktu pertunjukan senaman di padang Sekolah Perempuan Melayu Chukai. Dan tanggal 19 Ogos 1949 polis Semarang memberitahu Adrianus, Natrah berada di Kemaman. Atas perancangan dan muslihat Sarjan Hertogh, tanggal 12 April 1950 Che Aminah membawa Natrah ke Singapura.

Pada 22 Mei 1950 Ketua Hakim Mahkamah mengarahkan Natrah diletakkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Singapura. 24 April 1950 Natrah dihantar ke Girls Homecraft Centre, York Hill, Singapura. 4 hari kemudian iaitu pada tanggal 28 April tahun yang sama, Che Aminah membuat rayuan untuk mendapatkan balik hak penjagaan terhadap Natrah melalui peguambela Encik Ahmad Ibrahim daripada syarikat peguam S.C. Goho & Co.

19 Mei 1950 peguambela Encik Ahmad Ibrahim menghujah di mahkamah bahawa Che Aminah Mohamad berhak menjadi penjaga Natrah. Profesor Dr. Ahmad Ibrahim menjadi protaganis dan antara tokoh yang amat dihormati dalam kes Natrah di Singapura. Tanggal 28 Julai 1950 Che Aminah menang kes rayuannya yang membawa kepada Natrah dikeluarkan daripada York Hill.

Oleh kerana bimbang peristiwa berulang kembali, pada 1 Ogos 1950, Natrah dikahwinkan dengan Cikgu Mansor Adabi yang ketika itu berusia 22 tahun. Mereka dinikahkan secara nikah gantung di rumah bapa angkat Mansor Adabi iaitu En. M.A. Majid di 139, Seranggoon Road, Singapura. Ketika itu Natrah berusia 13 tahun tetapi mempunyai susuk tubuh yang agak besar. Dalam Undang-Undang Syariah Islam, perempuan umur 13 tahun dibenarkan kahwin sebagaimana isteri Nabi Muhamad, Siti Aisyah.

Dan bermulalah rentetan sejarah pahit yang terpalit dalam lipatan sejarah tanah melayu yang membawa kepada berlakunya rusuhan kaum. Rusuhan yang juga diberi jolokan Rusuhan Natrah atau Tragedi Natrah, Rusuhan Maria Hertogh ini berlaku di Singapura pada 12 Disember 1950 terjadi kerana berbaur dengan sentimen agama dan warna kulit.

Tragedi bertitik tolak dari keputusan mahkamah bahawa Natrah mesti dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda dan bapanya diberi hak dalam menentukan agama anaknya. Natrah yang sudah diIslamkan telah dihantar pulang ke Belanda, dan seterusnya dipaksa menjadi Kristian. Keputusan ini mengecewakan masyarakat Islam di Singapura dan Tanah Melayu apabila Natrah akan dimurtadkan.

Dilaporkan seramai 18 orang terbunuh/mati syahid dan 173 orang cedera ketika bertempur dengan tentera dan polis British. Mana-mana warga British di Singapura telah diserang. Manakala Bangunan dan kereta berhampiran padang dekat mahkamah telah dibakar. Tumpuan utama ialah Masjid Sultan di Singapura. Yang akhirnya meletakkan Singapura di bawah perintah berkurung selama 2 hari 2 malam.

Beliau meninggal dunia pada 9 Julai 2009 pada usia 72 tahun akibat penyakit Leukemia di Huijbergen, Belanda. Sesungguhnya kematian Natrah telah membawa bersama derita batin yang tidak kita ketahui melainkan dari catatan, berita yang pernah ditulis di dada-dada akhbar mahupun majalah (Dewan Masyarakat sekitar tahun 1980-an oleh Fatini (Datin) Yaakob). Kenangan yang paling pahit pernah berlaku dalam hidupnya, juga merakamkan sejarah berdarah yang pernah berlaku di tanah melayu yang berdaulat ini.

Sumber:
Petikan daripada:
http://ms.wikipedia.org/wiki/Natrah
http://ms.wikipedia.org/wiki/Rusuhan_Natrah
http://en.wikipedia.org/wiki/Maria_Hertogh_riots

kisah Natrah dalam Utusan:
Kisah 1, Kisah 2, Kisah 3, Kisah 4, Kisah 5 & Kisah 6

Lagi kisah Natrah di sini

Juga terselit kisah Natrah di sini:


****

Kenapa wan jadi sensitif pada kisah Natrah ini?

Wan terpanggil untuk memperingati kisah sedih yang pernah berlaku pada sejarah bangsa dan agama kita ini kerana ketika catatan tragik ini dipaparkan di dada majalah (Dewan Masyarakat) akhir tahun 80-an, wan masih di bangku sekolah.

Episod sedih yang berlaku pada Natrah ini menjadi bahan bacaan wan dan sekaligus meninggalkan kesan tersendiri pada diri wan. Wan jadi sedih. Wan jadi ralat. Andai kata ia berlaku depan mata kita, dan kita tidak mampu berbuat apa-apa untuk memperbaikinya. Yang dapat kita lakukan hanyalah meratapi dan berkongsi rasa terkilan. Sedihkan?

Ketika ingatan mulai pudar, wan diketemukan dengan Atas Nama Cinta karya Isa Kamari. Kisah tentang pahit manis suka duka Natrah. Baca resensi wan di
sini. Sekaligus menyegarkan kembali ingatan pada kisah tragis yang berlaku pada Natrah ini.

Sesungguhnya kisah tragis ini telah meninggalkan parut hodoh, bak kata penulis Isa Kamari dalam sejarah bangsa kita. Dan tidak mustahil akan ada lagi ‘Natrah’ dalam masyarakat kita apabila sentimen terhadap agama Islam ini, kita biarkan diperkotak-katikkan oleh mereka yang tidak senang dengan agama kita yang mulia ini.

Wan sentiasa mohon pada yang Esa agar hidup dan mati wan, keluarga, sanak saudara, sahabat handai yang wan cintai dan sayangi adalah dalam ISLAM. aminnn



lots of love...

0 comments:

Back to Top