2

Cabaran 50 Novel Setahun ~ Buku 1 : Bidadari Hujan

Salam semua.

Sebagaimana yang dijanjikan entry kali ini saya akan berbicara fasal Cabaran 50 Novel Setahun (2011) yang saya azamkan. Untuk pembuka tirai tahun 2011 ini saya mulai dengan novel ini, Bidadari Hujan karya Noor Azzahra terbitan Jemari Seni.

Novel ini saya beli ketika berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 bulan April tahun lalu.

Kenapa ambil masa yang lama untuk membacanya?

Alasan saya: lambakan novel yang ‘banyak’ yang ada dalam simpanan saya ketika itu (pesta buku) menyebabkan saya jadi tertangguh membacanya. Yelah memborong buku bagaikan tiada hari esok! Bagaikan esok-esok juga nak bacanya... semua–sekaligus atau dengan kata lain tamak! Dan, inilah jadinya, terperap & terpuruk di rak!

Alasan lain, ketika itu (pesta buku) juga para penerbit berlumba-lumba menerbitkan karya penulis-penulis (bestseller) mereka yang sentiasa menjadi buruan para pembeli seperti saya. Jadi saya yang rambang mata ini, beli–beli–beli dan beli tanpa memikirkan bila waktu nak baca-baca-baca & bacanya. Lagipun bila dah banyak pilihan depan mata, biasanya keutamaan saya bila membuat pilihan adalah berdasarkan penulis yang saya sudah tahu ‘trend’nya. Yang saya harapkan saya akan berpuas hati ketika membacanya! Ketika usainya minggu Pesta Buku, novel lain pula yang mengambil tempat di rak.

Jadi inilah antara sebab-sebabnya kenapa karya ini agak terlewat untuk saya terokainya! Oh lupa pula saya nak beritahu, ini novel pertama karya Noor Azzahra yang saya baca dan mungkin juga yang pertama diterbitkan. Kalau silap maafkan saya!

Oklah berbalik pada novel ini.

Apa kisah dan ceritanya?

Bidadari Hujan ini berkisah tentang Rain – Raimy Haidar yang jatuh hati pada si dia, bidadari hujan yang memayunginya di satu pagi yang renyai. Tatkala hujan turun menyimbah bumi, dia muncul bersama sekaki payung meneduhkannya daripada titisan hujan. Dan hari itu, titisan hujan yang menimpa bumi bagaikan gugurnya kuntuman bunga yang indah dan mewangi pada pandangan mata Rain. Hujan rahmat buatnya. Dan dia jatuh cinta! (Baru saya sedar signifikan kulit novel yang sebegitu!)

Lia (Qamalia) – dia, bidadari hujan benar-benar telah membuat hati Rain panasaran. Dia yang cantik, dia yang hidup sekadarnya sahaja (bukan dalam golongan orang kaya) berjaya menawan hati Rain yang ada segala-galanya.

Namun harapan dan permintaan si nenek meranapkan seluruh impian Rain untuk membina istana bahagia bersama bidadari hujannya runtuh bagaikan rebahnya istana pasir pabila diterjah ganasnya sang ombak. Demi nenek yang dikasihi dia turutkan juga walau hatinya membantah. Demi nenek dia rela dalam terpaksa walaupun hatinya hancur luluh tak bersisa. Istana dibina tapi permaisurinya bukanlah si bidadari hujan yang dia puja. Rain nanar. Lia pasrah.

Sufi – dia wanita yang tak punya ‘rasa’ pada tanggapan Rain. Walau terang-terangan ditunjuk rasa tidak suka Rain pada si isteri, dia tetap begitu. Endah tak endah. Apa yang Rain tidak suka itu yang dibuatnya. Dia suka-suka masuk kemas bilik Rain (mereka berlainan bilik tidur). Dia suka-suka sambut Rain balik daripada pejabat. Dia suka-suka bawa air walaupun Rain tidak minta. Dia yang suka bercakap, walaupun Rain tidak suka mendengarnya. Pendek kata, dia suka buat benda yang Rain tidak suka! Noktah.

Tapi Rain tidak tahu, di balik raut cerianya dia juga punya rahsia yang mungkin hanya Rain sahaja tidak tahu. Dia ada kisah lalu yang pedih lagi perit untuk dilaluinya. Dan insiden yang meragut nyawa kedua orang tua Sufi merobohkan tembok hati Rain. Rain ingin meminjamkan bahunya pada Sufi, tapi Sufi pula sudah berubah sikap. Sufi yang sebelumnya telah menyebabkan tahap kesabaran Rain meletus terus membisu. “Dosa hari itu... Tuhan telah membalasnya pada saya semalam...” – ms 329 Sedihnya. Walau hakikatnya bukan salah Sufi pun!

Apa yang telah Sufi buat? Wujudkah rasa kesal di hati Rain kerana mengecewakan Sufi? Dan rumahtangga mereka, mampukah dipertahankan pabila orang yang selama ini menginginkan mereka bersatu, kembali pada yang SATU? Nak tahu kisah selanjutnya... bacalah Bidadari Hujan.

Apa istimewanya novel ini?

Apa ya? Oh! uniknya pada saya ialah watak utama dalam karya ini adalah seorang LELAKI. Ya, tonggak utama adalah Rain. Noor Azzahra berjaya menghidupkan 'Rain' sebagaimana sepatutnya seorang ‘jantan’. Yang ego, yang mementingkan diri sendiri dan yang paling utama yang tidak pernah cuba menyelami hati seorang wanita bergelar isteri. Atau kerana dia sudah tanamkan rasa ‘tidak suka’ pada si isteri jadi segala-galanya yang ada kaitan dengan si isteri buatkan dia jadi benci. Mungkin pada dia ‘Sufi’ adalah perosak pada kebahagiannya, kerana dia tidak mampu untuk menyalahkan si nenek yang dia kasihi?

Saya jadi kasihan pada Sufi. Dia wanita tabah yang berjaya menyimpan kemas sejarah lalunya pada pengetahuan Rain. Atau Rain yang tidak pernah ambil tahu? Atau Rain yang tidak pernah ‘buka mata’ memandang Sufi selayaknya seorang wanita dan isteri yang harus dilindungi, dikasihi dan dicintai?

Dan buku ini pada saya sangat sweet dengan penamatnya yang sebegitu. Oh ya! saya sukakan mainan bahasa penulis. 'Manis' sahaja pada pembacaan saya. Cumanya sahaja saya jadi tertanya-tanya... bila masanya si Sufi mula jatuh cinta pada Rain? Mungkin ada dinyatakan, hanya saya yang terlepas pandang. Apa-apapun cerita yang sangat sweet (pada saya) sebagai pembuka tirai 2011.


3

Salam tahun baru 2011

Salam semua,

Salam pembuka tirai buat semua sahabat-sahabat tersayang. Moga hadirnya lembaran tahun baru 2011 ini menjanjikan sejuta keindahan buat kita semua.

Walaupun tahun 2011 sudah 4 hari meninggalkan kita, harap masih belum terlewat untuk saya ucap selamat pada kalian semua ya! Selamat untuk semuanya...

01-01-11, saya berada di kampung. Balik kampung untuk mengambil jantung hati saya yang minta nak tinggal dengan Mok Tok di penghujung cuti sekolah. Sebenarnya alasan utama dia nak main dengan kak ti (sepupunya). Buat pertama kali dia, saya hantar ke kampung. Buat pertama kali dia jauh dari saya. Mulanya rasa cuak juga, mana tahu dia menangis nak balik, jenuh la mok tok nak pujuk, payah la tok wae nak kena hantar dia atau parah la sirman nak kena drive 7,8 jam. Tapi alhamdulillah, semuanya OK. Walaupun awal-awal tu dia agak bosan (mengikut kata si Ijat adik saya). Yelah, masa saya hantar, rupa-rupanya kak ti bercuti ke Melaka, dia balik selepas 2 hari saya balik ke KL.

Petang 01-01-11, saya dalam perjalanan balik dari Kelantan ke KL. Tiba dah lewat malam. Keadaan cuaca yang tidak menentu dengan hujan yang sesekali lebat mengiringi perjalanan kami, membuatkan sirman harus lebih berhati-hati ketika memandu. Lebih kurang jam 12.15 malam (pagi) ahad kami tiba di Usj.

02-01-11 tengah hari, kami keluar. Mula-mula ke IoI Mall, kemudian ke Shah Alam Mall belikan Aysha skuter yang dia idam-idamkan. Kemudian ke Seksyen 7 Shah Alam hantar barang adik saya Ijat yang menyewa di situ. Oh ya, si Ijat sambung buat degree kat Uitm Shah Alam. Tapi dia pulak yang keluar. Hampeh betullah adik saya sorang ni! hehehe sebenarnya salah saya yang datang lambat. Tapi mana saya tahu dia punya plan baik punya... pergi tengok wayang! isk isk isk. Nasib baik ada kawan serumahnya. Kemudian saya singgah beli tudung di Ariani (last day sale).

03-01-11, saya cuti sempena Aysha masuk sekolah. Bunyi macam si Aysha baru masuk tahun 1 aje... hehehe FYI Aysha tahun ni dah masuk tahun 3. Saja je saya ambil cuti, selain alasan nak selesaikan urusan pembayaran pendaftaran sekolah dia, saya juga nak belikan dia buku tulis. YA! saya patutnya beli awal-awal lagi, tapi biasalah saya ni, suka buat kerja last minit. Sama juga seperti bayar saman (speed trap) yang tertunggak dari tahun 2005 yang baru saya usaikan pada 31-12-2010. Itupun sebab last day saman traffic ada offer 50% & saya bayar thru myEg-dot-com-dot-my. Agaknya kalau offer 50% tu tak ada tarikh luput pastinya saya belum bayar lagi... hahahaha Rasa sayang nak bayar sebab bukan saya yang bawa kereta!! Jadi kenapa saya yang harus bayar? Haish Ops! melalut pula saya.

Selesai urusan di Sekolah kebangsaan Aysha, saya ke sekolah Kafa pula, jelaskan yuran pendaftaran untuk sessi persekolahan 2011, jelaskan yuran taska (transit), yuran taska bulan Dec 2010, yuran Van sekolah, juga beli buku tulis. POKAI saya... hari tu saja dekat RM1k melayang. Tapi demi anak, gigihkan juga mental dan fizikal. Jadi bulan satu ni saya kena PUASA beli apa yang patut... huhuhu tapi aura membeli (baca: habiskan duit) sukarnya nak kikis...

Selesai urusan sekolah Aysha, saya (ditemani sirman) ke Petaling Jaya. Saya nak withdraw EPF (akaun 2) saya untuk bayaran rumah. Mula-mula ke Jalan Yong Shok Lin sebab akaun rumah saya di situ. Ambil surat daripada bank, kemudian ke EPF. Memandangkan saya pernah keluarkan duit sebelum ini, saya hanya perlu sediakan surat daripada Bank, salinan kad pengenalan dan isi borang, itu sahaja! Alhamdulillah selesai dalam masa tak sampai 2 jam.

Daripada Petaling Jaya, singgah di Subang Parade, memikirkan saya ada voucher Parkson yang valid sampai 9 Januari. Saya ada RM100 voucher yang saya dapat dengan pembelian barangan SKII. Tak tahu nak beli apa. Berpusing-pusing dalam Parkson. Belek-letak-belek-letak. Belinya tidak lagi. Sampaikan sirman naik bosan menunggu. Daripada dia keluar, masuk balik, saya belum juga buat keputusan nak beli apa... huhuhu... daripada blaus kepada kot, hinggalah kasut, tak buat keputusan juga. Pegang blaus, jamah kot (tapi bila nak pakai kotnya sebab kat office saya ni pakai jeans dan t-shirt pun bos tak kisah - jadi kot tolak tepi). Kasut pula ada yang berkenan tapi saiz pula yang tak ada... hampeh betul. Selepas 2 jam berpusing-pusing, sudahnya saya beli blaus. Nak dijadikan kisah, bila cashier dah punch harga baru saya sedar yang vouchernya saya tak bawa...HAMPEHH sungguh! Melayang lagi duit saya... ingatkan dapat 'Free' rupa-rupanya 'tipah tertipu' huhuhu

Dalam perjalanan balik ke Usj, niat nak singgah bank, bayar hutang apa yang patut tapi hujan selebat-lebat hujan turun. Jadi niat ke bank saya batalkan dulu, tapi memandangkan perut lapar, singgah juga di Ubi Kayu untuk makan tengah hari.

Sementara tunggu nak ambil Aysha petangnya, nak berinternet sirman dah conquer, sudahnya saya bergolek-golek habiskan bacaan novel saya.

Ya, cabaran 30 novel setahun saya sudah bermula! Tapi saya gatal nak cabar diri saya untuk menghabiskan 50 buah novel untuk tahun ini. Jika didarab dikali, saya perlu baca lebih 4 buah novel dalam masa sebulan. Harap saya berjaya mencapai sasaran 50 novel setahun! Untuk senarai lanjutnya akan saya update kemudian ok!

Chaiyok! Chaiyok!


Back to Top