Salam semua.
Sebagaimana yang dijanjikan entry kali ini saya akan berbicara fasal Cabaran 50 Novel Setahun (2011) yang saya azamkan. Untuk pembuka tirai tahun 2011 ini saya mulai dengan novel ini, Bidadari Hujan karya Noor Azzahra terbitan Jemari Seni.
Novel ini saya beli ketika berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 bulan April tahun lalu.
Kenapa ambil masa yang lama untuk membacanya?
Alasan saya: lambakan novel yang ‘banyak’ yang ada dalam simpanan saya ketika itu (pesta buku) menyebabkan saya jadi tertangguh membacanya. Yelah memborong buku bagaikan tiada hari esok! Bagaikan esok-esok juga nak bacanya... semua–sekaligus atau dengan kata lain tamak! Dan, inilah jadinya, terperap & terpuruk di rak!
Alasan lain, ketika itu (pesta buku) juga para penerbit berlumba-lumba menerbitkan karya penulis-penulis (bestseller) mereka yang sentiasa menjadi buruan para pembeli seperti saya. Jadi saya yang rambang mata ini, beli–beli–beli dan beli tanpa memikirkan bila waktu nak baca-baca-baca & bacanya. Lagipun bila dah banyak pilihan depan mata, biasanya keutamaan saya bila membuat pilihan adalah berdasarkan penulis yang saya sudah tahu ‘trend’nya. Yang saya harapkan saya akan berpuas hati ketika membacanya! Ketika usainya minggu Pesta Buku, novel lain pula yang mengambil tempat di rak.
Jadi inilah antara sebab-sebabnya kenapa karya ini agak terlewat untuk saya terokainya! Oh lupa pula saya nak beritahu, ini novel pertama karya Noor Azzahra yang saya baca dan mungkin juga yang pertama diterbitkan. Kalau silap maafkan saya!
Oklah berbalik pada novel ini.
Apa kisah dan ceritanya?
Bidadari Hujan ini berkisah tentang Rain – Raimy Haidar yang jatuh hati pada si dia, bidadari hujan yang memayunginya di satu pagi yang renyai. Tatkala hujan turun menyimbah bumi, dia muncul bersama sekaki payung meneduhkannya daripada titisan hujan. Dan hari itu, titisan hujan yang menimpa bumi bagaikan gugurnya kuntuman bunga yang indah dan mewangi pada pandangan mata Rain. Hujan rahmat buatnya. Dan dia jatuh cinta! (Baru saya sedar signifikan kulit novel yang sebegitu!)
Lia (Qamalia) – dia, bidadari hujan benar-benar telah membuat hati Rain panasaran. Dia yang cantik, dia yang hidup sekadarnya sahaja (bukan dalam golongan orang kaya) berjaya menawan hati Rain yang ada segala-galanya.
Namun harapan dan permintaan si nenek meranapkan seluruh impian Rain untuk membina istana bahagia bersama bidadari hujannya runtuh bagaikan rebahnya istana pasir pabila diterjah ganasnya sang ombak. Demi nenek yang dikasihi dia turutkan juga walau hatinya membantah. Demi nenek dia rela dalam terpaksa walaupun hatinya hancur luluh tak bersisa. Istana dibina tapi permaisurinya bukanlah si bidadari hujan yang dia puja. Rain nanar. Lia pasrah.
Sufi – dia wanita yang tak punya ‘rasa’ pada tanggapan Rain. Walau terang-terangan ditunjuk rasa tidak suka Rain pada si isteri, dia tetap begitu. Endah tak endah. Apa yang Rain tidak suka itu yang dibuatnya. Dia suka-suka masuk kemas bilik Rain (mereka berlainan bilik tidur). Dia suka-suka sambut Rain balik daripada pejabat. Dia suka-suka bawa air walaupun Rain tidak minta. Dia yang suka bercakap, walaupun Rain tidak suka mendengarnya. Pendek kata, dia suka buat benda yang Rain tidak suka! Noktah.
Tapi Rain tidak tahu, di balik raut cerianya dia juga punya rahsia yang mungkin hanya Rain sahaja tidak tahu. Dia ada kisah lalu yang pedih lagi perit untuk dilaluinya. Dan insiden yang meragut nyawa kedua orang tua Sufi merobohkan tembok hati Rain. Rain ingin meminjamkan bahunya pada Sufi, tapi Sufi pula sudah berubah sikap. Sufi yang sebelumnya telah menyebabkan tahap kesabaran Rain meletus terus membisu. “Dosa hari itu... Tuhan telah membalasnya pada saya semalam...” – ms 329 Sedihnya. Walau hakikatnya bukan salah Sufi pun!
Apa yang telah Sufi buat? Wujudkah rasa kesal di hati Rain kerana mengecewakan Sufi? Dan rumahtangga mereka, mampukah dipertahankan pabila orang yang selama ini menginginkan mereka bersatu, kembali pada yang SATU? Nak tahu kisah selanjutnya... bacalah Bidadari Hujan.
Apa istimewanya novel ini?
Apa ya? Oh! uniknya pada saya ialah watak utama dalam karya ini adalah seorang LELAKI. Ya, tonggak utama adalah Rain. Noor Azzahra berjaya menghidupkan 'Rain' sebagaimana sepatutnya seorang ‘jantan’. Yang ego, yang mementingkan diri sendiri dan yang paling utama yang tidak pernah cuba menyelami hati seorang wanita bergelar isteri. Atau kerana dia sudah tanamkan rasa ‘tidak suka’ pada si isteri jadi segala-galanya yang ada kaitan dengan si isteri buatkan dia jadi benci. Mungkin pada dia ‘Sufi’ adalah perosak pada kebahagiannya, kerana dia tidak mampu untuk menyalahkan si nenek yang dia kasihi?
Saya jadi kasihan pada Sufi. Dia wanita tabah yang berjaya menyimpan kemas sejarah lalunya pada pengetahuan Rain. Atau Rain yang tidak pernah ambil tahu? Atau Rain yang tidak pernah ‘buka mata’ memandang Sufi selayaknya seorang wanita dan isteri yang harus dilindungi, dikasihi dan dicintai?
Dan buku ini pada saya sangat sweet dengan penamatnya yang sebegitu. Oh ya! saya sukakan mainan bahasa penulis. 'Manis' sahaja pada pembacaan saya. Cumanya sahaja saya jadi tertanya-tanya... bila masanya si Sufi mula jatuh cinta pada Rain? Mungkin ada dinyatakan, hanya saya yang terlepas pandang. Apa-apapun cerita yang sangat sweet (pada saya) sebagai pembuka tirai 2011.
2 comments:
owh saya baru beli (ke orang bagi?) masa pegi rumah JS last oct. pada saya kulit buku itu 'gagal' memberi kesan/tarikan (haha..JS jgn marah :p) tapi bila baca, saya suka dan baca sampai habis, lepas tu introduce kan pada sesiapa yang bertanya buku apa best nak baca.walaupun watak utama adalah lelaki, tetapi penulis tetap menulis seperti watak itu seorang perempuan (hehe...)
Ryn,
:)
& nak cuba habiskan mana-mana novel yang wan baca separuh jalan atas sebab-sebab... :P
Post a Comment