0

(18) Dia & Dia

Pengarang : Bunick Firdaus
Halaman : 584
Tahun : Februari 2011
Terbitan : Jemari Seni Sdn Bhd
Harga: RM21.00
ISBN: 978-967-5118-54-8


Rasa Saya:

Hidup seorang Arisa tenang-tenang sahaja. Hinggalah saat dia dilamar oleh Fazril di puncak Kinabalu. Di puncak ketinggian 4,101 meter Fazril melafazkan hasrat hati dan janji termeterai, secara sah dia menjadi teman wanita Fazril dan dalam tempoh tiga bulan mereka akan mengikat tali pertunangan. Bahagia Arissa berganda-ganda. Daripada sahabat baik menjadi insan yang bakal bergelar suami.

Namun bukan itu takdir yang tertulis buat Arrisa. Belum sempat rombongan peminangan bertandang ke rumah orang tuanya, kad undangan perkahwinan antara Syed Adam Fazril bin Syed Ahmad Al-Idrus bersama pasangan Sharifah Zhaliya Bt Syed Hashim Al-Idrus sampai ke tangannya. Hancur luluh hatinya. Punah sudah mahligai impiannya. Fazril harus dia lupakan. Walau perit, walau pahit itu yang harus dia lakukan.

Sukarnya untuk membuang Fazril dari hidupnya. Siksanya jiwa untuk menguburkan segala kenangan indah yang mereka kongsi bersama. YA, bukan mudah untuk dia melupakan Fazril dalam sekelip mata!

Di saat dia berperang mengubati jiwa yang parah, Irfan hadir dalam hidup Arissa. Kehadiran yang membantu menyembuhkan luka di hati. Dia menjadi suri hidup Irfan. Doa dan harapannya moga bahagia kekal miliknya. Namun jalan untuk dia mengapai bahagia bukan laluan lurus. Ada ranjau berduri yang harus dia tempuhi. Kehadiran Dania mengugat bahagia yang cuba diraihnya. Bahkan nyawanya juga hampir melayang angkara Dania.

Sesungguhnya rasa cinta itu adalah anugerah yang Esa. DIA pernah tiupkan rasa cinta Fazril pada Arissa. DIA anugerahkan ‘roh’ cinta Irfan buat Arissa. Dan DIA duga Arissa dengan cinta dan kasih sayang Fazril dan Irfan. Antara Arissa dan Fazril, Zhaliya berdiri di tengahnya. Antara Arissa dan Irfan ada Dania yang mengekorinya. Jadi di mana letaknya Arissa dalam kemelut ini?

****

Sejujurnya membaca naskhah ini ada rasa yang mengganggu jiwa saya. Bukan bermakna saya tidak suka. Suka. Watak-watak garapan penulis ada tarikan dan ‘roh’nya tersendiri. Ada pelbagai rasa yang berperang dalam hati saya ketika ‘menjiwai’ setiap watak yang ada dalam naskhah ini. Ya, saya suka berimaginasi.

Watak dan Perwatakan

Arissa – sikapnya yang tenang dan tabah di depan Zhaliya ketika mendapat khabar perkahwinan Fazril mengkagumkan saya. Saya dapat rasa apa yang Arissa rasa. Sakit. Hati bagai dirobek-robek tapi dia harus berlagak tenang. Saya benar-benar jatuh kasihan pada Arissa. Saya jadi benci pada Fazril yang pengecut, tidak mahu berterus terang dari awal. Waktu itulah!

Arissa bangkit dari kesakitan akibat di’tinggal’kan Fazril, saya kagumi semangat juangnya walaupun bergelen-gelen airmatanya tumpah sebelum hatinya sembuh.

Kehadiran Irfan mengubat luka dihati, walau parutnya tetap kekal ada di hati. Benarkah cinta pertama sukar dilepaskan daripada hati walaupun si dia tidak ditakdirkan menjadi milik kita? Begitulah, sukarnya Arissa membuang terus ingatan pada kenangan lalu bersama Fazril.

Ingatan dan rasa suka pada Fazril yang telah menjadi sejarah, dalam diam menjadi barah dalam hati Irfan yang telahpun bergelar suami pada Arissa. Silap Arissa kerana terus berhubung dengan Fazril walaupun atas tiket seorang sahabat! Ada rasa tidak puashati di hati saya dengan tindakan Arissa. Tapi bagaimana harus saya salahkan Arissa kerana Fazril seakan tidak peka dengan situasi Arissa. Apatah lagi dengan konflik yang berlaku di seputar hidup Arissa–Irfan–Dania.

Jadi saya tak tahu adakah wajar atau tidak tindakan Arissa... jom sama-sama kita rungkaikan bersama!

Fazril – saya letakkan dia sebagai lelaki idaman wanita. Dia memilih tempat yang sangat romantik untuk meluahkan rahsia hati pada si pujaan hatinya – Arissa. Wah! saya pun sama dapat tempias dan berkongsi rasa bahagia yang Arissa rasa tatkala di lamar di Puncak Kinabalu itu. Berbalas-balas pantun antara mereka memang mengundang rasa bahagia di hati saya juga. Kiranya dia hero yang tepatlah buat Arissa.

Tapi di saat dia memilih Zhaliya sebagai isteri dan meninggalkan Arissa saya jadi sakit hati, saya terkilan bahkan saya jatuh kasihan pada Arissa. Tapi saya tidak boleh nak salahkan Fazril. Antara maruah keluarga yang harus dia junjung, antara cintanya pada Arissa yang dia julang, dia tersepit. Natijahnya dia yang menjadi korban. Di saat itu saya jadi berbelah bahagi, nak suka atau nak benci pada Fazril? Ada ketikanya saya kasihan pada Fazril tapi di masa yang sama, saya tak suka dengan tindak-tanduknya. Aduh! memang pening kepala saya. Psst... dia tetap idaman hati saya! hehehe

Irfan – dia hero penyelamat heroin, itulah yang boleh saya katakan tentang watak Inspektor Irfan ini. Dia hadir di saat Arissa benar-benar perlukan sokongan dan dukungan. Di saat ini dia bagaikan seorang White Knight yang berjaya menyelamatkan si puteri daripada penjahat. Jika White Knight berkuda untuk menyelamatkan si Puteri, dia tampil bermotor besarnya menyelamatkan wanita yang telah mencuri hatinya. Dia menjadi sosok lelaki yang saya kagumi. Dia memahami. Dia menghiburkan. Bahkan dia boleh juga menjadi sangat romantik walaupun bidang tugasnya memperlihatkan dia sebagai seorang yang tegas.

Itu sebelum dia berjaya ‘memiliki’ Arissa. Silap dia kerana pentingkan diri sendiri. Dia bagaikan ‘paksa’ Arissa membuat keputusan di saat Fazril perlukan ‘semangat’ untuk terus hidup. Dia bagaikan gunakan kuasa vetonya untuk memaksa Arissa membuat keputusan. Walau hakikatnya dia tidaklah paksa, tapi dia meletakkan Arissa dalam situasi yang ‘terpaksa’. Dan kesilapan dia yang terbesar adalah sifat cemburunya. Bahkan disebabkan sifat cemburunyalah yang telah membina tembok antara mereka.

Saya jadi terkilan, benarkah cinta bisa membuatkan orang hilang pertimbangan? Sebagaimana Irfan hilang pertimbangan membiarkan Arissa terkapai-kapai mencari arah. Bagaikan dahan yang selama ini kukuh dan teguh sebagai tempat berpaut mulai rapuh dan gugur menyembah bumi.

Sebenarnya banyak penyebab tapi saya tetap ingin menyalahkan Irfan yang sering keliru membuat pertimbangan. Dan di saat itu, rasa suka saya pada Irfan sudah hilang.

Salah mereka -Arissa, Fazril, Irfan- kerana masing-masing ego dan cuba menidakkan kenyataan yang terbentang di depan mata. Natijahnya memakan diri sendiri dan mereka jugalah yang menjadi mangsa keadaan.

Watak sampingan juga memainkan peranan yang sama penting dalam mengatur perjalanan cerita ini. Zhaliya, tindakan tidak bertamadunnya telah merosakkan dua jiwa yang sedang membina bahagia. Dania, tindakan tidak warasnya hampir meragut nyawa insan lain.


Plot

Dia & Dia tentang konflik jiwa yang menyelubungi hidup Arissa. Dia rasa pilihannya sudah betul tapi kenapa masih ada lagi rasa sangsi yang berlagu di hatinya? Dia & Dia tentang kasih sayang lelaki pada wanita kesayangan mereka. Namun kasih sayang juga bisa menghancurkan hati.

Cinta tidak semestinya bersatu bagaikan tabu dalam hidup mereka. Ya, walaupun cinta Fazril dan Arissa setinggi Puncak Kinabalu, tetap tidak kesampaian. Ya, walaupun cinta Irfan dan Arissa hingga ke jinjang pelamin, tetapi kenapa masih juga ada rintangannya? Dan bahagiakah mereka dengan jalan yang mereka pilih? Bacalah... Dia & Dia ada jawapannya.

YA, Dia & Dia membuatkan saya mengusung pelbagai rasa di hati. Tapi tetap membuatkan saya tersenyum puas tatkala baris terakhir saya noktahkan. Bacalah, moga ada manfaat pada kita semua!

0 comments:

Back to Top