3

(11) AD + IZ

Pengarang : Eury Athena
Halaman : 636
Tahun : Julai 2010
Terbitan : Kaki Novel
Harga : RM21 / RM24


Blurb:

Kita dirancangkan untuk bertemu..
Kita ditakdirkan untuk berjumpa..
namun adakah untuk bersatu.. buat selamanya?


Adrianna Mayesa, seorang pekerja butik pakaian yang sanggup berbuat apa sahaja untuk menyara keluarga tirinya walaupun sering ditindas, malah dieksploitasi oleh mereka.

Salah faham yang berlaku ketika dia menghantar pakaian ke rumah pelanggan, membuatkan Adrianna terjebak ke dalam perkahwinan kontrak yang merubah tiga ratus enam puluh darjah paksi hidupnya.

Bermula dari detik itu, dia hidup dalam kemewahan di samping Tengku-Tengku yang bermacam ragam, di samping menjalani kehidupan sebagai seorang isteri kepada Tengku Farriel Izumi, seniornya ketika di sekolah yang tidak pernah suka dan senang dengan kehadirannya.

Di saat Adrianna mula selesa dengan kehidupannya sesuatu yang selama ini dirahsiakan dan langsung tidak diketahuinya muncul... lantas meragut kebahagiaannya.

Aku sanggup mempertaruhkan segala milikku untuk mencintaimu...


Rasa Saya:

Sebuah lagi kisah kahwin kontrak yang saya baca. Kisah tentang Adrianna Mayesa (AD) dan Tengku Farriel Izumi (IZ) yang berkahwin atas dasar kontrak. Berkahwin untuk tempoh tertentu.

Adrianna si gadis yang berada di saat dan tempat yang salah. Di masa yang sama timbul pula salah faham menyebabkan dia terperangkap dalam situasi yang tidak dia jangkakan. Dia yang bekerja di butik pakaian, ditugaskan untuk menghantar baju yang telah ditempah ke rumah pelanggan dan entah di mana silapnya dia disangkakan bakal tunang kepada Tengku Farriel Izumi oleh juru mekap yang ditugaskan untuk menata-rias wajah bakal tunang Tengku Farriel Izumi.

Tengku Farriel Izumi menghadapi konflik dengan Marina Irriani, teman wanitanya. Marina yang belum bersedia untuk bertemu muka dengan keluarga Farriel, ‘mengupah’ kawannya Lisa untuk menggantikan tempatnya. Dalam kekalutan dan salah faham itulah, tempat Lisa telah di ‘ambil alih’ oleh Adrianna.

Demi menutup rahsia, dan demi menjayakan acara ‘bertemu bakal mertua’, Adrianna bersetuju untuk menyamar dan dibayar sebanyak RM30,000.00 sebagai upahnya. Malang bagi Adrianna, majlis suai kenal antara keluarga bertukar menjadi majlis akad nikah mereka dengan olah Nenda Nerissa – nenek Farriel. Adrianna hanya berpeluang menjadi ‘kekasih’ Farriel selama 3 jam 30 minit dan 39 saat dan tepat jam 12.00 tengah malam mereka sah menjadi suami isteri. Bermula detik itu, paksi hidup Adrianna berubah total.

Pelbagai insiden dan konflik berlaku dalam kehidupan Adrianna dan Farriel selepas bergelar suami isteri. Tidak kurang juga pelbagai masalah timbul ekoran ‘penipuan’ mereka. Berjayakah mereka mengatasi setiap masalah yang mendatang? Apatah lagi ada yang tidak senang dengan kehadiran Adrianna dalam keluarga ‘Tengku-Tengku’ itu.

* * *

Saya tidak tahu bagaimana harus memulakan bicara fasal buku Ad+Iz ini. Ini merupakan karya pertama Eury Athena yang saya baca. Kisah tentang si gadis yang menjadi mangsa keadaan kalau boleh saya andaikan begitu.

Watak Adrianna digambarkan sebagai seorang gadis yang agak ‘kalut’?? Atau blurr?? Tinggal bersama ibu tiri, bapa tiri dan saudara tiri apabila ibu kandungnya yang berkahwin Pak Cik Bakar (bapa tiri) meninggal dunia dan bapa tirinya pula berkahwin dengan Mak Cik Midah (ibu tirinya sekarang). Pening juga saya nak fahamkan situasi si Adrianna ini pada awal-awalnya. Dan sememangnya novel ini betul-betul mencabar imaginasi saya!. YA, saya suka berimaginasi apabila membaca!

Sebagai anak tiri, segala tanggungjawab mencari rezeki dibebankan di pundaknya. Bapa tirinya pula peminum (arak) dan berhutang dengan 'Ah Long' kerana ibu tiri dan saudara tirinya suka bermewah dan menghabiskan duit bapa tirinya, dan dialah yang harus menyelesaikan masalah hutang tersebut. Saya masih tidak faham kenapa asal sahaja ada watak ‘ibu tiri – anak tiri’ harus ada diskriminasi kasih sayang? Rasanya tak semua ibu tiri itu wataknya harus ‘jahat’ dan anak tiri pula sering dijadikan mangsa! Ini tidak adil! *ala-ala S. Kadarisman dalam 3 Abdul* hehehe... Rasanya kita harus ubah stigma masyarakat tentang ibu tiri yang kejam dan anak tiri yang ditindas ini dalam penulisan.

Tapi yang bagusnya, keadaan ini, boleh mengajar seorang 'Adrianna' si anak tiri ini hidup berdikari, tahan segala dugaan dan cabaran. Mengajar dia erti sabar dan tabah menghadapi setiap halangan yang datang dalam hidupnya.

Di awal pembacaan, saya tertanya-tanya, semudah itukah majlis akad nikah dilangsungkan? Hanya dalam masa tidak sampai 4 jam mereka sah sebagai suami isteri? Bila masanya mereka menghadiri kursus perkahwinan? (mereka -Adrianna & Farriel- tidak pernah kenal dan Adrianna pula tiada teman lelaki) Segala urusan nikah kahwin sebegitu mudahkah?? Minta maaf ya, kerana ketika saya berkahwin lebih 11 tahun lalu, urusannya agak rumit dengan segala borang yang harus diisi dan disahkan oleh penghulu/penggawa (di daerah saya la)... pendek kata dalam masa tak sampai 4 jam tu, agak singkat pada saya. Atau sebab mereka keluarga ‘Tengku-Tengku’ jadi segala urusan ‘bisa di atur’!!?? hhmmmm... boleh difikirkan...

Saya juga terganggu dengan beberapa kesilapan fakta yang seharusnya diteliti oleh penulis ketika menggambarkan sesuatu tempat. Contohnya seperti insiden kejar mengejar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Ihsan nampak kau kejar Marina kat KLIA. Kebetulan flight dia baru tiba dari New York. Masa kau tengah busy kejar Marina tu la kau langgar aku. Aku pulak terlanggar Si Ihsan. ... ...” (ms.66)

Dikaitkan dengan situasi Adrianna mengejar Puan Karen yang akan berlepas ke Thailand dan di masa yang sama Farriel mengejar Marina yang sama-sama mahu masuk ke Balai Berlepas (ms 6) – situasi mereka sama-sama berlari menuju ke arah balai berlepas.

Yang menjadi tanda tanya di benak saya, sejak bila Balai Perlepasan dan Balai Ketibaan di KLIA di lantai yang sama? Betulkan saya jika saya salah (maklumlah saya jarang naik MAS)... seingat saya Balai Perlepasan di tingkat atas dan Balai Ketibaan di tingkat bawah.

Pada saya, penulis telah cuba sebaik mungkin untuk menghasilkan karya ini namun sayangnya ia belum cukup baik untuk skala saya. Skala saya mudah sahaja, cerita yang simple (tidak perlu konflik yang kronik) tetapi logik di akal pun sudah cukup. Atau mungkin kerana saya lebih gemarkan karya yang lebih ‘jejak ke bumi’, yang saya boleh kaitkan dengan hidup kita seharian. Yang saya boleh jadikan panduan dan pedoman.

Walau bagaimanapun TAHNIAH buat penulis yang telah berjaya menghasilkan karya ini walaupun masih ada beberapa kelemahan yang boleh diperbaiki. Saya tahu bukan mudah untuk berkarya. Menulis, semua orang boleh menulis, tetapi untuk mengikat hati pembaca agar suka dengan setiap karya yang ditulis itulah yang payahnya. Moga penulis akan terus berkarya dan menghasilkan karya-karya yang lebih baik selepas ini.

Selamat membaca... moga bermanfaat.

3 comments:

Ryn da kLavu said...

kadang2 kita jadi hilang mood bila jalan cerita tidak logik atau tidak mengikut fakta sebenar. kadang2 kalau gaya penulisannya kita suka, kita tak kan ambil kesah tentang logik dan fakta tu.

Wan Amalyn said...

Ryn... true! :D

Lia said...

Cara nak order?

Back to Top