5

WA : Cabaran 50 Buku : (8) 3 Jantung Hati

Pengarang : Nisyah
Halaman : 452
Tahun : Disember 2010
Terbitan : Jemari Seni
Harga : RM19.00 (Sem. M'sia)/RM22.00 (Sabah/Sarawak)
ISBN: 978-967-5118-50-0


Blurb:

menahan diri daripada menerima Nadim samalah seperti menelan paku payung

Benarkah cinta seorang perempuan terhadap seorang lelaki itu seumur hidupnya? Biarpun lelaki itu telah tiada di alam fana ini, benarkah cintanya tidak pernah berusik? Biarpun waktu berlalu, benarkah kasihnya takkan berubah?

Lalu bagaimana pula andainya muncul seorang lelaki lain yang setara? Kalaupun tidak lebih baik daripada si jantung hatinya yang telah pergi itu, apakah cintanya akan beralih arah? Susahnya memahami hati perempuan, kadang-kadang dalamnya tidak terduga; kadang-kadang berkata ‘ya’ di dalam, di luar tetap mengaku ‘tidak’!

Sukar sungguh hidup Nadira setelah suaminya mati, meninggalkan dia merana bersama anak kecil si jantung hatinya. Ah, bertambah sukar hidupnya setelah menjadi ibu tunggal itu, tiba-tiba muncul dia! Dia yang berebut mahu jadi jantung hatinya yang ketiga. Sanggupkah dia membiarkan hatinya diisi lagi, kalau kasihnya pada Imran sudah penuh?

* * * *

NISYAH menulis tentang hati seorang perempuan yang tersepit antara kenangan cinta lama dengan munculnya ‘orang baharu’ yang begitu mengharap cintanya. NISYAH begitu berhati-hati membuat keputusan dalam 3 Jantung Hati untuk mengubah hidup Nadira selamanya.

~~***~~

Rasa Saya

3 Jantung Hati adalah kisah ketabahan seorang wanita yang mengharungi hidup selepas kematian suami. Kisah kegigihan seorang ibu yang harus berjuang demi kelangsungan hidup bersama anak tunggal yang menjadi jantung hatinya.

Dunia ini adalah pentas perjuangan dan dugaan adalah cabaran yang harus ditempuhi. Selepas kematian suami tercinta, segala-galanya adalah di atas pundak Nadira. Dialah mami, dialah babah pada Ensha Hani yang sedang membesar.

Bersama sahabat baik, Oya –Saforah– yang sama-sama membesar di rumah anak yatim Baitul Saadiah, mereka mengusahakan O&D Party Planner, sebuah syarikat yang menjalankan kerja-kerja pengurusan majlis. Kerja-kerja yang memerlukan kreativiti dan ketelitian dalam memastikan setiap majlis yang dianjurkan berjalan selancar mungkin. Dengan misi ‘menimbulkan rasa bahagia pada setiap yang hadir ke majlis yang diraikan’ sebaik mungkin mereka akan memastikan agar satu-satu majlis yang dirancang dan dilaksana, memberi kepuasan pada pelanggan. Sekaligus menjadi sebutan pada tetamu yang hadir. Walaupun hakikatnya ada waktunya mereka harus berdepan dengan pelanggan yang cerewet.

Melalui kerja-kerja inilah mereka kenal golongan ‘atasan’, golongan korporat, golongan Puan Sri, Datuk, Datin yang pelbagai ragam dan karenah. Yang ada kalanya hanya pandang mereka –golongan marhaen– sebelah mata.

Perkenalannya dengan Nadim Syah dalam situasi yang tak dijangkakan. Mereka bertemu ketika Nadira dalam kesusahan dan perlukan bantuan walaupun hakikatnya dia tidak suka dibantu. Nadim yang terlebih baik hati menghulurkan bantuan. Nadira yang cuba 'jual mahal'. Nadim yang seakan tidak mengerti pada tindak tanduk Nadira yang bermaksud TIDAK. Pendek kata mereka tidak sehaluan walaupun arah tuju yang sama. Ingin meraih bahagia bersama orang tersayang.

Melalui O&D Party Planner inilah Nadira mengenali Puan Sri Suhaida yang menggunakan khidmat mereka untuk meraikan ulangtahun kelahiran anak terunanya. Kecilnya dunia ini. ‘Birthday boy’ yang diraikan adalah Nadim Syah yang sering membuatkan Nadira rasa nak marah tak tentu fasal.

Agaknya bila rasa cinta sudah merasuk di dada, orang waraspun boleh lakukan kerja gila demi menawan hati orang yang disukai. Itulah yang berlaku pada Nadim. Di usia 38 tahun, dia bagaikan anak muda belasan tahun yang baru kenal erti cinta. Dia sukakan Nadira yang sudah punya anak satu. Nadira yang berstatus ‘SM’ –single mother. Sedangkan bondanya sudah punya pilihan lain yang dia rasa lebih sesuai untuk anaknya yang masih bujang.

Pelbagai dugaan melanda. Semakin jauh Nadira cuba melarikan diri, semakin dekat Nadim menghampiri. Semakin jauh Nadira cuba lontarkan rasa hatinya terhadap Nadim, semakin kuat rasa itu melekat di tangkai hatinya. Semakin gigih Nadira cuba lenyapkan seorang Nadim Syah daripada kamus hidupnya, semakin kerap Nadim hadir dalam mimpi dan anganannya. Bagaimana lagi harus Nadira lakukan, apabila segala usaha bagaikan tiada hasilnya? Bukan dia tidak berusaha, hanya Nadim yang tidak mengenal erti putus asa.

Tidak sukar bagi seorang Nadim Syah memancing perhatian Nadira kerana dia ada si hunny bunny sebagai umpannya. Tidak sukar bagi Nadim Syah meneroka kotak rahsia si jelita kerana kuncinya ada pada si anak. Inilah yang namanya, andai ingin pikat hati si ibu, ikat dulu hati si anaknya. Geliga sungguh akal si Nadim!

Berjayakah seorang Nadim menjulang trofi bahagia apabila laluannya tidak semudah yang disangkakan. Dan dapatkah diraih rasa suka Puan Sri Suhaida apabila awal-awal lagi dia sudah beri amaran “I don’t like her, and will never like her!!”

* * *

Jika dibaca pada ringkasan cerita saya, anda pasti sudah punya perspektif sendiri. Oh! kisah cinta yang mendapat tentangan daripada keluarga. Ya, itulah dia cerita ini tetapi itu hanya sebahagian kecil yang menjadi perencah. Sebetulnya cerita ini ada lebih banyak lagi rencah-ratusnya selain cinta. Ada sedih, ada juga lawaknya.

Kisah bagaimana Nadira bangkit apabila dahan tempat dia bergantung harap pergi mengadap ilahi. Kisah bagaimana peritnya dia harus menongkah arus kehidupan dalam dunia yang dia tak punya sesiapa melainkan sahabat baiknya Oya dan anaknya Ensha Hani. Di usianya 34 tahun, dia harus tabah mengharungi setiap cubaan dan dugaan yang mendatang.

Dengan anak kecil yang perlukan perlindungan dan perhatian. Anak kecil yang masih naïf akan makna hidup. Anak kecil yang dahagakan belaian kasih seorang lelaki sosok si ayah. Anak kecil yang tidak faham makna TIDAK pada setiap jelingan dan kerlingan mata si ibu. Apa yang Ensha Hani tahu, dia suka dan dia sanggup lakukan apa sahaja asalkan terlaksana apa yang dia inginkan. Walaupun adakalanya dia harus berdrama dan berkomplot dengan ‘musuh’ si ibu. Saya pula yang terasa geram!!

Adakalanya saya terbayangkan Ensha Hani itu bukan anak berusia 8 tahun tetapi belasan tahun! Dan adakalanya saya merasakan tindak tanduk Nadim (adegan panjat pagar rumah) terlalu ‘berani’ dan agak tidak masuk di akal. Gila!

Apa-apapun saya sangat enjoy ketika membacanya. Pada saya ia sebuah karya yang sungguh manis berkrim. Membaca 3 Jantung Hati membuatkan saya terimbau saat-saat manis zaman bercinta dulu. hehehe

Oh! bukan. My Sirman bukanlah seorang yang romantik apatah lagi nak kagumkan saya dengan tindak-tanduknya yang tidak terjangkakan. Dia bukan Mat Bunga apatah lagi Mat Jiwang, jadi tiada adegan-adegan yang tak masuk di akal sebagaimana kisah dalam 3 Jantung Hati ini. Dia juga tidak pandai mengungkap rasa cinta lewat bicara atau ayat-ayat puitis kerana dia seorang yang praktikal dan teknikal yang hanya kenal t-square dan technical pen. Cuma yang sama (mungkin) adalah ‘rasa manis’ saat dalam hati penuh taman bunga dan kupu-kupu cinta! cheeehhh!!

Dan yang paling saya suka, penulis bijak meng‘ayat’ hinggakan saya yang membaca turut sama merasa tempiasnya. Hati saya jadi kembang setaman, pipi saya turut blushing sama. Penulis berjaya membuatkan jiwa saya kembali muda. Layan jiwa yang jiwang sekejap!

To my Sirman... Yes! I want to grow old with you!!

Selamat membaca... moga kita berkongsi rasa yang sama... :)

5 comments:

Ryn da kLavu said...

wan, lepas ni boleh la tulis cerita kembang setaman wan dan sirman pula...hehehe

Wan Amalyn said...

Ryn...
:D tak ada maknanya nak buat cerita fasal sirman... lebih baik buat cerita 'geng-garam-belacan-tok-bonda' lagi syok! hehehehe

ryn said...

hahaha...apepejer...yg penting tak kembang setaman kembang semangkuk pun cukup lah... ;)

Wan Amalyn said...

Ryn... :) hehehe tiba-tiba teringat pada tok umi yang vouge! nak kacau tok bonda tak boleh sbb dia sibuk dok jahit langsir biji remia nak pakai masa 'raya' bulan 4 nanti, jadi nak kacau tok umi & tok yang lah!

Ryn... agak2 tok umi & tok yang datang tak open hse tok bonda nanti? ;)

Ryn da kLavu said...

wan, tu kena ty tok umi dan tok yang sendiri hehehe

Back to Top