0

Dengar ini cerita...

Salam semua,

Dah lama saya tidak bercerita di sini. Sesekali terasa rindu nak berceloteh datang mencuit hati, tapi kemalasan yang melampau menghalau pergi keinginan yang secuit itu. Terasa banyak benda yang nak dikongsi bersama tapi, yelah...

Bila dah rajin (sikit) ni, apa yang dulu rasa menarik untuk dikongsi dah jadi tawar. Dah tak ada seronoknya lagi. Nak cerita fasal sambutan raya? Dan terasa suam-suam kuku dah walaupun kita masih lagi di bulan ‘raya’. Walaupun setiap hujung minggu berderet-deret jemputan rumah terbuka yang kalian perlu penuhi. Ya dak?! Tapi bagi saya, walaupun tak adalah banyak mana, tapi tetap ada. Huhuhu nampak sangat saya jarang bergaul dengan orang!

Tapi tak apalah saya tetap ingin bercerita tentang cerita raya saya walaupun tak semenarik mana. Sambutan raya saya tahun ni biasa-biasa sahaja. Kali ini giliran saya beraya di Kelantan dulu. Saya balik sehari sebelum raya. Perjalanan pulang yang panjang dan memenatkan. Bayangkan 16 jam dalam perjalanan, bukanlah waktu yang singkat sebagaimana 45 minit perjalanan dengan ‘belon’. Tapi apa yang menariknya saya ditemani oleh bahan bacaan yang sungguh superb! Antara Safa dan Marwah, membuatkan perjalanan ‘Antara Kuala Lumpur dan Kota Bharu’ saya tidak terasa lamanya. Sesiapa yang ingin mencari bacaan yang menarik dan berinformasi, anda boleh cuba karya Prof. Ismad Astar ini. Tapi bagi sesiapa yang dah baca dan tidak bersetuju dengan saya, itu tandanya selera kita yang berbeza! Jadi jangan salahkan saya pulak ya...

Sambutan raya, di mana-manapun sebenarnya adalah sama. Yang membezakannya adalah dengan siapa kita beraya. Apa yang pasti, walau di manapun kita beraya, bila ada mereka yang kita sayangi berkongsi raya dengan kita, semangat raya kita jadi lebih berganda gembiranya. Jadi mungkin raya saya kali ini berkali ganda gembira dan seronok kerana saya berpeluang beraya bersama Abah, mek dan adik-beradik yang lain.

Dan apa yang agak ‘syahdu’ (sedikit) pada saya bila tahun ini kita sambut raya pada 10 Sept, yang juga merupakan hari ulangtahun kelahiran arwah kak Ja. Pagi-pagi lagi handphone saya berbunyi mengingatkan saya pada hari istimewa insan kesayangan saya (setiap kali ada insan kesayangan saya berulangtahun handphone saya akan berbunyi mengingatkan saya). Tekan butang ‘delete’ sajalah, apa susah! Tapi saya tidak mampu!! dan saya tidak mahu! Bagi saya ‘dia’ tetap ada bersama saya. Dan kita seringkali ber’kalau’lah... anda pasti dapat agak apa yang nak saya cakapkan. Kalaulah dia masih ada, pastinya sambutan raya ini akan berlainan. Sambutan raya beserta sambutan ulangtahun, tapi ‘kalaulah’ itu tetap tidak boleh digunapakai lagi...

Saya di kampung sampai raya ke-5 (14 Sept), kerana tengah harinya kami bertolak ke Terengganu untuk bercuti. Saya disertai oleh Mek, Abah dan adik-adik ~ Lili & keluarga, Lida & keluarga, Rose & keluarga, Nini & keluarga serta adik bongsu saya si Khairi aka Kerry. Tempat tujuan kami adalah di Pulau Duyung, Terengganu. Konvoi beramai-ramai membuatkan perjalanan kami agak perlahan. Apatah lagi Abah nak singgah di rumah kenalannya di Gong Medang, membuatkan kami tiba lewat petang di tempat penginapan. Dan lebih memenatkan lagi apabila tempahan bilik yang kami buat (saya & Rose) terdapat sedikit kekeliruan. Nombor tempahan yang diberikan pada saya, merupakan nombor tempahan Rose. Mungkin kerana nama kami yang hampir mirip? Nasib baik masih ada kekosongan bilik. Dan lebih kurang jam 6 petang barulah kami dapat berehat, melepaskan penat lelah.

Saya tempah bilik di Ri-yaz Heritage selama 3 hari 2 malam, tapi yang lain-lainnya hanya 2 hari 1 malam. Memandangkan kami tiba dah lewat petang, jadi acara untuk hari itu cumalah makan malam di salah sebuah gerai makan yang terdapat di kawasan Batu Buruk. Hari kedua kami makan pagi di gerai bersebelahan dengan gerai kami makan malamnya. Menu untuk breakfast kami adalah nasi dagang. Sedap! Usai makan kami melawat Masjid Kristal dan menaiki cruise mengelilingi Pulau Wan Man, Pulau Duyung serta pulau-pulau yang terdapat di sekitar Sungai Terengganu. Niat hati nak masuk Pusat Tamadun Islam yang menempatkan replika masjid-masjid ternama yang terdapat di seluruh dunia tidak kesampaian kerana kami kesuntukkan masa. Berlegar-legar mencari makan tengah hari dan kemudian ke Pasar Payang.

Lewat petang, kami berpecah kerana masing-masing nak balik ke destinasi masing-masing. Rose, Abah, Mek & anak-anaknya balik ke Kelantan, Lili balik Bangi, Nini balik Gombak dan Lida balik Kluang & saya, nak balik ke bilik hotel… nak tidur kerana badan sudah menunjukkan tanda-tanda tak sihat. Malamnya saya tidur pengsan… rupa-rupanya mereka tak jadi balik, cari hotel lain (Seri Malaysia) tidur satu malam lagi kerana 'drebar' masing-masing dah penat nak drive. Kecuali Nini yang memang terus balik ke Gombak.

Dan saya, memang balik ke KL membawa virus demam yang teruk. Tapi memang seronok dapat bercuti bersama keluarga, dan yang paling seronok si Aysha lah. Langsung tak nak naik kereta kami, nak naik kereta Tok Wae (Abah) sebab ada adik Mirul (anak Rose).

Balik KL, saya dapat 2 hari mc (jumaat & sabtu), tapi memandangkan ada kerja ‘urgent’ dan bos tak senang duduk, saya terpaksa masuk kerja hari sabtu tu.


Dan bermula rutin saya seperti biasa walaupun ‘raya’ masih berada di bulannya lagi.

Terbaharu, semalam saya menghadiri majlis rumah terbuka JS. Meriah! Meriah dengan makanan yang di masak sendiri oleh ‘iron chef JS’, juga meriah dengan kawan-kawan yang datang. Selain menjamu selera, kami juga dapat berkumpul. Dah lama rasanya tak berkumpul dengan adik beradik UB, rasa rindu sangat-sangat! Walaupun seketika cuma waktu yang dapat dikongsi bersama, sekurang-kurangnya terubat rindu di hati. Tak dapat nak bersembang lama kerana si Aysha sibuk dok tarik baju ajak balik…

Insyallah minggu depan ada lagi jemputan daripada Chik (sepupu Abah) di kampong kerinchi, buat jamuan rumah terbuka sekali dengan makan-makan sempena dia nak berangkat ke tanah suci Mekah mengerjakan ibadah Haji. Dan Insyallah Mek & Abah juga akan berangkat ke tanah suci pada 15-Okt ini. Moga segala urusan mek & abah dipermudahkan Nya. Walaupun sekarang ni abah masih lagi sangkut dengan darah tingginya yang tak pernah saya tahu (bahawa dia ada darah tinggi) dan rasanya Abah pun tak sedar yang dia ada darah tinggi… Mohon doakan untuk Abah & Mek saya ya!!

0 comments:

Back to Top