0


Assalamualaikum...

Belum terlewat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya kan? Apatah lagi kita masih di bulan Syawal dan masyarakat kita rata-rata beraya sebulan... hikhikhik

Sambutan Aidil fitri saya tahun ini biasa-biasa sahaja. Baju melayu Sirman tak sempat buat, baju raya Aysha sekadar beli sehelai jubah, dan untuk raya kedua dan ketiga, dia pakai baju kurung lama (tapi tetap nampak baru tau!).

Puasa tahun ini pun, kami tak sempat nak berbuka puasa kat luar sebagaimana tahun-tahun sudah. Ini kerana kerja pejabat yang berlambak-lambak (berganda daripada hari bukan puasa) Dah la lesu kerana berpuasa, kena pula 'bergaduh' dengan bos sebab bagi kerja terlampau banyak sangat. Tak sempat siap kat office, terpaksa bawa balik sambung kerja kat rumah.

Ada satu hari tu sampai 24jam saya tak tidur! Mana tidaknya lepas berbuka puasa, bersiap-siap nak pergi surau berterawih, balik dah pukul 10 malam. Sambung buat kerja pejabat hingga tak sedar bunyi loceng jam pukul 4 pagi untuk saya bangun siapkan juadah bersahur (masak nasi dan masak lauk simple-simple aje). Siap bersahur dah masuk waktu subuh, lepas solat bersiap-siap untuk ke pejabat pulak. Dan Akhirnya seminggu sebelum raya saya 'tumbang' juga. Demam panas, batuk dan bp turun hingga paras rendah yang dah tak normal (biasanya blood pressure:bp saya memang paras rendah tapi masih normal). Akhirnya doktor beri saya mc 2 hari. Dapatlah berehat sebentar kat rumah. Itulah sebabnya kenapa persiapan raya saya tak menjadi.

Tahun ini giliran beraya kat Shah Alam dulu, jadi bila raya kedua baru balik kampung, suasana raya tu dah tak terasa meriah mana. Banyak rumah makcik-makcik dan pakcik-pakcik yang tak sempat saya nak ziarah. Apatah lagi cuti sekolah yang singkat, lagilah sekejap masa yang dapat saya luangkan kat kampung. Tapi tak apa... Insya-Allah Raya Haji nanti saya nak balik kampung! (doakan saya ya agar waktu tu tiada aral dan halangan untuk saya balik kampung)

Apa kenangan raya tahun ini? Tak ada sangat, selain tak sempatpun nak ambil gambar raya bersama adik-beradik dan kaum keluarga yang lain.

Tapi ada satu yang buatkan hati saya bertambah sayu terkenangkan arwah abah. Bila Pakcik saya (suami adik bongsu arwah abah) datang beraya dengan anak dan menantunya. Kata-katanya ketika dia dah nak balik dan saya hantar Pakcik saya ini sampai ke tangga, dengan dia dah turun ke tanah dan saya berdiri kat atas tangga rumah...

"Pokcik tak dan lagi nak gi ziarah kubur arwah abah La. Sifu Pokcik tu! Arwah abah La la yang ajar Pokcik mengaji daripada zero sampai Pokcik boleh ambik alih..." (jadi Imam ganti kalau Imam yang biasa tak dapat datang - dulu-dulu itu tugas arwah abah, jadi imam ganti)

Balasan saya, "tak pa Pokcik, ada masa nanti boleh pergi. Itu kira saham arwah abah. Insya-Allah selagi Pokcik ingat, dan beramal dan niat pahala pada arwah abah tu pun dah cukup" 

Ya, saya rindu pada arwah abah! Abah pergi tinggalkan kami ketika kita masih dalam mood beraya, di bulan syawal. Tepatnya 2 minggu syawal 2 tahun lepas. Bermakna ini kali ke-2 kami beraya tanpa abah.

Walaupun saya dah tak mungkin dapat salam, cium tangan abah dan peluk abah serta minta ampun dan maaf daripada abah... namun saya tetap juga nak ucapkan 'Selamat Hari Raya' pada abah. Moga ketika abah pergi mengadap Ilahi, abah sudah ampunkan segala salah silap serta dosa Lila pada abah. Lila tahu, Lila banyak buat silap pada abah. Lila anak abah yang degil. Lila pernah bantah cakap abah. Lila banyak menyusahkan abah dan banyak lagi salah Lila pada abah, Tapi Lila berharap sangat abah ampunkan segala salah dan dosa Lila pada abah. Lila sayang sangat pada abah. Tiada sesiapa yang dapat ganti tempat abah dalam hati Lila.

Dan Lila sentiasa berdoa semoga Allah ampunkan segala dosa-dosa abah, moga Allah tempatkan abah di syurga-Nya, Allah perkenankan. Sayang Lila pada abah tak terhitung sebagaimana sayang Lila pada Mek dan adik-adik... Aaminn

Selamat Hari Raya Aidil Fitri, pada sahabat-sahabat kesayangan saya semua. Mohon diampun segala salah dan silap saya andai ada kata-kata (tulisan) tanpa saya sedar telah mengguris hati kalian semua. Sesungguhnya saya manusia yang lemah...


Salam sayang,
Back to Top