2

Curhat yuk!

Salam...

Apa itu curhat?

Kalau saya salah tolong betulkan ya. Curhat mengikut pemahaman saya adalah curahan hati – curhat. Ini bahasa Indonesia. Saya sebenarnya baru usai baca novel karya penulis seberang yang 100% adalah dalam bahasa Indonesia. Secara jujurnya tak semua patah perkataannya saya faham. Ada antaranya saya main agak-agak aje... hehehe... dan gue suke banget karyanya. Dan saya notice satu perkara, mereka suka memendekkan perkataan contohnya curhat ni, kemudian 'jaim' (jaga imej), yang lain-lain lupa nak salin... hehehe lain kali ya!

Kenapa baca karya penulis seberang? Sudah tidak adakah karya penulis kita yang boleh dibaca?

Jangan salah menduga. Saya cintakan karya tempatan dan saya juga sukakan karya nusantara - Indonesia, Singapura & Brunei (aje yang belum baca). Bukankah membaca itu jambatan ilmu. Mungkin saya tidak berpeluang untuk melawat ke tempat-tempat mereka, sekurang-kurangnya saya boleh 'melancong' melalui karya-karya mereka. Di samping saya boleh belajar budaya mereka. Bukankah melalui karya-karya penulis tempatan dan nusantara terkandung tentang sosio-budaya dan politik mereka?

Lagi satu, saya boleh belajar bahasa mereka. Saya gemarkan susunan dan gaya bahasa Indonesia, sangat puitis (pada sayalah! mungkin tidak pada anda). Adakalanya jalan cerita mereka lebih kurang aje dengan karya-karya penulis tempatan tapi, tetap juga saya suka baca.

Saya tak suka menonton sinetron yang terlalu banyak episod yang harus saya bertunggu-tangga setiap hari, tapi saya suka membaca, jadinya melalui pembacaan saya umpanakan diri saya sedang menonton sinetron. Sama juga kan?hehehe...Yaah jadiknya ngak salahkan kalo gue jadi pengen banget baca karyanya mereka??

Macam mana boleh mula baca karya dari seberang?

Saya belajar membaca karya penulis seberang (Indonesia) melalui kaksu. Kesempatan melawat Pesta Buku Indonesia tahun 2008 saya banyak borong buku-buku dari sana. Harganya juga agak murah sekitar Rp35,000 - Rp60,000 (sekitar RM12 - RM22). Dan saya ada geng yang juga sangat gemar membaca karya seberang, jadi saya ada sumber 'khutubkhanah' yang boleh saya gunakan bila mana saya perlukan bahan bacaan.

Ops! dan tak semua orang yang boleh meminjam di sini, jadi harap maaf jika awal-awal lagi sudah tertulis 'TIDAK BOLEH MEMINJAM' tertera di khutubkhanah ini. hehehe (jangan marah... memandangkan bahan bacaan ini adalah bahan yang terhad -susah nak beli- jadi untuk mengelak daripada tidak dipulangkan, hilang atau rosak, lebih baik awal-awal lagi tidak diberi pinjam, betul tak? Bukan kedekut tau!)

Semenjak dari itu saya ada bahan bacaan sampingan bila saya sudah hilang 'selera' pada bahan bacaan tempatan. Oh! pembacaan saya bergantung pada 'mood'. Andai saya punya mood membaca tetapi hilang selera pada karya tempatan, saya akan baca karya dari seberang. Dengan harapan mood membaca karya tempatan saya akan kembali. Logik ke alasan ni?? Tapi itulah saya!

Penulis mana yang saya baca karya mereka? Dan apa genre pilihan saya?

Memandangkan penguasaan bahasa Indonesia saya agak terhad, jadi pilihan saya pastinya pada bahan bacaan yang agak mudah difahami. Metropop selalunya jadi pilihan. Lagipun kita ada 10 orang Sasterawan Negara, jadi saya seharusnya baca karya SN kita dulu barulah saya boleh baca karya-karya 'berat' penulis dari seberang. Lagipun saya membaca karya dari seberang hanya untuk 'enjoy' di samping mengutip sedikit sebanyak ilmu yang saya boleh jika ada. Jadi andai bahan bacaan saya agak terkebelakang dan agak tidak 'sastera' jangan kutuk saya ya! Saya hanya ingin membaca!

Selalunya penulis yang menjadi pilihan saya adalah Tere Liye, Marga T, Maria A Sardjono, Andrei Aksana, Andrea Hirata, Dewi Sekar dan beberapa penulis lagi. Ada antara penulis-penulis ini saya buat koleksi karya-karya mereka seperti Tere Liye, Maria A Sardjono & Andrei Aksana. Oh! saya ada satu karya tulisan Kurnia Affendi. Waduh! bahasanya enak banget! dan saya pernah berkesempatan berjumpa dengan beliau. Terima kasih pada kaksu yang memberi peluang saya bertemu dengan Pak Kurnia. Pertemuan dengan Pak Kurnia di Gunung Mas sungguh bermakna... kenangan yang tidak akan pernah padam dari ingatan (insyallah)... ~ bersama nacha, syud, kakyah, kaksu, & kaknOOr & Bunga aka Erna juga Mbak Endah ~

Bagaimana saya memperolehi bahan bacaan dari seberang ini?

Saya ada sahabat dari seberang yang kerap berkunjung ke mari yang selalunya akan belikan novel-novel ini buat saya. Saya ada sahabat yang suka ke seberang (bagaikan balik JB aje kayaknya.. hehehe loe tahu siapa loe yang gue maksudkan! sayang banget sama kamu!!) yang akan belikan untuk saya. Saya ada sahabat yang suka hadiahkan buku karya dari seberang andai sesekali mereka ke sana. Sahabat-sahabat dunia-akhirat saya inilah yang menjadi 'sumber' saya. Jadi stok buku dari seberang, Insyallah sentiasa ada untuk bacaan saya. Kalau tak ada saya ulang baca sebagaimana saya ulang baca karya penulis tempatan pujaan saya...

Rasanya udah deh gue curhat di sini... gue udah nggak tahu mau ngomongin apa lagi... kapan ketemu lagi... daaaaaa

'walau hatiku sedang sengsara... bukan berarti seluruh dunia harus ikut berdukacita juga!'

0

WA : Cabaran 50 Buku : (9) Akulah Cinderella

Pengarang : Nozi Danisya
Halaman : 376
Tahun : Cetakan kedua – Feb 2011
Terbitan : Kaki Novel
Harga : RM18 / RM21



Sinopsis

Akulah Cinderella ini berkisah tentang seorang anak yang kehilangan kedua orang tuanya dalam kecelakaan jalan raya. Kisah seorang kakak yang terpaksa berhenti sekolah dan bekerja sebagai ‘office boy’ di siang hari dan di restoran Mak Cik Senah di malam hari demi menggalas tanggungjawab yang ditinggalkan oleh orang tuanya.

Syah - Nur Aisyah, kakak sulung harus bertanggungjawab penuh pada adik-adiknya yang seramai empat orang itu. Di usia 17 tahun dia harus ber`lagak’ macho dengan harapan dapat menghindarkan dirinya daripada ‘mata-mata jahat’ yang ada niat tak baik padanya ketika dia harus keluar bekerja (terutamanya di malam hari). Dia harus tegar demi membela nasib adik-adiknya.

Masalah datang bertimpa-timpa. Bermula dengan masalah tempat tinggal hinggalah masalah hak penjagaan terhadap adik-adiknya yang semuanya masih kecil. Mereka diberi tempoh seminggu untuk mengosongkan rumah dan keluar daripada tanah tempat mereka berteduh. Rumah yang didirikan atas tapak tanah Pak Haji Yahya yang baik hati. Namun kematian Pak Haji Yahya menyebabkan anak menantunya menghalau mereka keluar atas alasan tanah itu akan dijual. Tambah merumitkan keadaan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula bertandang dan mendakwa bahawa dia tidak layak untuk menjaga adik-adiknya kerana dia sendiri masih di bawah umur (17 tahun).

Namun segalanya mula berubah apabila Syah menyelamatkan Datin Zulaikha yang dalam kesulitan. Bagaikan sudah tersurat, takdir hidupnya mula berubah. Kehadiran Datin Zulaikha membuka jalan penyelesaian pada Syah dan adik-adiknya. Mereka dijadikan anak angkat oleh Datin Zulaikha.

Syafiq Daniel, perkenalannya dengan Syah dalam keadaan yang haru-biru. Syah yang disangkanya lelaki dipukul dan dilempang oleh Syafiq tanpa belas kasihan. Aduh! Bagaikan badi, mereka bertemu dan sering bertegang leher. Bermulalah ‘perang saudara’ antara mereka. Namun yang lebih merumitkan keadaan, Syafiq adalah anak lelaki Datin Zulaikha dan sekaligus abang angkat Syah dan adik-adiknya - Alia, Ain, Azah & Aiman.

Amankah hidup Syah apabila harus hidup dibawah satu bumbung dengan 'musuh'nya? Bagaimana kesudahan kisah Syah-Syafiq ini? Bacalah Akulah Cinderella ini dan dapatkan jawapannya!


Rasa Saya:

Membaca judulnya, saya terbayangkan kisah seorang anak malang yang didera fizikal dan mental oleh ibu dan saudara-saudara tirinya. Kisah anak malang yang kehilangan ibu kandung, kemudian dibawa oleh bapa kandung tinggal bersama isteri barunya bersama anak-anak tirinya. Malang menimpa, apabila bapa kesayangannya juga meninggal dunia. Dan hiduplah dia bersama ibu tiri dan kakak-kakak tirinya. Itu kisah dongeng Cinderella yang pernah saya tonton dan baca.

Secara peribadinya saya memang tidak dapat membuang ‘imej’ Cinderalla yang berakar umbi dalam minda saya. Jadi bila naskhah ini menggunakan Akulah Cinderella sebagai judulnya, sedikit sebanyak saya cuba memadankan setiap watak dan perwatakkan dalam Akulah Cinderella ini dengan watak-watak yang ada dalam kisah Cinderella yang saya tahu.

Jangan salahkan saya apabila saya cuba mencari di mana signifikannya judul dengan plot sesebuah cerita, kerana itulah yang saya buat ketika membaca sesebuah karya kreatif. Judul dan plot cerita seharusnya ada hubung-jalinnya. Itu pendapat sayalah. Mungkin saya salah.

Dalam naskhah ini, saya merasakan bahawa Datin Zulaikha itu adalah ‘Fairy Godmother’ yang menjadi penyelamat ‘Cinderella’ apabila dia dirundung malang dan ditimpa kesusahan dan Syafiq Daniel adalah 'Prince Charming'. Cuma yang berbeza, Syah bukan anak tiri dan dia tiada adik beradik tiri. Kisahnya juga berbeza, Syafiq Daniel bukan ‘Prince Charming’ yang menjadi pujaan ramai walaupun dibayangkan dia lelaki yang cukup kacak dan menarik kerana dalam cerita ini tiada watak antagonis yang akan merampas ‘Prince Charming’ daripada tangan ‘Cinderella’. Yang ada cuma watak Intan, yang terlalu obsess pada Zailan yang sukakan Syah. Itupun tidak cukup kuat untuk buatkan saya bencikan ‘Intan’. Ada sesuatu yang ‘kosong’, tapi saya tidak tahu di mana puncanya.

Satu lagi kelemahan saya ketika membaca sesebuah karya, saya suka meletakkan diri saya ‘dalam’ satu-satu watak agar setiap ‘roh’ dapat saya rasai jiwanya. Malangnya saya tidak berjaya meletakkan diri saya dalam ‘kasut’ Syah. Saya tidak boleh menjadi Syah.

Apa-apapun Akulah Cinderella masih mampu menarik tumpuan saya yang adakalanya tersasar, dengan tindak-tanduk Syah dan Syafiq yang menjadi tonggak utama dalam karya ini. Walaupun ada kalanya ia agak keanak-anakkan pada saya yang sudah berusia ini.

Selamat membaca.

5

WA : Cabaran 50 Buku : (8) 3 Jantung Hati

Pengarang : Nisyah
Halaman : 452
Tahun : Disember 2010
Terbitan : Jemari Seni
Harga : RM19.00 (Sem. M'sia)/RM22.00 (Sabah/Sarawak)
ISBN: 978-967-5118-50-0


Blurb:

menahan diri daripada menerima Nadim samalah seperti menelan paku payung

Benarkah cinta seorang perempuan terhadap seorang lelaki itu seumur hidupnya? Biarpun lelaki itu telah tiada di alam fana ini, benarkah cintanya tidak pernah berusik? Biarpun waktu berlalu, benarkah kasihnya takkan berubah?

Lalu bagaimana pula andainya muncul seorang lelaki lain yang setara? Kalaupun tidak lebih baik daripada si jantung hatinya yang telah pergi itu, apakah cintanya akan beralih arah? Susahnya memahami hati perempuan, kadang-kadang dalamnya tidak terduga; kadang-kadang berkata ‘ya’ di dalam, di luar tetap mengaku ‘tidak’!

Sukar sungguh hidup Nadira setelah suaminya mati, meninggalkan dia merana bersama anak kecil si jantung hatinya. Ah, bertambah sukar hidupnya setelah menjadi ibu tunggal itu, tiba-tiba muncul dia! Dia yang berebut mahu jadi jantung hatinya yang ketiga. Sanggupkah dia membiarkan hatinya diisi lagi, kalau kasihnya pada Imran sudah penuh?

* * * *

NISYAH menulis tentang hati seorang perempuan yang tersepit antara kenangan cinta lama dengan munculnya ‘orang baharu’ yang begitu mengharap cintanya. NISYAH begitu berhati-hati membuat keputusan dalam 3 Jantung Hati untuk mengubah hidup Nadira selamanya.

~~***~~

Rasa Saya

3 Jantung Hati adalah kisah ketabahan seorang wanita yang mengharungi hidup selepas kematian suami. Kisah kegigihan seorang ibu yang harus berjuang demi kelangsungan hidup bersama anak tunggal yang menjadi jantung hatinya.

Dunia ini adalah pentas perjuangan dan dugaan adalah cabaran yang harus ditempuhi. Selepas kematian suami tercinta, segala-galanya adalah di atas pundak Nadira. Dialah mami, dialah babah pada Ensha Hani yang sedang membesar.

Bersama sahabat baik, Oya –Saforah– yang sama-sama membesar di rumah anak yatim Baitul Saadiah, mereka mengusahakan O&D Party Planner, sebuah syarikat yang menjalankan kerja-kerja pengurusan majlis. Kerja-kerja yang memerlukan kreativiti dan ketelitian dalam memastikan setiap majlis yang dianjurkan berjalan selancar mungkin. Dengan misi ‘menimbulkan rasa bahagia pada setiap yang hadir ke majlis yang diraikan’ sebaik mungkin mereka akan memastikan agar satu-satu majlis yang dirancang dan dilaksana, memberi kepuasan pada pelanggan. Sekaligus menjadi sebutan pada tetamu yang hadir. Walaupun hakikatnya ada waktunya mereka harus berdepan dengan pelanggan yang cerewet.

Melalui kerja-kerja inilah mereka kenal golongan ‘atasan’, golongan korporat, golongan Puan Sri, Datuk, Datin yang pelbagai ragam dan karenah. Yang ada kalanya hanya pandang mereka –golongan marhaen– sebelah mata.

Perkenalannya dengan Nadim Syah dalam situasi yang tak dijangkakan. Mereka bertemu ketika Nadira dalam kesusahan dan perlukan bantuan walaupun hakikatnya dia tidak suka dibantu. Nadim yang terlebih baik hati menghulurkan bantuan. Nadira yang cuba 'jual mahal'. Nadim yang seakan tidak mengerti pada tindak tanduk Nadira yang bermaksud TIDAK. Pendek kata mereka tidak sehaluan walaupun arah tuju yang sama. Ingin meraih bahagia bersama orang tersayang.

Melalui O&D Party Planner inilah Nadira mengenali Puan Sri Suhaida yang menggunakan khidmat mereka untuk meraikan ulangtahun kelahiran anak terunanya. Kecilnya dunia ini. ‘Birthday boy’ yang diraikan adalah Nadim Syah yang sering membuatkan Nadira rasa nak marah tak tentu fasal.

Agaknya bila rasa cinta sudah merasuk di dada, orang waraspun boleh lakukan kerja gila demi menawan hati orang yang disukai. Itulah yang berlaku pada Nadim. Di usia 38 tahun, dia bagaikan anak muda belasan tahun yang baru kenal erti cinta. Dia sukakan Nadira yang sudah punya anak satu. Nadira yang berstatus ‘SM’ –single mother. Sedangkan bondanya sudah punya pilihan lain yang dia rasa lebih sesuai untuk anaknya yang masih bujang.

Pelbagai dugaan melanda. Semakin jauh Nadira cuba melarikan diri, semakin dekat Nadim menghampiri. Semakin jauh Nadira cuba lontarkan rasa hatinya terhadap Nadim, semakin kuat rasa itu melekat di tangkai hatinya. Semakin gigih Nadira cuba lenyapkan seorang Nadim Syah daripada kamus hidupnya, semakin kerap Nadim hadir dalam mimpi dan anganannya. Bagaimana lagi harus Nadira lakukan, apabila segala usaha bagaikan tiada hasilnya? Bukan dia tidak berusaha, hanya Nadim yang tidak mengenal erti putus asa.

Tidak sukar bagi seorang Nadim Syah memancing perhatian Nadira kerana dia ada si hunny bunny sebagai umpannya. Tidak sukar bagi Nadim Syah meneroka kotak rahsia si jelita kerana kuncinya ada pada si anak. Inilah yang namanya, andai ingin pikat hati si ibu, ikat dulu hati si anaknya. Geliga sungguh akal si Nadim!

Berjayakah seorang Nadim menjulang trofi bahagia apabila laluannya tidak semudah yang disangkakan. Dan dapatkah diraih rasa suka Puan Sri Suhaida apabila awal-awal lagi dia sudah beri amaran “I don’t like her, and will never like her!!”

* * *

Jika dibaca pada ringkasan cerita saya, anda pasti sudah punya perspektif sendiri. Oh! kisah cinta yang mendapat tentangan daripada keluarga. Ya, itulah dia cerita ini tetapi itu hanya sebahagian kecil yang menjadi perencah. Sebetulnya cerita ini ada lebih banyak lagi rencah-ratusnya selain cinta. Ada sedih, ada juga lawaknya.

Kisah bagaimana Nadira bangkit apabila dahan tempat dia bergantung harap pergi mengadap ilahi. Kisah bagaimana peritnya dia harus menongkah arus kehidupan dalam dunia yang dia tak punya sesiapa melainkan sahabat baiknya Oya dan anaknya Ensha Hani. Di usianya 34 tahun, dia harus tabah mengharungi setiap cubaan dan dugaan yang mendatang.

Dengan anak kecil yang perlukan perlindungan dan perhatian. Anak kecil yang masih naïf akan makna hidup. Anak kecil yang dahagakan belaian kasih seorang lelaki sosok si ayah. Anak kecil yang tidak faham makna TIDAK pada setiap jelingan dan kerlingan mata si ibu. Apa yang Ensha Hani tahu, dia suka dan dia sanggup lakukan apa sahaja asalkan terlaksana apa yang dia inginkan. Walaupun adakalanya dia harus berdrama dan berkomplot dengan ‘musuh’ si ibu. Saya pula yang terasa geram!!

Adakalanya saya terbayangkan Ensha Hani itu bukan anak berusia 8 tahun tetapi belasan tahun! Dan adakalanya saya merasakan tindak tanduk Nadim (adegan panjat pagar rumah) terlalu ‘berani’ dan agak tidak masuk di akal. Gila!

Apa-apapun saya sangat enjoy ketika membacanya. Pada saya ia sebuah karya yang sungguh manis berkrim. Membaca 3 Jantung Hati membuatkan saya terimbau saat-saat manis zaman bercinta dulu. hehehe

Oh! bukan. My Sirman bukanlah seorang yang romantik apatah lagi nak kagumkan saya dengan tindak-tanduknya yang tidak terjangkakan. Dia bukan Mat Bunga apatah lagi Mat Jiwang, jadi tiada adegan-adegan yang tak masuk di akal sebagaimana kisah dalam 3 Jantung Hati ini. Dia juga tidak pandai mengungkap rasa cinta lewat bicara atau ayat-ayat puitis kerana dia seorang yang praktikal dan teknikal yang hanya kenal t-square dan technical pen. Cuma yang sama (mungkin) adalah ‘rasa manis’ saat dalam hati penuh taman bunga dan kupu-kupu cinta! cheeehhh!!

Dan yang paling saya suka, penulis bijak meng‘ayat’ hinggakan saya yang membaca turut sama merasa tempiasnya. Hati saya jadi kembang setaman, pipi saya turut blushing sama. Penulis berjaya membuatkan jiwa saya kembali muda. Layan jiwa yang jiwang sekejap!

To my Sirman... Yes! I want to grow old with you!!

Selamat membaca... moga kita berkongsi rasa yang sama... :)

Pesta Buku Kelantan

~pakat gi ghama-ghama deh!~


0

WA : Cabaran 50 Buku : (6) Rayyan Fantasi

Penulis : Ramlee Awang Murshid
Halaman : 512
Tahun : Disember 2010
Terbitan : Alaf 21
Harga : RM19.90

Sinopsis

RAHSIA susur galur Aiddin sengaja dirahsiakan oleh ayahnya, Ibrahim. Justeru... dia memiliki sebuah keluarga yang bahagia. Bagaimanapun kehidupan manusianya yang gembira dan ceria, tercalar apabila disahkan menghidap barah otak tahap empat. Doktor meramalkan Aiddin hanya mampu hidup dalam tempoh yang sangat singkat. Jiwanya terganggu dan sejak itu, Aiddin suka bersendirian.

Aiddin yang berduka cita ditenteramkan oleh tunangnya, Feena yang berjanji akan setia pada ikatan cinta mereka. Impian terakhir sebelum kematian meragut kehidupannya adalah untuk mendaki Gunung Kinabalu. Impian itu terlaksana, tetapi Aiddin hilang di kawasan hutan pergunungan. Selepas lima tahun berlalu, Aiddin muncul semula di kawasan tersebut. Sejak itu, beberapa siri pembunuhan ngeri berlaku. Manakala Aiddin sendiri sering mendengar bisikan suara perempuan.

RAMLEE AWANG MURSHID berjaya mewujudkan sebuah rahsia dalam lingkaran saspens, seram dan misteri dalam novel ini. Faktor cinta pula adalah pengikat, tetapi tidak semestinya tersimpul mati. Rayyan Fantasi merupakan genre yang berbeza dalam karya Ramlee kali ini. Ketika membaca novel ini, pastikan di sekeliling anda adalah realiti kerana fantasi begitu bijak menipu fikiran.

* * * *

Sebagai penggemar karya fiksyen Ramlee Awang Murshid (RAM), sememangnya naskhah ini menjadi pilihan saya untuk dibaca untuk cabaran 50 buku saya. Kali ini RAM tampil dengan genre SaiFai (Sains Fiksyen).

Rayyan Fantasi, kisah bermula di suatu malam yang sunyi. Kemunculan Ibrahim yang menumpang teduh daripada basah hujan di teratak Pak Markum bersama anak kecil yang menangis kesejukkan dan kelaparan, penuh misteri. Aiddin, si anak yang baru kematian ibu membuatkan Pak Markum dan Supinah anak daranya jatuh belas. Bermula hidup Ibrahim bersama anaknya Aiddin di Lembah Kundasang atas ehsan Pak Markum sebagai ‘keluarga’ baru. Apatah lagi Ibrahim tidak punya tempat yang hendak di tuju. Daripada kasihan menjadi kasih, akhirnya dengan restu Pak Markum, Supinah dikahwinkan dengan Ibrahim.

Aiddin membesar menjadi anak yang sangat pintar. Supinah mengasihi Addin bagaikan anak kandung. Daripada Aiddin kecil hinggalah usianya 10 tahun, hidup mereka sekeluarga tenang-tenang sahaja. Hinggalah di suatu hari Aiddin yang selama hidupnya tidak pernah sakit, jatuh pengsan. Ada sebab yang menyebabkan Aiddin pitam, hanya Ibrahim yang tahu.

Peredaran masa membuatkan Aiddin tumbuh menjadi anak muda yang bijak lagi pintar. Melayakkan dia menyambung pelajarannya di UKM Bangi. Peluang terbuka ini membawa kepada perpindahan Ibrahim dan Supinah ke Semenanjung. Ada alasan lain juga kenapa Ibrahim berpindah ke Semenanjung.

Malangnya kegembiraan mereka tergugat apabila Aiddin disahkan mengidap barah otak tahap empat. Kecewa dengan penyakit yang dideritainya Aiddin ingin melunaskan impian terakhirnya, mendaki Puncak Gunung Kinabalu. Di temani teman-teman seuniversiti, Feena yang telahpun menjadi tunangannya, Suhaila, Mei Long dan Zaidan, Aiddin memulakan pendakiannya. Malang menimpa apabila Aiddin hilang tanpa jejak ketika menuruni puncak gunung.

Kehilangan Aiddin penuh misteri. Tiada siapa yang dapat merungkai kehilangannya. Ibrahim yang tidak sanggup melihat Supinah derita kehilangan anak, membongkar rahsia siapa mereka sebenarnya. Malangnya Supinah yang tidak dapat menerima hakikat, dengan tega menghalau Ibrahim daripada rumahnya (dan dari hidupnya juga).

Selepas 5 tahun berlalu, kehilangan Aiddin tidak lagi diambil endah. Hinggalah dia muncul di kaki Gunung Kinabalu bersama Ibrahim dalam keadaan yang penuh tanda tanya. Muncul bersama misteri pembunuhan yang mengerikan.

Siapakah Ibrahim dan Aiddin yang sebenarnya? Apa rahsia yang diselindungkan oleh Ibrahim hatta anaknya sendiri tidak mengetahuinya? Ada musuh yang memburu, tapi siapakah musuh itu dan siapa pula yang diburu? Ada suara yang berbisik di telinga Aiddin menyeru Rayyan agar kembali. Tapi siapakah Rayyan? Dan suara siapakah yang menghantui Aiddin? Segalanya penuh tanda tanya dan perlukan penjelasan.

Teruja? Ingin tahu apa rahsianya? Anda harus baca dan selongkar sendiri. Cari jawapan pada setiap persoalan yang berlegar dibenak anda. Dan yang pastinya setiap persoalan, jawapannya hanya ada dalam naskhah Rayyan Fantasi ini.


Rasa Saya:

Kali ini RAM membawa kita menjelajah ke dua dunia yang berbeza. Dunia Realiti dan Dunia Fantasi. Membaca Rayyan Fantasi ini saya dibawa ‘mengembara’ ke dunia yang tiada titik temu. Dunia yang dinamakan dunia Fantasi. Dunia makhluk asing? kalau boleh saya andaikan begitu. Dunia yang pada realitinya sangat mustahil untuk kita terokai. Saya cuba membayangkan saya berada di dunia bunian. Walau hakikatnya saya sendiri tidak tahu bagaimana rupa bentuknya dunia bunian itu.

Sebagai pembaca, adakalanya kita akan cuba mencipta ‘layar perak’ kita sendiri berdasarkan daya imaginasi kita ketika membaca. Namun saya terasa bagaikan tersesat. Kecanggihan teknologi beserta keadaan rupa bumi yang digambarkan di alam fantasi itu terlalu fiksyen... terlalu tinggi jika dibandingkan dengan dunia realiti. (hehehe dah namanya buku fiksyen, apalah wan nih!!)

Sebagai penggemar karya RAM dan hampir kesemua novel tulisan RAM menjadi koleksi saya, saya bagaikan boleh terima keadaan itu walaupun secara peribadinya saya lebih gemar gaya RAM ketika berkarya menerusi sekual Bagaikan Puteri. Yang berkisah di zaman Kesultanan Melayu Melaka atau sezaman dengannya. Mungkin kerana faktor bahasa yang memainkan peranan. Pada saya, bahasa RAM agak kaku ada kalanya. Walau bagaimanapun ini tidak menjadi masalah besar bagi saya kerana RAM bijak mengatur strategi yang memaksa saya baca, baca dan baca (lupakan bahasanya) untuk sampai ke garisan penamat dan merungkai setiap persoalan yang menjerat minda saya. Saya ingin tahu kesudahannya!

Sebagaimana biasa, RAM bercerita tanpa kronologi. Sesuka hatinya mengatur cerita. Jangan terkeliru apabila anda tiba-tiba berada di dunia Fantasi tanpa anda sedari. Dan jangan terpinga-pinga apabila anda tiba-tiba berada di 10 tahun yang lalu atau sekelip mata anda berada di zaman yang beribu-ribu tahun akan datang. Selalunya RAM akan memberi klu sebagai panduan agar pembaca tidak tersasar jauh.

Jadi nasihat saya, baca jangan berhenti...

Selamat membaca moga pembacaan ini memberi inspirasi pada anda.
Dan jangan biarkan hidup anda diselubungi, misteriiii... hehehehe


0

Cabaran 50 Buku ~ Jom Lomba Baca... PEMBERITAHUAN

Salam semua,

Dalam pemberitahuan yang lepas-lepas, saya ada nyatakan bahawa minggu terakhir saya akan umumkan nama peserta yang akan mendapat sebuah buku tajaan JEMARI SENI SDN BHD. Dan penghantaran buku kepada peserta akan dilakukan pada awal bulan berikutnya.

TAPI memandangkan bulan Februari amat singkat dan penyertaan yang saya dapat agak bertali-arus menerjah inbox email saya, jadi saya tidak punya banyak masa untuk paparkan semua ulasan daripada peserta sekaligus dan memudahkan penilaian dibuat untuk memilih mereka yang layak. Saya mohon pengertian anda sebagai peserta untuk memahami situasi saya akan kelewatan ini.

Saya mohon maaf sangat-sangat. Bukan bermaksud untuk mungkir janji. Harap kalian bersabar ya! Insyallah saya akan cuba sedaya upaya untuk melangsaikan janji saya secepat mungkin.

Salam Sayang
Back to Top