5

Dirgahayu buatmu anakku....

Hari ini tanggal dua puluh dua november tujuh tahun yang lalu,
lahirmu ke dunia ini membawa sejuta rahmat buat bonda.
kamulah anugerah terindah dariNya buat bonda
kamulah permata kebahagiaan bonda

Hanya doa dan harapan yang dapat bonda pohonkan pada yang Esa
agar dirimu sejahtera sentiasa
agar dirimu senantiasa dipayungi oleh rahmat-Nya
agar dirimu senantiasa dalam peliharaan yang Esa
agar dirimu tumbuh menjadi anak yang berguna, berilmu dan beramal soleh
agar dirimu menjadi anak kebanggaan ayah dan bonda...

Dirgahayu buatmu anakku sempena hari kelahiranmu yang ke-7 ini
Sesungguhnya kamulah 'nyawa' bonda...

* * * *

Juga ucapan Selamat Menyambut Hari Kelahiran yang ke... buat sahabatku yang dicintai WABBIT yang berkongsi tarikh yang sama... Moga kebahagiaan senantiasa melingkari hidupmu... dan hanya satu yang daku inginkan... boleh kita kawan sampai bila-bila...??

* * * *

Cerita My Aysha

Dari awal pagi dia sudah merungut... hari ini hari jadinya,
"Mummy tak wish kat Eisya pun!"
Dan kedengaranlah suara sumbang si ibu melagukan "Happy Birthday to you... happy birthday to you... happy birthday to Aysha... Happy birthday to you" Dan terserlahlah senyuman meleret di bibir si kecil tanda bahagia usai nyanyian sumbang si ibu dendangkan.

Seketika kemudian...
"Kenapa tak ada orang wish Eisya?
"mereka tak tahu hari ini birthday eisya jadi mereka tak wish la..."
hanya itu jawaban yang dapat si ibu berikan.

Seketika kemudian...
"Mummy tak beri present pun untuk Eisya"
"...."
si ibu tiada jawaban untuk itu.

Waktu tengah hari... lokasi di PKNS Shah Alam
Sirman ada pre-wedding shoot dengan Mina di Tasik Shah Alam
Wan dan Aysha berlegar-legar di kompleks PKNS, kemudian berjangkit ke SACC Mall di seberang jalan. Kebetulan MPH buat sales di ruang legar SACC. Seperti biasa adalah buku yang akan minta dibelikan oleh Aysha. Satu buku pilihannya, 1 set pensel warna Stabilo dan sebuah lagi buku 366 QUESTIONS & ANSWERS wan belikan untuknya.

Apa yang menariknya tentang buku 366 Questions & Answers ni kerana ianya sangat informatif. What is a Volcano? Why is the sky blue? How is an igloo built? -> jawaban yang wan sendiri tak tahu... ada lagi... Why is the sea salty? What are breezes? What is the ozone layer? How is glass made? What is UFO? Why do we need to eat? When was the pizza invented? What is Phoenix? Why do nettles sting? What is the human body made of? What is the Grand Canyon? dan banyak lagi... setiap hari satu soalan/jawaban, daripada bulan Januari hingga ke bulan Disember. Dan harganya... hanya RM19.90 sebelum di less 30%! & didatangkan dalam bentuk hardcover... memang berbaloi.

"Ini hadiah hari jadi Eisya ya" tanpa dibalut cantik-cantik, wan hulurkan plastik MPH padanya. Reaksi si Aysha... senyuman sudah meleret-leret dibibirnya... tanda hatinya sedang berbunga-bunga??

Petang... di Subang Parade
"Mummy kenapa tak ada kek birthday untuk Eisya?"
"..."

Alahai anak, ketahuilah ibumu ini sedang 'kering'. Tapi balik singgah juga belikan kek di Baker's Cottage demi seorang anak tersayang. Kek coklat seberat 0.5kg telah meragut RM32.00 duit belanja ibumu sementara menunggu gaji.

"Esok eisya nak bawak gi nursery boleh tak mummy? Nanti boleh makan dengan kawan-kawan" Dan satu persatu nama rakan-rakan se-nurserynya dibilang.
"Erk... okeylah"
"tapi mana pack makanan (jajan) untuk kawan-kawan eisya?"
Dan sebelum tiba di rumah, singgah pula di Giant belikan 'jajan' untuk dibahagikan pada rakan-rakannya. Melayang lagi duit mummy... huhuhu memang sah esok mummy kena puasa eisya....!!

0

Insiden...

Salam semua,

Hari ini memang jantung wan seakan mahu gugur! Berderau, seriau, takut semua ada... bercampur gaul dalam hati.

Hari ini merupakan hari terakhir persekolahan untuk sessi 2009. Sekolah petang (agama) berulang kali my Aysha ingatkan adanya perjumpaan antara guru dan ibu bapa. Dan berulang kali juga wan beritahu padanya bahawa wan memang tak boleh hadir. Macam mana nak hadir, perjumpaan diadakan pada hari bekerja, sedangkan wan sudah tiada cuti untuk dipohon. Sirman juga tidak dapat datang. Jadi kami memang tak dapat hadir.

Entahlah... sama ada Aysha tidak faham atau terlalu mengharapkan kehadiran kami, jadi dia khabarkan pada Mak Hasnah (panggilan untuk kakak yang menjemput dan menghantar Aysha ke sekolah) bahawa Papanya akan datang. Jadi Mak Hasnah tidak la datang untuk menjemputnya seperti biasa untuk dihantar ke nursery sementara menanti wan datang mengambilnya.

Ketika wan tiba di nursery seperti biasa untuk mengambilnya, bapa Danish (kawan sekelas dan satu nursery) dengan muka cuak memberitahu bahawa Aysha belum balik dari sekolah. Bagaikan mahu gugur jantung wan. Ya Allah di mana anakku?? Jika di waktu itu (lebih kurang jam 7 malam) dia masih belum balik sedangkan waktu persekolahan petang sudah lama habis (lebih kurang jam 5 petang), jadi di mana Aysha berada??

Wan telefon sirman tanya dia di mana. Sirman masih di pejabat. Tanpa pamit juga tanpa penjelasan wan terus letakkan telefon. Dalam hati memang sudah tak terkira risaunya, kerana Aysha dok canang pada semua orang bahawa Papanya akan datang jemput dia. Ketika bapa Danish datang untuk mengambil Danish, dipelawa Aysha sama untuk pulang bersama mereka... tapi Aysha tetap bertegas mengatakan bahawa Papanya akan datang (mengikut cerita bapa Danish). Dalam hati tidak putus-putus berdoa agar my Aysha selamat.

Tanpa sempat mengambil beg+kasut+baju persalinan di nursery wan terus ke sekolahnya di USJ 9. Setiba di sana wan nampak kelibat cikgu Nazeeha... hati sudah dapat menarik nafas lega. Dia kata Aysha ada kat atas. ALHAMDULILLAH... syukur padaMu Ya Allah kerana mendengar doa wan... Alhamdulillah... Alhamdulillah...

Wan naik ke atas, kelihatan Aysha sedang bermain dalam kelas yang hanya tinggal dia seorang diri. Rupanya masih ada 2 3 orang guru yang masih belum pulang padahal ketika itu sudah hampir ke waktu maghrib. Memandang Aysha, tanpa sedar air mata wan mengalir, Aysha juga menagis sama (mesti dia takut wan marahkan dia!) Dalam hati memang nak marah tapi perasaan risau lebih mengatasi perasaan marah. Menyebabkan wan tak mampu nak marah dia. Hanya dia satu-satunya buah hati wan, hanya dia seorang sahaja!

Ketika sedang bercakap dengan cikgunya, Mak Hasnah telefon, mesti dia juga risaukan Aysha, mesti dia rasa bersalah kerana tidak datang ambil Aysha sebagaimana biasa. Setelah berbasa-basi seketika dengan cikgu-cikgunya wan pamit. Tapi harus ke nursery semula kerana perlu mengambil 'barang-barang' yang tak sempat wan ambil tadi. Dalam perjalanan ke nursery kak Maria (mak Danish) pula telefon tanya sama ada wan sudah ambil Aysha ke belum. Jika belum suaminya nak pergi ambil & bawa balik ke rumah mereka.

Aduhai Aysha.... jangan la buat mummy kena heart attack lagi!!

Dalam kereta masing-masing diam. Dia yang selalunya becok dengan pelbagai cerita tentang kawan-kawan nursery mahupun sekolah hanya menikus. Wan?... harus menata kembali perjalanan degup jantung yang hampir mahu gugur tadi. Jadi lebih baik diam tak bersuara ketika hati sedang berperang.

Aysha... Aysha....

0

Siri Pengenalan : Aku & Kenangan

Episod : NAMA

Nota kecil: Dalam siri (kalau boleh dipanggil siri!?) kata ganti nama 'aku' akan digunakan merujuk pada penulis agar kisah ini terasa lebih dramatik? hehehe apa-apalah 'aku' nih

* * * * *

Nama aku... hhmmm... nak kena cakap ke? atau biar saja aku tinggalkan persoalan nama ini menghantui kamu? Tapi aku pasti ada antara kamu yang sudah tahu nama aku... jadi sesiapa yang dah tahu diam-diam yer.... mana tahu nanti aku boleh buat soalan kuiz?? hahaha

Ok, perhatian semua ya... aku nak sambung cerita nih, siri Aku & Kenangan – Episod 1 : Nama. Memandangkan abah aku namanya mula dengan ‘WAN’, jadi secara teknikalnya nama aku juga bermula dengan WAN, kalau orang cina, kira surname la.

Bagaimana aku boleh dapat nama itu? Maksud aku nama penuh yang tertera dalam my kad. Abah aku la siapa lagi! Dia kalau boleh semua anak-anak dia, dia nak namakan dengan nama yang seakan sama, kecuali nama belakang. Kalau kakak sulung aku (arwah) namanya Wan Roseliza. Sepatutnya di eja Rosliza tapi biasalah polis zaman dulu-dulu ikut sesedap mereka sahaja tulis!. Eh! jangan terkejut kalau kamu jumpa orang dulu-dulu dengan nama yang agak pelik dan unik, yang aku pasti kamu tak akan namakan untuk anak-anak kamu di zaman serba canggih sekarang ni. Tak caya cuba kamu perhatikan nama anak-anak yang lahir di era millenium ni... semuanya nama ‘canggih-canggih’ kan?.

Ops melalut pula aku nih. Ok kita sambung. Kakak nombor dua aku namanya Wan Roslina, kemudian aku lahir sebagai anak ketiga diikuti dengan adik bawah aku Wan Roslili. Kemudian Wan Roslida, lepas tu Wan Rosliha dan puteri bongsu Wan Roslini. Wah! ramainya, mesti itu yang kamu fikirkan... kan??. Ya kami 7 beradik perempuan ala-ala Jula-Juli bintang 7 la... 7 puteri dari istana kayangan yang dihantar ke bumi sebagai manusia biasa... hahahaha... aku ni kalau bab melalut memang wahid.

Ok, pertama sekali, kamu perasan tak bagaimana nama kami bermula. Abaikan nama wan yang ada kat depan tu. Dapat kamu cari kesamaannya? Hah! tak dapat? Alaa... cuba tengok betul-betul, mesti kamu perasan punya!!.

Dah dapat? Kamu nampakkan?!. Ya semuanya bermula dengan Rosli– diikuti dengan nama 2 huruf di belakang. Lagi satu, abah ni suka pasang-pasangkan nama. Seperti Lina pasangannya Lini, Lila pasangannya Lili, nasib baik Lida abah tak bubuh pasangannya Lidi... hahahaha

Dan apa yang menariknya (menarik ke?) macam-macam suku kata ada. za, na, la, li, da, ha, ni... hehehe. Nasib baik kami hanya 7 bersaudara, kalau ramai lagi, mesti ada lagi nama yang tak terfikir dek benak aku. Yup! abah aku memang kreatif... dan jangan tak percaya dia suka berfikiran lain daripada yang lain, apa orang kata berfikiran di ‘luar kotak’. Cheewah puji abah dia nampak! Mestilah... abah aku memang unik, dan dia juga sangat berseni tau maklumlah kerja diakan tukang kayu jadi dia sangat pandai dalam bab-bab ukiran kayu... (psst... cuma dia malas nak tunjuk sahaja) dia juga pernah desain corak untuk hiasan kepala katil yang ada kat rumah di kampung. Cantik tau! (pada mata aku la... mungkin pada orang lain biasa-biasa sahaja).

Ops sebelum terbabas aku nak ingatkan bahawa kita sedang bercerita tentang nama ya... fasal ukir-mengukir tu mungkin aku akan buat siri lain... sabar ya!.

Jadi apabila adik lelaki aku lahir, nama adik aku masih lagi dipilih oleh abah. Yelah anak lelaki sulung mestilah abah teruja lebih. Tapi pandai pula abah, dia letak nama lain. Dia tak pula pilih ROSLI sebagai nama depan. Kali ini abah pilih nama Wan Ab. Ghafar untuk sesuaikan dengan nama dia Wan Ab. Ghani.

Erk! nama Ghafar... isk abah ni, tak best langsung... nama macam orang tua aje hahaha (doa dalam hati minta-minta Ghafar tak masuk sini... kalau tak mahunya dia isytiharkan perang dengan kakaknya ini sebab kutuk nama dia!!) Yelah masa tu kami dah ‘besar’, kalau tak silap, masa Ghafar lahir aku berumur 14 tahun. Dah besar la tu, dah sekolah menengahpun!. Jadi dah reti nak cari nama yang konon-kononnya canggih sikit la... tapi abah tetap abah, dia mana mahu dengar cakap anak-anak perempuannya ini (kecuali arwah). Dia tetap juga pilih nama Ghafar. Bila dah ‘tua’ nih aku jadi faham akan perasaannya bila pertama kali dapat anak lelaki selepas anak perempuan berderet seramai 7 orang tu! Ghafarkan pewaris sulung abah yang akan memberikan nama WAN pada anak-anaknya kelak!

Jadi bila adik lelaki kedua lahir, kami pakat isi borang senyap-senyap dan beri pada makcik aku yang kerja kat pendaftaran. Kami sepakat pilih nama Wan Muhammad Aizat. Abah tak terkata apa dengan kerenah anak-anak perempuannya yang degil bagaikan anak jantan nih (aku la tuh yang jadi kepalanya... hehehe) Dan apabila adik lelaki bongsu lahir abah pula bertegas nak pilih nama Khairi yang bermaksud 'akhir' katanya. Yelah anak dia dah 10 orang, cukuplah tu... Jadilah adik aku yang bongsu bernama Wan Muhammad Khairi.

Macam-macam kerenah memilih nama, itu belum lagi bagaimana nak panggil nama sorang-sorang yang seramai sepuluh orang ni. Mesti pening kepala merekakan? Itu tak masuk arwah nenek yang aku panggil ‘Mok’ baik yang belah abah mahupun belah mek. Kalau nak panggil seorang, semua nama dia seru! hahaha yelah cucunya bukan hanya anak-anak abah, anak-anak Paklong (arwah) pun seramai 10 orang juga. Dan ada antara kami lahir pada tahun yang sama tau! dan bulan juga dekat-dekat macam aku lahir pada 20 June, sepupu aku si Rani lahir 1 Julai, beza umur kami hanya 10 hari je. Macam mana tak bertukar-takir... ye dak??

Aku rasa itu dulu cerita aku untuk siri pertama Aku & Kenangan – Episod 1 : Nama ni. Sebenarnya kalau nak bercerita memang tak habis. Hikayat 1001 malampun boleh kalah... tapi nanti-nantilah ya. Aku tak nak la kamu rasa bosan pula. Mungkin kita selang-selikan dengan cerita si Wan Amalyn yang entah apa-apa itu. Asyik-asyik dok bercerita tentang anaknya si Aysha. Bosan kan? macam la dia sorang yang ada anak!

Oklah jumpa lagi di episod yang akan datang... daaaaaa


0

I'm impressed...

Salam semua,

Betapa teruknya seorang sahabat ini *merujuk pada diri sendiri* selama ini wan tahu dia kerja di kedutaan Malaysia di Switzerland, dan wan ingatkan post dia biasa-biasa sahaja. Tau dak apa apa post dia?? sila klik sini.

Madam Zila... I'm so proud of you!! =)


0

Rengekan si anak...

Salam semua,

Beberapa hari ini, my Aysha asyik dok ulang meminta benda yang sama. Wan tak tahulah dia sedar ke tidak bahawa hari lahirnya akan datang hanya beberapa hari sahaja lagi. Dia kata, belikanlah untuk hadiah birthday dia. Wan bukanlah tak nak beli, tapi memikirkan bahawa dia asyik kena 'buli' sahaja dengan rakan nurserynya, wan jadi takut untuk belikan dia apa yang dimahunya itu.

Tapi bila setiap petang tatkala wan ambilnya dari taska.... sementara nak sampai ke rumah asyik dok.... "pleaseeee.... pleaseeee.... " daripada tak nak beli, jadi tak sampai hati nak menghampakan permintaannya apabila mendengarkan rayuan gombalnya itu.

Tau dak apa yang dia minta wan belikan untuk hadiah hari jadinya? HANDPHONE! Ya, handphone. Alahai anak, umur baru setahun jagung sudah ada hati nak pakai handphone sendiri.

Malas nak dengar rengekan dia wan cakap kat dia "tanya Papa... if Papa say YES then you can have it!" wah dan-dan tu juga terus aje dia cakap "thank you mummy" dengan satu ciuman di pipi (masa tu wan tengah drive tau!). Belum cakap kat papa dia lagi tu, dia dah excited!. hehehe agaknya diapun tahu semua keputusan terletak di tangan mummy, Papa cuma akan keluarkan duit aje.... Jadi bila mummy suruh tanya kat papa, itu hanya sekadar alasan mummy untuk lengahkan masa cakap BOLEH...

Sebenarnya niat nak belikan handphone untuk dia memang dah lama tertanam di hati wan. Tapi memikirkan keadaannya itu (asyik dibuli), wan hanya diamkan dulu. 'Nombor' untuk dia juga sudah ada sebenarnya. FYI sirman ambil family package 3 nombor untuk sekian harga. Jadi niat untuk belikan dia memang dah lama ada. Rasanya wan harus pertimbangkan juga memandangkan adakalanya dia, wan tinggalkan sendirian di rumah apabila wan harus bekerja hari sabtu dan sirman tiada 'dalam kawasan'. Dan semenjak wan guna mobile internet, talian telefon juga wan sudah potong... jadi kalau ada apa-apa yang berlaku di rumah agak sukar jugalah untuk berhubung.

Wan rasa wan akan belikan untuknya dengan beberapa syarat yang akan wan tetapkan kelak... apa syaratnya, akan difikirkan kemudian... hehehe

0

Selamat Berjaya... Good Luck... =)

Salam semua,

Hari ini bermula peperiksaan SPM bagi tahun 2009. Kalau ikut kebiasaan, hari pertama peperiksaan adalah mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Sejarah.

Wan nak wish pada adik bongsu, si Kerry aka Wan Mohammad Khairi aka Pak Uda yang akan menduduki peperiksaan SPM nya hari ini... SELAMAT BERJAYA... Moga dapat menjawab semua subject dengan tenang (& tentunya dengan jawaban yang betul dan tepat!) Juga pada semua pelajar yang akan menduduki peperiksaan yang sama di seluruh negara. Moga memperolehi kejayaan yang cemerlang.

Selalunya kalau tiba musim peperiksaan SPM arwah kak Ja merupakan guru yang paling sibuk. Kena jaga murid-murid yang menduduki exam. Kemudian kena tanda kertas jawaban, kadang-kadang dia bawa balik kampung kerana nak sambut raya!. Dan arwah juga mengalami kecelakaan jalan raya ketika pulang dari mesyuarat akhir (untuk guru pemeriksa kertas). Di takdirkan kesemua tanggungjawabnya telah selesai dilaksanakan (hantar kertas jawaban yang terakhir). * =[ tutup buku*

GOOD LUCK SEMUA...!!!


0

... ... ... ...

Salam semua,

Dua tiga hari ni, wan asyik sedih aje! Banyak benda yang sedih-sedih datang sekaligus dalam hidup wan.

Sedih fasal Aysha. Ralat. Terkilan. Semua ada... tapi benda dah lepas, dah tak boleh nak ulang balik... terpaksalah terima walaupun dengan hati yang sedih.

Sedih fasal... fasal apa lagi ye? ada la... tapi biarlah sedih ni wan simpan sorang-sorang. Sesungguhnya apa yang baik/gembira sahaja wajar dikongsi bersama, tapi yang tak baik tu toksah la nak panjang-panjangkan, buat hati wan tambah sedih!. Wan hanya mahu gembira. Wan hanya inginkan bahagia, jadi sebelum wan perolehi semua itu wan harus berkorban betul tak? Jika sedihku itu adalah bahagiamu, wan akan pilih sedih! Asalkan dia bahagia.

** ** **

Oleh kerana wan tak tahu nak tulis apa di sini, jadi wan akan buat satu segmen :Aku & Kenangan: Wan akan bercerita tentang seputar kehidupan wan di masa lalu. Tentang pengalaman yang wan kutip sepanjang jalan menuju ke masa depan.

Sebenarnya wan ketandusan idea nak tulis n3 tentang apa. Balik-balik apa yang wan buat hari ini, balik-balik mood wan hari ni... bosankan bacanya? Jadi daripada wan dok merapu benda yang bukan-bukan baiklah wan tulis sesuatu yang dekat dengan wan. Rasanya wan tak perlu bimbang kerana teratak ini tak ramai pengunjungnya. Jadi kebarangkalian mereka yang kebosanan dengan celoteh wan juga tak ramai... hahaha


** ** **

Dan semalam (ahad 15 Nov) wan sempat menyertai bengkel yang dianjurkan oleh adik-adik kita di Institut Pendidikan Guru Malaysia di bangi. Peluang menyertai Bengkel Penulisan Buku 'BEKELIS' 09 datang bagaikan bulan jatuh ke riba. Projek anjuran Lujnah Penerbitan & Publisiti dengan kerjasama Jemari Seni Publishing itu merupakan satu pengalaman baru yang amat berguna.

Cuma satu... wan tak punya DISIPLIN yang tinggi... itu masalah wan dari dulu sampai sekarang. Bukan tak cuba, pernah cuba, tapi tak pernah mendatangkan hasil... rasanya wan harus kuatkan semangat lagi kot!

** ** **

Selamat Hari Lahir buat adinda Lida yang sambut hari jadinya semalam (15 Nov)... =) Doa dan harapan wan agar dia sentiasa bahagia di samping keluarga tercinta, moga dia sentiasa dimurahkan rezeki, moga dia sentiasa dalam rahmat-Nya. aminnn

Minggu depan giliran my Aysha. Tak tahu nak buat apa. Dan rasanya wan tak buat apa-apapun kot! cukuplah sekadar belikan dia sebiji kek... tak pun masak kek dengannya memandangkan hari lahirnya jatuh pada hari ahad. Atau ajak saja sepupu-sepupunya pakat datang makan kek? tengok la macam mana!! no money no talk hahahaha =)


Oklah stop sini dulu... lagi banyak lagi merapu wan!!

2

Loghat.... bahasa

Salam semua,

Pagi tadi ketika dalam perjalanan ke pejabat, sebagaimana biasa wan akan pasang radio dan channel pilihan adalah hot FM. Seminggu ini Faizal Ismail (FBI) bersiaran bersama DJ jemputan Halim Othman (HBO) memandangkan Farah Fauzana (Fafau) bercuti sakit selama sebulan. FYI HBO pernah menjadi DJ kesukaan wan ketika dia bersama Era suatu masa dahulu... itu dulu laaa, sekarang ni wan liberal ya...!! (dan sekarang wan paling enjoy dengar celoteh Jawa Ranger tiap-tiap petang!!)

Apa yang menariknya topik pagi tadi adalah tentang loghat atau mengikut Kamus Dewan Edisi Empat bermaksud bahasa daerah, dialek, bahasa setempat. Apa yang wan nak ceritakan adalah tentang persepsi awal wan pada mereka yang datang daripada negeri lain yang semestinya datang bersama loghat negeri masing-masing.

Bagi sesiapa yang tak tahu, wan berasal daripada Kelantan. Dilahirkan dan dibesarkan di negeri cik siti wan kembang hinggalah ketika wan berusia lewat belasan tahun dan menyambung pelajaran di sebuah institusi pengajian tinggi yang ada nama MARA. Dan ditakdirkan wan ditempatkan di negeri Perak.

Buat pertama kali dalam hidup wan, wan harus KELUAR dari negeri kelahiran tercinta. Sebelum ini bukanlah tak pernah keluar, tapi boleh di kira dengan jari berapa kali sahajalah wan dapat peluang 'keluar' dan tempoh masa tidaklah panjang, sekadar seminggu paling lama... itupun sekadar menziarahi Uncle (di Hulu Langat) takpun Chik (sepupu abah) yang dulu menetap di Kampung Baru. Selebihnya tidak pernah!.

Ok apa yang wan nak ceritakan adalah pengalaman pertama kali harus 'keluar' dari kepompong mek dan abah. Perasaannya usah ceritalah. Takut. Hampir sebulan wan ambil masa untuk sesuaikan diri. Belajar dalam bidang perancangan bandar dan wilayah bersama rakan-rakan yang datang dari setiap pelosok negeri sedikit sebanyak menggerunkan wan.

Mana tak nya, asal kelantan, bertutur dalam loghat kelantan dari usia wan setahun jagung dan agaknya perkataan pertama yang wan sebut juga pastinya dalam loghat kelantan... sangat-sangat-sangat membuatkan wan bimbang bahawa mereka tidak akan faham dengan apa yang akan wan tuturkan. Jadilah wan bagaikan kera sumbang, asingkan diri dan jarang bercakap.

Lagi satu wan punya satu sifat prejudis pada rakan dari negeri lain selain kelantan... hehehe jangan marah ya, itu dulu... cerita zaman tok kaduk! cerita sebelum wan kenal siapa rakan-rakan wan secara peribadi. Jadi rakan-rakan wan ketika itu hanyalah dalam ruang lingkup kenalan yang asal dari negeri yang sama.

Dan entah mengapa, wan punya satu perasaan yang... anti? pada orang luar terutamanya negeri Terengganu. Padahal mereka tidak pernah buat silap apapun pada wan! teruk sungguh prasangka wan ketika pertama kali keluar dari kelantan dulu. Agaknya ini disebabkan oleh pengaruh orang-orang tua zaman-zaman dulu yang tidak pernah menggalakkan anak-anak mereka memilih calon suami/isteri yang bukan berasal dari negeri kelantan sendiri. Atau dengan kata lain, mereka memang tidak suka bermenantukan orang luar!!!

Di takdirkan rakan sekelas wan semuanya datang dari pelbagai negeri seperti Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu, Perak, Kedah dan Selangor. Dan nak dijadikan cerita hanya wan seorang sahaja orang kelantan dalam kelas yang seramai lebih kurang 25 orang itu. Jadi nak-tak-nak wan harus keluar dari rasa 'takut' dan tidak percaya diri itu. Sampai bila wan harus menangis setiap malam di corong telefon mengadu dengan mek tentang kesengsaraan (hahaha) yang wan sedang hadapi ketika itu. Sampai bila wan harus tidur bertemankan air mata yang setiap malam akan membasahi bantal kekabu hasil kerja tangan mek?? memeluk bantal seolah-olah memeluk mek.

Orang pertama yang menjadi sahabat wan ketika itu adalah Rus Shazila (Zila). Mungkin kerana kami berdua agak pendiam (ketika itu) jadi kami mudah serasi dan kami berkongsi kisah sedih bersama. Wan dengan masalah nak sesuaikan diri sedangkan dia sedih kehilangan (meninggal dunia) tunang tersayang. Dan sampai sekarang wan masih simpan 'rasa' itu khas buat zila walaupun jarak dan masa telah lama merenggutnya pergi dari pelukan wan.

Tapi lama kelamaan, sedikit demi sedikit wan berjaya atasi masalah wan, dan apa yang paling menakjubkan wan dapat bertutur dalam bahasa malaysia standard tanpa ada bau kelantan... hahaha!! (perasannya!!!, padahal budu masih lagi jadi pilihan bila balik kampung!) Dan paling tak sangka, di takdirkan Allah balikkan hati wan, wan jadi anti pada LELAKI (lelaki sahaja dan tak semua ya!!) kelantan. Abah, adik-beradik, pakcik, sepupu lelaki tak kira la! Dan sampai saat ini adakalanya perangai segelintir lelaki kelantan amat-amat-amat membuatkan wan rasa seperti malu nak mengaku bahawa 'itu adalah rakyat kelantan!!!' kerana rakyat kelantan baik pekertinya (merujuk pada Abah)... hehehe

Entah mengapa, wan memang tak suka pada budak-budak (lelaki) kelantan yang sama-sama menuntut di Manjung ketika itu tapi berlainan kelas dan kursus! Wan menyampah sangat-sangat. Agaknya kerana pada wan segelintir dari mereka ini gedhebe je lebih! padahal takpun!! (dan lelaki kelantan juga tidak romantik??!! hehehehe)

Itu kisah hampir 2 dekad yang lalu. Hari ini setelah masing-masing mempunyai kerjaya yang bagus-bagus (kecuali wan) dan mempunyai keluarga yang bahagia, semua kenangan pahit waktu itu menjadi antara kenangan yang paling indah untuk di kenang. Dan sesungguhnya loghat, budaya, makanan bukanlah menjadi penghalang untuk kita saling mengasihi antara kita walaupun adakalanya perselisihan pendapat dan fahaman sesekali timbul antara kita.

Hari ini, Zila sudahpun mempunyai kerjaya yang cemerlang sebagai PTD dan sedang berkhidmat dengan kedutaan Malaysia di Switzerland (kalau tak silap wan dia menetap di Berne) setiap saat wan mendoakan kesejahteraan buatnya yang menjadi pendorong utama pada wan di saat-saat wan terasa betapa diri keseorangan di alam ini. Ketika wan tiada sesiapa, dia hulurkan tangannya untuk memimpin wan ke arah cahaya yang terang. Mungkin dia tidak tahu, tapi hakikatnya dialah yang menjadi penguat semangat wan ketika itu. Dan di satu saat ketika dia benar-benar memerlukan sahabat, dan wan tidak dapat berada di sisinya (biarlah hanya kami yang tahu) betapa wan menyesali diri kerana tidak mampu menjadi seorang sahabat yang baik buatnya. (Salah satu sebab juga mengapa sampai saat ini wan tidak mampu untuk mengatakan TIDAK pada setiap pertolongan yang dipinta oleh sahabat-sahabat wan yang lain)

Hari ini, setelah hampir sedekad mendirikan mahligai bahagia bersama sang arjuna hati dan dikurniakan dengan seorang belahan jiwa tersayang, dan ditakdirkan sang arjuna BUKAN orang kelantan, dan sesekali apabila pulang ke kampung, dan apabila kembali ke kota, ada satu dua (perkataan) loghat kelantan dituturkan oleh my Aysha, wan akan tergelak (kerana sebutannya seperti orang siam bercakap), tiba-tiba terasa betapa sayangnyaaa... my Aysha tidak pandai bercakap menggunakan loghat kelantan!.

Sesungguhnya, mungkin apa yang kita rasa pahit di saat ini akan menjadi sesuatu yang manis untuk di kenang di satu saat kelak!

Wei... oghe banggo la jadi anok klate!!

"Bahasa Jiwa Bangsa"

0

Semalam...

Salam semua,

Semalam?? Ada apa dengan semalam??

Semalam, agenda wan penuh. hehehe Wan ke KL. Secara spesifiknya ke Jalan TAR (Tuanku Ab. Rahman). Wan ke sana ada 2 sebab utama. Pertama untuk cari kain cotton warna putih (untuk baju sekolah). Ingat nak kirim ke kampung minta suyoh jahitkan baju sekolah Eisya untuk sessi persekolahan tahun depan (2010).

Tapi sebelum tu singgah Minerva cari novel Aisya Sofea - Yang Sebenarnya yang telahpun berada di pasaran. Ingat nak cari juga novel Titian Nabi (PTS) tapi belum dijual kat situ, jadi wan ambil Lentera Mustika karya Nisah Haron. Tak puas hati sebab novel Titian Nabi tak ada kat kedai tu, wan menapak ke kedai Minerva yang satu lagi... juga hampa. Tak apalah balik baca mana yang ada dululah!.

Kemudian wan ke Globe dengan niat nak cari kain untuk baju sekolah Aysha. Tapi kainnya pula tak berapa berkenan... kasar aje! Sudahnya, tak jadi beli, sirman kata beli baju siaplah!.

Oleh kerana sirman parking kat Pertama Komplek, jadi kami menapak ke Pertama, dipertengahan jalan terserempak dengan kak Ija bersama anaknya. Sembang sebentar di tengah jalan... hehehe

Pertama Kompleks, rasanya dah lama wan tak masuk sini! Seingat wan, last wan masuk sini bersama arwah Kak Ja ketika dia nak beli video cam dan dia sempat beli jam tangan. Dan jam tangan itu mek berikan pada wan, masih wan simpan dengan elok walaupun talinya harus ditukar kerana mengalami kerosakkan ketika berlakunya kemalangan tersebut. Al-fatihah.

Rupanya lama sungguh wan tak masuk Pertama!! walaupun berkali-kali ke KL (SOGO berpuluh-kali) dan yang paling hampir dengan Pertama adalah di Restoran KFC (sebelah Pertama) makan bersama kaknOOr, kaknOtie & syud.

Menjejakkan kaki kembali terutamanya masuk ke kedai camera (kebetulan sirman nak lihat accessories DSLRnya) menimbulkan satu rasa ngilu yang singgah di hati. Rupanya sesekali bila kenangan itu datang menyapa, peritnya tidak terkata. Sedih. Pilu. Semuanya bergumpal menjadi satu. Membangkitkan memori yang tak mungkin dapat diulang kembali.

Keluar dari sana dan seterusnya keluar dari KL kami menuju ke Shah Alam. Ada satu lagi misi yang harus diselesaikan. Misi mencari kasut sekolah untuk Aysha. Satu insiden yang hampir membuatkan wan kena marah (yang amat sangat) dengan sirman. Kami singgah makan di restoran FC. Wan order laksa penang (yang tak berapa nak sedap). Usai makan, sirman ke kaunter membuat pembayaran, wan pula dengan selambanya menapak keluar dari restoran tanpa menyedari bahawa sirman tinggalkan set cameranya di kerusi.

Berderau darah wan bila sirman sudah menunjukkan muka yang semacam. "Tau dak berapa nilai ni semua kalau hilang?" dia menyoal sambil memandang ke arah wan dengan wajah yang kalau boleh tak mau wan lihat... "... 8 ribu lebih tau dak kat dalam nih!" huhuhu mana wan tau... wan ingatkan dia angkut sekali ketika dia ke kaunter! dah tu dia pun tak pesan satu apapun kat wan..!! Huhuhu jalan pun jarak-jarak... sebab dah rasa bahang... atau hanya wan yang terasa bahawa dia marah kat wan.

Kemudian singgah di kedai (entah apa namanya lupa nak tengok, padahal ini kali ke berapa wan masuk sini wan pun tak pasti... hehehe kat sini wan belikan Aysha baju), kemudian ke kedai BATA beli kasut sekolah. Kemudian ke SACC Mall nak cari buku kat MPH lagipun wan dapat Voucher MPH bernilai RM5 ketika berbelanja di MPH OU bulan puasa yang lalu. Tapi tak ada la pula buku yang menarik!. Masuk Giant yang ada kat bawah SACC Mall beli makanan untuk bekal Aysha ke sekolah minggu ni. Kemudian singgah beli donut kat Big Apple.

Keluar dari Kompleks PKNS, kami menghala ke padang (di belakang perpustakaan negeri) Aysha nak main layang-layang. Sirman yang layan dia main sementara wan mula baca buku AS - Yang Sebenarnya. Aysha main sekejap kemudian sudah penat. Kemudian kami ke Shah Alam Mall pula. Wan makan laksa johor kat laksa shack. Oleh kerana tak tahu nak menghala ke mana, kami ke seksyen 10 shah alam. Maghrib di rumah umi, sementara sirman tunggu kawannya yang nak datang hantar barang (barang fotografi - ntah apa dia panggil) sebab bulan 1 tahun depan sirman ada 2 wedding yang dia kena ambil gambar.

Oleh kerana umi nak ke rumah kawan (yang buat kenduri doa selamat) wan lepak sambung baca novel dan Aysha layan Cartoon Network. Lebih kurang jam 9 malam kawan sirman sampai, buat demo bagaimana nak gunapakai, dan Ayhsa yang dikerah jadi modelnya... hehehehe nasib baik Aysha sporting dan bergambar dah jadi kegemarannya!!

Lama jugak tunggu, daripada umi belum pergi, sampai umi dah balik daripada rumah kawannya, sirman masih belum habis lagi berdemo. Aysha pula sudah mula merengek sebab dah mengantuk! Yelah selalunya jam 10 dia dah tidur.

Sirman selesai lebih kurang jam 11 malam dan kami terus balik ke USJ. Sampai di USJ beri Aysha minum susu dia terus tidur. Wan, sambung baca buku AS, ingat nak habiskan malam tadi juga, tapi tak bolehlah. Agaknya tidur lagi menarik daripada cerita AS kot... hahaha alasan. Padahal badan dah penat sangat sebab seharian keluar jalan-jalan. Dan rasanya dah lama kaki tak sakit sebab banyak berjalan, semalam... KAKI WAN SAKIT!!!

Itulah dia, cerita pasal semalam...


2

Alahai anak...

Salam semua,

Semalam wan mengadu fasal minggu-minggu akhir persekolahan sessi 2009, tentang my Aysha yang susah nak bangun pagi... tup tup pagi ini dia, wan pontengkan sekolah!.

Nak tahu sebab apa??

Begini kisahnya... 2 minggu yang lepas dia hilangkan sebelah kasut sekolah. Tak apa, masih ada lagi sepasang untuk dia gunakan di minggu-minggu akhir sekolah. Seminggu pakai sepasang kasut yang bila tiba hari rabu/khamis, kotornya... masyallah. Nak-nak sekarang dah masuk musim hujan, adalah kawasan yang berselut. Tapi terpaksa pakai juga sebab dah tak ada kasut gantian. (FYI : Aysha hanya ada 2 pasang kasut sekolah sahaja untuk tahun ini) Lagipun dah alang-alang nak cuti sekolah, tunggu ajelah tahun depan beli yang baru. Lagipun kena beli baru juga sebab dia mengadu kasut dah bertambah ketat.

Nak dijadikan cerita, kasut yang sepasang itu pula dah hilang daripada rak kasut di nursery. Insiden ni berlaku petang semalam. Ketika wan ambil dia di nursery, ketika dia nak ambil kasut untuk dibawa balik, kasutnya dah tak ada. Yang tinggal kasut budak lain (kasut lelaki) yang dia kata kasut Lokman (salah seorang budak yang juga transit kat situ dan sama sekolah agama tapi berlainan sekolah kebangsaan) sedangkan budak tu dah balik. Wan assume dia tersilap ambil kasut Aysha. Ah sudah! macam mana nak ke sekolah pagi esok (hari ini)??.

Malam tadi mengadu kat sirman, dia diam aje... itulah akhirnya wan putuskan bahawa dia ponteng sekolah hari ini. Sayang la kalau tertanda 'O' dalam rekod kedatangan dia. Tapi nak buat macam manakan?!

Jadi pagi tadi ketika wan hantar dia ke nursery, wan pesan kat bibik, kalau-kalau parents Lokman datang minta tanyakan fasal kasut Aysha (kalau betul dia yang tersalah ambil).

Kalau bukan...?? Adakah wan perlu beli kasut baru hanya untuk dipakai seminggu (depan) sebelum sekolah mula bercuti??


PS: Lili... ada kasut Shara atau Ikram yang lama-lama tak?? nak mintak nih... hehehe



0

Sekadar nak mengadu...

Salam semua,

Dah lama rasanya tak mengadu di sini. Bukanlah kata tak ada hal... banyak tapi rasanya lebih senang simpan sendiri.

Kali ini wan nak mengadu fasal banyak hal. Banyak ke? Entahlah tapi ada la satu dua hal yang membuatkan wan jadi serabut (sekejap).

Pertamanya tentang my Aysha. Di minggu-minggu akhir sessi persekolahan untuk tahun ini, My Aysha makin susah nak kejutkan dia bangun pagi. Ke sekolah semakin lewat (tapi masih belum melepasi waktunya). Nak aje suruh dia ponteng sekolah boleh la wan bersenang-lenang sikit pagi-pagi, tidak la terkocoh-kocoh nak siapkan dia. Lagipun buku teks dahpun dipulangkan pada pihak sekolah. Hari-hari hanya bawa buku latihan dan kadang-kala terselit buku cerita Ekspedisi Ke Taman Negara (huhuhu bilalah agaknya nak habis tu!), takpun buku Peter & Jane, dan kadang-kadang buku Ana Muslim. Risau juga takut cikgu rampas. Tapi dia kata cikgu tak cakap apapun bila kawan dia bawa.! Agaknya cikgupun dah malas nak layan budak-budak kot! Lantak kaulah nak buat apa, janji jangan bising... ya dak cikgu Adhan??

Minggu ni, entah kenapa jalan nak ke nursery Aysha berlaku kesesakan yang luar biasa pelik. FYI, wan harus hantar baju sekolah & beg sekolah (petang) di USJ 11. Jadi sebelum ke pejabat wan perlu pusing USJ dulu sebelum ke pejabat di Puchong. Bayangkan kalau selama ini wan hanya ambil masa 10-15 minit tapi sekarang kadang-kala hingga 1/2 jam masa diambil. Tension sungguh! Itu belum lagi dengan karenah pemandu yang suka potong Q. Tak nak beratur tapi sampai masa nak cilok masuk!... isk geram laaa...

Apa lagi ek??... rasanya itu sajalah dulu buat masa sekarang. Nantilah kalau ada lagi wan akan mengadu lagi kat sini.

Oh ya! sekarang ni wan dalam mood yang tak sabar nak tunggu bulan 12. Seronok! harap-harap segala perancangan berjalan dengan lancar tanpa ada halangan. Semalam sudah booking awal-awal dengan sirman. Alaa dia bukannya kisah sangatpun! pergilah mana wan nak pergi, janji jangan susahkan dia! hehehe tapi selama nipun dia sering saja YA-kan aje apa yang wan nak buat. Itu yang buat wan sayang sangat kat sirman nih!. Tapi sebagai isteri, wan tahulah had wan sampai mana... Ni dia belum tahu lagi nih perancangan wan untuk tahun depan. Hahaha padahal dah berderet perancangan wan bersama geng UB untuk tahun depan!.

Oklah sampai sini dulu... nanti sambung lagi ya!

PS: hehehe dun worry dia tak baca blog wan nih!.


0

Usaha tangga jaya...

Salam semua,

YAY!!! benarlah, sesungguhnya usaha itu adalah tangga kejayaan!!

Apa ni wan??

hehehe Sebenarnya bukan benda yang pentingpun! Tapi kiranya berbaloilah wan study hard hari ini. Kalau korang perasan n3 sebelum ni, wan pening kepala kerana date tak keluar. Dengan usaha gigih, akhirnya wan berjaya menyelesaikan masalah yang wan sendiri timbulkan... Wah! begitu terasa nikmatnya hidup.

"Syukur Alhamdulillah kupanjatkan padamu Ya Allah atas kurnia akal dan fikiran yang waras buatku"


0

Tak ada kerja... cari kerja... sudahnya..??

Salam semua,

Wan ni memanglah! Tak ada kerja pergi cari kerja... lepas tu, pening kepala. hahaha

Kalau anda perasan, wan sudah tukar langsir baru... konon-konon nak sambut raya korban, sekali... jiwa dan raga wan yang terkorban! ahaks...

Ini kerja hujung minggu yang lepas, sirman ingat wan leka mengadap lappy sebab layan kebun & cafe kat FB (memangpun!) tapi sebenar-benarnya wan dok gatal tukar langsir. Sekali wan lupa nak buat back-up... adusss... sekelip mata dia hilang!! menangis tak berlagupun dah tak ada guna... Dan yang paling tension, entah di mana silapnya, tarikh tak keluar, yang keluar Undefined huhuhu... syuddd tolooonnnnggg!!

Tapi tak apa, wan ni kan keras kepala, taip semula apa yang hilang walaupun ada antaranya sudah lupa bagaimana 'jalan'(link)nya. Ingat-Ingat lupa, tapi wan redah juga. Jadi kalau sebelum ni ada (link), sekarang tak ada, jangan salahkan wan, salahkan tangan wan yang gatal nak tukar... hehehe alasan membela diri!

Ops! jangan lupa, lawatlah ->sini<- juga, kerana ia juga sudah berubah rupa! hip-hip horey!!


Back to Top