4

Sedikit gambar raya...

Salam buat semua sahabat yang dicintai,

Hari ini dah 9 Syawal bermakna sudah lebih seminggu kita menyambut hari raya. Hari ini pula adalah hari pertama wan bekerja selepas bercuti selama seminggu lebih. Orang kata mood beraya masih menebal dalam diri... itulah bahananya nak buat kerja officepun rasa malas aje... huhuhu

Oklah sebagaimana yang wan janjikan... inilah antara gambar-gambar yang sempat wan dan sirman ambil sempena raya tahun ni... bila wan belek-belekkan... satupun gambar raya (yang proper) wan tak ambil masa kat kampung... huhuhu gambar raya dengan mek dan abah langsung tak ada!! uuuwwaaa sedihnyaaaa...

.....:: *^* ::.....

[ inilah my family photo untuk tahun ini... sebenarnya tak puashati sangat dengan gambar yang diambil tapi Eisya buat perangai la pula... sudahnya terpaksalah berpuashati dengan apa yang ada!! ]


[ my-in-laws -> bersama umi, keluarga along, keluarga alang Azli, keluarga Ayin & Ucu Iwan ] ->sebenarnya tak cukup korum... si kembar farah & farid anak along beraya dengan bapa mereka di Melaka.


[ Malam raya ke-2 (wan sampai pagi raya ke-2) acara BBQ & potong kek birthday si Rose yang kebetulan jatuh pada hari raya ke-3... konon2 surprise untuk si Rose la... ]


[ raya ke-3 ketika kami beraya di rumah Pakcik Mat Zin di tumpat, rupa-rupanya sepupu (anak Pakcik Mat Zin) baru lepas kematian anak dalam kandungannya yang hanya terlewat 2 hari daripada hari yang dijangka bersalin. Dan anak itulah yang wan plan nak ambil... kerana kedaifan mereka, dan anak itu adalah anaknya yang ke-7 ]


[ Raya ke-4 bersama tuan rumah -sepupu ketika upacara beraya di rumahnya di daerah Rantau Panjang... sorry nama kampung lupa nak tanya... dia baru pindah ke rumah baru... waktu dah dekat nak maghrib dan gerimis senja sudah turun ]

.....:: *^* ::.....


Nota wan: gambar penuh boleh lihat di ->sini<-

Salam sayang,

2

Cerita raya ke-6

Salam buat semua sahabat yang dicintai,

Hari ni dah raya ke-6. Aysha sedang mengamuk kerana wan tak bagi dia pakai baju baru sedangkan dia hanya akan bermain 'pondok-pondok' aje dengan sepupu-sepupunya. Sedangkan baju dia tak banyak yang wan bawak balik!.

Lili dan rose masih belum balik daripada wakaf bharu beli bahan untuk buat laksa dan laksam. Pak Uda pula nak makan spagetti. Bila la nak masak semua benda tu??

Hari ini rasa malas nak pergi mana-mana. Nak duduk kat rumah aje. Esok dah nak balik KL... huhuhu malasnya!! sure jam yang amat... tapi terpaksa juga, lebih baik terperangkap dalam jamm esok daripada hari ahad, sekurang-kurangnya ada 1 hari, hari ahad untuk berehat kat USJ.

Oklah nak kena masuk dapur... buat apa yang patut! Nanti wan update lagi ya...
daaaaaaa....


Salam sayang,

0

Cerita tentang hari raya 1430H

Salam buat semua sahabat yang dicintai,

Pertama sekali, selamat hari raya diucapkan pada semua sahabat yang sentiasa wan ingati. Sedar tak sedar hari ini kita dah 4 hari berhari raya. Pantasnya masa berlalu.

Banyak cerita yang nak dikongsikan dengan kawan-kawan tapi line internet di kampung wan ni slow yang amat! Jenuh nak menunggu... sampaikan wan jaid bosan menunggu. Tapi disebabkan sayangkan pokok-pokok tanaman wan di Farmville wan sabarkan hati untuk menunggu. Tapi tak sempat la pula nak update blog wan ni... Ada juga gambar yang sempat wan ambil tapi tak lain kalilah wan update ya...

Okeylah... sebagaimana yang telah dijanjikan, wan sambut raya di shah alam dulu. Seharian mengikut umi dan adik-beradik sirman (kecuali azli) berpusing keliling di batang kali menziarahi kaum keluarga belah ayah sirman. Dari pagi sampai ke malam, dan lebih kurang jam 9 malam barulah kami sampai di USJ.

Berkemas rumah dan lebih kurang jam 3 pagi kami bertolak balik ke kelantan. Dan alhamdulillah kami selamat tiba di kampung halaman tercinta... hehehe... lebih kurang jam 9 pagi hari raya kedua.

Sambutan di kampung biasa sahaja, tapi oleh kerana wan sudah lewat sehari, kebanyakan rumah saudara mara sudah mereka kunjungi. Tak syoknya beraya hanya kami 3 beranak. Tapi nak buat macam mana... untuk hari itu sempat la wan beraya di rumah maklong, rumah keluarga anis, dan nasib baik anis masih belum pulang ke KL, bersambung pula ke rumah suyoh. Malam tu pula kami buat acara BBQ. Kami bakar ayam dan korie (adik ipar) masakkan mee kuah.

Hari raya ketiga, kami berkunjung ke rumah Pokcik Mat Zin (abang mek) di Tumpat. Kami (mek, abah, lili sekeluarga, Lina anak-beranak serta wan dan anak beranak) dengan menaiki 2 buah kereta bertolak ke sana selepas zohor. Seketika di sana dan wan serta keluarga akan beraya di rumah Ayah Hin di Bechah Durian pula. Oleh kerana mek, abah & lili sudah ke sana, jadi hanya wan dan lina yang belum beraya dengan Ayah Hin akan ke sana.

Dalam perjalanan balik ingat nak singgah di rumah chik Moh (adik abah yang bongsu) tapi dia pula tiada di rumah kerana sudah bekerja. Jadi kami terus balik ke rumah.

Hari ini, hari raya ke-4 rancangannya untuk pergi beraya di rumah mak mertua Lida di rantau panjang, tapi pagi-pagi lagi abah dan adik-beradiknya berkumpul untuk membincangkan pasal harta pusaka. Entahlah... susahnya bila nama sudah ber'title' muflis. Perkara yang mudah jadi sukar.

Oklah nak pergi beraya... nanti wan sambung lagi ya!!

Salam sayang,

0

Salam Aidilfitri

Khas buat semua sahabat yang dicintai, dengan ucapan...

Selamat Hari Raya Aidilfitri


Ketupat rendang hidangan di pagi raya
Wajik dan dodol jangan di lupa
Salam dihulur kemaafan dipinta
Moga terampun dosa yang ada

Duhai Sahabat yang daku sayangi
Salam Aidilfitri ucapan diberi
Ku pohon ampun setulus hati
Moga silaturrahim berkekalan abadi

Dengan iringan doa dan ucap selamat
Moga Aidilfitri bertambah rahmat

Ingatan tulus ikhlas daripada:
Wan & keluarga
USJ Subang Jaya
1430 Hijrah


Salam sayang,

0

Berbuka puasa

Salam buat semua sahabat yang dicintai,

Sebagaimana tahun-tahun lepas, bos akan menganjurkan acara berbuka puasa di mana-mana hotel atau tempat pilihan yang menyajikan buffet berbuka puasa. Tidak terkecuali tahun ini walaupun pada mulanya wan ingatkan bos sudah lupa. Kali ini Palm Resort (satu kawasan dengan IOI Resort dan Marriot Hotel Putrajaya) menjadi pilihan.

Wan yang sudah salah faham, ingatkan majlis di IOI Resort punyalah menunggu dan tertanya-tanya kerana hingga jam 6.45 petang kelibat budak-budak ofis seorang pun tak nampak bayang. Buat panggilan pada yang empunya organizer, rupa-rupanya wan sudah tersilap tempat. Hangus duit parking RM6 semata-mata kerana tersilap... hampeh betul! Tapi tak boleh nak salahkan sesiapa... kerana salah sendiri, tak confirm betul-betul... tapi dalam hati berbuku dengan rasa nak marah kat orang!

Bila dah jumpa tempat makan, terpaksa beratur panjang memilih makanan sedangkan laungan azan sudah berkumandang di kaca tivi yang disediakan oleh pihak resort. Tapi wan masih terkial-kial mengambil makanan. Sepatutnya sirman ikut sama tapi dia pula ada acara berbuka dengan office-matenya di Nelayan Seafood KL. Jadi hanya wan dan eisya yang menghadirkan diri. Eisya pula wan suruh dia ke tempat duduk... sibuk mengekor di belakang aje kerjanya.

Ketika makanan dijamah. Huhuhu rasanya tak mencapai piawaian. Dengan sotong yang tawar heber, dengan lauk pauk yang tidak ditambah... memang rasa ralat sangat. Bila wan mendapat tahu bahawa RM69 satu kepala... dengan juadah yang sebegitu... memang tak berbaloi rasanya. Nasib baiklah company yang belanja.

Ketika wan ingin beransur pulang, kelihatan Chef (agaknya la...) sedang mengambil catatan dan teranguk-anguk kepala di meja Ah Kee. 'Dia komplen la tu'... dalam hati wan terdetik dengan kenyataan itu. Dan memang benar... pagi ni Ms Lim beritahu wan Ah Kee komplen tentang makanan yang tidak berapa nak sedap itu. (100 kali sedap masakan 'Mister Chef' kat bangi tu *jeling-jeling kat room mate kaksu*) Tiba-tiba wan terfikir... 'amboi siapa yang puasa nih?!' hahaha tapi memang wajarpun wan rasa Ah Kee komplen... memang tak berbaloi sungguh rasanya.

**^**

Hari ini Ms Ooi telah selamat melahirkan baby girl seberat 3.5kg di Hospital Assunta PJ. Ms Ooi yang semalam ketika wan sedang leka buat 'kerja' di office pulang terkocoh-kocoh daripada makan tengah hari mengadu bahawa air ketubannya dah pecah. Hihihi dengan muka dia yang cuak+suspen masih dok terfikirkan tender yang sedang dikerjakannya masih belum selesai.

Dengan 1001 pesanan pada wan... dan wan OK kan sahaja untuk menyenangkan hatinya dan menyuruh dia balik dengan tenang-tenang tak perlu fikirkan pasal tender biar bos yang fikirkan. Dalam hati wan dan terdetik 'tengoklah... kerja itu nanti bos pasti akan menyuruh wan yang akan selesaikannya' dan memang benarlah segala telahan wan itu. Apa-apapun selesai sudah satu tender. Tapi di atas meja Ms Ooi masih ada satu lagi tender yang baru sampai. Jangan la bos suruh wan buat nanti...

Apalah nasib... kena gantikan kerja orang lain aje. Bila la agaknya wan nak bercuti 2 bulan pula... TAPI wan gerenti tak akan ada sesiapa yang akan ganti buat kerja wan kalau wan bercuti nanti (yang entah bila tahun la tuh!). Entah-entah bos akan upah pekerja sambilan. Dah serik rasanya buat kerja orang, tapi bila ada salah kita pula yang dipersalahkan... dengan alasan... 'Oooo ni kerja masa I cuti bersalin'

Nasib baiklah dapat bos yang jenis tak berkira sangat! nasib... nasib....

Salam sayang,

2

Bahana nak sambut raya

Salam buat semua sahabat yang dicintai,

Semalam sirman EL kerana nak kemas rumah. Ada dua sebab kenapa rumah sarang burung wan itu harus dikemas. Pertamanya of course la kerana nak sambut raya dan keduanya kerana hujung minggu ini umi, kakak & adik-adiknya nak datang berbuka di rumah wan. Wan... apa lagi sangatlah berbesar hati kerana sirman sanggup tolong wan kemas apa yang patut... kerana kalau nak harapkan wan seorang memang tak daya rasanya. Thanks to my beloved hubby!!

Dan nak dijadikan cerita, apabila wan balik daripada pejabat petangnya, sirman cakap vacuum cleaner sudah terbakar. Hahaha hari tu wan baru baca n3 Rina pasal vacuumnya yang sudah bertukar untuk kali ke-3.

Tapi bila difikir-fikir balik, vacuum lama wan tu pun sudah lebih 6 tahun usianya. Kiranya jasanya memang dah banyak la... walaupun kami guna, adakalanya dalam sebulan adala sekali hehehe...

Jadi semalam ketika kami keluar membeli juadah untuk berbuka, kami singgah sekali di Taipan USJ cari vacuum baru untuk menggantikan vacuum yang dah wasalam tu. Kali ini wan pilih brand: Electrolux, dengan Motor Power: 1500watt berwarna Sunflower Yellow. Ya... kebetulan ada warna kegemaran wan... dan warna itulah yang wan ambil... hahaha wan ni memang laa!!

**^**

Tengah hari tadi wan sudah melangsaikan janji wan untuk mengirimkan kad raya. Walaupun wan sangat pasti kawan-kawan hanya akan menerimanya selepas raya, sekurang-kurangnya wan sudah tunaikan janji wan ya! hehehe. Tapi tak semualah... hanya 1st batch yang sempat wan siapkan... dan mana-mana kawan yang tak sempat wan kirim... wan mohon ampun dan maaf dari hujung rambut hingga ke hujung kuku. Bukan tidak ingat, bukan juga lupa, tapi wan benar-benar kesuntukkan waktu untuk membuatnya. Dan insyallah jika diizinkan oleh Allah s.w.t. tahun depan wan akan pastikan nama kawan-kawan yang tak dapat tahun ini akan berada di senarai teratas penerima okey!

Salam sayang,

0

. [dot] . [dot] . [dot]

Salam buat semua sahabat yang dicintai

Semakin hampir ke penghujung Ramadan, semakin mendatang fajar syawal entah mengapa tiba-tiba hati ini terasa sayu. Mungkin kerana ada satu dua benda yang ‘menumpang’ kat hati ini, menyebabkan ada sedikit rasa tidak selesa. Sebenarnya bukanlah tidak selesa, yang sebenar-benarnya adalah kerana wan rasa sedih. Sedih pada semua benda yang tak sepatutnya wan fikirkan dan wan ambil hati. Tapi yalah dah namanya hati mudah benar rasa terganggu.

Pagi tadi, ketika dalam perjalanan ke pejabat, entah mengapa wan asyik teringatkan Lili. Dan ketika wan sedang bergelut dengan kerja, tiba-tiba wan mendapat panggilan daripadanya. Wah! dia seolah tahu saja wan terfikirkannya! Rupa-rupanya dia pun teringatkan wan juga.

Dulu-dulu... ketika kami masih kecil... kecil yang sebenar-benar kecil, kami ibarat anjing dan kucing yang pantang bertemu pandang. Ada sahaja yang nak digaduhkan dan ada sahaja yang akan membuatkan hati mudah jadi sakit dengan sebarang tindak tanduknya. Memang wan akui, wan bukanlah seorang kakak yang baik... bahkan wan pernah menyebabkan dia hampir... tak tahu macam mana nak cakap! tapi wan yakin parut yang 'tercetak' di belakangnya masih ada hingga ke hari ini. Ya wan telah membuatkan dia melecur di belakang dek jilatan api. Tapi itu cerita lebih 30 tahun yang lalu. Ketika diri masih tidak boleh nak berfikir secara waras dan menilai antara baik dan buruk. Dan wan sendiri tidak pasti bagaimana insiden itu berlaku & rasanya itu juga bukanlah salah wan juga... wan hanya jadi orang yang berada di tempat kejadian... hehehe. Ala budak-budak apa yang dilarang itu yang lagi syok nak buat/main.

Sekarang... dia adalah 'sahabat' yang paling akrab, akan menjadi tempat wan mengadu. Terutamanya ketika hati dilanda gundah gulana dan sedih pilu. Kami akan berbicara tentang segala-galanya yang wan tak mampu nak luahkan pada sesiapa jua hatta pada 'room mate'.

Wan pun tak pasti sejak bila kami boleh jadi rapat, jika difikirkan tentang 'tak sebulu' kami dulu-dulu... bagaikan sukar nak percaya. Mungkin kedewasaan yang telah mengubah hati kami, menukarkan rasa tidak suka kepada rasa cinta. Kami berselang 3 tahun (beza antara kami adik-beradik di atas mahupun di bawah masing-masing tak jauh beza. Arwah kak Ja dan lina selang 3 tahun, antara Lina dan wan 2 tahun, wan dan lili 3 tahun, Lili dan lida 2 tahun, Lida dan Rose 3 tahun, Rose dan Nini 3 tahun, Nini dan Ghafar 3 tahun, Ghafar dan Aizat 3 tahun, Aizat & Khairi 3 tahun). Tapi orang sering kali menyangka bahawa dia, kakak dan wan adik. Mungkin kerana dia terlebih dahulu mendirikan rumahtangga dan mempunyai 4 orang cahayamata berbanding dengan wan yang hanya punya seorang.

Berbalik pada cerita tentang telefon. Wan teringatkan dia pagi tadi kerana ada satu sebab yang rasanya tidak wajar wan tulis di sini. Biarlah ia jadi rahsia antara kami. Dan dia teringatkan wan kerana, mengikut perancangan dia sepatutnya pulang ke kampung pada malam ini selepas solat terawih. Tapi oleh kerana ada anak saudara suaminya akan menumpang jadi perancangannya jadi berantakan.

Sebenarnya kami lebih gemar pulang ke kampung yang mengambil masa cecah hingga ke 7 jam ini di waktu malam. Terutamanya di bulan puasa memandangkan siang hari cuaca panas, pastinya akan membuatkan anak-anak sedikit tidak selesa. Berbanding di waktu malam anak-anak akan tidur. Tapi oleh kerana ada penumpang dia 'diharamkan' balik di waktu malam. Itu yang membuatkan dia rasa ralat dan teringatkan wan untuk meluahkan ketidakpuasan hatinya itu. Hahaha bahkan ketika dia diberitahu oleh suaminya, dia terus masuk bilik dengan alasan untuk menidurkan anaknya si Shasha, dan suaminya siap hantarkan hp nya dengan ucapan 'ni telefon kalau nak telefon kak la' (tak tahulah suaminya perli atau dia sudah arif tentang kami yang kalau ada apa-apa pasti akan menelefon). Dia antara rasa geram dan rasa nak ketawa... itulah cerita yang membawa kepada perbualan kami pagi tadi.

Wan... rasa sedih... bila hari raya semakin dekat. Memikirkan bahawa wan akan beraya jauh dari mek dan abah di pagi raya. Entah lah... atau hanya wan yang masih terasa bahawa wan masih 'anak kecil' mek. Yang akan cari mek kalau ada apa-apa yang bergalang di hati. Dan hanya ingin memandang wajah mek sebagai orang pertama yang akan wan pandang. Sukarnya nak kikis rasa itu walaupun diri sudah bergelar isteri. Yang harus mengutamakan suami terlebih dahulu. Tapi sukarnya nak mendidik hati... sukarnya nak melepaskan rasa nyaman berada dalam pelukan ibu... sukarnya... atau hanya wan yang tak ingin melepaskan rasa itu selagi mek masih bersama kami... itu yang membuatkan wan lagi sedih memikirkan bila hari raya semakin hampir. Tapi apa yang pasti... wan jadi cemburu bila memikirkan semua adik-adik berkumpul ramai-ramai memohon keampunan daripada mek dan abah di pagi raya.

Sedih laaa....


[ Nota wan : ketika menulis n3 ini Lili sekali lagi menelefon wan. Agaknya dia tahu bahawa wan sedang 'mengumpat' pasal dia... ahaks! ]

Salam sayang,

0

Cerita tentang berbuka puasa...

Salam buat semua sahabat yang dicintai,

Insyallah minggu ini adalah minggu terakhir kita akan berpuasa. 3 minggu berlalu terasa begitu cepat, sedar tak sedar kita sudah di minggu terakhir. Entah dapat bertemu atau tidak dengan ramadan yang akan datang. Moga-moga ini bukan ramadan terakhir kita.

Hari sabtu yang lalu, wan dan keluarga memenuhi undangan berbuka puasa daripada adik ipar - Ayin. Minggu sebelumnya di rumah alang - Azli, tapi wan tak dapat datang kerana ketika dia telefon kami baru membuat tempahan berbuka di Kenny Roger's OU. Selesai makan dan ketika nak balik, derang pula sibuk-sibuk nak berbuka kat rumah wan. Alamak! dengan rumah sarang burung tu muat ke?? Jadi... untuk minggu terakhir yang insyallah akan jadi hari terakhir berpuasa mereka akan datang berbuka puasa di rumah wan. Dan bersyarat, makanan bawak sendiri... hahahaha

Walau bagaimanapun wan harus masak nasi dan sediakan juga satu dua lauk. Tolongggg... wan buntu tak tahu nak masak apa. Lagipun wan bukannya pandai masak! kalau sekadar untuk makan perut sendiri oklah... ini nak jamu orang wan jadi takut... nanti tak masuk dengan selera mereka macam mana?? Sirman suruh masak lemak udang. Tapi wan rasa nak masak ayam percik (hanya dua lauk ni aje yang wan tahu masak... huhuhuhu) Dan rasanya wan kena ajak sirman ke pasar borong malam jumaat tu, kerana hari sabtu wan masih bekerja. Harap-harap semuanya berjalan lancar!

Semalam, wan ajak sirman ke IKEA. Nak cari pinggan makan yang sememangnya tak banyak kat rumah. Jangan tak percaya, walaupun dah kahwin 9 tahun lebih, pinggan makan kat rumah wan memang tak cukup. Yelah selama ini hanya kami 3 beranak sahaja jadi tak la memerlukan banyak pinggan. Tapi bila nak kena jamu orang ni sekurang-kurangnya kenalah ada pinggan ekstra. Takkanlah wan nak jamu mereka dengan pinggan polisterin pulak! melampau la tu! Ingat nak pergi tengok kat Living Quarters pula tapi tak tahu la ada masa ke tidak nak perginya... huhuhu tolong la sesiapa yang ada pinggan lebih tu sedekahla kat wan... wan nak set pinggan corell ya!! hehehe

Ok berbalik pada cerita pinggan, pusing punya pusing kat IKEA tu, tak ada yang cantik la pula. Eisya pula teruja dengan susunatur setiap bilik contoh... hinggakan beberapa kali wan hampir terlepas pandang dia. Mana taknya, setiap ruang dan sudut dia nak jelajah dan nak 'test'. Huhuhu seriau juga la wan dibuatnya!! Dalam tak ada benda nak beli (kecuali pinggan mangkuk) melayang juga 150++ dengan entah-apa-apa-benda yang wan ambil (termasuklah lilin wangi... huhuhu)

Malam tadi pula, wan ke PKNS Shah Alam nak cari baju kurung untuk Eisya, pening la... dah la tu, orang ramai pulak tu, ditambah dengan tak banyak pilihan, kalau adapun yang tak berapa nak cantik (pada pandangan mata wan laa). Susah la bila shopping last minit macam ni, sebab saiz eisya (8) dah tak banyak yang tinggal. Tapi oleh kerana dah tak ada masa dan wan dah pening nak memikirkannya untuk lain kali, wan beli la juga itupun terpaksa ambil saiz 10 sebab saiz 8 dah habis.

Oh ya, betul la seperti apa yang wan kata pasal my Aysha. Tau tak... berat badan dia naik 3 kilo (daripada 16kg kepada 19kg) selama berpuasa ni. Hahaha kalau orang lain turun berat dia boleh naik pula... isk isk isk. Tapi oklah tu kan??

Oklah wan tak tahu nak tulis apa lagi... kalau ada cerita menarik nanti, kita 'sembang' lagi ok? daaaaaaaa


Salam sayang,

0

You Came To Me

Salam buat semua sahabat yang dicintai,




Nota wan:

Satu lagi lagu indah daripada Sami Yusuf selain Al-Mu'allim yang menjadi kesukaan kaksu dan sudah jadi kesukaan wan juga. Terima kasih pada kaksu yang memperkenalkan Sami Yusuf pada wan. Lagunya sangat indah untuk dijadikan halwa telinga. Cubalah dengar kalau tak percaya. Nescaya kawan-kawan pasti akan tertawan dengan Sami Yusuf (dan dia juga sangat kacak tau! juga seorang yang bijak pandai *wink*)

Nak baca lanjut tentang Sami Yusuf klik ->sini<-


Salam sayang,

0

Rahmat dan dugaan di bulan puasa...

Salam buat semua sahabat yang dicintai,

Hari ini dah 21 Ramadan bermakna sudah 21 hari kita berpuasa dan tinggal lagi lebih kurang 9 hari kita akan berada di bulan ramadan sebelum fajar syawal menjelma. Semestinya pelbagai dugaan yang kita hadapi sepanjang bulan puasa ini. Tak kiralah sebesar-besar dugaan mahupun kecil-kecil dugaan. Dan tidak terkecuali rahmat Allah yang maha pengasih dan maha penyayang buat hamba-hambanya.

Bagi wan pula, alhamdulillah semalam sebelum my bos ke oversea dia tinggalkan 'duit raya' untuk wan (untuk staffnya yang beragama islam = melayu) syukur alhamdulillah boleh la wan buat modal untuk 'berjalan' nanti! hehehe bukannya untuk buat raya ek?? Insyallah untuk raya pastinya ada tapi tak adalah banyak manapun!

Mek pula awal-awal lagi dah cakap tak mahu anak-anak dia belikan baju raya, atau tudung raya kerana dah banyak katanya... dan ada antara kain yang anak-anak dia beri raya tahun lepas pun masih belum berjahit lagi... Abah... entah wan lupa nak tanya... ahaks! tapi rasanya abahpun sama... sampaikan kadang-kala kalau balik kampung sirman tak payah bawa baju melayu pinjam aje abah punya (nasib baik la sesaiz) jadi wan fikir wan cuma akan beri duit raya sahajalah untuk mek dan abah raya nanti.

Dan untuk duit raya pula, tahun ni wan rasanya mengendeng duit raya sirman! Hehehe sebenarnya wan dah 'tolong' dia tukarkan duit raya untuk anak-anak buah, anak-anak sepupu-sepapat, sepupu-sepupu yang masih di 'bawah umur' juga buat anak-anak sahabat handai nanti. Wan dah minta Anis tukarkan & Anis siap kirimkan duit raya untuk Eisya lagi sebab tahun ni wan tak tahulah sempat jumpa Anis ke tidak hari raya nanti kerana tahun ni turn wan beraya di shah alam dulu sebelum balik ke kampung. Sementara Anis pula balik kampung dulu kerana dia tidak dapat cuti panjang selepas raya, means dia dah kena masuk kerja selepas 'cuti umum' raya. Jadi kiranya tahun kami 'selisih' jalan!

Dan tahun ni juga wan tak buat apa-apapun untuk menghias rumah. Kalau dulu setiap tahun wan akan tukar-tukar warna cat dinding yang sechoet tu... hehehe tapi tahun ni wan tak ada hati nak tukarpun. Biar ajelah. Begitu juga dengan langsir... rasanya wan guna ajelah yang tahun-tahun sudah. Entah ya... wan tak rasa sangat nak berhias sakan untuk sambut raya kali ini. Biskut-biskut rayapun wan tak tempah satu apapun. Tak seperti tahun-tahun sudah... puasa baru sehari dua dah sibuk menempah biskut tart nenas yang menjadi kegemaran sirman! Lagipun tahun ni kakyah tak 'bukak bakery' jadi tak adalah! hehehe alasang!!! Pendek kata wan hanya berbelanja untuk baju raya sahaja.

Dugaan... ya hari ini memang dugaan sungguh. Seawal pagi ketika wan bangun nak bersahur. Sebagaimana biasa wan nak masakkan telur kicap untuk Eisya (lauk kegemarannya dan dia boleh habiskan sepinggan nasi yang agak banyak hanya dengan berlaukkan telur masak kicap!) tapi nak dijadikan cerita... gas pula habis!! uuwwaaaa kenapalah dia pilih pagi ketika sahur nak habis??... Dah la pepagi buta macam ni mana ada kedai yang buka nak order tong gas baru? Waktu pula dah jam 5 pagi. Wan ada masa lebih kurang 30 minit aje. Lauk malam tadi semuanya dah licin dan kalau adapun mestilah dah jadi sejuk-beku lagi la tak ada selera nak makan.

Wan buntu tak tahu nak masak macam mana... Sudahnya Eisya hanya bersahur dengan honey star dengan susu. Kesian my Aysha, tak tahulah dia akan dapat bertahan sampai ke petang atau tidak hari ni! Hari ini pula sekolah dan mula buka balik selepas 3 hari cuti sempena UPSR. Harap-harap dia akan dapat bertahan... Dan ketika wan hantar baju persalinan dia di nursery wan cakap kat bibik dia ponteng sekolah petang (sekolah agama) biar dia rehat-rehat sahaja di nursery. Bukan apa, wan rasa kasihan kalau seharian dia bersekolah dan dia akan jadi lagi penat! Sayang la nak suruh dia ponteng puasa... melampau ke wan ni ek??

Jadi... sekarang ni wan rasa macam nak cari dapur elektrik. Mana tahu incase kalau gas habis wan masih ada alternatif lain untuk masak... huhuhu ye ke?? boleh caya ke dengan wan ni??

Dan rasanya itulah dugaan dalam berpuasa untuk wan tahun ni... tapi rasanya dugaan ini tak sebesar mana, kecuali untuk Aysha yang dah la tahun ni adalah tahun pertama dia mula berpuasa...

Oklah wan nak sambung 'berkebun' di Farmville wan di Facebook... hahaha wan tengah gian nak berkebun ni... so kawan-kawan hantar la banyak-banyak hadiah kat wan ek! Lagipun hari ini senyap sunyi aje kat office. Bos dah terbang ke oversea, 2nd bos pula ada meeting di Senai Johor (gerenti tak masuk!), ms lim cuti this whole week... dia balik ke cina... ahaks! ms ooi pula ambil half day leave... yang tinggal di pejabat adalah wan dengan ms tee... engineer pula jarang masuk office dan kalau masuk pun dah petang-petang... so, wan MERDEKA!! yahoooo.... hahaha *gelak jahat*


Salam sayang,

2

Hari ini 10 September

Salam buat semua sahabat yang dicintai,

Hari ini 10 September 2009.

Kalau si dia masih ada...
Pastinya pertama sekali yang akan wan buat adalah...
Menghubunginya...
Bertanya khabar...
Berceloteh tentang itu dan ini...
Berkisah tentang si kakak dan si adik-adik...

Tak lupa juga...
Mengadu tentang itu dan ini...
Mengadu tentang kerenah si kakak dan si adik-adik...
Mengadu tentang kerenah si 'kecik' yang sudah menginjak 'dewasa'

Tapi...
Si dia sudah tiada...
Tiada lagi panggilan telefon...
Tiada lagi telinga yang akan mendengar setiap cerita... setiap masalah...
Tiada lagi bahu yang dapat dijadikan tempat melepaskan segala tangis dan tawa...

Benarlah kata orang...
Setiap yang hidup pasti kembali pada penciptaNya
Yang pergi tetaplah pergi
Kita yang hidup harus teruskan hidup

Tapi...
kenangan demi kenangan yang kami kongsi bersama
di kala susah mahupun senang
di saat gembira mahupun sedih
akan tetap terpahat kukuh di sanubari
dan selagi itu si dia akan tetap di hati

Jika si dia masih ada...
Pastinya ucap selamat hari lahir akan menjadi ucapan istimewa
Tapi si dia sudah tiada
Hanya iringan doa dan bacaan Al-fatihah sebagai hadiah
Sempena mengingati hari ini,
hari di mana si dia dilahirkan 42 tahun yang lalu.

AL-FATIHAH


Salam sayang,

09-09-09

Salam buat semua sahabat yang dicintai,

Apa yang istimewanya hari ini?
Tiada apa yang istimewapun... cuma sekadar tarikh yang cukup cantik... 09-09-09 yang hanya akan kita jumpa sekali setiap 1000 tahun.

Apa yang wan buat sempena hari ini?
Tiada apa-apa!

Hari ini hari kerja, oleh kerana bebanan kerja wan sudah agak stabil dan wan masih punya masa untuk 'berfoya-foya' di facebook menjadi petani yang agak berjaya... hahahaha, wan juga sempat membuat touch-up untuk kad raya yang masih dalam proses untuk disiapkan. Harap-harap wan dapat siapkan dan hantar sebelum bercuti... walaupun wan pasti kiriman yang wan akan hantar nanti kawan-kawan akan perolehinya mungkin selepas raya... Namun harap ianya tidak akan mencacatkan sambutan raya kawan-kawan semua.

Sehingga itu... wan nak sambung 'menjaga' kebun wan! hehehehe

Nota untuk cik kLavu :

Dear PM la wan... wan tak ada alamat kamu la... walaupun wan sudah 'hinggap' dan beradu di istana kamu! huhuhu ampun!!



Salam sayang,

6

Shopping raya...

Salam buat semua sahabat yang dicintai,

Hari Ahad yang lalu wan ke KL. Konon-konon nak berbelanja untuk raya. Dan memang wan ke KL dan berbelanja. Tapi sebelum tu wan singgah sentul ambil baju raya yang dah siap sebelum puasa lagi. Sirman yang tak mahu ‘masuk’ KL parking kereta kat LRT Sentul dan kami (Aysha, sirman & myself) naik LRT ke KL. Hala tuju kami adalah di Jalan Masjid India, jadi kami turun di stesen Masjid Jamek dan menapak menghala ke arah SOGO.

Orang... memang sudah agak ramai kerana wan sampai area Jalan TAR lebih kurang jam 11.00 pagi walaupun pada awalnya dah cakap dengan sirman nak keluar ‘pagi-pagi’. Sambil berjalan mata melilau melihat kot-kot ada benda yang berkenan di hati. Niat nak beli baju kurung untuk Aysha dan tudung untuk wan... tapi wan memang surrender la... pening nak tengok baju yang bergantungan dengan pelbagai corak dan bunga tapi langsung tak berkenan di hati. Ada yang berminat tapi harganya mak ai!! seratus lebih! Sudahnya wan tak belipun baju kurung untuk Eisya.

Tapi sempat la wan beli tudung untuk wan, itupun Eisya dah merengek nak cari bangku nak duduk... sebabnya sementara wan dok memilih tudung, mereka jumpa kedai jual magazine... dan Eisya dan ‘bookshop’ adalah seperti magnet!! Sudahnya mereka berdua terus ke SOGO dan wan bersendirian mencari apa yang berkenan di hati. Tapi bila jalan sorang-sorang terasa tak syok la pula... sudahnya wan dah tak ada hati nak mencari apa-apapun.

Di SOGO, masyallah ramainya orang!! belum lagi memilih baju untuk eisya, wan menengok orang pun kepala dah pening! Jumpa sirman dan eisya di Foodcourt tingkat atas (huhuhu dah lama tak ‘together-gether’ dengan kawan-kawan kat sini!!)

Oleh kerana wan dah tak ada hati nak ber'shopping’ ajak sirman ke One Utama (OU) rasanya kat sana tak ramai sangat orang kot!. On da way nak turun ke LRT singgah di bahagian kanak-kanak dan sempatlah wan belikan my Aysha 4 helai t-shirt, 1 blouse dan sehelai jeans... sepasang selipar raya, total semuanya lebih RM350. Itu belum beli baju kurung lagi tu! Ambil punya ambil tak perasan semuanya jenama Hush Puppies kecuali selipar jenama Kiki Lala. Semenjak Eiysa dah ‘besar’ ni semuanya dia nak pilih sendiri. Dan semua baju-baju ini dia yang pilih sendiri!

Selesai urusan di SOGO kami menghala ke OU. Di sini walaupun orang ramai juga, tapi tak la rasa 'pack' seperti di SOGO. Sebenarnya wan ke sini hanya semata-mata nak ke stencil works sdn bhd iaitu kedai yang menjual alatan 'scrapbook'. Setelah dapat apa yang nak (huhuhu even barang yang tak berniat nak belipun wan beli!!) kami berlegar-legar di OU sementara menunggu waktu berbuka, (oh ya tak jadi berbuka di Nelayan sebab hari Ahad tu fullybooked!) kami berbuka di Kenny Rogers.

Dalam dok berlegar-legar tu wan masuk kedai crocs... ada satu kasut tu berkenan sangat, tapi tak ada saiz la pula... huhuhu tak kira, wan nak cari juga kasut tu! sirman kata kat Subang Parade (SP) ada kedai crocs... hehehe hujung minggu ni nak ajak dia ke SP pulak! & nak beli perfume juga... sebab masa nak masuk ke SOGO tu ada sales girl beri sample bau dia wangi la pula... kalau tak silap COCO Channel (wan ada simpan kertas yang dia beri!) & sirman kata OK... hehehe bila lagi nak 'merasa' duit dia ek! time raya ni la kalau nak minta apa-apapun! & wan masih belum beli kasut raya untuk wan juga serta tudung masih belum cukup lagi... wah! melampau la pula wan nikan?? hehehe tak kira! nak jugak!!!

Oleh kerana masih banyak masa... tengok-tengok la booth yang ada di ruang legar OU tu... dan wan sempat beli sehelai tudung (bukan tudung raya ya! hehehe), kemudian kami ke tempat yang sentiasa membuatkan eisya tak akan ajak kami balik... iaitu 'bookshop'. Wan pun tak tahulah... eisya kalau jumpalah mana-mana kedai buku dia boleh jadi 'hilang ingatan'. Energy dia mengalahkan orang yang tak puasa!. Apa yang membuatkan wan sukakan MPH OU ni kerana dia ada satu section untuk pengunjung melepak. Wan kat sini sampai terlelap (serius! wan memang tertidur... ahaks) nasib baik pakai topeng muka jadi orang tak nampak sangat macam mana muka wan yang cun ni tidur!! hahahaha

Sedar-sedar dah selambak buku yang eisya pilih dan eisya dengan memek-muka-minta-belas minta 'approval' untuk dibelikan kesemua buku-buku + magazine yang dipilihnya... wan terpaksa kuatkan hati tak mahu layan kehendak dia. Tapi dalam tak layan tu 5 buah juga la yang dia dapat! dan untuk wan, wan beli buku Yakjuj & Makjuj - Bencana Di Sebalik Gunung tulisan Muhammad Alexander (Penulis Indonesia, tapi terjemahan oleh PTS Islamika) serta buku tulisan Dato' Dr. Haron Din bersama Ishak Din dan Abu Hassan Din - Menjawab persoalan Fikah Harian.

Selesai urusan pembayaran kami ke Kenny Rogers untuk berbuka puasa (kami booking dulu setiba aje kami di OU, kalau tak jangan harap nak dapat seat). Selesai berbuka kami terus balik.


HARI ISNIN - CUTI NUZUL QURAN

KL tak cuti means Sirman kerja. Ingatkan lepas subuh boleh la sambung tidur dan bangun lewat sikit. Tapi pagi-pagi lagi Eisya dah kejutkan tanya tentang sirman. Ingatkan nak sambung tidur tapi asyik kena kacau sahaja dengan Eisya yang agaknya kebosanan kot... terpaksalah bangun.

Rutin biasa hari cuti (memandangkan semalamnya seharian di luar) masukkan kain dalam washing machine, basuhkan kasut sekolah eisya kemudian ingat nak lepak sambil baca buku yang baru di beli semalamnya. Tapi sibuk la pula si Eisya nak buat kad raya untuk kawan-kawannya. Terpaksalah layan... kalau tak selagi itu dia akan kacau dengan soalan-soalan yang kadang-kala boleh menaikkan darah.

Siap kad raya untuk Eisya... ingat nak sambung buat kad raya untuk kawan-kawan... tapi dah penat la pula... sudahnya... tak siap satupun!! yang siap... potong kertas aje! Sirman dari awal-awal lagi dah cakap... 'beli ajelah yang dah siap! lagi cepat dan jimat! (dia merujuk pada harga 'alatan' yang wan beli semalam... sampaikan tak berani nak cakap kat sirman totalnya berapa... hehehehe)


Salam sayang,

4

Kad Raya pertama...

Salam buat semua sahabat yang dicintai,


Hari ini genap 14 hari kita menjalani ibadah puasa untuk tahun 1430H. Sudah menjadi rutin harian wan sebelum masuk lift di rumah, wan akan memeriksa peti surat. Selalunya setiap hari peti surat di rumah wan itu, kalau tiada surat-surat 'hutang' pastinya akan ada pamplet-pamplet yang entah-apa-apa memenuhi ruang sempit peti surat itu.

Semalam, juga rutin biasa tapi apa yang membuatkan hati wan berlagu riang adalah kerana mendapat kiriman kad raya PERTAMA untuk tahun ini. Dan pengirimnya adalah kekanda-kekanda kesayangan wan kaksu & kakyah. Wah! kanda-kandaku... kamu telah pecahkan rekod!! Junjung kasih buat kedua kekanda kesayangan wan ini atas kiriman dan ingatan ini.

Dan wan?
Projek kad raya masih belum nampak bayang!
Sempatkah wan nak membalas kiriman kekanda-kekandaku ini??
Dan, sempatkah wan nak mengirimkan pada sahabat-sahabat sekalian sebagai tanda ingatan?

Waduh... gimana sih??


Nota wan:
Tiba-tiba wan rindukan si Bunga Erna di kota Jakarta... moga dirinya sentiasa dalam lindungan Yang Maha Esa... aminnn

"Mbak... gue kangen banget sama kamu!!"



Salam sayang,

0

Semuanya tentang raya...

Salam buat semua sahabat yang dicintai,

Wah! tajuk... bukan main ya wan ni? (",). Bukan apa, hari ini kita sudah berada di 14 Ramadan bermakna kita sudah hampir di pertengahan bulan puasa... terasa bagaikan baru semalam pengumuman oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Engku Tan Sri Dato Sri Ibrahim Engku Ngah, mengumumkan tarikh mula berpuasa. Pejam-celik-pejam-celik dah hari ke-14 kita berpuasa!

Alhamdulillah gaji wan sudah clear hari ini!. Dan memandangkan hari isnin nanti (7 Sept) adalah merupakan cuti umum bagi negeri selangor (KL tak cuti ya!!) sempena Nuzul Quran, wan ingat hari ahadnya wan nak ajak sirman ber'shopping' untuk raya.

Baju raya my Aysha belum ada walau sepasangpun. Kasut/selipar raya dia juga belum beli. Tapi wan tak tahu nak beli kat mana. Wan nak cari sepasang baju kurung untuk Aysha (sebab dia tak berapa gemar nak pakai baju kurung). Wan nak cari blouse untuk dia, wan nak cari jeans baru untuk dia. Dan yang paling penting wan nak ber'shopping' tudung untuk diri wan sendiri!. Hehehe wan rasa seperti nak tukar imej la... tapi wan tak tahu nak beli tudung yang macam mana dan di mana... huhuhu

TAPI... wan tak tahu nak pergi ber'shopping' kat mana?? Adakah di shopping-shopping mall?? atau pergi aje ke Jalan TAR? tapi sanggup ke wan bersesak-sesak dengan orang ramai nanti? & yang paling penting... larat ke my Aysha nanti nak menapak? Alhamdulillah dia berpuasa belum tinggal lagi dan kalau boleh wan nak dia penuhkan berpuasa sebulan ni... kalau boleh!?

Wan juga teringin nak berbuka di Nelayan Seafood. Dah lama tak makan 'kat luar' (hehehe padahal tiap-tiap hari pun makan makanan yang beli di luar juga, wan cuma masak nasi aje!). Lagipun dah lama tak makan steamboat seafood kat nelayan... harap-harap masih sedap seperti yang pernah wan makan dulu-dulu (bertahun-tahun yang lalu)! Dan ini juga sebagai hadiah untuk my Aysha yang gigih berpuasa. Walaupun Aysha sebenarnya tak kisahpun makan di mana-manapun tapi mummy dia yang mengada-ngada nak makan kat luar! hehehe

Lagi satu wan teringin nak ajak sirman ke OU (One Utama). Wan nak cari bahan untuk 'Projek Kad Raya' wan. Kita dah nak separuh ramadhan... tapi wan belum start buat 'apa-apa'pun lagi!! Ideapun seakan beku dalam kepala... =( Ada tak sesiapa yang tahu kat mana ada kedai yang jual barang-barang 'scrapping' kat area PJ? terutamanya bahagian Amcorp Mall?? sebab wan rasa seperti wan harus ke 'hulu' dan ke 'hilir' untuk mencari baju raya+kasut raya+tudung raya serta mencari bahan projek 'kad raya' wan itu.

TAPI yang paling UTAMA SEKALI sempat ke wan buat kad rayanya dan hantar pada kawan-kawan sebelum tibanya hari raya? Dan... rajin ke wan nak membuatnya?? Tahulah wan ni... rajinnya sekejap aje... MALAS yang banyak! hahaha

Salam sayang,

2

Hari ini...

Salam buat semua sahabat yang dicintai,

Hari ini wan penat... walaupun wan 'bercuti'
Hari ini wan bosan... walaupun berlambak-lambak kerja wan kena siapkan!
Hari ini wan tension... sebab gaji belum clear lagi!!!!!!!!!!!!!
Hari ini.... uuuwwaaaa wan nak nangis!!!!

Salam sayang,

0

Bacaan di bulan Ramadan...

Salam buat semua sahabat yang dicintai,

Alhamdulillah, sebuah lagi buku yang telah wan beli ketika Pesta Buku Selangor 2009 baru-baru ini telah berjaya wan habiskan. Wan bukan apa... punya satu hobi yang sangat buruk, beli buku tetapi ada antaranya langsung wan tidak sentuh! sedihkan! Teringat antara kata 'adinda' di seberang, "agaknya kalau buku-buku tersebut boleh berkata-kata sudah lama kita (wan) disumpahnya... beli tapi tak memanfaatkannya (baca)" (begitulah lebih+kurang bunyinya... hehehe)

Buku ini, Travelog Haji : Mengubah Sempadan Iman karya Muhd Kamil Ibrahim wan jadikan peneman sepanjang jalan pergi-balik KL-KB-KL. Dan semalam telah selamat wan khatam. Alhamdulillah.

Siapa Muhd Kamil Ibrahim?
Beliau adalah Profesor Perakaunan di Universiti Teknologi MARA. Beliau banyak menghasilkan karya seperti PhD: Kecil tapi Signifikan, Ibrahim Shah: Menyingkap Pengurusan Universiti, Motivasi Minda Pelajar, Pelajar Cemerlang dan Motivasi Remaja. Beliau juga menulis buku kepakaran bidang seperti Value Relevance of Accounting Numbers, Financial Reporting in Malaysia dan Corporate Social Responsibility in Malaysia. Lebih daripada 400 rencana juga diterbitkan dalam pelbagai media massa.

(Sumber rujukan : ->sini<-)

Buku ini pada wan terlalu banyak info berguna yang boleh dijadikan iktibar, panduan serta pedoman hidup. Jangan terpedaya, buku ini bukanlah novel tetapi ia merupakan catatan perjalanan penulis yang menunaikan fardu haji. Selain amalan serta panduan tentang fardu haji, penulis melalui buku ini juga menggambarkan tentang suasana serta keadaan di tanah suci. Ia bukan hanya merujuk kepada kisah tempat, budaya, pengangkutan, makanan, minuman dan tempat-tempat menarik dan bersejarah, tetapi ia adalah kisah perjalanan roh insan yang melangkaui kehidupan rutin manusia.

Bacalah, wan pasti kamu tidak akan merasa rugi melaburkan RM18.00 untuk 'sebuah' ilmu yang tidak terhitung nilainya. Moga kita beroleh manfaat.

Nota wan,
Huhuhu tension sungguh... wan sudah be'raya' semalam... yang tak syoknya dia 'datang' ketika azan sudah hampir-hampir tiba di kaca tivi... kenapalah dia tak tunggu barang seminit dua aje lagi??!! =(


Salam sayang,

2

Balik kampung...

Salam buat semua sahabat yang dicintai,

Sempena cuti merdeka, wan balik kampung. Balik selepas kerja hari sabtu. Lebih kurang jam 3 petang dari KL bergerak menuju ke pantai timur. Singgah di RnR Gua Musang untuk berbuka dan maghrib. Meneruskan perjalanan ke rumah dan lebih kurang jam 11 malam baru sampai.

Penat yang teramat.

Apatah lagi sirman yang memandu sendirian dari KL hingga ke Kelantan. Wan di sebelah hanya duduk diam dan adakalanya terlelap mata. Dah la hujan lebat yang amat hingga menyukarkan pandangan mata ketika kami keluar dari RnR Gua Musang.

Tapi oleh kerana keinginan wan nak balik merasa berbuka dan bersahur dengan mek & abah, gagahkan diri juga dan alhamdulillah wan juga dah sihat =) (agaknya demam rindu kot! hehehe)

Walaupun hanya sempat berbuka untuk sekali dan bersahur 2 pagi, tapi kiranya okey la daripada tiada langsung. Bukan apa, memandangkan tahun ini wan akan beraya di shah alam dulu, jadi peluang untuk berbuka dan bersahur dengan mek & abah memang tiada kalau wan tak balik waktu cuti sempena merdeka ini.

Kali ini, walaupun ahli (adik-beradik) tak lengkap... & rasanya memang dah tak akan lengkap... sekurang-kurangnya masih ada Rose dan Lina serta keluarga masing-masing yang meramaikan majlis berbuka. Hanya lauk yang simple memandangkan mek pun tak berapa sihat. Ada sup tulang, ikan siakap dan bawal masak tiga rasa, ada kerabu mangga (sedapppp!!), ada ulam daun ketereh (my fav.). Walaupun simple tapi seronok!! hilang segala penat lelah berjam-jam dalam kereta.

Semalam, 31 Ogos 2009 hari merdeka. Perjalanan balik pada awalnya lancar mula bergerak perlahan ketika memasuki Raub hinggalah ke Bentong. Memasuki karak highway juga sama, perjalanan bergerak agak perlahan di sesetengah kawasan kerana kenderaan banyak & adakalanya tidak bergerak.... wan yang berada di sebelah pemandu sudah tension apatah lagi pemandu!! Tapi nasib baik kami masih sempat tiba di rumah USJ ketika azan sudah maghrib hampir. Dan juadah berbuka kami adalah makanan yang kami singgah beli di restoran megah shah alam.

My Aysha, masih lagi berjaya menyempurnakan puasanya hingga ke hari ini tanpa tinggal seharipun. Alhamdulillah... hehehe nampak aje kurus tapi dia berjaya berpuasa dan surprise nya selera makan dia agak bagus di bulan puasa ini. Mana taknya request untuk berbuka, bermacam-macam tapi dia memang makan! hahaha wan rasa kalau orang lain kurus masa puasa, tak mustahil my Aysha beratnya akan bertambah di bulan ramadhan ini!!. Kalau sebelum ini beratnya 16kg, kita tengok berapa beratnya bila dah habis bulan ramadhan ni ya! =)


Salam sayang,

Back to Top